Adsense

Sabtu, 23 Mac 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Mulan, Dhani terus intim

Posted: 22 Mar 2013 05:00 PM PDT

Selesa kunci mulut ketika ditanya mengenai pernikahan mereka

Rahsia pernikahan yang terus disembunyikan Mulan Jameela dan Ahmad Dhani Prasetyo semakin terkuak, namun pasangan ini bagaikan tidak pernah peduli pandangan masyarakat terhadap hubungan mereka.

Kukuh mempertahankan pendirian untuk tidak berkongsi hal peribadi, namun ketika ibu Mulan, Titi Aisyah menutup mata buat selama-lamanya di Pondok Indah, Jakarta Selatan pada 8 Mac lalu, rahsia yang selama ini tersimpan kemas perlahan-lahan menguak.

Saat jenazah ibunya dibawa kediamannya, Safeea anak perempuan yang disebut-sebut sebagai buah cinta antara Dhani dan Mulan yang kini berusia dua tahun kelihatan begitu mesra dalam pelukan ibu pengasas band Indonesia berpengaruh, Dewa 19 itu.

Memakai baju putih dan celana merah jambu, Safeea didukung erat oleh ibu Dhani ketika jasad ibu Mulan dikafankan untuk disemadikan.


Dhani ketika ditemui media Indonesia di Kebon Jeruk, Jakarta Barat pada 15 Mac lalu, masih bungkam apabila diminta kepastian mengenai kehadiran Safeea.
Kunci mulut

Pemilik Republic Cinta Management itu selesa mengunci mulut dan terus berlalu ketika ditanya mengenai pernikahannya dengan penyanyi Makhluk Tuhan Paling Seksi itu.

Berita pernikahan mereka kembali marak diperkatakan apabila Dhani menjayakan satu sesi fotografi bersama Safeea dan Al, anak pertamanya dengan bekas isterinya, Maia Estianty sebagai penghias muka depan sebuah tabloid.

Januari lalu, Dhani pernah mengumpan sensasi media ketika melontarkan kenyataan mengenai berat badan isterinya.

"Berat badan kamu 40 kilogram? Berat isteri saya 50. Kalau ditanya sudah kahwin berapa kali, iya berkali-kali. Kalau ditanya nikah iya sudah berkali-kali, saya sudah nikah berkali-kali," katanya meninggalkan tanda tanya kepada umum.

Ketika ibu Mulan dimasukkan ke Rumah Sakit Pondok Indah kerana jangkitan paru-paru, Dhani menunjukkan keprihatinannya dengan berziarah.

Malah, Mulan tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu yang bergegas ke kediamannya sebaik mendapat tahu ibunya menghembuskan nafas terakhir.

"Sempat dia menziarahi ibu saya di hospital. Namun saya ingin berterima kasih kepada Dhani dan juga semua atas perhatian dan kasih sayang yang ditunjukkan," kata Mulan.

Tidak sembunyi keintiman

Meskipun belum pernah mengeluarkan kenyataan rasmi, Dhani dan Mulan tidak menyembunyikan keintiman mereka di mata umum.

Pasangan itu tampil berdua dalam satu kereta ketika menghadiri resepsi pernikahan Anang Hermansyah dan Ashanty pada Mei, tahun lalu.

Berpakaian serba hitam, Dhani kelihatan santai memegang tangan Mulan meskipun penyanyi Wonderwoman itu dilihat canggung mempamerkan kemesraan mereka.

Bagaimanapun, mereka berusaha menghindari wartawan yang sedang menanti di luar dewan dan Mulan hanya menjawab pertanyaan apabila diminta memberikan ucapan kepada pasangan mempelai itu.

SENIMAN ajak artis hulur bantuan

Posted: 22 Mar 2013 04:42 PM PDT

Isu pencerobohan pengganas di Sabah yang menyaksikan 10 anggota keselamatan negara terkorban turut meruntun jiwa hati anak seni. Atas rasa tanggungjawab bersama membantu keluarga mangsa keganasan itu, atas inisiatif Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Tabung Perwira Lahad Datu Seniman dilancarkan Rabu lalu bagi menunjukkan keprihatinan dan sokongan artis terhadap perwira negara dalam insiden itu.

Presiden SENIMAN, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata, pihaknya terpanggil mewujudkan tabung berkenaan sebagai satu misi murni dan tanda keprihatinan anak seni terhadap kejadian yang berlaku di Sabah.

"Sebagai anak seni, kita juga terpanggil melakukan perkara sama seperti organisasi lain yang mewujudkan tabung bantuan seumpama ini untuk meringankan beban terutama keluarga perajurit negara yang terkorban dan tercedera, selain mereka yang berada di zon pencerobohan.

Dengan melancarkan tabung bantuan ini, kita juga akan mengadakan Malam Nurani Rakyat yang mana SENIMAN akan mengadakan jelajah mini konsert ke lima lokasi di sekitar Selangor yang akan disertai ramai artis tempatan dari pelbagai bangsa Melayu, Cina dan India. Kita cuba untuk mewujudkan sifat perpaduan menerusi jelajah dianjurkan nanti yang akan disertai semua kaum.

"Kita juga akan mengedarkan tabung ini untuk pengunjung yang hadir untuk dapat turut sama menyampaikan sumbangan ikhlas mereka. Kita mensasarkan lima lokasi penjelajahan ini untuk mengumpul sebanyak RM10,000 yang mana hasil sumbangan menerusi tabung ini akan diserahkan kepada Tabung Wira Lahad Datu Media Prima," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran tabung terbabit di Kompleks Studio Merdeka FINAS, Hulu Klang, yang dihadiri lebih 300 warga seni.

Jelajah Malam Nurani Rakyat yang dianjurkan SENIMAN dengan kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO Selangor bakal diadakan di Taman Datuk Harun (24 Mac), Subang (30 Mac) Klang (31 Mac), Ampang (6 April) dan Kota Raja (7 April).

Tambah Zed lagi, dia juga mendapat pelawaan daripada Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyertai misi bantuan ke kawasan pencerobohan terbabit.
"Pelawaan ini dibuat atas kapasiti saya sebagai Leftenan Kolonel (Kehormat) untuk menyertai misi anjuran RELA ke kawasan terbabit. Saya amat berbesar hati menyertai misi terbabit kerana mahu merasai pengalaman dan melihat sendiri keadaan semasa di Lahad Datu dan juga daerah lain, selain menyampaikan sumbangan daripada Tabung Perwira Lahad Datu Seniman. Saya juga nanti dapat menceritakan sendiri kepada golongan artis dan ahli SENIMAN supaya mereka juga faham dan menghayati perjuangan anggota keselamatan negara demi kedaulatan negara," katanya.