Adsense

Sabtu, 29 Disember 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Emosi Syahrini

Posted: 28 Dec 2012 02:30 PM PST

Rentetan kontroversi melonjakkannya sebagai artis Indonesia paling dicari di internet

Sarat meniti laluan kontroversi, setiap satu cubaan yang datang menerpa sepanjang 2012 menguji keutuhan Syahrini menangani emosi.

Meskipun kehadiran isu sensasi membayangi usahanya untuk dikenali kerana bakat, 2012 masih membekas sebagai tahun bermakna buat penyanyi sensasi ini.
Saya akan cuba imbangi antara peribadi dan karier, mudah-mudahan dipertemukan Allah jodoh," Syahrini, Penyanyi

Ketika media lebih menyorot hal peribadi, terutama ketika percintaannya dengan jejaka dari Malaysia putus di pertengahan jalan Oktober lalu, keyakinan peminat terhadap Syahrini tidak pudar.

Sering dalam setiap tindakan yang menimbulkan perbahasan antara pro dan kontra, anak kelahiran Sukabumi, Jawa Barat berusia 32 tahun ini bersyukur kerana perjalanan hidupnya diberkati Yang Maha Esa.

Selebriti paling dicari di jejaring Yahoo Indonesia untuk 2012 itu akur, tidak semua pihak senang dengan caranya menangani dugaan.

"Cacian daripada mereka yang membenci tidak membuat saya lemah. Mereka memberikan saya motivasi untuk berkarya dengan lebih baik.
"Kritikan pedas itu membuat saya bangkit memacu kreativiti. Ramai yang senang, ramai juga yang membenci justeru, saya didik diri jangan pantas selesa.

"Pujian itu menyenangkan tetapi pada masa sama, membawa kemudaratan. Ia umpama perangkap yang membuat seseorang cepat larut dan malas berusaha.

"Saya lebih selesa dikritik kerana ia menyedarkan diri daripada kelekaan yang akan menarik saya kembali ke bawah," katanya.

Sedia mengenepikan segala ego atau menganggap dirinya yang terbaik, penyanyi Sesuatu ini sering mencari kelemahan diri kerana ingin bertahan dalam industri hiburan.

"Saya mahu menjadi anak seni yang matang, bukan hanya ketika di pentas tetapi juga setiap kali berkarya. Sama halnya dengan personaliti.

"Disebabkan itu, saya sering melihat ke dalam diri untuk mencari apa lagi kelemahan. Saya sentiasa berusaha memperbaiki diri, karya, mutu persembahan kerana ingin matang, seiring perjalanan usia," katanya.

Ternyata dalam setiap isu sensasi yang dicetuskan, penyanyi yang baru melancarkan album keempat, Semua Karena Cinta tidak mengenepikan prestasi.

Buktinya, populariti Syahrini melayakkannya meraih penghargaan Album Solo Wanita Popular pada SCTV Music Awards 2012 menewaskan nama besar seperti Agnes Monica, Rossa dan Vicky Shu.

"Kritikan membantu saya segera menjadi dewasa. Itu bererti penghargaan peminat terhadap saya begitu tinggi kerana mereka memerhati setiap inci pergerakan dari atas hingga bawah.

"Saya berterima kasih kepada mereka yang mengejek setiap kekurangan diri. Mereka membantu membuka ruang supaya saya lebih berani melakukan inovasi dan tidak mendatar dalam mencorakkan perjalanan karier," kata bekas teman duet Anang Hermansyah ini.

Resolusi Syahrini

Masih berbaki dua hari sebelum 2012 menutup diarinya, seperti kebanyakan penyanyi lain, Syahrini turut dilimpahi tawaran lumayan meraikan kedatangan 2013.

Bagaimanapun, Syahrini mempunyai perancangan lain apabila memilih untuk bercuti bersama keluarga meraikan tahun baru.
Baginya, bercuti akan memberinya inspirasi baru selepas diburu kesibukan sepanjang Disember.

"Saya bimbang keadaan fizikal dan mental lemah kerana terlalu sibuk sepanjang Disember. Setiap hari ada saja persembahan sama ada di Jakarta atau di luar kota.

"Jika terlalu mendesak, risau nanti kesihatan saya merosot. Alhamdulillah, tawaran ada tetapi lebih kepada rakaman dan akan disiarkan malam menjelang tahun baru.

"Rakaman program itu dibuat di Bali, kemeriahannya sama seperti menyambut tahun baru. Syukur kerana rezeki tetap ada," katanya.

Berbicara mengenai resolusi tahun baru, Syahrini berkata, kesihatan menjadi keutamaan memikirkan usianya bakal menganjak 33 tahun pada 2013 nanti.

"Saya mahu lebih sihat, matang dan dewasa dari segi pemikiran juga tindak tanduk. Saya akan cuba imbangi antara peribadi dan karier, mudah-mudahan dipertemukan Allah jodoh.

"Lebih senang jika dipertemukan dengan lelaki senegara. Ketika ini, saya langsung tidak mempunyai cerita peribadi untuk dikongsi.

"Sesekali saya bertanya diri, sampai bila mahu sendiri? Saya juga harus memikirkan soal pasangan hidup. bukan memfokus kepada karier semata-mata," katanya.

Turut menyimpan keinginan untuk melancarkan album kelima yang dipenuhi lagu baru, Syahrini juga berharap 2013 akan menyempurnakan azamnya menjayakan mini konsert.

"Itu antara keinginan besar saya kerana ia menterjemahkan perjalanan karier selama tujuh tahun. Semua itu proses kematangan, cuma saya perlu lihat bagaimana perjalanan karier untuk tahun depan.

"Mudah-mudahan lebih stabil dan cemerlang, lantas memudahkan laluan untuk merealisasikan segala yang dicita-citakan," katanya.

Kental elemen drama

Posted: 28 Dec 2012 02:14 PM PST

Filem: The Guillotines
Pelakon: Huang Xiaoming, Ethan Juan, Li Yuchun, Shawn Yue, Boran Jing, Jimmy Wang Yu, King Shih-Chieh
Pengarah: Andrew Lau
Genre: Aksi Durasi: 112 minit Tarikh Tayangan: Mulai 27 Disember 2012

Berlatarkan zaman pemerintahan Dinasti Qing, sutradara filem trilogi Infernal Affairs, Andrew Lau sekali lagi tampil dengan filem aksi, The Guillotines.
Sudah dipasarkan di beberapa negara Eropah, United Kingdom, Amerika Utara dan Australia, filem terbitan Hong Kong ini menggunakan barisan pelakon muda berbakat yang mampu menjadi tarikan utama.

Filem epik ini padat dengan aksi pertarungan, memaparkan kekuatan benteng pertahanan empayar Dinasti Qing yang memerintah ketika itu.
Kekuatan filem ini terletak pada elemen drama dan plot yang disampaikan. Justeru dapat disimpulkan, elemen aksi, drama serta propaganda yang diketengahkan berjaya membangkitkan emosi penonton.

Secara ringkasnya, The Guillotines berkisarkan mengenai pengembaraan sebuah kumpulan pemuda yang dilatih oleh Maharaja Yong Zheng menjadi pembunuh dan kumpulan itu dinamakan sebagai The Guillotines.

The Guillotines dilatih untuk membunuh sesiapa saja yang memberontak dan menentang Maharaja pada masa itu.

Maharaja turut menggunakan mereka untuk menawan kaum Cina Han yang banyak memberontak. Dalam misi membunuh salah seorang pemberontak, Wolf, kumpulan yang diketuai oleh pahlawan Leng itu mengharungi pelbagai dugaan sehingga mengorbankan nyawa mereka sendiri.

Selain Leng, The Guillotines terdiri daripada Mu, San, Tai, Hutu dan Buka. Berkhidmat tanpa membantah, kelima-lima pahlawan ini tidak pernah tewas dalam 348 misi yang pernah ditempuhi mereka.

Disebabkan kejayaan itu juga membuatkan mereka bongkak dengan kekuatan yang dimiliki. Tanpa disedari, Leng, Mu, San, Tai, Hutu dan Buka sebenarnya terjerat. Bagaimanapun mereka perlu menewaskan kedua-dua belah pihak lawan untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Di sebalik keganasan yang ditampilkan dalam setiap aksi perlawanannya, filem terbitan Hong Kong ini turut memaparkan kekuatan dan kesetiaan dalam persahabatan yang diharungi oleh Leng, Mu, San, Tai, Hutu dan Buka.

Berbekalkan kemahiran yang ada, keenam-enam pahlawan ini bermati-matian mempertahankan diri masing-masing, meskipun terpaksa membayar nyawa sebagai dalang gantinya.

Dari segi teknikal pula, teknologi tiga dimensi (3D) dan gimik yang dipaparkan dalam adegan pertarungannya kurang memuaskan.