Berita Harian: Hip |
Posted: 23 Dec 2012 02:34 PM PST Seandainya bakat lakonan dirinya masih diperlukan pada usia emas kelak, aktres jelita, Maya Karin Roelcke, 33, memberitahu HIP, dia tidak akan menolak tawaran yang datang. Dalam perjalanan kerjaya seninya, pelakon berbakat ini tidak pernah meletakkan sebarang tempoh untuknya mengangkat bendera putih ataupun bersara. "Bagi saya, lakonan tidak perlu ada had usia. Dunia lakonan bukan untuk mereka yang kacak atau cantik saja, sebaliknya ia memerlukan insan yang berbakat," kata Maya yang ditemui ketika menyertai delegasi Malaysia ke Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-55 di Macau, baru-baru ini. Aktres yang pernah memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik FFAP edisi ke-49, kira-kira lapan tahun lalu itu berkata, dia gembira melihat festival berkenaan tidak bersikap berat sebelah apabila anugerah Pelakon Lelaki Terbaik diberikan kepada aktor berusia 92 tahun, Eddie Garcia, dari Filipina. "Saya seronok melihat anugerah aktor terbaik diberikan kepada seorang pelakon yang berusia. Jika orang itu memang patut menerimanya, kenapa kita perlu menidakkan dan berikan kepada pelakon yang memiliki rupa paras elok semata-mata? "Kita di Malaysia pun sepatutnya mempraktikkan perkara yang sama. Jika pelakon berusia memang bagus dan layak menerimanya, maka anugerah itu seharusnya diberikan kepada mereka," kata Maya yang terbang ke Macau bagi mewakili filem popular lakonannya, Ombak Rindu. Cuma, sikap penganjur yang bersikap acuh tidak acuh dengan delegasi luar, apabila tidak membekalkan maklumat lengkap mengenai perjalanan majlis, sehingga timbul salah fahamketika acara berlangsung, sedikit membuatkannya kesal. Penggunaan bahasa Kantonis dan Mandarin sepanjang anugerah berlangsung turut menimbulkan ketidakpuasan hati Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2011 ini. "Penganjur kenalah sensitif. Mereka sepatutnya sedar, bukan semua delegasi faham bahasa Cina. Ada delegasi yang datang dari India, Vietnam, Korea, Iran, Filipina dan pelbagai negara lain, tetapi tiada langsung perkataan bahasa Inggeris digunakan. Ketika pelakon luar seperti Jepun, Iran dan Filipina menang anugerah, terjemahan juga dilakukan dalam bahasa Cina. Jadi, bagaimana dengan delegasi lain yang tidak memahami bahasa itu?" "Selepas ini, penganjur kena lebih bersedia. Contohnya, bagi penganjuran FFAP tahun depan, lokasinya pun masih belum ditetapkan lagi. Sedangkan untuk majlis yang besar sebegini, lokasi seharusnya ditentukan untuk tempoh tiga tahun akan datang. Tugas menjaga delegasi juga tidak sepatutnya diberikan kepada sukarelawan, yang terdiri daripada pelajar, kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai maklumat lengkap," katanya. Sementara itu, ketika ditanya mengenai sebarang perkembangan positif sepanjang dia berada di Macau, aktres ini tidak berani untuk mengesahkan apa-apa. Difahamkan, seorang produser dan pengarah dari Thailand, Nonzee Nimibutr, yang pernah mengarahkan filem Nang Nak menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Maya. "Saya tidak mahu letak harapan besar kerana semuanya belum pasti lagi. Saya sudah mengenali Nonzee sejak FFAP di Fukuoka, Jepun, lagi. Malah dia pernah datang ke Kuala Lumpur kononnya untuk berbincang mengenai filem, tetapi akhirnya usaha sama itu tidak berhasil. "Selagi belum ada hitam putih, saya tidak mahu mencanangkannya kerana enggan dianggap berlagak," katanya ikhlas. |
Posted: 23 Dec 2012 02:28 PM PST Penyanyi popular, Datuk Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 48, menafikan gosip liar mengatakan dirinya akan berkahwin pada hujung bulan ini. Tegas lelaki terbabit, khabar angin itu langsung tidak berasas, apatah lagi ketika itu dia sibuk dengan acara konsert menyambut tahun baru di Putrajaya.
Hattan berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas berakhirnya program separuh akhir Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam. Hattan bertindak sebagai juri tetap program berkenaan, bersama-sama Ziana Zain. "Kalau ada rezeki untuk saya berkahwin lagi, semestinya saya bersyukur dan tiada alasan mengapa saya ingin merahsiakannya. "Siapa yang tidak mahu berkahwin? Apabila kita berkahwin, ada isteri melayan dan masak untuk kita. Tapi bagi lelaki berumur seperti saya ini, semestinya saya menginginkan bukan hanya isteri, tapi seorang teman hidup. "Boleh dikatakan, saya sudah fobia untuk berkahwin lagi sebab saya tidak mahu ikatan itu habis begitu saja. Sekarang ini saya pentingkan anak saya saja, Adam. Dia pun tak kisah jika saya tidak berkahwin, jadi perkara itu tidak mendatangkan masalah buat kami," ujarnya.
Berpisah pada Mac 2005, Hattan mengaku mereka masih rapat dan selalu keluar makan bersama. Begitupun, keakraban itu tidak bermakna mereka akan kembali bersama sebagai suami isteri. Namun, sekiranya ada jodoh dan ramai yang mendoakan mereka bernikah semula, dia tidak menolak, sebaliknya menyerahkan segala ketentuan kepada Yang Maha Berkuasa. "Kalau ada jodoh antara kami, saya terima dan sekiranya tidak ada sekalipun, tidak mengapa. "Saya pun ada dengar yang dia sudah putus tunang, tetapi setakat itu saja yang saya tahu. Bukannya ramai tidak tahu, bercerai ini sakit sebenarnya. Umur seperti saya ini pula tiada masa nak bercinta lagi. Saya juga tidak mahu memberikan sebarang tekanan kepada Adam, yang masih lagi bersekolah. "Saya tidak mahu kisah saya ini mengganggu emosinya, sebab saya tahu ramai yang bertanya. Sampaikan, nak keluar dengan perempuan pun saya takut. Saya bimbang kena gosip," katanya lagi. Hattan dan Arianie berkahwin pada 17 Disember 1996. Perkahwinan pertama itu bertahan selama sembilan tahun. Penyanyi lelaki ini berkahwin lagi pada 11 November 2011, dengan Noorfarashikin Othman, 32, di Seri Menanti, Negeri Sembilan. Bagaimanapun perkahwinan terbabit hanya bertahan dua bulan apabila Hattan melafazkan cerai talak satu terhadap Noorfarashikin pada 19 Januari lalu.
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |