Berita Harian: Hip |
Posted: 08 Feb 2013 02:37 PM PST Shae percaya tuah memainkan peranan dalam menentukan hala tuju kariernya Seakan-akan sudah bersedia untuk 'ditembak' pelbagai soalan yang cuba menduga kematangannya, Sheryl Gething atau umum akrab dengan panggilan komersial, Shae utuh mempertahan benteng pendiriannya. Hakikatnya populariti Shae yang melancarkan The First di Indonesia sekitar November lalu masih belum meluas. Justeru, ramai melihat gadis berdarah campuran Australia-Riau ini dianggap bertuah kerana tidak perlu berdepan tentangan mencabar untuk menembusi pasaran luar. Ketika persoalan itu diajukan kepadanya, Shae berharap perjalanan kariernya tidak hanya dilihat dari satu sudut kerana semua yang diperolehnya ini tidak datang bergolek. "Senang atau sebaliknya menembusi pasaran di sini bukan masalah utama. Penerimaan peminat tidak membuatkan saya selesa kerana kepercayaan itu hadir bersama tanggungjawab untuk bekerja lebih keras. Kebetulan ketika rakaman album ini dilakukan, pengedar sempat mendengar dan tertarik untuk memasarkannya di Malaysia. Menolak memiliki formula untuk segera memacu kariernya ke tangga selesa, Shae berkata, dia percaya tuah turut memainkan peranan utama dalam menentukan kelangsungan karier seseorang anak seni. "Semua itu bergantung kepada tuah. Ada penyanyi berbakat besar dan punya produk bagus tetapi perjalanan kariernya perlahan. Apa yang utama, sejauh mana seseorang itu sanggup berusaha untuk menggapai setiap impiannya. "Saya bertuah kerana di belakang berdiri pasukan promosi yang tidak putus memikirkan cara terbaik untuk melonjakkan nama saya. Paling penting, jangan berhenti berdoa," kata Shae yang terpaksa bersabar selama dua tahun untuk merealisasikan pembikinan album itu. Menyingkap perjalanan awalnya dalam dunia nyanyian, Shae berkata, lamaran untuk menghasilkan album diterima, dua tahun lalu ketika masih di bangku sekolah. Bagaimanapun, disebabkan penerbit albumnya, Posan Tobing sibuk dengan promosi bersama Winner Band selain percanggahan masa dengan jadual persekolahan, projek itu ditangguhkan. "Ketika itu, saya cuma bersabar, meskipun jauh di sudut hati saya ingin segera memiliki album. Tiada yang lebih penting kecuali bekerja keras dan terus berusaha kerana saya percaya, di situ akan ada jalannya. "Biarpun terpaksa menanti lama, saya puas kerana album ini mewakili suara hati saya. Bermula dari kulit album, pengisian lagu hingga kulit belakang semua itu terbit daripada jiwa saya," katanya. Memang cerewet tapi bukan diva Usianya baru 19 tahun namun Shae berani mempertahankan pendirian bahawa dia tidak pernah membiarkan orang lain menentukan kemahuan dirinya. Sikapnya itu, tidak mustahil membuatkan mereka yang bekerja di sekelilingnya terganggu dan kurang selesa kerana dia mementingkan kesempurnaan. Dalam keadaan sikapnya yang cerewet, proses pembikinan albumnya dapat disiapkan secara profesional. Dia tidak menghadapi masalah besar kerana jika ada perkara yang tidak dipersetujui, akan luahkan dan berbincang mencari jalan penyelesaian. "Saya bertuah kerana mempunyai pasukan produksi yang sangat jujur. Mereka sentiasa memberi tunjuk ajar mengenai apa yang terbaik, malah saya percaya mereka tidak akan sesekali berbohong," katanya. Kerja kerasnya itu membuatkan Shae tidak terkilan mengorbankan keseronokan zaman remajanya apabila berterusan dihambat kesibukan. Malah dia juga akan merungut jika terpaksa bekerja sehingga lewat malam kerana akur, kejayaan tidak datang dalam pelukan tanpa usaha. Disebabkan itu, Shae mengetepikan segala lelah dan penat selama seminggu di Kuala Lumpur kerana ingin memastikan kehadirannya memberi impak besar dalam industri hiburan di negara ini. "Jadual saya bermula jam 5 pagi dan hanya selesai lewat malam. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan jadual padat dan program yang ketat ketika menuntut di sebuah sekolah antarabangsa, saya tidak berdepan masalah menyesuaikan diri. "Sejak dulu lagi, saya sudah terbiasa melelapkan mata cuma beberapa jam. Apabila memasuki industri muzik, saya sudah bersiap sedia dengan rutin harian yang padat. "Saya cuma mahu menikmati hidup ini dan bergembira dengan apa yang dilakukan kerana jiwa dan raga saya berada dalam bidang ini," katanya. Memusatkan seluruh perhatian untuk terlebih dulu menekuni dunia nyanyian, Shae berkata, biarpun menerima tawaran berlakon namun hatinya belum terbuka untuk mempelbagaikan cabang kerjaya seninya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |