Berita Harian: Hip |
Posted: 09 Dec 2012 03:20 PM PST Najwa Latif adakan konsert solo di Singapura 21 Disember Selepas menawan hati peminat di negara sendiri menerusi beberapa lagu popularnya, penyanyi remaja, Najwa Latif, bakal melebarkan pengaruh ke negara jiran, Singapura, pula. Mungkin juga semua ini disebabkan impak lagu duet saya bersama Sleeq, Untuk Dia" Najwa Latif, Penyanyi Bukan saja ditawarkan produksi dari sana, Reconstrux Booking, untuk mengadakan persembahan solo, malah penyanyi yang kembali aktif selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini turut diberi peluang memeriahkan pentas persembahan Anugerah Planet Muzik (APM), yang juga diadakan di negara itu. Teruja dengan dua peluang berkenaan, Najwa yang dihubungi baru-baru ini jelas gembira apabila dapat menjejakkan kaki ke Singapura buat kali pertama untuk menjayakan dua acara terbabit. "Mula-mula dulu, apabila saya dapat tahu daripada pengurus, saya tidak percaya. Apabila semua sudah ada hitam putihnya, tentulah saya rasa gembira untuk berjumpa dengan peminat di sana. Produksi di sana yang menguruskan semuanya, termasuk jualan tiket," ujarnya. Impak Untuk Dia Apatah lagi kali ini dia bukan hanya dapat berkunjung ke negara itu, malah dapat pula menghiburkan peminat di sana. "Mungkin juga semua ini disebabkan impak lagu duet saya bersama Sleeq, Untuk Dia. "Saya akan menyanyikan 10 lagu pada konsert terbabit. Jika diberi peluang seterusnya selepas ini, mungkin saya akan ke negara jiran yang lain pula. "Sebelum itu, saya juga akan terbabit dengan APM. Inilah persembahan pertama saya pada acara yang cukup gah itu," katanya yang dicalonkan dalam dua kategori pada anugerah terbabit, iaitu Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Artis Baru Wanita) dan Ikon Media Baru. Calon awal bagi kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 ini bagaimanapun tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk pulang dengan trofi anugerah serumpun itu. Katanya, dicalonkan pada peringkat akhir saja sudah cukup membuat dirinya rasa dihargai. Album kedua dalam pembikinan Sementara itu, Najwa memaklumkan, single terbarunya berjudul Sahabat, duet bersama Sleeq dan Sham Kamarul baru saja dilancarkan. Kembali sibuk dengan undangan persembahan di dalam dan luar negara, dia kini turut berusaha menghasilkan album kedua, yang akan dikeluarkan tahun depan. Sedang menyiapkan beberapa lagu untuk dimuatkan dalam album berkenaan, Najwa terus bekerjasama dengan kakaknya, Ika, dalam penghasilan album terbaru itu. Jika dia lebih kepada penghasilan melodi, Ika pula bertanggungjawab sebagai penulis lirik. "Buat masa ini saya sudah menghasilkan 12 lagu. Begitupun, saya belum memutuskan jumlah lagu yang akan dimuatkan dalam album kedua ini," katanya. |
Posted: 09 Dec 2012 03:17 PM PST Kisah silamnya sudah dilontar jauh dari lubuk hati, tetapi memori itu tidak pernah padam dalam ingatan. Ia sedikitpun tidak mematahkan semangat Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy untuk bangkit semula dan mencari arah baru dalam hidup. Biarpun sudah dijatuhi hukuman setimpal, Benjy mengakui segala-galanya masih terpahat dalam ingatan masyarakat. Walaupun ada yang memandang sinis, masih ada yang sudi membantunya meneruskan kehidupan seperti dulu. Alhamdulillah, kehidupan saya semakin baik. Saya sibuk menguruskan perniagaan dengan kawan selain menjaga emak yang masih terlantar sakit di rumah" Benjy, Pelakon Berdepan situasi sukar untuk hidup normal dan mengambil masa yang lama untuk berdepan dengan masyarakat, semuanya bukanlah perkara mudah. Bagi Benjy, hidup mesti diteruskan dan tidak selamanya dia mampu bersembunyi dalam kegelapan. "Alhamdulillah, kehidupan saya semakin baik. Saya sibuk menguruskan perniagaan dengan kawan selain menjaga emak (pelakon Azean Irdawaty) yang masih terlantar sakit di rumah. "Saya sudah bebas sepenuhnya, boleh bergerak ke mana saja dan membuat kerja. Walaupun orang tahu kisah lalu saya, tetapi masih ada yang sudi membantu untuk saya bangkit semula," katanya. Bersama rakan menguruskan bisnes membekalkan mesin ais segera, IceKool4u, pelakon berusia 34 tahun ini berharap perniagaan yang masih hijau di Malaysia itu menjadi sumber rezeki buat dia sekeluarga. Bukan tidak mahu kembali dalam dunia lakonan, sebaliknya, Benjy merasakan masa belum sesuai untuk dirinya muncul di kaca televisyen (TV) atau layar lebar. Benjy bagaimanapun akan berlakon jika tawaran yang diterima datang daripada teman baiknya. "Buat masa sekarang, biarlah saya berehat daripada dunia seni. Ini kerana perniagaan yang saya usahakan ini masih baru, jadi ia perlukan perhatian. Saya akan berlakon jika tawaran itu daripada rakan-rakan. "Memang ada tawaran diterima tetapi saya terpaksa menolaknya. Ini kerana saya fikir masanya belum tiba. Saya terima tawaran untuk terbabit dalam teater Tattoo Gestapo ini disebabkan pelakon Pekin Ibrahim," katanya. Sahut cabaran pentas teater Melihat penampilan dirinya yang agak terurus dan makin sihat, Benjy yang ditemui selepas pementasan teater Tattoo Gestapo bersama Pekin Ibrahim, Azman Hassan dan Kushairy, tidak menolak jika ditawarkan untuk berlakon teater. "Saya terima tawaran ini kerana skripnya menarik dan disebabkan kawan. Kalau orang lain, agak susah, tetapi untuk kawan, saya tidak akan menolak," katanya. Teater arahan Wan Azli Wan Jusoh itu mengisahkan dua teman baik, Lokman (Benjy) dan Mustafa (Pekin) yang bertugas sebagai warden penjara. Namun, kisah silam Mustafa membuatkan dia membenci Lokman kerana menghancurkan rumah tangganya. Sikap ego Lokman yang berpangkat menyebabkan dia hilang pertimbangan dan sanggup membunuh temannya itu. Ketakutan dalam dirinya membuatkan dia bertemu dengan seorang banduan iaitu bayangannya sendiri yang sedang menanti hukuman gantung. Dia meminta banduan terbabit menyelesaikan misteri mimpinya. Hanya keampunan pada diri sendiri menjadi jawapan yang dicari Lokman. Meskipun ringkas, teater 30 minit itu padat dengan mesej dan penuh dengan estetika seni di sebalik penceritaannya. Skrip yang mudah difahami dengan permainan emosi dan penghayatan pelakon membuatkan perasaan penonton tersentuh. Teater yang dipentaskan di studio Free.Space@KakiSeni di SSTwo Mall, Petaling Jaya, selama empat hari pada 22 November lalu itu turut mendapat sentuhan pelakon dan pengarah, Nam Ron sebagai pengarah artistik. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |