Adsense

Ahad, 2 Disember 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Langkah Nad Zainal

Posted: 01 Dec 2012 08:01 AM PST

Disebabkan terlalu memfokus kepada isu sensasi dan kontroversi, barangkali segelintir penggemar hiburan terlepas pandang kehadiran gadis kecil molek bernama komersial, Nad Zainal ini.

Anak tunggal kelahiran Kajang, Selangor ini menerobos ruang industri hiburan menyandar kepada kekuatan bakat, tanpa sesekali bergantung isu kontroversi.

Bakatnya mula diuji pada 2007 menerusi drama berantai Sunsilk Impian namun perjalanan pemilik nama lengkap, Farah Nadia Zainal Abidin ini tidak selancar pelakon lain.

"Saya serius tetapi tidak terlalu fokus kerana masih terikat dengan pelajaran.

Cuma sesekali saya menerima tawaran, mungkin kerana itu nama agak lambat menyerlah.

"Selepas menamatkan pelajaran dalam Diploma Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), saya kembali mencari peluang.

"Alhamdulillah, kolaborasi semula bersama Red Communication berhasil apabila lakonan saya dalam Memberku Hawa mula memancing penonton," katanya.
Bertapak dari situ, nama Nad meluncur laju apabila persembahannya dalam drama berantai, Bukan Bidadari menerima pujian ramai.

Ketika ini, drama terbarunya, Putera Rayyan sedang dimainkan di TV3 disusuli filem, Kami Histeria yang akan menjengah pasaran tahun depan.

"Saya mungkin sedikit bertuah kerana dipertemukan dengan mereka yang sudi membimbing untuk menjadi yang terbaik.

"Tidak mudah memperoleh kepercayaan itu. Disebabkan itu, saya tidak terlalu memilih sama ada watak utama atau pembantu.

"Tidak dinafikan perjalanan saya sedikit perlahan tetapi saya bersyukur kerana tawaran tidak putus.

Saya tidak menyesali takdir, meskipun pernah dulu tidak dipandang stesen komersial," katanya.

Pernah menghiasi drama seperti Bloggerboy 2, Apa Dosaku: Sybil Kathigasu, Inikah Cinta, Qolbu, Papaku Nak Kahwin dan Incredible Tales, Nad berkata, sedari awal dia memang serius menekuni dunia lakonan.

Bagaimanapun, peluang yang dinanti belum menyebelahinya namun minat dan kecintaannya tidak mati di situ.

"Saya cuba bertahan, malah pernah berkata kepada diri, jika gagal sebagai pelakon saya sanggup bekerja di balik tabir.

"Saya banyak belajar mereka yang terlebih dulu makan garam dalam industri hiburan. Saya bukan seorang yang demanding, andai berpatutan dengan tawaran dan watak diberikan saya tidak akan menolak," katanya.

Selesa berunding sendiri setiap tawaran yang datang, Nad menjelaskan, sehingga ini dia belum berasa berlaku penindasan terutama dari segi bayaran.

Meskipun masih hijau namun Nad tidak membiarkan dirinya menjadi mangsa produksi yang cuba mengambil kesempatan.

"Saya seorang yang suka mencuba tetapi pada masa sama, saya memberi pilihan kepada penerbit mengenai bayaran.

"Alhamdulillah setakat ini semua berjalan baik. Bimbang juga perkara buruk berlaku tetapi setakat ini, semua pihak menerima jumlah yang saya kemukakan.

"Sebagai orang baru, saya tidak mahu kerana masalah seperti ini nama saya buruk dan pelbagai label menyusul.

Lebih baik saya telus," katanya.

Desas-Desus: Zamani selalu buat hal

Posted: 01 Dec 2012 07:55 AM PST

Kelibat Zamani Slam ni sekejap timbul, sekejap tenggelam sejak dulu lagi. Sukar nak diduga masalah dihadapi Zamani. Sayang seribu kali sayang, bakat dan suara yang dimiliki dipersiasiakan begitu saja.

Dulu, Zamani pernah dihimpit pelbagai masalah peribadi sehingga kerjayanya sebagai penyanyi hampir berkubur. Kerjaya lakonannya pula sudah lama dibawa arus. Lama juga Zamani menghilangkan diri tapi kembali semula beberapa tahun kemudian. Ada yang mengatakan Zamani dihantar ke pusat serenti untuk menjalani pemulihan dadah, tapi Zamani menepis tohmahan itu.

Ingatkan Zamani kembali tampil dengan keazaman baru, tapi masih tidak berubah Raja tidak malu mengatakan Raja antara ribuan peminat Zamani. Raja suka mendengar suara Zamani ketika mengalunkan lagu Nur Kasih, Gerimis Mengundang dan Jika Kau Rasa Getarnya, merdu sangat. Lagu-lagu nyanyian Zamani ketika bersama Slam dulu nyata menusuk kalbu. Suara lunak merdu Zamani sukar untuk ditandingi penyanyi generasi baru.

Dulu, Raja dengar, produser terkenal, Datuk Yusof Haslam pernah mahu mengundang Zamani untuk membintangi filem arahannya, selepas Zamani berlakon dalam filem Bara bersama Awie dan Arni Nazira, tapi terpaksa mengenepikannya kerana masalah disiplin. Masalah disiplin, itu sudah sinonim dengan diri Zamani. Zamani sukar dikawal, tindakannya sukar diduga, ada ketika tak muncul dalam persembahan biarpun wang pendahuluan sudah diambil. Jika setakat undangan fotografi, jangan mimpi Zamani nak muncul. Begitulah Zamani sejak dulu.

Dek masalah disiplin yang teruk, kerjanya dikatakan makin merudum dari hari ke hari. Bayangkan ada ketika PRO syarikat rakaman terpaksa 'menggegar' rumah, tapi itupun dia dikatakan masih tidak bangun tidur. Jawab panggilan telefon jauh sekali.

Pelik juga, takkan gegar rumah masih tak sedar. Akibatnya, ramai yang takut mengambil risiko mengundang Zamani menyanyi. Silap hari bulan, Zamani tak datang... Itu persepsi orang terhadap Zamani. Kan sayang begitu.

Zamani sebenarnya boleh pergi jauh, boleh sehebat Raja Pop, Jamal Abdillah.
Tengoklah apa yang diberikan Tuhan kepada Jamal, rezekinya melimpah ruah dan tidak menang tangan apabila sudah kembali ke pangkal jalan. Alhamdullilah...

Raja menulis ini bukan untuk mengkritik atau membuka cerita lama, Raja mahu Zamani sedar, bakatnya besar, suaranya bagus. Dulu, masa zaman kegemilangan Zamani dan Slam, mereka meniti puncak sehingga ke Indonesia.

Zamani mampu memandu kereta sport mewah. Jika zaman itu, memandu kereta sport sudah dikira hebat.

Tapi, tengoklah Zamani hari ini, semakin kurus melidi... Ada yang menuduhnya masih terbabit dengan perkara negatif.

Betul ke, Zamani? Raja dengar ramai juga promoter dari seberang mencari Zamani. Yalah, Zamani dan Slam pernah menempa nama di Indonesia tapi malangnya, sukar dihubungi. Kan, tolak rezeki namanya tu...?

RAJA: Tahniah pada Nabil dan Nazira Ayub yang dikurniakan cahaya mata perempuan, Naira Mikayla, seminggu lalu.