Adsense

Isnin, 20 Mei 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Alyah nafi mahu kahwin

Posted: 19 May 2013 04:17 PM PDT

Sehingga kini, masih belum ada hitam putih mengesahkan penyanyi Alyah dan pengarah muzik tersohor, Datuk Ramli MS sedang bercinta. Walaupun sebelum ini banyak cerita mereka disiarkan dalam pelbagai media termasuk laman sosial, namun baik Alyah atau Ramli, masing-masing sepakat enggan mengulas lanjut segala spekulasi tercetus.

Namun, membaca artikel yang disiarkan beberapa majalah hiburan yang memetik Alyah merujuk komposer terkenal itu sebagai teman lelakinya, baru-baru ini, timbul pertanyaan, bila pasangan itu berani mengisytiharkan kisah cinta mereka untuk tatapan umum?

Terbaru, foto yang dimuat naik Alyah dalam Instagramnya, sekali lagi menimbulkan salah sangka peminat. Ramai yang menganggap penyanyi Kisah Hati itu sudah bersedia mendirikan rumah tangga melihat foto itu. Gambar yang menunjukkan Alyah seolah-olah berada di hadapan sebuah rumah, mengundang persepsi nakal kononnya itulah rumah baru pasangan berkenaan.

Mahu melenyapkan teka-teki, HIP mendapatkan penjelasan penyanyi berasal daripada Gelang Patah, Johor ini. Sebaik pertanyaan diajukan, Alyah menafikan gambar itu ada kaitan dengan spekulasi kononnya dia sudah bersedia berkahwin dengan Ramli.

Saya sedar timbul spekulasi berdasarkan komen yang diberi berhubung gambar itu. Lokasi dalam gambar itu bukan rumah Ramli. Ia tidak ada kena mengena dengan isu saya berpindah rumah kerana mahu mendirikan rumah tangga.

Kalau benar pun saya mahu berpindah, kenapa perlu ke rumah dia? Kebetulan, ibu saya di kampung juga mahu berpindah rumah, jelas Alyah atau sebenarnya Noor Hasliah Abu Hassan.

Tutup akaun Twitter
Menyedari kuasa dan pengaruh yang ada pada laman sosial, Alyah berkata, dia terpaksa menutup akaun Twitter. Sekarang, Alyah hanya memiliki akaun Instagram untuk berkongsi momen manis bersama peminat.

Bagi saya, Twitter sangat mengganggu dan saya fikir lebih baik tutup. Ketika ini, laman sosial yang saya miliki adalah akaun untuk peminat di Facebook dan Instagram, terangnya.

Sebelum ini, artikel dalam majalah hiburan memetik Alyah merujuk Ramli sebagai teman lelakinya. Pengakuan itu seolah-olah memakan dirinya sendiri kerana sebelum ini, mereka bermati-matian menafikan menjalin hubungan intim.

Disebabkan itulah saya cukup berhati-hati apabila diminta mengulas perkara ini (hubungan dengan Ramli). Ini kerana ramai yang salah tafsir dan menulis perkara yang bukan keluar dari mulut saya. Kesudahannya, nama saya yang buruk. Cukuplah saya buat emak menangis sebelum ini, saya tak mahu dia menangis lagi.

Lagipun, saya perempuan. Rasanya tidak elok untuk saya mengulas perkara ini. Saya tak mahu dituduh terhegeh-hegeh pula, katanya yang semakin anggun sejak mengenakan hijab.

Diusik dengan pertanyaan apakah Ramli marah gara-gara istilah teman lelaki itu, Alyah tidak memberi reaksi. Sebaliknya, hanya hilai tawanya yang kedengaran di hujung talian.

Henti sementara bisnes tudung

Sebelum ini, Alyah membuka perniagaan tudung dalam talian yang dinamakan Gaya Alyah. Kebanyakan gaya tudung yang dipakainya pada sesi fotografi adalah koleksi jenamanya itu.

Bagaimanapun, Alyah mengaku dia terpaksa menghentikan seketika perniagaannya itu.

Selain tidak cukup tenaga kerja untuk proses menghantar produk, perniagaan itu terpaksa dihentikan seketika kerana saya mahu memberi tumpuan kepada proses rakaman album.

Bayangkan, sejak album Tak Mungkin Kerna Sayang diterbitkan, sudah empat tahun saya tiada album baru. Selepas ditangguhkan beberapa kali, saya mahu lebih fokus untuk menghasilkan album baru. Kasihan peminat yang sudah lama menunggu. Jika tiada aral melintang, album baru ini akan dipasarkan selepas Aidilfitri, katanya.

Seperti album terdahulu, buah tangan terbarunya itu menyaksikan Alyah muncul dengan album penuh. Album itu dijangka mengandungi semua single popular termasuk single terbaru berjudul Permata yang dinyanyikan bersama peserta Idola Bintang Kecil, Ben.

Usah perjudi reputasi

Posted: 19 May 2013 04:17 PM PDT

Tindakan segelintir artis tempatan terutama muka baru memuat naik gambar atau rakaman video memaparkan perlakuan yang boleh menimbulkan persepsi negatif peminat dalam laman sosial nampaknya menjadi-jadi.

Status selebriti menyebabkan klip video atau gambar berunsur negatif yang dimuat naik pantas mengundang tarikan pelayar internet. Persoalannya, apakah perlakuan itu sengaja dibuat bagi meraih publisiti murahan? Andai perlakuan itu dilakukan atas alasan suka-suka atau mahu mengikut trend, bagaimana dengan reputasi mereka jika gambar atau rakaman video yang dimuat naik mencetus kontroversi?

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi berkata, kecenderungan artis memuat naik gambar atau rakaman video keterlaluan boleh disifatkan sebagai suatu penyakit psikologi yang tidak berlaku kepada individu normal.

Saya tidak nafikan selebriti yang terjebak dengan aktiviti kurang sihat memuat naik gambar dan video ke laman sosial menghadapi masalah psikologi. Bagi saya, orang normal tidak akan berbuat demikian hingga boleh menjatuhkan maruah sendiri.

Individu seperti ini sebenarnya berdepan isu kekurangan kasih sayang dan memerlukan perhatian orang di sekeliling. Mereka akan merasa puas sekiranya apa yang dimuatkan ke dalam media sosial itu mendapat maklum balas sama ada dalam bentuk pujian atau kritikan tanpa memikirkan kesan buruknya, katanya kepada HIP.

SENIMAN pantau selebriti bermasalah

Sebagai langkah proaktif, SENIMAN akan menubuhkan Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin untuk memantau isu keruntuhan moral di kalangan warga seni termasuk yang memaparkan aksi keterlaluan dalam laman sosial.
Zed berkata, pihaknya sudah mengkaji Akta Multimedia 1998 yang boleh diguna pakai untuk dibincangkan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu berkenaan.

SENIMAN berhasrat menjalinkan kerjasama dengan SKMM supaya jawatankuasa tatatertib dan disiplin yang bakal ditubuhkan boleh menggunapakai garis panduan dalam Akta Multimedia 1998, katanya.

Zed berkata, pihaknya melihat isu keruntuhan moral segelintir artis melalui paparan negatif di laman sosial sebagai sesuatu yang membimbangkan dan perlu ditangani segera.

Berikutan isu keruntuhan moral selebriti dalam media sosial semakin tidak terkawal, SENIMAN mahu isu ini dibawa ke pengetahuan kerajaan untuk mengatasinya dengan serius. Kita tidak mahu golongan berpengaruh seperti selebriti ini menjadi ikon negatif kepada generasi muda dan masyarakat, katanya.

Zed berkata, setiap gambar dan klip video yang ingin dimuat naik ke dalam media sosial sama ada baik atau tidak, harus terlebih dulu dipertimbangkan kesannya. Menurutnya, SENIMAN tidak mahu golongan selebriti tanah air dilabel kelompok tidak bermaruah hingga boleh merosakkan industri.

Sebagai persatuan yang menjaga kebajikan artis, SENIMAN hanya mampu menasihat dan mendedahkan risiko yang bakal mereka terima daripada masyarakat.

Elakkan diri daripada mencetus persepsi negatif masyarakat. Memuat naik gambar dan video sama ada dengan tujuan baik atau tidak haruslah berhati-hati dan tahu risikonya, katanya.