Berita Harian: Hip |
Posted: 22 Dec 2012 02:53 PM PST Mengikut Kamus Dewan edisi ketiga, Primadona membawa maksud pelakon utama wanita atau seri panggung. Jika merujuk kepada tafsiran itu, gelaran Primadona barangkali sesuai diberikan kepada dua penyeri muka depan B*POP kali ini. Baik Erra Fazira, 38, mahupun Rozita Che Wan, 39, kedua-duanya gah dalam liga tersendiri. Secara kebetulan, kedua-duanya mengacarakan program bual bicara berjudul Primadona di Astro Prima di samping Raja Azura dan Ziela Jalil. Malah, fotografi ini turut berlangsung dalam kesibukan Erra dan Rozita menjalani rakaman program berkenaan awal bulan ini di Astro, Bukit Jalil. Lantas idea menggandingkan mereka disambut baik sekalipun terpaksa mencuri masa berehat ketika penggambaran Primadona berlangsung. Erra dan Rozita juga sibuk dengan rutin harian sebagai pelakon. Paling ketara, baik Erra mahupun Rozita, kanvas seni mereka tidak lepas diwarnai kisah peribadi yang sering diprovokasi ramai pihak termasuk media massa. Erra tak habis-habis dengan cerita konflik rumah tangganya bersama Engku Emran. Ada desus -desus mengatakan rumah tangga mereka berantakan, manakala Rozita pula tak pernah sepi daripada kontroversi cinta dengan artis muda, selain dikaitkan dengan VIP. Bagi Rozita atau mesra dipanggil Cik Ta, hanya orang yang tiada perasaan saja tidak takut andai usia meningkat. Katanya, dia belum terfikir untuk melakukan pembedahan plastik atau menyuntik botox untuk terus kekal muda. "Sedihlah juga apabila usia meningkat. Tetapi kehidupan harus diteruskan. Semua orang akan tua. Kedut itu pasti ada. Cuma kita sebagai manusia boleh berusaha melambatkan proses penuaan. Saya sendiri sentiasa berfikir dan berperangai macam orang muda. Buatlah pembedahan apa sekalipun, kalau sudah tua tetap akan nampak tua," kata Rozita yang baru saja muncul dengan telefilem Kenapa Aku Binti Abdullah di TV9 pada 12 Disember lalu serta dipuji lakonannya. Peluang bertemunya, pelakon yang cukup terkenal dengan karakter Kiah Pekasam itu turut ditanya mengenai gosip mengenai dirinya yang menjadi rebutan antara pelakon baru, Shah Iskandar dan Zain Saidin. Dikatakan kononnya Zain cemburu apabila Shah mula rapat dengannya. Rentetan itu, Zain dikatakan cuba memujuk Rozita dengan menghadiahkan cincin jenama Habib kepada Rozita. Selain cincin, Zain turut dikatakan menghadiahkan Rozita dengan pelbagai jambangan bunga dan patung beruang ketika penggambaran telefilem Anak Ikan. Telefilem itu diadakan di sebuah hotel terkemuka di Port Dickson, Negeri Sembilan turut dibintangi Zain dan Shah. Cincin itu dikatakan sebagai simbolik lamaran. Bagaimanapun Zain seperti kenyataannya dalam B*POP minggu lalu, menyifatkan ia sebagai hadiah ulang tahun kelahiran Rozita pada 9 Mac lalu. "Saya tak nak komen hal membabitkan Shah dan Zain itu. Itu hal mereka. Tetapi memang saya mengenali kedua-duanya. Saya dengan Zain memang rapat. Jadi, apabila saya dikatakan mula rapat dengan Shah, Zain mungkin rasa sedikit cemburu barangkali. Memang saya ada terima cincin itu. Tapi kalau nak tanya lebih, kenalah tanya Zain sendiri. Saya sendiri belum sempat bertanyakan lanjut mengenai motif pemberian cincin itu. Kalau ada menyifatkan ia sebagai cincin lamaran, saya sendiri belum ada jawapan untuk itu. Tiada kata putus. "Sejujurnya, kalau cakap secara umum, saya belum bersedia ke arah itu. Ia soal masa depan dan kehidupan mendatang saya dan dua anak. Cuma pada pandangan peribadi saya, Zain seorang lelaki budiman. Jika dia suka seseorang itu, dia akan cuba memenangi hati orang berkenaan," kata Rozita yang sejak 13 hingga 19 Disember lalu bercuti lagi ke London bersama dua anaknya serta kakak. Rozita juga baru saja selesai memenuhi tanggung jawabnya melunaskan baki rakaman program Primadona. "Saya masih dalam proses memperbaiki dan mempertingkatkan lagi keupayaan untuk mengacara. Kalau sambung 13 episod lagi program ini, saya boleh fokus kepada pengacaraan dan urusan akademik anak tahun depan. Nampak gayanya macam saya tak nak ambil tawaran berlakon tetapi saya jenis tak sampai hati nak katakan tidak kepada pihak produksi," katanya sambil memberitahu telefilem Anak Ikan arahan Rashid Sibir (terbitan Opera Klasik Sdn Bhd) bersiaran di Astro Prima pada 25 Disember ini, jam 2 petang. Untuk pencalonan awal ABPBH 2012, Rozita disenaraikan dalam tiga kategori iaitu Pelakon TV Wanita Popular, Artis Komedi Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular. "Jika peminat mahukan saya berada dalam kelompok Top 5, saya menerimanya dengan hati terbuka. Saya reda, jika peminat saya tidak cukup kuat. Tetapi saya seronok dapat memeriahkan acara ABPBH saban tahun ia diadakan," katanya yang akan muncul dengan telefilem terbitan Zeel Production, Kiah Ke Jepun diikuti siri Spy Kiah di Astro Warna, tidak lama lagi. |
Posted: 22 Dec 2012 02:42 PM PST Dalam menyemarakkan lagi usaha untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai isu Palestin serta memberikan ruang kepada masyarakat untuk membantu rakyat Palestin, TVAlhijrah dengan kerjasama tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Aman Palestin, Viva Palestina Malaysia, Haluan, Mercy Malaysia, Aqsa Syariff, Islamic Relief Malaysia (IRF) dan Perdana Global Peace Foundation mengadakan satu karnival yang diberi nama Demi Palestin. Ia bertemakan Persaudaraan Bermula Di sini bertempat di perkarangan ibu pejabat TVAlhijrah, hari ini, bermula jam 9 pagi sehingga 11 malam.
Barisan personaliti TVAlhijrah dan personaliti TV tempatan seperti Syafinaz Yunus, Amie Sofia, Farra Adeeba, Heliza Helmi, Maulana dan Salima Habibi akan turut bersama memainkan peranan mereka dalam menjayakan program Demi Palestin ini melalui aktiviti perkongsian pengalaman semasa melawat ke Gaza, baru-baru ini. Ia akan dikongsikan bersama pengunjung yang bakal hadir di pentas utama perkarangan TVAlhijrah. Menariknya pada hari berkenaan, acara lelongan amal untuk Palestin akan diadakan yang mana jubah selebriti terkenal tanah air Datuk Siti Nurhaliza akan dilelong untuk kutipan amal Palestin. Selebriti Chef TVAlhijrah, Chef Ammar juga akan melelong jersi pemain Chelsea yang ditandatangani oleh pemain kelab tersebut.
Pada sebelah malamnya pula, persembahan istimewa Malam Demi Palestin yang menjadi acara kemuncak akan diadakan di Dewan Muktamar, Pusat Islam dan disiarkan secara langsung di TVAlhijrah oleh barisan artis dan selebriti terkenal tanah air seperti Afdlin Shauki, Rabbani, Nowseeheart, Inteam, Saujana, Hijjaz, Unic, Nash, Cherita, Dakmie, Nubhan, Muadz Dzulkefly, Yoga Al Ghazali, Azhary, Tasha Manshahar, Adik Zaid Najmuddin, Akma, Alyah, Heliza Helmi, Amie Sofea, Farrah Adeeba, Ustaz Shahrizan Daud At Turabi, Ustaz Syed Norhisyam, Ustaz Izhar Arif, Amin Idris, Amran Ibrahim dan ramai lagi. Malam Demi Palestin akan disiarkan secara langsung mulai 9 malam di TV AlHijrah. Semoga gelombang kemanusiaan dalam misi membantu Palestin yang diteruskan oleh TVAlhijrah mampu menimbulkan kesedaran dan kesan mendalam kepada pengunjung dan penonton dalam membantu rakyat Palestin yang sangat memerlukan sokongan kita dan dunia Islam. Orang ramai dijemput hadir ke pekarangan stesen TVAlhijrah pada hari ini (23 Disember, bermula jam 9 pagi dan bersamasama kita tunjukkan rasa cinta dan sayang serta mengimarahkan semangat dan perjuangan dalam membebaskan bumi Palestin yang tercinta, kerana mereka saudara kita. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |