Adsense

Sabtu, 6 Oktober 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Nikita terharu

Posted: 05 Oct 2012 04:30 PM PDT

Bintang sinetron Yusra & Yumna dapat perhatian di Malaysia

Melihat wajah gadis comel pelakon dari seberang, Nikita Willy sesiapa saja akan tertarik. Gadis berusia 18 tahun keturunan Minang dari Padang, Indonesia ini bukan saja memiliki wajah yang lembut, malah bakat lakonannya diperakui sehingga pernah menerima anugerah Pelakon Terbaik Anugerah Global Panasonic di negara kelahirannya.

Beberapa sinetron lakonannya yang pernah menjengah stesen televisyen negara ini seperti Safa dan Marwah, Putri Yang Ditukar dan Roman Picisan turut mendapat sambutan sehingga dia berjaya menggilap nama dan mempunyai ramai peminat di negara ini.
Pelakon sinetron termahal

Pemilik nama sebenar Nikita Purnama Willy yang bernaung di bawah syarikat produksi SinemArt dikatakan antara pelakon sinetron termahal di Indonesia. Kini dia sekali lagi ke negara ini dengan membawa sinetron berjudul Yusra & Yumna menerusi saluran Astro Pelangi 142 (Indopek) setiap Isnin hingga Jumaat jam 1 petang bermula 17 September sebanyak 193 episod.

Kali ini, tanggungjawabnya lebih besar dan mencabar apabila memerlukan dirinya melakonkan dua watak kembar yang berlainan karektor.

Katanya, tekanannya sentiasa memuncak apabila sering kali berasa terkeliru dengan babak yang harus dilakonkan memandangkan bukan 13 episod yang perlu dilaksanakan seperti mana kebiasaan drama di negara ini tetapi mencecah 193 episod.
"Secara jujurnya saya menerima tawaran ini dengan hati yang senang memandangkan semua pelakon mengimpikan cabaran dalam setiap kerja yang diberikan. Namun sebelum penggambaran saya sering kali berbincang dengan sutradara dan penulis skrip terlebih dulu untuk mendalami watak dan kemahuan mereka.

"Selepas bermulanya penggambaran, saya berasa tertekan kerana terlalu penat kerana sering bertukar karakter, pakaian dan solekan, namun selepas beberapa hari saya semakin selesa" katanya mengakui cukup teruja kerana bakat lakonannya dapat disaksikan peminat di Malaysia.

"Saya pun baru tahu sinetron ini akan dibawa masuk ke Malaysia. Ini salah satu lagi peluang untuk saya memasarkan diri saya ke Malaysia.

Secara jujurnya saya pernah ke Malaysia baru-baru ini kerana mempromosikan album nyanyian saya, namun tiga hari di sana terlalu pendek, saya belum puas menikmati bumi Malaysia. Jika diberikan peluang untuk berlakon di sana sudah pasti saya tidak akan menolaknya kerana itulah impian saya untuk melebarkan bakat saya di manamana saja," katanya.

Cebur bidang nyanyian

Bercerita mengenai dunia nyanyian yang baru diceburi, Nikita tidak terlalu meletakkan harapan terlalu tinggi, namun sekadar mencuba sejauh mana bakatnya itu mampu digilap.

"Bidang nyanyian hanya sekadar mencuba saya, sebagai orang seni saya harus tahu mencari peluang untuk mengembangkan bakat dan tidak mahu terlalu tertumpu pada satu bidang saja. Semangat saya ingin mencuba bidang nyanyian apabila sutradara mencabar saya menyanyi untuk dimuatkan sebagai lagu tema. Selepas itu saya semakin berani untuk meneruskan," katanya.

Album mini

Nikita kini tampil dengan album mini yang memuatkan lima single bertajuk Ku Tetap Menanti, Lebih Dari Indah, Tafakur, Pantas Untukku dan Lebih Dari Indah dalam bentuk orkestra.

Sinetron Yusra & Yumna yang kini ditayangkan Astro Pelangi turut mendapat maklum balas yang positif. Ia dibawa masuk syarikat tempatan Broadway Media Sdn Bhd dan menjadi antara sinetron paling popular di Indonesia serta masih ditayangkan di republik itu.

Sementara itu, Pengurus Saluran Indopek, Shafirul Nizam Haron, berkata salurannya sentiasa menitikberatkan produk berkualiti di samping mendedahkan kepada produksi tempatan ilmu yang boleh ditimba hasil produksi luar negara.

"Kebiasaannya sinetron yang dibawa masuk dari negara itu dinilai berdasarkan kualiti dari pelbagai aspek seperti jalan cerita, mesej yang baik, teknik penyediaan dan popularitinya. Begitu juga dengan paparan budaya yang tidak jauh dari negara kita. Yusra & Yumna antara sinetron terbaik setakat ini dihasilkan produksi Indonesia, SinemArt kerana garapannya yang kemas dan boleh menjadi penanda aras kepada penerbit tempatan menghasilkan produksi bermutu tinggi," katanya.

Kisah kembar terpisah Selain Nikita, sinetron arahan Gita Asmara turut dibintangi Putri Titian, Samuel Zylgwyn, Rezky Aditya, Nadya Almira, Gisela Cindi dan Bobby Joseph.

Yusra & Yumna mengisahkan dua beradik kembar, Yusra dan Yumna terpisah dalam kejadian tsunami. Yusra yang berada dalam pelukan ibunya, Nirwana selamat manakala Yumna hanyut tetapi diselamatkan nenek Layla dan cucunya, Setia. Mereka membesarkan anak kecil itu dan menamakannya Shira. Biarpun bertahun-tahun peristiwa itu berlalu, Nirwana tidak pernah melupakan Yumna dan sentiasa bersedih. Suaminya, Rama memutuskan untuk merahsiakan mereka mempunyai seorang lagi anak kembar daripada pengetahuan Yusra.

INFO: Nikita Willy
NAMA PENUH: Nikita Purnama Willy
NAMA KOMERSIL: Nikita Willy.
TARIKH LAHIR: 29 Jun 1994.
TEMPAT LAHIR: Jakarta, Indonesia.
ADIK-BERADIK: Anak pertama daripada dua beradik.
KARIER: Model, pelakon dan penyanyi.
IKLAN: Choki Choki, Bank BNI, Lip Ice, Fruitamin, jam tangan Alba, kosmetik Pigeon.
SINETRON: Bulan Bintang, Roman Picisan, Ratu Malu dan Jendral Kancil, Pengantin Remaja, Si Cecep, Pacar Pilihan, Mak Comblang Jatuh Cinta, Habibi dan Habibah, Nikita, Safa Marwah, Mr Olga, Putri Yang Ditukar.
FILEM: Married By Accident, Bestfriend dan Tertipu Laris Manis LAGU: Ku Tetap Menanti, Lebih Dari Indah, Tafakur, Maafkan dan Pantas Untukku duet bersama Oskar Mahendra.
PENCAPAIAN: Artis Paling Digemari di Anugerah Panasonic, Global 2010 & 2011, Artis Paling, Digemari Anugerah Nickelodeons, Kids 2010 dan Selebriti Terbaik, Telefon Bimbit Telkomsel 2010

Oh! Yeahhh... Beego rancang kahwin

Posted: 05 Oct 2012 03:48 PM PDT

Alhamdullilah! Aktor cun popular - Beego, 32, sedang merancang untuk berkahwin dengan aktres jelita popular - Linda Hashim, 28, insya-Allah pada tahun depan. Oh! Yeahhh... bestnya! He! He!

Pada 1 Oktober lalu, Beego beritahu Juwie, insya-Allah jika tiada aral melintang, dia akan membawa keluarganya untuk merisik dan melamar Linda pada pertengahan bulan ini. Alhamdullilah.

Nama sebenar Beego ialah Md Aszerul Nizam Abdullah dan pernah menjadi anggota kumpulan penyanyi Phyne Ballerz, sementara nama penuh Linda pula ialah Norhazlinda Hashim.

BEEGO DAH BAWA LINDA JUMPA KELUARGA BEEGO DI BANDAR BARU UDA, JOHOR BAHRU SEBELUM RAMADAN DAN AIDILFITRI LALU"

Seronok sungguh Beego apabila Juwie bersembang rancak dengannya menerusi telefon setelah bertahun-tahun kami tak berjumpa.

Jumpa keluarga

Menurut Beego lagi, kalau boleh dia tak nak bertunang tapi nak terus bernikah dengan Linda... insya-Allah perancangannya pada pertengahan tahun 2013. Marilah kita sama-sama doakan semoga Allah pertemukan jodoh mereka yang bahagia.

"Beego dah bawa Linda jumpa keluarga Beego di Bandar Baru Uda, Johor Bahru sebelum Ramadan dan Aidilfitri lalu.
Mak dan nenek Beego suka sangat dengan budi bahasa Linda," cerita Beego dalam nada ceria.

Beego pula dah beberapa kali berjumpa ahli keluarga Linda. Nampaknya keluarga kedua-dua belah pihak merestui hubungan mereka. Alhamdullilah.

Juwie tanya... apa yang menarik tentang Linda di mata Beego? Jawab Beego:

"Dia sangat baik orangnya, berbudi bahasa dan pandai jaga diri."

Beego semakin laris dapat tawaran berlakon. Terbaru dia berlakon siri drama Mat Latah arahan Murali Abdullah dan Fauzi Nawawi terbitan A Aida Productions. Kemudian dia berlakon siri drama sitkom berjudul Kampung Bahasa untuk RTM.

JUWIE: Semoga Allah merahmati pertemuan jodoh Beego dan Linda dan akan bahagia hingga ke syurga...