Berita Harian: Hip |
Erti Persahabatan Kirk & Spock Posted: 13 May 2013 01:35 AM PDT Perkenalan awal mereka boleh digambarkan sebagai tegang. Seperti yang dilihat di dalam filem 'Star Trek' (2009), Spock telah tampil membuat pendakwaan terhadap James T. Kirk kepada Starfleet Academy, di mana dia menuduhnya menipu ketika menjalani ujian simulasi Kobayashi Maru. Tuduhan berkenaan menyebabkan Kirk digantung tugasnya buat sementara waktu. Keadaan bertambah buruk apabila Kapten Christopher Pike melantik Kirk sebagai pegawai kanan Spock, memaksa mereka untuk bekerjasama. Zachary Quinto yang sekali lagi diberi tanggungjawab menggalas watak ikonik Spock, memberitahu filem 'Star Trek Into Darkness' melihat Spock bergelut dengan persoalan emosi dan apa maknanya menjadi seorang sahabat. "Di permulaan filem, Kirk telah membuat beberapa keputusan yang akhirnya memakan diri sendiri, malah turut membahayakan nyawa Spock. Spock, benar kepada jati dirinya, sanggup mengorbankan nyawanya demi menegakkan undang-undang. "Tetapi Kirk tidak akan membiarkan kawannya mati disebabkan hanya beberapa peraturan. Percanggahan pendapat di antara mereka menjadi tema sepanjang filem. Namun ada satu ketika di mana Spock akhirnya memahami apa erti persahabatan, bila dia sendiri mengakui memiliki kemampuan menaruh emosi terhadap orang lain." Berlainan pula Kirk. Kapten kapal Enterprise itu mempamerkan sifat-sifat idealistik manusia dan lebih cenderung membuat keputusan berdasarkan naluri. Bak kata Chris Pine yang membawa watak Kirk, "DNA mereka cukup berbeza tetapi akhirnya, mereka menemui sintesis sebagai sahabat." 'Star Trek Into Darkness' 3D & 3D IMAX akan menemui peminat di pawagam bermula 15 Mei ini manakala tayangan rasmi pada 16 Mei. |
Posted: 12 May 2013 05:18 PM PDT Kumpulan alternatif sedia berdepan risiko terbit album baru dalam kelembapan pasaran demi peminat Tewas dengan desakan peminat biarpun terpaksa mengambil risiko dalam kelembapan pasaran album, kumpulan Estranged akhirnya bakal tampil dengan buah tangan ketiga berjudul Anugerah Hidup. Walaupun agak keberatan melangkah ke studio pada mulanya, kumpulan dianggotai Azwin Andy, 30, Solihuddin Hormat, 29, Nor Hanafi Noor Hadi, 31, dan Richael L Gimbang, 31, ini akhirnya akur dengan desakan peminat. Apatah lagi sudah empat tahun mereka tidak ada produk baru.
Berkunjung ke Studio HIP di Balai Berita di Kuala Lumpur, baru-baru ini, kumpulan Estranged yang memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 2008, muncul kali terakhir dengan album Remain Unknown. Selepas menerbitkan satu persatu single iaitu Pengganti, Borneo dan Baru yang mendapat sambutan hangat di stesen radio tempatan, Estranged menyatukan tiga lagu terbabit bersama tujuh lagu ciptaan sendiri dalam sebuah album. Uniknya, album ini menampilkan sisi berbeza Estranged iaitu kebanyakan lagu yang dicipta mengambil inspirasi daripada pengembaraan mereka ke merata pelusuk tempat sejak dua tahun lalu. "Kami terbabit dalam rakaman program Ekspresi Kembara ke Gua Mulu dan Langkawi. Boleh dikatakan dari situlah terhasilnya lagu Borneo di mana ia menceritakan soal alam semula jadi dan manusia di sekelilingnya. "Boleh disimpulkan kami mendapat idea untuk mencipta lagu daripada pengembaraan dan mungkin untuk album keempat, kami akan ke Eropah atau Afrika untuk mencari idea. Untuk album ketiga, kami akan mengembara ke pedalaman hingga ke Tambunan, Sabah untuk mendapatkan inspirasi," kata Andy.
"Pada masa sama, kami meluangkan masa menulis lagu lain. Dalam album ini, kami memberi tumpuan kepada sisi lembut kami dan lebih positif. Ini secara tak langsung memberi inspirasi kepada pendengar. "Anugerah Hidup menggabungkan ciri Estranged yang lama dan baru. Namun, album ini masih kekal berkonsep alternatif dan disuntik dengan eleman 1990-an selain akustik. Album ini banyak memperdengarkan kematangan anggota Estranged," katanya. Timba ilmu dalam Versus Album ketiga Estranged akan diterbitkan sebaik saja komitmen mereka dengan program Versus selesai. Menumpukan banyak masa dengan program interpretasi penggubahan lagu itu, Estranged gembira mereka berpeluang menimba ilmu dengan Versus. Antara kumpulan yang berpengalaman di arus perdana seni tempatan, Estranged tidak mahu terlalu yakin untuk mengalahkan empat kumpulan lain iaitu Kyoto Protocol, Kristal, Manifesto dan Oh Chentaku. Bagi kumpulan yang ditubuhkan pada 2001 ini, mereka mahu bergembira setiap kali muncul di pentas dan menyampaikan lagu gubahan mengikut cara sendiri. "Kami tak mahu terlalu memikirkan soal kemenangan. Kami akui setiap minggu adalah tekanan untuk kami menggubah lagu tugasan. Tak dinafikan memang kami mahu menang, siapa yang tak mahu menang. Tapi kami mahu terus merendah diri dan bergembira dengan setiap persembahan selain menghiburkan peminat. "Pada mulanya, kami mengaku agak sukar hendak mengikut rentak pertandingan Versus. Selepas minggu ketiga barulah kami mula faham. Mereka memberi kebebasan untuk kami menggubah lagu diberi. Kami fikir apa yang paling sukar sebenarnya ialah keluar dari zon selesa kami," ujar Rich. Sementara itu, Rich juga bercerita mengenai minat Amy Search untuk berkolaborasi bersama Estranged. Namun, mereka belum ada lagu sesuai untuk berduet dengan penyanyi rock lagenda itu. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |