Utusan Online - Hiburan |
Posted: 24 Apr 2013 02:00 AM PDT Oleh MUHAMMAD AZRUL MENJADI seorang ibu memang satu amanah terbaik bagi setiap wanita yang bergelar isteri. Meskipun bukan senang untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri dan dalam masa yang sama sebagai ibu, ia tetap menjadi satu kerjaya yang indah dan penuh dengan kemanisan. Tugas seorang isteri ialah melayan keperluan asas suami manakala sebagai ibu pula melayan kerenah anak dan keperluan mereka. Tambah berat apabila seseorang itu adalah wanita bekerjaya yang sentiasa sibuk dengan kerja dan lain-lain. Begitu juga dengan aktres serba boleh, Sazzy Falak atau Sazlini Shamsul Falak, walaupun sibuk dengan kerjayanya yang padat masih mampu meluangkan masa berkualiti bersama anak kembarnya. Kalau hendak kata tidak penat, memang tipulah. Memang saya penat apatah lagi dengan kerja yang padat dan anak kembar lagi, kerja menjadi tambah berganda. Kalau biasa semua orang anak satu, tapi saya dua, jadi semua kerja menguruskan anak perlu ditambah. Saya kena buat kerja untuk dua kanak-kanak sekaligus dalam satu masa. Tetapi, dalam sibuk melakukan kerja, saya tetap gembira dengan apa yang dilakukan. Bila kita gembira, rasa penat akan hilang serta merta," katanya. Jelasnya lagi, dia sentiasa menitikberatkan masa berkualiti bersama dengan keluarga dan akan melakukan yang terbaik untuk tidak mengecewakan sesiapa. Bukan bermakna saya ini sebagai seorang ibu yang baik dan mampu memenuhi segalanya-galanya, tidak. Tapi saya cuba melakukan yang terbaik dalam tugas seharian. Lagipun pejabat saya di rumah, jadi kebanyakan masa saya memang ada di rumah, tak banyak masalah sangat. Cuma bila berada di rumah itu, saya kena bangun pukul empat pagi untuk uruskan hal-hal perniagaan jenama baju saya ini," jelasnya. Melayan kerenah anak kembarnya Imaan Lily dan Tiara Rose yang kini sudah berusia dua tahun, hal menguruskan anak-anaknya semua diselesaikan oleh Sazzy sendiri. Buatkan sarapan, hantar pergi sekolah, ambil waktu balik sekolah, semua saya yang uruskan sendiri. Kalau cakap pasal tekanan sebenarnya tiada pun, cuma bila kembar ini mula buat perangai, itu yang macam tekanan sikit. Tapi mereka sangat mendengar kata," ujarnya sambil ketawa kecil mengenang keletah si kecil. Jelasnya lagi, apa yang dilakukan kini sebenarnya bukanlah untuk dirinya, tetapi lebih kepada keluarganya. Membahagiakan keluarga adalah agenda utamanya hari ini. Kita bekerja keras hari ini pun demi untuk keluarga. Banyak yang saya mahu bukan sahaja kepada keluarga, tetapi juga untuk kedua ibu saya," jelasnya. Ketika ditanya apa yang menjadi kekuatan untuk Sazzy bekerja dengan kuat, cukup mudah jawapan yang diberi, tonik itu datang daripada anak-anak dan suaminya, Nazril Idrus. Mereka yang banyak memberi kekuatan kepada saya. Malah, kalau saya penat, suami akan pantas memberi kata-kata semangat dan kami akan saling pesan-memesan antara satu sama lain," katanya. SF By Sazzy ke New York Dalam kesibukan sebagai seorang ibu, Sazzy tidak lupa untuk terus membangunkan jenama pakaiannya ke satu tahap yang membanggakan. Malah, Sazzy yang boleh dikatakan sebagai seorang yang gila kerja telah membawa jenamanya itu ke peringkat antarabangsa. Jelas Sazzy, jenama SF By Sazzy Falak telah dipilih untuk menyertai Plitz New York Fashion Week di negara Uncle Sam pada Septemper depan. Tambah Sazzy, mereka yang dijemput untuk ke pertunjukan fesyen itu datang daripada seluruh dunia namun belum pasti siapa lagi yang dijemput sebagai wakil dari tanah air. Saya sebenarnya tidak tahu siapa lagi yang akan berada di sana tetapi kemungkinan hanya saya seorang sahaja wakil dari Malaysia. Sekarang ini saya dan pasukan saya sedang memberi fokus utama pada pertunjukan fesyen itu dan kita akan cuba memperkenalkan batik yang diberi nafas baru, sesuai dengan jenama pakaian saya," katanya. Ditanya tentang perasaannya ketika dipilih untuk menyertai pertunjukan fesyen itu, jelasnya, ia ibarat lembaran baru buat jenama pakaiannya dan kerjayanya sebagai seorang pereka fesyen. Saya memang tidak ada pengetahuan yang teratur dalam bidang fesyen. Disebabkan minat, saya menceburi bidang ini dan membuka label sendiri. Tambahan pula dengan terpilihnya jenama saya ke peringkat antarabangsa, menguatkan lagi semangat saya untuk terus meletakkan jenama SF By Sazzy Falak ke peringkat antarabangsa," jelasnya. Beroperasi di dunia maya sahaja, Sazzy memberitahu dia juga teringin untuk membuka sebuah butik dan sedang berkira-kira untuk memulakannya. Membuka butik memang menjadi impian saya dan perancangan untuk ke arah itu sedang dijalankan. Lagipun, kebanyakan pembeli masih gemar membeli secara konvensional sebab mereka hendak melihat sendiri metarial dan kualiti barang itu sebelum mereka membeli," ujarnya.dalam perbincangan dan fokusnya kini adalah untuk pertunjukan fesyen di New York itu dahulu. Keutamaan yang diberikan untuk jenama saya ketika ini adalah pertunjukan fesyen dahulu. Selesai pertunjukan fesyen, saya bersama pasukan saya akan memikirkan langkah seterusnya untuk membuka butik," katanya. |
Posted: 24 Apr 2013 02:00 AM PDT Oleh NOOR FAZRINA KAMAL FEEYA Iskandar yang ceria dan mudah didekati. ORANGNYA muda, comel dan ceria. Ironinya tugas yang disandang memerlukan dia menghiburkan golongan yang jauh lebih berusia daripadanya. Lantas apa saja yang boleh dicelotehkan gadis berusia 24 tahun ini pada pendengar retro yang majoritinya melebihi usia 35 tahun? Itulah Nor Syafiza Iskandar Azizan atau lebih popular Cik Piah, gelaran yang begitu dekat di hati pendengar stesen radio retro, Sinar FM. Walaupun saluran radio ini direka dengan memfokuskan kepada golongan lebih berusia, langsung tidak menjadi masalah kepada pemilik nama samaran, Feeya Iskandar untuk mengendalikannya. Mulutnya petah, ada saja yang dikongsi tentang informasi terkini, cerita sensasi bersama pendengar senior. Bakat semula jadi Feeya berinteraksi dengan penonton memang terkesan di hati pendengar menjadikan dia kini berstatus selebriti serta mempunyai pengikutnya sendiri. Apa yang pasti celoteh gadis kelahiran Pasir Gudang, Johor ini, selesa di halwa telinga pendengar. Menurut gadis lepasan Pengajian Pengurusan Seni dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), semuanya bermula ketika masih dalam pengajian lagi. Ditambah dengan sokongan ibu bapa yang sering menggalakkan dia menyertai apa juga bentuk pertandingan sejak kecil lagi bagi membina keyakinan diri. "Saya menceburi bidang penyiaran ini bermula daripada pertandingan Anak Wayang anjuran Astro. Ketika memasuki pertandingan tersebut saya masih lagi belajar. Selepas pertandingan saya ditawarkan menjadi penyampai sambilan di radio ERA dan kemudian di X-Fresh. "Kerjaya saya bermula dari situ dan kebetulan setelah pengajian tamat saya terus mendapat tawaran dari bos Sinar FM, Pak Tam," jelas Feeya yang hadir pada satu sesi fotografi di Taman Botani, Putrajaya baru-baru ini. Bagi Feeya walaupun Sinar FM didedikasikan untuk golongan senior tidak wujud isu baginya untuk menyesuaikan diri. Apa yang penting bagi gadis berkulit cerah ini ialah menghiburkan pendengar dengan pemilihan lagu-lagu mengikut cita rasa usia mereka. "Feeya pun seronok dengan lagu-lagu lama, kalau bincang pasal topik tertentu pula biasanya pilih yang santai sahaja. "Memang Feeya jenis yang banyak bercakap, kawan-kawan Feeya semua mengakuinya. Sebab itu bila Feeya beritahu pada kawan-kawan tentang tawaran Pak Tam mereka semua tak hairan. "Kata mereka, sesuai sangatlah nama 'Cik Piah' itu untuk Feeya yang memang 'pot pet pot pet' ini," kata si comel ini diiringi ketawa kecil. Cabaran menjadi penyampai radio memang ada dan bagi Feeya yang paling menggerunkan apabila kali pertama masuk ke konti. "Ingatkan jadi deejay hanya perlu bercakap, rupanya terlalu banyak butang yang perlu dikawal. Sebelum ke udara bersama pendengar, Feeya menjalani latihan selama dua minggu dan dalam sempat ke udara bersama penyampai senior. "Mereka membantu Feeya memperbetulkan apa yang kurang. Apabila sudah mantap barulah ' dilepaskan' sendirian mengendalikan segmen 1 hingga 4 petang di Sinar FM," cerita Feeya tentang kerjayanya yang bermula sejak 2010 itu. Seperkara lagi menurut gadis ini, menjadi pengacara radio perlu bijak mengasingkan masalah peribadi, soal hati yang resah, tiada mood dan sebagainya agar tidak ketara apabila ke udara. "Semua manusia pasti ada masalah, namun sebagai penyampai radio masalah memang tidak boleh langsung dibawa ke dalam konti. Mula saja ke udara, anda adalah seorang yang ceria dan mesti membawakan aura ceria itu kepada orang lain. "Memang bukan mudah tapi ia boleh dilakukan jika kita ikhlas dengan tugas. Tapi kalau pun ketika itu sedih sangat, lepas ke udara Feeya sambunglah menangis," katanya berseloroh. Kilauan Emas serlah bakat Feeya Peminat Feeya kini bukan sahaja boleh mendengar suaranya di radio, bahkan boleh menyaksikannya menerusi rancangan Kilauan Emas di stesen televisyen Astro. Feeya yang turut menjadi pengacara bersama idolanya, Raja Azura mengakui, penyiaran televisyen sesuatu yang juga mencabar kemampuannya. "Walaupun bermula dengan rancangan Anak Wayang, Feeya mengakui sukar memberikan komitmen pada lakonan. "Kekangan masa juga menjadi masalah, jadi sebaiknya Feeya memfokuskan pada apa yang saya mampu buat. Feeya tak mahu dikatakan yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran," ujarnya yang juga pernah berlakon dalam filem 3,2,1 Cinta dan drama Kasih Aliya. Feeya juga mempunyai matlamatnya sendiri dalam bidang penyiaran. Dia mahu pastikan dirinya mendapat tempat dan sebaris namanya dengan pengacara yang ada di Malaysia. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |