Berita Harian: Hip |
Posted: 13 Jan 2013 02:29 PM PST Selepas kecewa tak terpilih tahun lalu, Siti Saleha bangkit jadi calon Top 5 ABPBH 2012 Hati kecil Siti Saleha Mohd Baharom pernah terguris apabila namanya tercicir daripada senarai Top 5, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), tahun lalu. Sedangkan, ketika itu, drama lakonannya Nora Elena mencetus fenomena hebat. Pelbagai persoalan menerjah dalam diri, saya terasa seperti dipinggirkan. Malah, kehadiran saya bagai tidak diperlukan. Namun, syukur saya cepat tersedar bahawa saya masih dianggap pelakon baru. Jadi memerlukan sedikit masa untuk memikat peminat," Siti Saleha Mohd Baharom Ketika hadir pada majlis pengumuman Top 5 ABPBH 2012 di Holiday Villa Hotel & Suites, Subang Jaya, minggu lalu, bibir gadis kacukan Melayu-Inggeris ini tidak henti-henti menguntum senyuman. "Jujur saya terkejut dan sangat gembira apabila nama dicalonkan dalam kategori yang sangat kuat ini." "Saya tidak mahu mengharapkan apa-apa. Alhamdulillah, dicalonkan pun sudah cukup menggembirakan hati saya," kata Siti Saleha yang baru muncul dengan drama berjudul Ruby di TV3. Ambil masa pikat peminat Ini kerana, katanya, ia disebabkan namanya masih terlalu baru dalam dunia lakonan. Ketika itu, dia baru dua tahun bergiat dalam bidang lakonan. Justeru Siti Saleha mengakui dia memerlukan banyak masa untuk menyerlah dalam bidang yang penuh persaingan ini. "Memang ketika itu, saya kecewa. Terdetik dalam hati, di mana silapnya hingga saya gagal melangkah ke Top 5. Tanpa saya sedari, ketika itu, perjalanan seni saya masih baru dan semuanya bukan tugas mudah. "Pelbagai persoalan menerjah dalam diri, saya terasa seperti dipinggirkan. Malah, kehadiran saya bagai tidak diperlukan. Namun, syukur saya cepat tersedar bahawa saya masih dianggap pelakon baru. Jadi memerlukan sedikit masa untuk memikat peminat," katanya. Kesabaran tiga tahun terubat Siti Saleha berkata, selepas tiga tahun menjadi pelakon, baru semuanya nampak di depan mata. "Akhirnya, apa yang saya damba menjadi kenyataan. Ketika drama Nora Elena ditayangkan saya masih baru, selepas itu barulah saya mendapat sokongan tidak berbelah bahagi dari peminat sehingga tertubuhnya Team Siti Saleha. "Kelab ini diwujudkan Ogos tahun lalu dan saya sudah mengadakan beberapa aktiviti. Saya tidak menyangka peminat sudi menubuhkan kelab ini semata-mata bagi memberi sokongan kepada kerjaya seni saya," kata Siti Saleha yang mengakui belum mempunyai strategi khusus bagi memenangi undi pembaca pada ABPBH 2012. Seperti yang diluahkan dalam perbualan, Siti Saleha bagaimanapun tidak mendamba kemenangan dalam pertandingan ini. Melihat kepada senarai pencalonan yang sengit, gadis berasal dari Klang, Selangor ini, mengakui berjaya melangkah ke peringkat Top 5 sudah memadai. Apa yang mengejutkan gadis ini, tahun lalu, perjalanan seninya agak perlahan dengan tidak banyak produk yang dijayakan. Lantas hatinya terharu apabila peminat masih mengingati dirinya. Malah ramai yang bertanya mengenai kehilangannya daripada dunia lakonan. |
Posted: 13 Jan 2013 02:19 PM PST Segala rahsia sudah terjawab. Senarai calon Top 5 Anugerah Bintang Popular BH 2012 (ABPBH 2012) akhirnya diumumkan penganjur, Rabu lalu. Pertama kali terbabit secara langsung dalam proses pengendalian acara ini yang bakal menghangatkan Stadium Putra, Bukit Jalil, April depan - saya mendapat banyak pengalaman baru. Dalam banyak-banyak pengalaman itu, tentulah reaksi artis yang kecewa diri tidak dicalonkan paling menarik perhatian. Lagaknya saling tak tumpah ahli politik yang mendapat tahu rupa-rupanya dirinya tak dipilih pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) - apatah lagi dalam suasana demam pilihan raya sekarang. Kalau dalam kalangan ahli politik, KPI sebagai pemimpin dijadikan asas pengukur dalam menentukan sama ada diri layak bertanding - sama jugalah dengan artis yang tentu ada sebab musabab kenapa diri mereka tak lagi dipilih peminat.
Tak mengapalah, itu soal rezeki artis. Kalau sudah popular, sudah tentu ramai yang mahu datang menghimpit. Namun, apa yang dibincangkan di sini adalah bagaimana artis perlu ada strategi sendiri untuk kekal popular. Kita akui, saingan cukup sengit dalam industri hiburan sekarang hingga dalam keadaan tertentu, dirasakan siapa-siapa saja boleh menjadi artis lebih-lebih lagi dengan kewujudan media baru yang membolehkan sesiapa saja yang ada bakat menonjolkan keistimewaan masing-masing. Dalam mengekalkan populariti, artis perlu peka dengan perubahan - baik dalam kalangan peminat mahupun industri. Selain memastikan produk baru terus dikongsi bersama peminat, artis juga perlu bijak menjalin hubungan dengan mereka. Dalam konteks ini, peminat (yang sebenarnya bebas memilih siapa yang mereka suka dalam keadaan kebanjiran bakat sekarang) boleh didekati melalui media baru - Twitter, Facebook atau Fanpage. Kita lihat, artis yang paling banyak berinteraksi dengan peminat, mereka itulah yang popular baik di dalam talian atau di alam realiti. Pada zaman sekarang, bukan susah sangat nak jumpa artis. Berbanding dulu (zaman di mana orang kata artis itu eksklusif hanya boleh ditemui di majlis-majlis besar saja), artis sekarang mudah ditemui peminat baik di acara persembahan mahupun majlis private yang kadang kala diatur peminat sendiri. Jadi, gunakanlah peluang ini untuk berinteraksi dengan peminat. Kita puji beberapa kelab peminat yang cukup aktif menganjurkan program kerana sebenarnya, mereka disokong artis itu sendiri. Seperkara lagi, jangan pandang ringan atau take things for granted bila diri sudah popular. Terpilih tahun lalu tak bermakna anda terus dipilih. Selalunya, untuk mengekalkan kejayaan itulah yang paling sukar. Jadi, andai tak dipilih kali ini, ambillah iktibar dan pandanglah ia dari sudut positif. Cuba renung kembali apa yang dilalui sepanjang tempoh setahun lalu di mana di sana sini, mungkin ada silapnya.
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |