Adsense

Selasa, 5 Februari 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Siti Saleha putus cinta

Posted: 04 Feb 2013 02:43 PM PST

Sebelum ini peminat dunia hiburan hanya mengetahui Siti Saleha pernah menjalinkan hubungan cinta dengan penjaga gol Sabah yang juga adik pelakon Sharifah Sofea, Syed Adney Syed Hussein. Walaupun tidak terlalu digembar-gemburkan, pelakon yang meledak menerusi drama rantaian Nora Elena ini bersikap sporting kerana tidak menyorokkan perkara itu.

Selepas pengakuan terbabit, kisah cinta Saleha senyap begitu saja. Bagaimanapun, pengakuan eksklusifnya kepada HIP baru-baru ini cukup mengejutkan. Kata pelakon ini, dia baru saja dua bulan putus cinta. Lebih mengejutkan apabila si kekasih bukanlah lelaki yang pernah diuar-uarkan sebelum ini.

"Saya baru saja putus cinta dua bulan lalu. Dia seorang lelaki Inggeris. Hubungan kami terlerai kerana tiada persefahaman. Saya jenis yang tak suka ada masalah. Kalau saya lihat perhubungan itu tak akan ke mana dan lelaki itu seperti tidak serius, lebih baik berpisah," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Kerat 14 di Damansara.

Menurut Saleha, walaupun cintanya tidak kesampaian, ia bukan alasan untuknya meratap dan menangisi perpisahan yang berlaku.

"Kami berkenalan pun tak lama, iaitu lebih kurang dalam tempoh sebulan. Jadi, bila terpaksa berpisah, ia taklah terasa sangat," katanya.

Seakan mengerti apa yang bermain dalam fikiran, pantas gadis berusia 22 tahun ini memberitahu, cita rasanya bukanlah tertumpu kepada lelaki kulit putih ataupun berdarah kacukan semata-mata.

"Saya tahu, mesti ramai yang menganggap saya hanya inginkan jejaka mat salih sebagai teman lelaki. Saya tidak pernah meletakkan syarat sebegitu. Sebelum ini pun saya pernah berkawan dengan jejaka Melayu.
"Dalam mencari teman lelaki, saya tidak melihat fizikal atau material. Apa yang penting, dia dapat memberikan saya cinta dan kasih sayang," kata Saleha.

Seperkara yang mengagumkan adik kepada vokalis kumpulan Bunkface ini, dia boleh dianggap artis sifar kontroversi. Sehingga kini, belum terdengar cerita memualkan mengenainya.

"Saya akui saya tiada cerita panas yang boleh diceritakan, sebab itulah saya tidak popular.

Terus terang saya memang senang begini. Saya masuk bidang seni pun kerana minat.

Saya mahu peminat mengenal saya menerusi bakat, bukannya kontroversi," kata finalis kategori Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 ini.

Malu tonton babak sendiri Julung kali diberikan peluang beraksi di layar lebar, ia sudah cukup membuatkan gadis berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini gembira.

Mana tidaknya, selepas beberapa tahun beraksi di layar kaca, baru kini peluang untuknya melangkah ke filem menjelma.

Barangkali tuah lakonannya dalam Nora Elena membuatkan produksi White Merpati Entertainment berminat menawarkan watak Nurzara kepadanya. Seperti dalam drama bersiri itu, filem arahan Arjin Uppal ini sekali lagi menggandingkan Saleha dengan Bintang Paling Popular ABPBH 2011, Aaron Aziz.

Bercerita mengenai pengalaman barunya, Saleha berkata, dia agak malu melihat lakonannya dalam Kerat 14.

"Dalam filem ini, saya perlu melakonkan babak intim. Memang segan dan rasa tak selesa untuk melakonkan babak itu. Tapi sudah namanya kerja, saya lakukan juga. Bila tengok balik, memang saya segan sampai pengurus pun asyik usik saya kerana babak itu," cerita Saleha yang berjaya menghidupkan watak gadis trauma dengan baik.