Adsense

Jumaat, 12 Oktober 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Sabar itu suatu ujian

Posted: 11 Oct 2012 07:31 AM PDT

REALITI yang harus ditelan, nama dan bakat yang ada padanya masih belum kukuh dan jauh untuk muncul di depan. Entah di mana silap dan salahnya, Siti Khatijah Hassan atau panggilan komersialnya, Kat Hassan bagaikan masih tercari-cari laluan kerjaya untuk menjadi seorang penyanyi dan penghibur terkenal.

Meskipun bersandar pada program televisyen popular Mentor 2, menjadi protege kepada penyanyi terkenal dan status adik ipar kepada rocker, Amy Search, Kat masih tidak berjaya memaut pada publisiti meluas, sebaliknya gadis jelita berusia 25 tahun ini gigih berdiri membina nama sendiri.

Bagaimanapun, sesuatu yang pasti, acap kali bertentang mata dengannya, bersembang panjang dan mendengar setiap bicara yang dilontarkan, semangat dan kesungguhannya tidak pernah berubah.

Kat masih yakin dan percaya pada prinsip yang dipegang sejak awal melangkah dulu, biarkan lewat memahat populariti namun sebaik saja bucu bintang itu mampu disentuhnya, ia tentu akan bersinar lama.


Jelasnya, soal popular hanya satu bonus namun apa yang lebih penting adalah permulaan bagi satu perjuangan yang sedang diatur.


"Bukan sehari dua saya ditanya soalan yang sama bilakah saya akan benar-benar menyerlah. Namun saya percaya rezeki dan peluang itu belum sampai buat saya.
Saya kena terus berusaha kerana saya sedar ada penyanyi di Malaysia yang pernah melalui fasa yang sama seperti saya.

"Walaupun tidak selalu mewarnai halaman akhbar atau hadir memeriahkan majlis anugerah atau acara hiburan, saya masih selesa bergerak dengan cara saya. Ada saja peluang dan kepercayaan pihak yang mengundang saya membuat persembahan pada majlis korporat. Itu sudah cukup untuk saya menyokong semangat bagi terus mengejar impian yang jauh di atas.

"Keluarga dan teman-teman adalah penguat semangat yang sentiasa memberikan suntikan positif buat saya. Benar kata mereka, kalau berusaha sekuat mana dan memikirkan seribu satu jalan sekali pun, namun jika tidak tertulis rezeki itu untuk saya, ia tidak akan ke mana juga. Namun kalau peluang itu sudah awal disuratkan untuk saya, insya-Allah satu hari nanti ia akan menanti saya juga," katanya.

Album perdana Kat berjudul Menggoda dilancarkan pada pertengahan Mei lalu. Ia menjadi detik permulaan yang segar buat dirinya.

Mata kasar mungkin menghukum bingkisan istimewa yang mengandungi lima lagu itu masih gagal, namun hakikatnya usaha yang dipertaruhkan itu boleh dipuji.

Tambah Kat lagi, sambutan yang diterima daripada peminat dan pendengar terhadap karya sulungnya itu begitu baik hingga mampu mengundang semangatnya untuk terus mencuba lagi.

"Alhamdulillah, apa yang saya perjuangkan selama ini khususnya untuk Menggoda berbaloi. Saya secara peribadi berasa puas kerana akhirnya impian ingin memiliki sebuah album perdana tercapai juga. Mengapa lekas menjatuhkan hukum atau meletakkan persepsi atas usaha orang lain. Ada lebih baik jika kita sama-sama menyokong dan optimis akan kemampuan orang lain terutamanya pendatang baru seperti saya," katanya yang pernah membuat percubaan dengan menghasilkan album Chiki namun ia tidak begitu mendapat sambutan.

Biarpun populariti belum memuncak dan album tidak laris seperti diimpikan, gadis kelahiran Pulau Mutiara ini yang pernah muncul dengan lagu Hilang, sentuhan Edrie Hashim memberanikan diri mencatur perjalanan terus ke depan.

Ingin melakukan kerja amal membantu pihak yang memerlukan, Kat yang juga pernah menceburi lapangan seni lakon dalam beberapa drama termasuk Sayang Cendana, Sudu & Garfu dan Kasih Marisha akan tampil dengan persembahan solo dalam 'showcase' istimewa pada 31 Oktober ini di The Venue, Pavilion, Kuala Lumpur.

'Showcase' amal bertujuan untuk menyumbang kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) ini ibarat pengenalan kepada perancangan masa depannya.

"Lama rasanya saya menyimpan hasrat untuk mengadakan persembahan istimewa seperti ini namun alhamdulillah, rezeki itu datang lebih awal dari yang saya sangkakan. Saya cukup seronok apabila berpeluang membabitkan diri dengan kerja kemasyarakatan dan ia memang menjadi impian saya untuk turut berbakti kepada negara.

"Persembahan ini nanti adalah satu prelude kepada konsert besar saya yang dijadualkan pada Februari tahun depan. Kiranya, ini adalah sesi panaskan badan dan melihat dulu pasaran dan sambutan daripada peminat. Namun objektifnya masih sama, untuk membantu dan beramal. Keseluruhan kutipan tiket nanti akan diserahkan kepada tabung PBSM.

"Lebih istimewa lagi, 'showcase' ini nanti akan turut diserikan penyanyi baru di bawah naungan syarikat saya, Kath Entertainment iaitu Deanna Sofea," katanya yang turut berlakon dalam filem Lagenda Budak Setan 2 dan 3.

Terlintas pula persoalan apakah yang membuatkan gadis yang tidak lekang mengukir senyuman ini begitu berani menganjurkan 'showcase' sedangkan namanya masih belum kukuh seperti kebanyakan penyanyi lain.

Bagai sudah mengagak akan diajukan persoalan sebegitu, Kat hanya tersenyum dan perlahan-lahan menarik nafas menyusun kata.

"Saya tidak pernah menjadikan populariti sebagai penanda aras dalam kerjaya nyanyian. Walaupun saya akui ia penting tapi saya tidak ada kuasa untuk memastikan ia datang melekat pada saya. Bagaimanapun, apa yang penting adalah impian dan minat saya. Memang sejak dari dulu, inilah yang saya inginkan dan alhamdulillah tidak akan saya persiakan.

"Jika ada yang bertanya mengenai keberanian dan semangat, saya katakan ini satu usaha untuk saya terus ada dalam industri. Apa yang akan saya lakukan dalam 'showcase' nanti adalah satu permulaan kepada segala-galanya. Ini satu persembahan bagi mengutip dana untuk meringankan beban mereka yang memerlukan.

"Konsert solo pada Februari depan juga satu lagi percaturan yang saya fikirkan untuk terus mengukuhkan nama sebagai seorang penyanyi," katanya.

Peminat boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung konsert itu di laman sosial facebook dan twitter milik Kat Hassan atau mendapatkan tiket masuk bernilai RM20 yang akan disumbangkan sepenuhnya kepada tabung PBSM untuk tujuan kebajikan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11


Nafas baru tarian lama

Posted: 11 Oct 2012 07:04 AM PDT

TARIAN tradisional rakyat seperti joget, zapin, inang dan banyak lagi di Malaysia sememangnya menjadi lambang serta identiti bahawa negara ini kaya dengan khazanah tari.

Hakikatnya, unsur yang ada dalam setiap tarian cukup unik dan berbeza dengan kebanyakan tarian lain di seluruh pelosok dunia.

Bagaimanapun, dalam usaha memartabatkan lagi tarian tradisional seiring menaikkan nilai komersial pelbagai gerak tari tempatan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) tidak pernah leka untuk menganjurkan acara ke arah mencapai matlamat itu.

Meneruskan penganjurannya yang dimulakan sejak 2009, pada 12 dan 13 Oktober ini bakal berlangsung Malam Gala Inspitari menggabungkan 15 kumpulan kesenian di bawah JKKN seluruh negara.


Semestinya, persembahan kali ini akan lari daripada kebiasaan kerana gerak tari yang dipersembahkan meng-gunakan koreografi segar dan lebih kreatif.


Bukan saja menyasarkan rakyat tempatan untuk terus menikmati keaslian warisan tempatan, tarian yang dipertunjukkan menerusi acara ini diharap akan mencetuskan fenomena di peringkat antarabangsa.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, selain diberikan sentuhan baru dengan olahan muzik yang lebih kontemporari, tarian ciptaan baru itu bagaimanapun masih lagi dijaga keasliannya tanpa menjejaskan imej dan identiti negara.

"Kami mahu mencari reka tari yang boleh dikatakan mampu diketengahkan ke peringkat antarabangsa khususnya seperti tarian Gangnam Style yang mencetuskan kegilaan di seluruh dunia. Tarian itu yang diolah daripada gerakan menaiki kuda dan gaya hidup masyarakat di Wilayah Gangnam, Korea Selatan itu sekelip mata
menjadi terkenal.

"Mengambil inspirasi daripada kejayaan itu, persembahan yang bakal dipertunjukkan pada acara kali ini juga sememangnya unik. Dengan memperkenalkan tema Pencarian Tari Kreasi Baru, setiap kumpulan dari semua negeri akan tampil mempersembahkan reka tari yang baru namun berasaskan tarian sedia ada masyarakat setempat di negeri masing-masing," katanya.

Untuk persembahan tahun ini, 16 tarian yang diolah semula dipersembahkan seramai 274 Artis Budaya (Tari) Kumpulan Kesenian JKK dari seluruh negara termasuklah tarian Awang Batil oleh KK JKKN negeri Perlis, Tari Jelapang (Kedah), Lanca (Pulau Pinang), Gambus Kampung Padang Changkat (Perak), Zapin Cemara (Selangor) dan Zapin Wove (Kuala Lumpur).

Selain itu, JKKN Negeri Sembilan pula akan membawakan Seramik, Inang Bukit Cina (Melaka), Masadeka (Johor), Moh Mutik Teh (Pahang), Tedung Terengganu) dan Nego (Kelantan). Tidak ketinggalan, kumpulan dari Sabah akan mempersembahkan Selendang Cocos, Sarawak dengan tarian Sirat serta JKKN induk dengan tarian Tingkah.

Pada Inspitari 2011, keseluruhan persembahan membuahkan hasil membanggakan apabila di antara 14 tarian baru yang dipentaskan ketika itu, sekurang-kurangnya enam tarian berjaya menonjol dan sering dipersembahkan dalam acara anjuran JKKN sama ada di peringkat negeri, nasional atau antarabangsa.

Buat semua pencinta seni budaya serta masyarakat yang mahu melihat satu transisi baru dalam memartabatkan seni tari tempatan, jangan lupa saksikan Malam Gala Inspitari di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut pada 12 dan 13 Oktober bermula jam 8 malam. Masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11