Adsense

Ahad, 18 November 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Izara & Tasha Drama Queen

Posted: 17 Nov 2012 03:14 PM PST

Kebanjiran bakat baru di persada seni silih berganti. Ada yang hayat antara mereka cuma sekelip mata dan tak kurang juga yang memberi impak sekali gus masih mampu bertahan hingga kini. Ada yang melalui tangga mudah mempertaruhkan cuma untuk satu produk, sama ada drama atau filem hingga dikenali ramai dan tak kurang juga perlu bergelut dengan persaingan.

Di sebalik bakat yang cuba diperdagangkan, adat bergelar anak seni kontroversi yang singgah di luar kawalan. Tanpa isyarat tertentu, kemelut kontroversi yang menimpa diri mereka seolah-olah tidak lebih sekadar mencemar reputasi, selain mampu melonjakkan populariti seseorang. Ada kontroversi yang boleh memakan diri dan sebaliknya memberi hikmah tersendiri kepada empunya diri.

Menyatukan dua pesona, bakat muda - Tasha Shilla, 25, dan Izara Aishah, 20, menepati apa yang cuba disampaikan.

Mereka tak lepas dihimpit cerita sensasi dek kontroversi, namun tetap kental meneruskan perjuangan seni.

Mengenakan persalinan rekaan Syomir Izwa, kedua-duanya cukup bersahaja memberi mood dramatik yang diingini. Memang benar mereka antara yang laris diberi kepercayaan syarikat produksi dan stesen TV ketika ini. Wajah jelita diiringi bakat berpotensi yang terus digilap cemerlang, mereka barangkali sudah mula layak untuk digelar Ratu Drama.

Menurut Tasha Shilla yang memenangi kategori Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011 dan Heroin Baru, Anugerah Blokbuster 2012, pada awal apabila dirinya diasak kontroversi, dia mengakui agak lemas.

Kalau mahu disenaraikan, banyak kisah negatif yang mencalar kerjaya seni Tasha.
Antaranya seperti kaki parti, sengketa dengan pelakon Neelofa gara-gara kemenangan pada ABPBH 2011, hidup mewah ditaja VIP serta dikaitkan dengan ahli perniagaan bernama Datuk J.

"Sekarang saya sudah mula masak dengan permainan dunia seni. Saya jadi kental dan tidak terasa apa-apa dengan kisah negatif dicuit. Tiada kesan dan tekanan kerana saya sedang cuba membiasakan semua ini kerana ia sebahagian lumrah bergelar anak seni.

"Daripada satu sudut, kalau tiada kisah kontroversi boleh jadi boring juga. Tapi itu tidak bererti saya menadah tangan untuk terus dilanda kontroversi.

Saya percaya masing-masing menjalankan tugas termasuk rakan wartawan. Masyarakat di luar pun gemarkan gosip dan mahu mencungkil apa saja yang berkaitan peribadi artis.

"Kalau nak kata saya naik kerana bersandarkan kontroversi mungkin agak tidak adil.

Tapi masing-masing punya persepsi sendiri. Jika saya tidak kuat mental dan fizikal mendepani kontroversi, nescaya hayat saya tidak akan bertahan lama.

Artis pun manusia biasa," kata Tasha yang dijadualkan terbang ke Dubai pada 28 November ini untuk penggambaran drama Rindu Bertamu Di Abu Dhabi terbitan Zeel Production milik Fadzil Teh bergandingan dengan Fahrin Ahmad.

Kali terakhir pelakon ini berada di set penggambaran ialah menerusi telefilem Ramadan Jangan Ambil Nyawaku untuk siaran Ramadan tahun depan. Tahun ini juga Tasha memberitahu, dia nekad hanya mengambil tawaran berlakon telefilem berbanding drama bersiri. Dia akan kembali aktif berlakon drama bersiri mulai tahun depan.

Judul Gemilang, Atas Nama Cinta, Bunga April antara deretan drama bersiri yang menaikkan suhu populariti Tasha. Tasha juga sudah mula berjinak-jinak dalam dunia nyanyian kerana menjalinkan kolaborasi dengan kumpulan Tiga Swagger. Secara kebetulan akronim Tiga Swagger dan Tasha Shilla menjadi TS.

"Kerjasama duet ini terjadi semasa berlangsungnya Anugerah Blokbuster. Ikutkan minat menyanyi ini sudah lama berputik tetapi tidaklah sampai saya bersungguhsungguh.

Lakonan masih menjadi keutamaan. Banyak lagi yang perlu saya belajar dan mantapkan sebagai pelakon.

"Seiring peredaran masa, saya tidak mahu lagi tersilap langkah dalam memilih watak dan skrip. Pengalaman menjadikan saya lebih matang dan insya-Allah lebih baik hendaknya.

Fokus saya sekarang ialah mahu mengukuhkan nama. Maka sebab itu saya tiada masa untuk bercinta," kata wajah kempen I Love Malaysian Designers yang tidak gemar melakonkan watak komedi dan cerita hantu.

Sebelum terbang ke Dubai, Tasha bersama Aaron Aziz dan Fizz Fairuz akan bercuti bersama peminat dalam pakej percutian eksklusif anjuran BH dengan kerjasama POTO Travel & Tours Sdn Bhd (POTO) ke Ho Chi Minh City, Vietnam pada 23 hingga 26 November ini. Agensi pelancongan itu adalah satu daripada penaja ABPBH 2011.

'Bersiap diri berdepan segala kemungkinan'

Seperti Tasha Shilla, Izara Aishah juga dalam tempoh berehat selepas penat bekerja.

Duta produk yang mempromosikan jenama seperti Burger King, Cosry dan Secret Garden itu baru saja tamat penggambaran filem Balun arahan anak kepada pelakon veteran, Datuk Aziz Singah iaitu Bobsingah.

Balun menjadi filem kedua lakonan Izara selepas KL Zombie. Filem terbitan Element Pictures (M) Sdn Bhd itu turut dibintangi Beto Kusyairi, Datuk Eizlan Yusof, Reen Rahim (Juara Pilih Kasih 3), Namron dan Wan Raja. Izara juga akan ke lokasi penggambaran sebuah telefilem dalam masa terdekat.

"Alhamdulillah 2012 yang bakal melabuhkan tirai menjadi tahun yang cukup menyeronokkan.

Izara ditawarkan berlakon drama dan filem, selain dilantik menjadi duta produk. Izara hanya mampu memanjat kesyukuran kerana rezeki tak putus.

"Peluang berlakon di sisi pelakon senior juga dijadikan menimba ilmu dan nasihat.

Secara peribadi lakonan Izara bertambah baik berbanding pada awal kemunculan. Izara sudah mula memahami serba sedikit hal berkaitan lakonan termasuk yang membabitkan pergerakan kamera," katanya membuka bicara.

Di sebalik imej bersih yang cuba dijaga dan dikekalkan, Izara tidak terkecuali diterjah kontroversi panas. Pernah dituduh tidak berdisiplin dan lewat tiba di lokasi temu janji, Izara seterusnya terpalit dengan penyebaran klip video dan gambar seksi dipanggil Cell Tango Girl.

Penjelasan sudah dibuat.

Izara sedar memilih jalan sebagai anak seni, dia pasti tidak terlepas diuji. Dari awal lagi, Izara sudah mempersiapkan diri untuk berdepan segala kemungkinan. Akui Izara, ada hikmah juga di sebalik apa yang terjadi.

"Jika benda sebegini tak berlaku, Izara takkan belajar sesuatu. Dua tahun bergelar pelakon, Izara mula belajar sedikit demi sedikit untuk jadi lebih matang. Apa yang terjadi lebih membuatkan Izara berhati-hati. Disiplin diri harus diperketatkan demi menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

"Kontroversi ini juga mengajar Izara mengimbangi kerjaya dengan lebih baik. Jika banyak sangat cerita negatif pun tak molek juga dan Izara sebagai anak seni terus mempertaruhkan bakat sebagai pameran dan bukti kepada khalayak terhadap kecintaan ini," katanya.

Mengenai sisi peribadi, Izara diketahui sudah berpunya.

Cuma, dia memilih untuk tidak terbuka dalam hal berkenaan. Jelasnya, cukuplah hanya kerjaya yang dibentangkan buat tatapan pembaca.

"Jika perlu Izara bersuara, Izara akan bersuara. Kalau tak perlu, Izara lebih selesa berdiam diri," katanya yang mula meledak popularitinya menerusi siri drama Vanilla Coklat dan Naziha di TV3.

‘Lebih baik diam saja’

Posted: 17 Nov 2012 03:05 PM PST

B*POP bertarikh 4 November lalu menyiarkan dua artikel membabitkan dramatis popular, Rozita Che Wan, 39. Dua penulisan berbeza tetapi inti pati atau subjek utama ialah mengenai kembara ibu tunggal dua anak itu ke London, bulan lalu. Cuma yang berbeza ceritanya ialah menerusi ruangan Zubir Mohd Yunus daripada satu sumber mendedahkan kononnya satu kisah di sebalik percutian itu.

Kononnya, cerita mengatakan Rozita bukan cuma bercuti berdua dengan adiknya, Ayu Raudhah, sebaliknya turut ditemani seorang bekas menteri.

Sebelum kecoh dengan isu ini, Rozita terdahulu hangat dengan kisah mengaitkan beliau kononnya berbogel dan gambar itu tersebar di laman maya. Usaha menjejaki Rozita berjaya untuk menjawab sedikit persoalan yang terbuku mengenai dakwaan cerita percutiannya dengan bekas menteri itu pada 14 November lalu.

Ketika itu Rozita terbabit dengan rakaman program bual bicara Primadona (siaran Astro Prima) bersama Erra Fazira, Ziela Jalil dan Raja Azura di Astro, Bukit Jalil. Seboleh-bolehnya, Rozita memilih untuk tidak memberi sebarang jawapan selepas membuat beberapa pertimbangan termasuk nasihat daripada syarikat pengurusannya, Laugh Out Loud Entertainment. Ia ekoran siri gosip terdahulu yang menerjah kanvas seninya iaitu semakin dinafikan semakin berpanjangan pula desas-desus bertebaran.

Tetapi persoalan di sini, Rozita selama ini sering dikaitkan dengan pucuk muda seperti gosip beliau dengan Shahir, Beego dan Zain Saidin. Tak mungkin pula wanita bertubuh kerengga ini sudah berubah selera dengan memilih lelaki berusia seperti desas-desus mengaitkannya dengan bekas menteri yang sudah dalam kategori usia senja.

Apa komen Rozita mengenai gosip bercuti dengan bekas menteri itu?

Saya memilih untuk berdiam diri. Saya ambil pendekatan ini kerana selama ini pun selepas mengeluarkan kenyataan menafikan tetap ada yang terus memanjangkannya. Jadi, apa pilihan yang saya ada?
Sampai bila?

Saya rasa persoalan sampai bila itu sampai bila-bila pun tak akan bernoktah. Bayangkan dari satu gosip ke gosip lain, saya terus dihimpit pelbagai cerita. Isu peribadi dan kontroversi juga yang jadi perhatian serta diperbesarkan. Sedangkan kisah kerjaya saya terus dikaburi kisah peribadi.

Macam Rozita sudah mula tak kuasa dengan kontroversi yang melanda diri?

Memang saya sudah tak kuasa...suka hatilah orang nak kata atau tulis apa. Suka hatilah labu...

Bererti hal ini akan terus tergantung tanpa kesudahan?

Isu penyebaran gambar bogel sebelum ini pun tergantung sebenarnya. Bila dinafi, ada orang kata penafian itu seperti saya cuba cover line. Seolah-olah saya cuba menyembunyikan kebenaran atau kekhilafan diri. Jawab atau berdiam diri, ia langsung tidak memberi refleksi terhadap kerjaya saya. Cuma, persepsi peminat saya terutama akan jadi dua kebarangkalian. Ada yang mungkin akan terus menyokong dan positif dan sebaliknya. Terpulanglah kepada persepsi masing-masing.

Apa perkembangan terbaru?

Sekembalinya dari Jepun untuk peng gambaran drama, Kiah Spy Ke Jepun terbitan Zeel Production Sdn Bhd, saya terus sibuk menjalani rakaman program Primadona. Saya juga baru saja habis penggambaran telefilem Anak Ikan arahan Rashid Sibir untuk siaran Astro Prima. Watak saya dalam telefilem itu bercinta dengan Zain biarpun sudah bertunang dengan Shah Iskandar. Mulai 18 November hingga hujung bulan ini saya ke Perlis untuk menyudahkan penggambaran drama Kiah Pekasam musim terbaru dan Kiah Spy Ke Jepun.