Adsense

Selasa, 22 Januari 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Lagu Melayu Yuna di AS

Posted: 21 Jan 2013 07:43 AM PST

Sejak Yuna mengumumkan dirinya dilamar komposer terkenal, David Foster, untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Verve Records, ramai yang ingin mengetahui perkembangan berita itu sepenuhnya daripada mulut si empunya diri.

Bukan calang-calang anak seni mampu mendapat peluang seperti itu. Apatah lagi untuk seorang artis tempatan yang bertudung sepertinya membuatkan berita itu cukup mengejutkan industri hiburan tanah air.

Justeru, tidak hairanlah andai majlis kenduri kesyukuran untuk meraikan kemenangannya pada Anugerah Juara Lagu ke-27 di Ampang malam kelmarin dipenuhi wakil media yang ingin mengetahui perkembangan lanjut berita gembira itu.

Mengimbau kembali bagaimana komposer itu mengesan bakatnya, gadis berusia 26 tahun ini berkata semuanya bermula dengan publisiti meluas yang diberikan media ketika dia mula-mula menjejakkan kaki ke Los Angeles, tiga tahun lalu.

Sebelum ini, memang ada perbincangan untuk mengambil saya sebagai artis rakamannya, iaitu ketika publisiti mengenai kehadiran saya tersebar luas di sana. Namun waktu itu, David belum memegang jawatan tinggi di syarikat rakaman terbabit.

Bagaimanapun, selepas dia dilantik menjadi Pengerusi Verve Music Group, barulah hasrat itu dapat dilaksanakan. Kebetulan pula kontrak saya dengan syarikat rakaman Fader Label sudah tamat, jadi peluang itu muncul tepat pada masanya, cerita Yuna.

Imej tudung tiada masalah
Kata Yuna, walaupun David komposer terkenal, dia tetap memberikan kebebasan untuknya menghasilkan karya sendiri bagi album sulungnya bersama syarikat rakaman itu.

David memberikan kebebasan untuk saya mencipta lagu sendiri untuk dimuatkan dalam album ini. Tapi tak tahulah jika pada masa akan datang dia berminat untuk menyumbang lagu untuk album ini. Buat masa ini, sudah tiga lagu saya rakamkan. Cuma saya anggap lagu itu sekadar pemanas saja sebelum pembikinan album sebenar.

Untuk album ini nanti, saya teringin untuk memuatkan sebuah lagu Melayu. Terlanjur ada peluang, sekurang-kurangnya saya dapat mempromosikan lagu Melayu di luar negara, katanya.
Ditanya bagaimana penerimaan David terhadap imej bertudung yang dibawanya, pantas Yuna menjawab, tokoh muzik terbabit amat terbuka dalam soal itu.

Imej sebegini bukanlah sesuatu yang baru baginya. Sebelum ini pun dia pernah berkunjung ke Malaysia dan sudah biasa dengan pemandangan sebegini. Senang bekerjasama dengannya dan saya akui begitu teruja dapat berkolaborasi dengan komposer terkenal sepertinya, tutur pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknologi MARA ini.

Mengikat kontrak berdasarkan jumlah album, iaitu tiga semuanya, Yuna berkata album itu bakal berada di pasaran pada pertengahan tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, selepas menyumbangkan suara untuk runut bunyi filem Hollywood berjudul Savages, Yuna sekali lagi menjadi perhatian penggiat seni di sana untuk menyanyi dalam filem animasi terbaru berjudul The Croods.

Lagu berjudul Shine Your Way ini ialah hasil ciptaan komposer yang mencipta skor muzik filem itu dan saya hanya sekadar menyumbangkan suara. Memang saya teruja apabila sekali lagi menjadi pilihan untuk menyumbangkan suara dalam filem animasi ini, katanya.

Sedia terima jodoh kulit putih

Jika ada yang mengikuti perkembangan laman sosial bergambar Yuna, iaitu Instagram, pasti akan ada yang perasan kekerapan gambar seorang jejaka Inggeris dipaparkan di situ. Pelbagai aksi dan gaya dapat dilihat dan kebanyakannya memperlihatkan kemesraan Yuna bersama jejaka terbabit.

Enggan berteka-teki, Yuna diminta memberi penjelasan mengenai lelaki itu dan apakah mereka berdua mempunyai hubungan yang serius? Seakan memahami ke arah mana soalan itu bakal dituju, Yuna menjelaskan lelaki bernama Julian Shcratter itu tidak lebih sekadar teman biasa.

Dia ialah jurugambar rasmi saya. Kebetulan dia memang teringin datang ke Malaysia, tetapi tidak mengenali sesiapa. Memandangkan kami sudah menjadi kawan, jadi saya mempelawanya mengikut saya dan sekali gus bertindak menjadi jurugambar rasmi saya untuk apa saja acara yang saya hadiri, katanya.

Diusik pertanyaan apakah dia terima jika Julian ditakdirkan menjadi teman hidupnya, Yuna berkata, semuanya terpulang kepada jodoh.

Soal jodoh, itu semua ketentuan Tuhan dan saya tidak mampu untuk menolaknya jika ditakdirkan satu hari nanti kami bercinta. Keluarga saya tidak pernah menghalang dengan siapa saya berkawan. Bagaimanapun, buat masa ini saya lebih selesa menumpukan perhatian terhadap kerjaya saya yang baru hendak berkembang di sana, tegas Yuna.

Usah panjangkan kontroversi

Mengenai kontroversi membabitkan isu penyanyi Uji Rashid yang mendakwa dirinya disingkirkan pada saat akhir daripada membuat persembahan di AJL tempoh hari, Yuna berkata, dia berpegang kepada kenyataan dikeluarkan pihak pengurusannya sebelum ini.

Saya anggap perkara ini sudah pun selesai apabila pihak TV3 tampil memberikan penjelasan bagi menjernihkan suasana menerusi program Melodi semalam (kelmarin). Lagipun saya tiada di tempat kejadian dan saya rasa kenyataan dikeluarkan pihak pengurusan saya sudah memadai.

"Tak perlulah dipanjangkan perkara ini dan usah melihatnya sebagai sesuatu yang negatif. Saya percaya semua yang berlaku ada hikmah di sebaliknya, ujarnya.

Malam amal Rabbani, Sharifah Aini untuk Gaza

Posted: 21 Jan 2013 07:40 AM PST

Sebagai duta kepada Projek Hospital For Gaza (H4G), kumpulan nasyid Rabbani berasa terpanggil untuk sama-sama mengerah tenaga membantu usaha pembinaan sebuah hospital Materniti dan Pediatrik di Gaza, Palestin, dengan kerjasama Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM).

Antara rancangan awal mereka adalah dengan menganjurkan Majlis Makan Malam Amal H4G di Hotel Singgahsana Petaling Jaya, pada 26 Januari ini. Selain mereka sendiri, majlis terbabit turut menampilkan biduanita negara, Datuk Sharifah Aini.

Penyumbang boleh membeli meja makan yang disediakan dengan harga RM5,000, RM2,000 dan RM1,500.

Selain itu, Rabbani turut berusaha menerbitkan album berjudul Mawar Berdarah, yang diharap dapat membuka mata pendengar terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Setiap RM1 yang dipungut menerusi album yang akan berada di pasaran tidak lama lagi ini bakal disumbangkan kepada pembinaan hospital terbabit.

Bagi mereka yang ingin sama-sama beramal serta berhibur bersama Rabbani dan Sharifah Aini, mereka boleh menghubungi 03-62721225.