Adsense

Khamis, 24 Januari 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tak menyerlah

Posted: 23 Jan 2013 03:17 PM PST

Bekas peserta Mentor, Shiha bingung cari strategi pikat peminat

Berbekal minat mendalam dan niat mencari rezeki, artis baru ini bertatih dalam dunia seni.

Namun, entah di mana silapnya, selepas hampir dua tahun, Shiha bagai masih tercari-cari tapak untuk berdiri kukuh sebagai antara penyanyi wanita pelapis.

Tidak hairanlah, bekas peserta program realiti Mentor ini meluahkan kepada HIP, dirinya kecewa dengan apa yang berlaku dalam perjalanan kerjayanya.

"Apabila bertapak dalam industri hiburan, saya tanamkan tekad melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Tetapi, nampaknya, hasil kurang memberangsangkan.

"Saya bukan penyanyi yang menyanyi kerana hobi. Saya ada minat yang mendalam serta menjadikan bidang nyanyian sebagai mata pencarian untuk menyara ibu selepas kematian ayah.

"Luahan ini bukan mahu meraih simpati, saya hanya berkongsi kisah perjalanan seni yang suram. Saya sudah memberikan yang terbaik tetapi nampaknya, penerimaan peminat masih di takuk lama," katanya.
Pernah mahu berhenti menyanyi

Shiha berkata, pemerhatiannya menunjukkan ada kecenderungan peminat menilai aspek populariti artis berbanding bakat mereka.

"Saya pernah terfikir untuk membuang jauh-jauh impian menjadi penyanyi. Ini didorong rasa kecewa dengan sambutan diberi.

"Tetapi ibu banyak memberi dorongan lalu saya menarik balik keputusan berhenti menyanyi," katanya meluahkan perasaan.

Berazam menjadi penyanyi yang lebih baik tahun ini, anak bongsu ini mengakui rezeki datang dari Allah.

"Saya mengaku bukan artis yang sering dipaparkan di akhbar dengan kisah kontroversi. Sebaliknya, saya hanya mahu dikenali kerana bakat.

"Malah ramai yang menyangka saya sudah berhenti menyanyi. Itu tidak benar kerana saya masih mahu menyanyi walaupun orang tidak nampak bakat saya," katanya.

Jual pakaian tambah pendapatan

Mengulas kemungkinan menerbitkan album baru, Shiha berkata, belum ada perancangan dibuat.

Tetapi Shiha dalam diam merancang berduet dengan penyanyi wanita yang namanya masih dirahsiakan.

"Saya juga teringin berlakon. Tetapi beberapa tawaran yang diterima tidak dapat dipenuhi kerana watak yang diberi tidak sesuai.

"Saya kena pegang pesanan arwah ayah yang melarang saya melakonkan watak tidak senonoh. Rindu sangat nak berlakon tetapi belum ada rezeki lagi," katanya.
Shiha berkata, sebagai sumber pendapatan sampingan, dia mengusahakan perniagaan pakaian terpakai secara online.

"Sebenarnya, Shiha sudah lama mengusahakan perniagaan ini. Tetapi sejak akhir-akhir ini, Shiha beri lebih banyak tumpuan selepas pendapatan sebagai artis makin berkurangan.

"Saya jual persalinan baru yang saya pakai selain koleksi pakaian istimewa lain. Syukur sambutan yang diterima amat menggalakkan," katanya.

BIODATA: Nurshiha Mohd Zikir
Tarikh lahir: 2 November 1987
Umur: 24 tahun
Tempat lahir: Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Keluarga: Bongsu daripada tiga beradik
Lagu: Bila Bertemu dan Jangan Lagi Jauh
Drama: Bujang Sepah Lalalitamplom, Gerak Khas, Sutun dan Kilauan
Program televisyen: Malaysia Hari Ini dan Mentor Raya
Pencapaian: Naib Juara Mentor Musim 5

Siri kartun Senario pikat peminat baru

Posted: 23 Jan 2013 03:08 PM PST

Suatu ketika dulu, kumpulan Senario pernah menawan hati ramai pemuja. Terbaru, trio pelawak ini meneruskan legasi yang dibina sejak 16 tahun lalu dengan menerbitkan siri animasi berjudul Senariotoon.

Berkisar kehidupan zaman kecil tiga tunjang utamanya, Azlee, Mazlan dan Wahid, pembikinan projek animasi ini sudah hampir 80 peratus siap dengan jangkaan menemui khalayak, pertengahan tahun ini.

Wahid berkata, Senario terus menjadi jenama yang diingati ramai termasuk anak muda biarpun muncul ramai pelawak generasi baru. Ini mendorong sebuah produksi, Cita Global Media mengabadikan populariti trio ini menerusi projek animasi.
Kami berbesar hati apabila syarikat berkenaan mahu menonjolkan Senario dalam versi berbeza iaitu dalam bentuk animasi. Selain itu, ia memberi peluang kami berkongsi secebis memori masa kecil bersama peminat" Wahid, Anggota Senario

"Kami berbesar hati apabila syarikat berkenaan mahu menonjolkan Senario dalam versi berbeza iaitu dalam bentuk animasi. Selain itu, ia memberi peluang kami berkongsi secebis memori masa kecil bersama peminat.

"Ini cukup istimewa kerana banyak kisah menarik dengan mesej boleh disampaikan. Selain itu, pembangunan setiap karektor juga diperinci untuk disesuaikan dengan cerita," katanya ketika ditemui pada pelancaran Bintang Mencari Bintang.

Senario menjadi antara lima artis yang bertanggungjawab mencari pelawak yang boleh menyanyi dalam program realiti terbitan TV3 selain Afdlin Shauki, Raja Azura, Harun Salim Bachik serta Faizal Ismail.

Guna bakat pelukis animasi tempatan
Wahid berkata, projek Senariotoon bukan meniru sesiapa sebaliknya penghasilan animasi itu diharap menyemarakkan lagi industri hiburan tempatan.

Akuinya, setiap pihak harus melihat penghasilan Senariotoon sebagai persaingan sihat. Ini kerana penerbit nampak peluang keemasan itu dan pada masa sama, mengangkat hasil kerja anak tempatan yang merangkumi pelukis muda berbakat besar.

"Kami sendiri melihat proses pembikinan yang dibuat dengan teliti. Ia tidak semudah disangka kerana selain watak, dua pasukan yang merangkumi 40 artis bekerjasama memperhalusi setiap babak membabitkan lukisan 3D dan 2D.

"Perbincangan sudah bermula sejak tahun lalu dan selepas mendapat lampu hijau, kerja pra produksi termasuk menghasilkan imej karektor dan adegan bagi siri 13 episod ini dimulakan," katanya.

Wahid berkata, difahamkan setiap episod akan memaparkan dua cerita yang berkisar persahabatan trio Senario pada zaman kanak-kanak.

"Seperti dijelaskan, animasi ini disesuaikan dengan situasi semasa, bukan semuanya menjurus kehidupan kami," katanya lagi.