Adsense

Ahad, 24 Februari 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


1,000 pelajar teruja dekati finalis ABPBH

Posted: 23 Feb 2013 02:20 PM PST

Petra Jaya: Hampir 1,000 pelajar Sekolah Menengah Sains Kuching (SMSK), di sini, teruja apabila berpeluang berkongsi pengalaman dengan finalis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ketika kunjungan rombongan itu dalam siri jelajah ke sekolah berkenaan, semalam.

Hampir tiga jam, barisan artis seperti Hazama, Nabila Huda, Didie Alias, Enot, Along Cham, Fara Fauzana, Jihan, Melisa Francis dan Kumpulan Sleeq, beramah mesra dan melayani pertanyaan pelajar.

Pelbagai kemusykilan dihuraikan satu persatu, termasuk kerjaya artis, gosip, kelab peminat serta kejayaan berada dalam senarai 'Top 5' anugerah berprestij ABPBH, yang sudah memasuki edisi ke-26.

Siri jelajah ABPBH 2012 itu buat julung kali merentas lautan untuk bertemu peminat di Bumi Kenyalang sekali gus membuktikan penghargaan buat penyokong di luar Semenanjung.

Bukan sekadar pelajar, kakitangan sekolah dan ibu bapa turut memeriahkan aktiviti amal yang bertujuan mengeratkan hubungan antara golongan muda dan selebriti dalam acara sukaneka.

Wakil penganjur dan barisan artis turut menanam pokok sebagai tanggungjawab sosial korporat di pekarangan sekolah terbabit.

Yang turut hadir, Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid; Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan, Hanizam Abdullah; Pengarang Hiburan, Shamshul Azree Samshir; Penolong Kanan Pentadbiran dan Akademik SMSK, Siti Zulaikha Ibrahim dan Penolong Kanan Kokurikulum SMSK, Adzuddin Mantrang.
Berkampung selama dua hari di Kuching, barisan finalis dijadualkan berada di pentas khas di ruang legar pusat beli-belah The Spring, bermula jam 2 petang ini, yang padat dengan pengisian, termasuk persembahan nyanyian.

Pengunjung juga berpeluang mengikuti nyanyian selebriti kesayangan dengan lebih dekat dan berpeluang membawa pulang barangan premium ABPBH serta melawat gerai penaja.

Malam kemuncak ABPBH 2012, yang menggunakan undian pembaca BH bagi menentukan pemenang, dijadual berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil Kuala Lumpur, pada 7 April depan.

Pusat martabat budaya negeri

Posted: 23 Feb 2013 02:20 PM PST

Pembinaan kompleks JKKN tidak cabuli persefahaman

Kota Bharu: Pembinaan Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Kelantan bernilai RM26.5 juta, membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan memartabatkan seni budaya negeri ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pembinaan kompleks terbabit tidak mencabuli persefahaman Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seperti didakwa pihak tertentu.

Berunding dengan Sultan

Katanya, Kerajaan Persekutuan mengadakan rundingan dengan Sultan Kelantan pada 2006 (mengenai pembinaan kompleks) dan ketika itu kerajaan negeri bersetuju mematuhi titah Sultan.

"Saya berpendapat dalam isu pembinaan kompleks ini, tidak ada prinsip yang dianggap sudah dicabul atau dilanggar (persefahaman pembinaannya).

"Oleh itu, pandangan yang mengatakan melanggari persefahaman adalah seperti kata pepatah 'rumah siap, pahat masih berbunyi'. Malah, saya sendiri menulis surat kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, supaya turut sama pada majlis perasmian ini atau pun wakilnya.

"Namun, saya kecewa apabila kerajaan negeri tidak menghantar sesiapapun. Itu sudah menunjukkan perangai atau pendirian sebenar mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kompleks JKKN Kelantan, di Tanjung Chat, di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, meminta KPKK mematuhi persefahaman yang dipersetujui berhubung pembinaan kompleks itu.

Takiyuddin berkata, tapak kompleks itu milik kerajaan negeri dan KPKK diberikan kebenaran menggunakan tanah itu atas persefahaman sekali gus kerajaan negeri berhak ke atas kemudahan di kompleks itu.

Rais seterusnya berkata, kompleks berkenan yang tersergam indah itu mampu menampung ramai penonton berbanding kemudahan sama di negeri lain.