Adsense

Rabu, 6 Februari 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Enot pendam duka

Posted: 05 Feb 2013 03:33 AM PST

Entah di mana silapnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini rezeki artis komedi, Alliza Abdullah atau Enot, 34, seakan cukup berliku. Dia sendiri keliru apabila tiada seorang pun penerbit menunjukkan minat untuk menawarkannya berlakon.

Kali terakhir dia menerima tawaran pada Julai lalu menerusi drama Sebumbung. Selepas itu, tiada lagi sebarang tawaran diterima.

Enot bagaimanapun menafikan suaminya, Zainul Abidin Mat Noor, 42, menghalang dirinya daripada terbabit dalam dunia seni sejak lelaki itu dikatakan menyertai kumpulan tabligh.

Menjelaskan kedudukan sebenar, kata Enot, suaminya tidak pernah menghalang kerjayanya dan dia juga tidak terbabit dengan mana-mana jemaah tabligh.

Sebaliknya, Zainul ditimpa sakit misteri. Akibat penyakit itu, suaminya tidak boleh keluar mencari rezeki. Justeru, kini Enotlah yang menjadi tunggak keluarga.

Memiliki dua cahaya mata, masing-masing berusia 6 dan 12 tahun, bermakna beban kehidupan wanita juga bertambah. Namun Enat cekal melalui segala ujian dan tidak pernah menjaja keperitan hidupnya kepada umum.

"Saya anggap inilah dugaan daripada Yang Maha Esa. Mungkin ada kesilapan pernah saya lakukan sebelum ini, jadi Tuhan turunkan semua ujian ini untuk menduga saya.
"Jadi, bagi membersihkan segala kesilapan pernah saya lakukan selama ini, saya banyak membantu orang. Namun pertolongan itu bukanlah dari segi wang ringgit kerana saya sendiri tidak berkemampuan.

"Sebagai tunggak dalam keluarga, pelbagai usaha yang saya lakukan untuk menampung kehidupan. Bukan saya tidak berusaha tebalkan muka menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada produser, manalah tahu jika mereka ada watak sesuai untuk saya, tapi semua usaha itu sia-sia belaka," kata Enot.

Bergelar penyampai radio

Wanita kelahiran Negeri Sembilan ini juga keliru, takkanlah hanya kerana dia mengubah penampilannya menyebabkan penerbit langsung tidak berminat untuk bekerjasama dengannya.

Sedangkan luah Enot lagi, dia boleh membawakan apa saja watak, tidak terhad kepada komedi. Malah, dia juga tidak pernah menimbulkan masalah kepada pihak produksi, sebaliknya sentiasa memberikan komitmen penuh. Namun, semua itu bagaikan tidak lagi bererti.

Walaupun tiada tawaran berlakon, Enot tidak duduk diam menadah tangan menanti rezeki turun dari langit. Wanita ini menambah sumber pendapatan dengan membuat kek. Namun cabaran sekali lagi menjelma apabila perniagaan kek juga bagai ada yang tidak kena.

"Saya pun tak tahu mengapa sejak akhir-akhir ini, perusahaan kek saya agak perlahan. Ada yang sudah membuat tempahan tiba-tiba membatalkannya pada saat akhir. Dugaan ini memang amat besar, lebih-lebih saya tiada ibu bapa untuk meluahkan rasa hati.

"Mujur saya masih mempunyai adik-beradik yang prihatin. Saya akan terus bersabar serta percaya satu hari nanti pasti ada rezeki buat kami anak-beranak. Alhamdulillah, sejak dua minggu lalu saya mula bertugas di stesen Bapakku FM, milik bekas penyampai terkenal, Isma Halil Hamzah.

"Biarpun pendapatan tidaklah setinggi mana, tetapi sekurang-kurangnya saya mempunyai pendapatan tetap. Abang Isma juga mengizinkan kami untuk melakukan kerja lain asalkan tidak mengganggu jadual kerja," kata Enot yang ke udara pada malam Khamis, Jumaat dan Ahad.

Ketika yang sama, dia yang berjaya melangkah ke peringkat Top 5 kategori Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 berharap pencalonannya menjadi isyarat untuk memaklumkan, dirinya masih aktif dalam bidang seni.