Berita Harian: Hip |
Posted: 09 Mar 2013 04:39 PM PST Kali pertama Shaheizy Sam beraksi di depan kamera pada 1994 dan selepas 19 tahun, barulah dia berpeluang menikmati apa itu makna populariti dan kemasyhuran. Jangka masa itu bukannya singkat sebelum dia berjaya bertakhta di hati peminat, sekali gus pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, itupun selepas 17 tahun beliau bergelumang sebagai anak seni. Sam terus melakar kejayaan apabila dia diumumkan sebagai Aktor Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) menerusi filem Kongsi, diikuti gelaran Pelakon Lelaki Terbaik Filem pada Anugerah Skrin (ASK) 2012 selepas memberikan lakonan cemerlang dalam Songlap. Pun begitu, Sam gagal mempertahankan gelarannya pada FFM25 baru-baru ini apabila tewas di tangan pelakon veteran, Faizal Hussein yang muncul menerusi filem Bunohan, juga diangkat sebagai Filem Terbaik.
Namun, dia tetap tercalon sebagai finalis ABPBH2012 menerusi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, menerima saingan hebat daripada Aaron Aziz, Adi Putra, Bront Palarae dan Zizan Razak. Apa komen Sam apabila dia dikatakan sudah hilang sengat? Penjurian dalam FFM ini bersifat subjektif. Cita rasa peribadi juri berbeza setiap tahun dan skopnya sangat besar. Mereka menilai lakonan seseorang itu daripada perspektif yang berbeza. Kadang-kadang kegagalan itu perlu bagi seorang artis kerana kejayaan sebenarnya boleh membuatkan kita berada di dalam zon yang sangat selesa dan rasa dah cukup bagus. Apabila perlu menempuh kegagalan, ia mengajar kita supaya terus melipat gandakan usaha untuk jadi lebih baik, kata Sam. Mimpi ngeri
Sekali lagi kita tidak boleh duduk dalam zon selesa setiap masa. Penyokong artis ini adalah askar yang mempertahankan populariti artis kegemaran mereka.
Saya sendiri, selepas 17 hingga 19 tahun, baru saya berpeluang melihat hasil titik peluk sendiri. Contohnya, Normah Damanhuri, selepas lebih 30 tahun dia bergelar anak seni, hanya pada FFM25 ini, barulah dia berpeluang dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Begitu juga dengan Faizal Hussein, inilah kemenangan pertamanya dalam sejarah penganjuran FFM selepas puluhan tahun dia berlakon. Itulah dugaan yang Tuhan tunjuk supaya kita terus berusaha, jelas Sam lagi. Ada juga situasi, berlakon baru setahun dua, filem dan dramanya pun tak ada yang benar-benar mengangkat nama artis berkenaan, tapi begitu mudah menempatkan nama beliau di FFM mahupun ABPBH untuk beberapa kategori. Artis seperti ini menganggap dirinya begitu popular dan mudah lupa diri, apa yang boleh Sam perkatakan mengenai perkara ini? Kes lupa diri Semua itu rezeki masing-masing. Tetapi kena ingat, perkara yang baik, Tuhan uji juga. Tuhan beri kita rezeki awal-awal, tapi ada kalanya mudah sangat lupa diri. Bagi saya, ada artis yang namanya cepat naik, popular mendadak, kadang-kadang situasi itu membuatkan mereka terkejut. Bila terkejut, itu yang ada kes lupa diri. Sebenarnya, kejayaan yang diraih itu, satu dugaan, bukan hanya kesusahan yang Tuhan duga. Kita ni sebagai manusia, tak ada siapa yang sempurna. Setinggi manapun kejayaan kita, kita harus ingat asal usul kita, kita berpijak di bumi yang nyata. Manusia juga tidak terlepas daripada membuat kesilapan, jadi kita harus ada sikap menyedari kesilapan itu dan cepatcepatlah minta maaf. Akur dengan kekurangan. Bagi saya, apabila kita berada di dunia seni, jangan lupa diri, kita sebenarnya sama saja di mata Tuhan dan seperkara lagi, apabila Tuhan beri kita rezeki, jangan lupa mengumpul. Hidup kita ni umpama roda. Apabila kita masih berada di atas, jangan lalai kerana suatu ketika nanti, kita akan turun ke bawah. Justeru, jangan cepat selesa dengan hidup kita hari ini. Kita ni hidup sebagai artis, tidak bermakna orang memuja kita setiap masa. Sesiapa saja berada di sekeliling kita, memerlukan antara satu sama lain. Hati peminat kena jaga, dia orang yang membayar gaji kita. Begitu juga hubungan dengan wartawan, perlu kita pelihara setiap masa. Wartawan yang akan bercerita pasal diri kita pada orang ramai. Beginilah, kalau nak orang suka kita, kita kena suka orang dulu. Beri najis dapat najis, beri bunga dapat bunga, kata Sam yang baru selesai penggambaran drama bersiri 13 episod, Kisah Cinta bersama Nur Fazura yang akan disiarkan di TV3 menerusi slot Lestary, April depan. Sam juga bakal muncul dengan filem terbarunya, Adnan Sempit 3, terbitan MIG, sedikit masa lagi. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |