Adsense

Rabu, 9 Januari 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Emosi Black

Posted: 08 Jan 2013 01:52 PM PST

Berbekal props pentas bulat yang berputar sepanjang lagu hit, Teman Pengganti didendangkan, cukup membuatkan persembahan Black dan RJ pada Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27), Ahad lalu, terpahat dalam minda penonton.

Ditambah dengan penghayatan Black yang ditafsir peminat bagai makan dalam selain vokal mendayu serta alunan rap oleh RJ yang mantap, duo ini dengan mudah dipilih penonton sebagai pemenang kategori persembahan terbaik pada anugerah tahunan anjuran TV3 itu.

Kemenangan Black dan RJ bagai direstui kerana tiada suara nakal yang mempertikaikannya. Namun, di sebalik kemenangan itu, siapa sangka ada cerita menarik yang ingin dikongsi bekas juara Mentor musim ketiga ini.

Black berkata, apa yang dipersembahkan pada malam itu adalah mengikut pesanan Malique.

Lagu ini ada kena-mengena dengan kehidupan saya. Walaupun tidak semua, tetapi ia tetap relevan. Sebelum ini, Malique pernah berpesan jika menyanyikan lagu ini, saya perlu membayangkan wanita yang paling saya sayang berada di depan saya. Barulah saya dapat menjiwai lagu itu dengan baik.

Justeru, pada malam itu saya praktikkan apa yang dipesan dengan membayangkan teman wanita saya berada di depan mata. Ternyata, memang saya dapat rasa perasaan kehilangan itu sekaligus menterjemahkannya dalam persembahan saya, cerita Black ketika dihubungi HIP, semalam.

Lebih menarik, kata Black, konsep yang ditampilkan hanya diputuskan tiga hari sebelum pertandingan. Itupun diambil daripada idea dua tahun lalu yang tidak sempat untuk dilaksanakan.
Konsep pentas berpusing itu sebenarnya direka untuk lagu Sofea Jane yang dipertandingkan pada AJL dua tahun lalu. Namun, cadangan itu terbantut kerana kesuntukan masa.

Bagi saya, konsep itu memang kena dengan lagu ini. Paling menarik, konsep itu menyaksikan semua pihak iaitu pengurusan saya dan syarikat rakaman Monkey Bone bekerjasama. Kalau nak tahu, pergerakan pentas dilakukan secara manual iaitu menggunakan tangan, ujarnya sambil tertawa kecil.

Ditanya tidakkah dia kecewa apabila lagu Teman Pengganti gagal mendapat tiga tempat terbaik, pantas Black menjawab, ia bukan rezeki mereka.

Kemenangan ini cukup bermakna kerana ia bukan idea saya seorang, tetapi dikongsi dengan orang sekeliling yang rapat dengan saya.

Sehubungan itu, hadiah kemenangan ini wajar saya kongsi bersama mereka yang banyak membantu menjayakan persembahan pada malam itu, katanya.

Mahu kolaborasi dengan RJ

Mengulas persembahan RJ yang pertama kali beraksi di pentas berprestij itu, Black memuji kesungguhan jejaka berjambang itu.

Saya amat bertuah kerana mendapat RJ sebagai pengganti Malique. Dia berjaya menampilkan persembahan yang cukup sempurna malam itu. Selalunya, dia ada buat silap tetapi malam itu tiada cacat cela langsung.

Kemenangan ini juga ada kaitan dengan dirinya. Bayangkan peminat saya dan RJ nya bergabung mengundi persembahan kami, katanya.

Black berkata, jika diberi peluang, dia teringin bekerjasama dengan RJ walaupun terpaksa menggunakan wang sendiri.

Saya percaya dia boleh pergi jauh dalam bidang yang baru diceburinya ini, katanya mengenai RJ yang juga pegawai perhubungan awam syarikat rakaman yang dinaungi Black.

Tarik enam juta penonton

AJL27 terus mengekalkan rekod tahun lalu apabila jumlah penonton yang menyaksikan acara itu kekal di paras enam juta penonton.

Mengikut kenyataan media yang dikeluarkan TV3 semalam, jumlah tontonan secara live streaming mencecah hampir 225,000 tontonan dengan Malaysia sebagai penyumbang utama kepada jumlah tontonan sebanyak 108,356 tontonan, diikuti negara lain seperti Singapura (8,057 tontonan), United Kingdom (3,461 tontonan), Jepun (1,828 tontonan) dan Brunei (1,661 tontonan).

AJL27 menyaksikan lagu ciptaan sepenuhnya Yunalis Zara atau Yuna, Terukir Di Bintang muncul sebagai juara dan membolot hadiah wang tunai sebanyak RM35,000 serta trofi.

Irma tak mahu terburu-buru

Posted: 08 Jan 2013 01:48 PM PST

Tiada apa yang lebih penting buat pelakon dan pengacara, Irma Hasmie, dan suami, Reza Syah Azmeer, pada tahun ini selain menunggu kelahiran cahaya mata sulung, beberapa bulan lagi.

Pasangan yang bernikah pada 29 Jun tahun lalu mendapat khabar gembira apabila Irma disahkan hamil tidak lama selepas menaiki pelamin. Kini kandungannya sudah mencapai usia lebih enam bulan.

Maka tidak hairanlah apabila pengacara yang kini menghiasi stesen kerohanian, TV Alhijrah, semakin berseri.

Syukur kepada Allah kerana sepanjang mengandung saya dilindungi daripada perkara yang tidak baik dan tidak mengalami alahan yang teruk. Semuanya berjalan dengan baik.

Cuma sejak berat badan bertambah daripada 58 kepada 70 kilogram ini, badan rasa cepat penat, ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Irma lagi, mereka belum membuat sebarang persediaan bagi menyambut zuriat pertama ini.

Jika ikutkan, memanglah kami teruja untuk melakukan persiapan, lebih-lebih lagi inilah zuriat pertama kami. Namun saya mengikut pesanan mak agar tidak perlu terburu-buru, katanya kepada HIP.
Bakal sambut bayi lelaki

Menolak untuk mengetahui jantina anak yang bakal dilahirkan pada mulanya, Irma bagaimanapun mengetahuinya daripada pemeriksaan dilakukan setiap bulan.

Jika boleh saya tidak mahu tahu jantinanya. Namun doktor mengatakan bayi kami lelaki. Apa pun, kita hanya merancang dan segala-galanya Tuhan yang menentukan, katanya yang agak mengah, memandangkan kandungan semakin membesar.

Walaupun persediaan menyambut permata hati akan mula diaturkan sebaik kandungan mencecah lapan bulan, Irma tetap melakukan pelbagai persediaan awal untuk dirinya sendiri.

Sebagai bakal ibu, saya banyak membaca buku berkaitan ibu mengandung, menjaga kesihatan, persediaan sebelum melahirkan dan penjagaan bayi. Di samping itu saya banyakkan membaca al-Quran dan meminum air zam-zam serta kurma. Ia baik untuk membekalkan tenaga kepada saya, katanya yang kelihatan makin berisi.

Masih rindu lakonan

Irma yang mula dikenali menerusi dunia lakonan, sama sekali tidak pernah melupai bidang itu. Malah rindunya pada bidang terbabit masih membara.

Saya tidak sama sekali meninggalkan dunia lakonan. Memanglah sudah agak lama saya tidak berlakon kerana sibuk mengacara. Lebih-lebih lagi sejak berkahwin dan terus disahkan mengandung, saya menolak tawaran berlakon kerana saya sedar tidak mampu melakukannya akibat cepat penat.

Insya-Allah, sebaik selamat melahirkan anak dan pengurusan keluarga sudah agak stabil, saya ingin memulakan kembali kerjaya lakonan. Alhamdulillah, suami juga tidak pernah menghalang saya untuk berlakon, asalkan tahu batasannya. Saya juga bersyukur kerana selepas berhijab, saya rasa lebih dihormati dan tawaran yang diterima sesuai dengan situasi saya kini, katanya yang mengacarakan program Assalamualaikum buat musim kedua.