Berita Harian: Hip |
Posted: 24 May 2013 04:26 PM PDT Aktres Indonesia akui aksi terlampau bersama Ariel Peterpan tetap jadi sejarah hitam Titik hitam yang berlaku sukar dipadamkan dalam riwayat hidup aktres terkenal Indonesia, Luna Maya, 29. Apakah mungkin ia menjadi episod hitam yang terus dikenang selama-lamanya? Usah bertanya lagi tentang Ariel, kami masih kawan. Saya sudah bosan, setiap kali melihat wajah saya, pasti nama Ariel dikaitkan. Cerita dulu saya sudah tutup buku. Kini, saya lebih senang menyendiri," Luna Kunjungan Luna ke Kuala Lumpur untuk memperkenal dan mempromosikan filem pertama arahan dan terbitannya berjudul Pintu Harmonika turut menerima tempias sama. Bagaimanapun, Luna seakan bersedia, biarpun raut wajahnya masih malu dan sukar meluahkan apa yang pernah berlaku. Luna, bagaimanapun menjawab persoalan dengan baik dan manis muka, tanpa rasa tersinggung. Wartawan B*POP sempat menemubual Luna secara eksklusif sejurus sidang akhbar filem Pintu Harmonika di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, minggu lalu. Filem terbitan Malka Pictures yang diarahkan Luna bersama dua lagi pengarah wanita, Ilya Sigma dan Sigi Wimala disiarkan serentak di pawagam seluruh Indonesia dan saluran Astro First sejak 23 Mei lalu. Jujurnya, Luna mengakui: "Tahun 2010 menjadi sejarah hitam yang tidak mampu dilupakan. Biarpun, sukar menempuhnya, tapi akhirnya, saya merasakan banyak hikmah di sebalik apa yang berlaku. Kalau saya tidak kuat menghadapinya, mungkin saya sudah membunuh diri atau jadi gila. Tapi, Tuhan Maha Kaya, Tuhan memberi kekuatan yang luar biasa. "Awalnya, saya melalui detik yang terlalu sukar dalam hidup. Sudahlah terpalit malu, saya pula bakal didakwa di mahkamah ketika itu. Itulah, jika tiada kekuatan, mungkin saya sudah menamatkan hidup. Bagaimanapun, saya bukanlah terdesak sampai melakukan perbuatan yang ditegah agama. Saya masih waras. Jika saya fikir bebanan yang ditanggung berat, ada ramai lagi di luar sana menghadapi detik lebih sukar dalam hidup. Inilah ujian hidup saya. "Kadang kala timbul juga perasaan jahat apabila ada yang merenung saya. Apa yang mereka fikirkan ya? Tapi, sentiasa positif, biarlah mereka fikir apa pun, saya tidak mahu bebanan itu membuatkan saya berpenyakit. Kekuatan yang Tuhan memberikan membuatkan saya bernafas semula. Saya fikir, jika diri saya tidak dihimpit kontroversi ini, saya masih lagi sibuk dengan penggambaran sinetron dan filem yang tidak berkesudahan. Saya juga terikat dengan banyak projek lain sebagai duta. "Hidup saya sentiasa berkejar ke sana sini hingga saya tiada masa untuk diri saya. Jauh sekali mahu bercuti dengan keluarga. Terlalu penat hingga kadang kala saya saya rasa tidak berdaya. Bila dihimpit permasalahan ini, hidup saya amat terasa tekanan, tapi saya diberi ruang muhasabah diri dan menenangkan fikiran. "Saya dapat jalan penyelesaian selepas berehat lama menyendiri. Apa yang saya harapkan, saya dapat menggembirakan hati yang kerap terluka ini," katanya yang masih berhubung dengan Ariel sebagai teman, tetapi enggan mengulas panjang. "Usah bertanya lagi tentang Ariel, kami masih kawan. Saya sudah bosan, setiap kali melihat wajah saya, pasti nama Ariel dikaitkan. Cerita dulu saya sudah tutup buku. Kini, saya lebih senang menyendiri," katanya yang turut membintangi filem usaha sama Indonesia dan Jepun berjudul Killers. Menyentuh mengenai filem Pintu Harmonika, Luna berkata idea menghasilkan filem itu tercetus ketika dirinya berehat panjang. Sebelum ini, Luna pernah mengarahkan klip video beberapa penyanyi Indonesia dan filem pendek, Suci In The City pada 2008. "Itu yang saya katakan tadi, apa yang berlaku banyak hikmah di sebaliknya. Saya punya masa untuk menghasilkan skrip filem, selain mencari pelabur. "Sebenarnya dulu, saya hanya menjadi produser tapi apabila ada teman artis yang memberi ruang kepada saya untuk mengarahkan klip video mereka, saya rasa seronok. Keseronokan pula bertambah apabila saya sibuk di lokasi penggambaran. Saya belajar satu persatu kerja di belakang tabir. "Bukan mudah bergelar pengarah kerana saya perlu ambil tahu setiap perkara dan bekerja dengan lebih pelakon dan kru produksi. Kerja yang bukan mudah, tapi memberi kepuasan. "Filem Pintu Harmonika menampilkan tiga kisah yang dialami individu berbeza dalam konflik hidup. Berlatarbelakangkan kawasan kejiranan rumah kedai yang serba sederhana, watak-watak ini berkongsi pengalaman dalam tiga genre berbeza. Ada drama, komedi romantik dan seram. "Ia dibintangi Fauzan Nasrul, Karina Salim, Donny Damara, Barry Prima, Jenny Chang, Adam Putra Pertama dan Nasya Abigail. Pelanggan Astro yang ingin menonton hanya perlu membayar RM15 bagi setiap tempahan dan filem berkenaan akan ditayangkan dalam tempoh masa 48 jam selepas pembelian," katanya. |
Posted: 24 May 2013 03:43 PM PDT Filem sekuel Fast and Furios 6 padat aksi, drama buat penonton tak senang duduk Kembali dengan aksi dan pengembaraan lebih mantap, kemunculan filem sekuel ikutan ramai iaitu Fast and Furious 6 cukup dinantikan. Siri keenam arahan sutradara Justin Lin ini lebih padat dengan aksi dan drama hingga ke penghujung cerita.
Selepas kejadian 'Fast Five', penjenayah profesional, Dominic Toretto (Vin Diesel) dan krunya menjadi kaya-raya tapi rekod jenayah menghalang mereka kembali ke negara sendiri. Ajen, Luke Hobbs (Dwayne Johnson) dari Diplomatic Security Service (DSS) memberi mereka pilihan, di mana dia akan melupuskan hukuman jika mereka membantu polis melumpuhkan kegiatan jenayah yang diketuai Owen Shaw (Luke Evans). Namun, itu bukanlah sebab utama Toretto dan krunya membuat keputusan menjejaki Shaw, sebaliknya mahu membawa pulang kekasih lama Torreto dan ahli kru mereka yang disangka sudah mati pada sekeul sebelum ini, iaitu Letty (Michelle Rodriguez). Bertambah rumit lagi apabila Letty yang menjadi pembantu kepada Shaw hilang ingatannya. Namun, atas semangat berkumpulan yang kuat, Toretto dan krunya bekerjasama menyelamatkan Letty daripada menjadi mangsa Shaw.
Hanya ada satu cara untuk mereka menghentikan jenayah Shaw iaitu dengan mengalahkannya di perlumbaan jalanan. Sinonim dengan sekuel ini, senjata, peralatan canggih serta kereta berkuasa tinggi menjadi penarik utama. Deruman kereta lumba membuatkan adrenalin penonton bertambah laju. Spekulasi bakal disambung Mengambil lokasi di kota London yang menjadi antara kota paling sibuk di dunia. Sutradara bijak bermain dengan lenggok drama dan aksi yang dipaparkan bagai tiada penamat. Penonton bukan sekadar tidak senang duduk melihat aksi dan adegan pertarungan dalam filem ini, malah sekali sekala ketawa dengan keletah kru Toretto yang mempunyai pelbagai ragam serta melucukan. Tidak hanya menyuntik elemen aksi dan menekan kehebatan sinematografinya di bandar besar, Fast And Furious 6 mendalami isu hubungan kekeluargaan yang boleh dicontohi. Sementara itu, penamat yang dipaparkan bagai memberi tanda-tanda adanya sambungan kepada kisah ini. Jadi penonton rasanya boleh mengharapkan kemunculan episod ketujuh kelak. Filem: Fast and Furious 6
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |