Berita Harian: Hip |
Posted: 21 May 2013 03:38 PM PDT Ubah format ikut faktor semasa, pengumuman rasmi esok Walaupun pernah mengumumkan Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) sebagai musim terakhir, program yang hampir dua tahun dihentikan itu bakal kembali mewarnai kaca televisyen, tidak lama lagi. Ini waktu yang sesuai untuk mengembalikan AF." Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Perniagaan Melayu ASTRO Kemunculan semula program realiti penuh drama yang diperkenalkan pada 2003 itu mula diperkatakan peminat, sejak akhir-akhir ini. Namun, rata-rata berpendapat kehadiran semula AF sebagai tidak relevan. Ini kerana melihat kerjaya sesetengah peserta termasuk juara bagai tidak ke mana. Namun, Khairul Anwar menyangkal dakwaan itu. Dia memberi contoh beberapa nama yang cemerlang dalam industri yang lahir daripada AF seperti Hafiz, Adira, Stacy dan Hazama. "Saya kurang bersetuju apabila ada yang mengatakan kehadiran semula AF tidak relevan. Bagi saya, ia perkara biasa apabila sesetengah peserta 'menjadi' dan ada juga tidak mencapai matlamat. "Ini lumrah dunia seni. Ada peserta yang diangkat sebagai pemenang tetapi tidak berjaya mencipta nama sebagai penyanyi. Sebaliknya, mereka yang tidak menang pula berjaya melakar nama. Semua ini bergantung kepada disiplin dan sikap artis itu sendiri," katanya. "Selama AF dihentikan, kami melakukan pelbagai kajian dan mencari formula melonjakkan kembali program ini. AF menjadi tulang belakang yang penting kepada Astro dan kebetulan pula sudah agak lama kami tidak mempunyai program mencari bakat baru kecuali Raja Lawak. "Jadi kami fikir ini waktu yang sesuai untuk mengembalikan AF" katanya. Manfaat laman sosial tarik peminat Bukan setakat itu, Astro mengambil inisiatif bertemu dengan pemilik program terbabit dua kali ketika menyertai pasaran televisyen di Singapura dan Perancis. Khairul Anwar bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada konsep 'mengurung' peserta di sebuah banglo seperti dilakukan pada musim pertama hingga kesembilan, akan diteruskan. "Apa yang akan diperkenalkan untuk musim terbaru hanya didedahkan pada sidang media nanti. Setakat ini apa yang boleh saya beritahu, kita akan mengubah sedikit format program itu bagi disesuaikan dengan keadaan sekarang. "Kita akan menggunakan laman sosial sebagai medium untuk mengetengahkan kembali program ini. Sebelum ini, kami tidak dibenar menukar langsung format program itu. Ia menjadi salah satu sebab kenapa AF diberhentikan seketika. "Tetapi selepas dua pertemuan dengan pemilik program itu, akhirnya kami diberi kebenaran untuk mengubah sedikit format AF," katanya. Info Senarai Pemenang AF |
Posted: 21 May 2013 03:30 PM PDT Enggan desak Yusry tawarkan watak dalam filem terbitan KRU, tak suka ambil kesempatan Biarpun memegang status isteri kepada orang kuat KRU Studios, tidak sesekali Lisa Surihani menggunakan kelebihan itu untuk memenuhi hasrat berlakon di bawah arahan suami, Yusry Abdul Halim.
Bukan bimbang hasrat terbabit ditolak, sebaliknya Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-23 itu enggan campur tangan, selain yakin masanya akan tiba tanpa perlu meminta-minta. "Saya mengagumi hasil kerja Yusry sejak filem Cicakman lagi. Memang andai diberi peluang, saya mahu bekerja dengan ramai lagi pengarah termasuk dia, Uwei serta beberapa nama lain. "Kami pernah membincangkan perkara ini, tetapi tidaklah secara serius. Yusry pentingkan kesempurnaan, jadi setiap produk atau hasil kerjanya termasuk barisan pelakon dipilih bersandarkan kesesuaian," katanya yang berganding dengan suami buat julung kali menerusi filem Ular. Ditemui pada majlis penyampaian hadiah Peraduan Snack & Win Mister Potato, rancak bicaranya berkongsi pelbagai cerita. Walaupun letih sepanjang malam di lokasi penggambaran filem terbaru, Manisnya Cinta, Lisa tetap ceria sepanjang tiga jam acara berlangsung.
Tidak hairan, sikap 'lebih kurang' serta disiplin tinggi yang diamalkan sejak menceburi dunia seni kira-kira enam tahun lalu membuatkan dirinya terus menjadi rebutan rumah produksi dan jenama terkenal. Hingga kini, pemegang ijazah undang-undang itu menjadi antara selebriti yang diangkat sebagai duta produk sekali gus menepis dakwaan artis yang sudah mendirikan rumah tangga akan pudar auranya. "Syukur kerana dari dulu hingga kini rezeki saya dipermudahkan. Walau tanpa bernaung di bawah syarikat pengurusan, dengan bantuan ibu selaku pengurus, kami masih dapat membahagikan masa sebaik mungkin. "Jika melihat jadual harian, ia agak meletihkan. Namun, saya belajar menguruskan masa. Setiap malam, saya dan ibu akan duduk bersama untuk meneliti jadual esok bagi membuat persediaan termasuk dari segi masa, persalinan dan sebagainya," katanya. Bakal umum projek bisnes Ditanya sama ada meminta pandangan Yusry setiap kali menerima tawaran berlakon atau menjadi jurucakap produk, Lisa berkata, Yusry bersikap terbuka dalam semua perkara termasuk memberi kebebasan membuat pertimbangan wajar, selain belajar selok-belok perniagaan. Diaju pula hasrat mengeluarkan jenama sendiri ketika namanya meniti puncak populariti, sambil tersenyum manis, Lisa mengaku ada perancangan ke arah itu. Namun, dalam masa terdekat, Lisa akan bekerjasama dengan sebuah syarikat untuk promosi semusim. "Nantilah, pengumuman mengenai kerjasama itu akan diadakan sedikit masa lagi. Tiada pula kejutan kalau saya cerita sekarang. Soal jenama sendiri, ia perlu diperincikan sebaik mungkin, namun saya teruja menunggu saat itu," katanya. Pada majlis itu, Lisa menyerahkan Chevrolet edisi terhad iaitu Captiva, Sonic dan Cruze yang disertakan autograf pemain Manchester United kepada tiga pemenang utama. Ganjaran terbaru selepas Ultimate Manchester United Experience dan kemeriahan berparti di Old Trafford 2011 kepada peminat Red Devils itu seiring dengan kemunculan Chevrolet sebagai rakan automotif rasmi kelab berkenaan. Lisa yang meminati pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sempat berjenaka apabila cuba 'melarikan' replika kunci kereta sebelum menyerahkannya kepada pemenang. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |