Adsense

Khamis, 11 Oktober 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Eja ganti Sofia

Posted: 10 Oct 2012 04:56 PM PDT

Teater Tun Siti Hasmah dilanda kontroversi lagi apabila pelakon utama bertukar tiga kali

Untuk kali ketiga, watak Tun Dr Siti Hasmah dalam projek teater berjudul sama, bertukar tangan. Andai kali pertama, aktres Erra Fazira menarik diri dan tugas itu diamanahkan kepada Datin Sofia Jane, nasib sama menimpa produksi teater ini. Terbaru, aktres berdarah kacukan itu pula membuat keputusan sama berundur daripada pementasan itu.

Tiada angin atau ribut, tiba-tiba HIP mendapat maklumat kononnya Sofia melupakan hasrat melakonkan watak Hasmah. Berusaha mencari kepastian, akhirnya berita itu disahkan Pengerusi World Islamic Network Television, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan yang juga penerbit teater Tun Dr Siti Hasmah kepada BH.

Khairuddin berkata, sekalipun melalui saat genting dengan penarikan diri Sofia, namun pihaknya bersyukur kerana projek itu tidak terbantut kerana Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24, Eja sudi menggantikan Sofea bagi watak utama itu.
Eja jalani latihan

"Saya sahkan Eja menggantikan tempat Sofia untuk membawa watak Dr Siti Hasmah. Dia sudah pun menjalani latihan dan saya percaya dia boleh membawakan watak itu dengan baik," katanya.

Ditanya mengapa Sofia menarik diri, suami kepada pelakon Umie Aida hanya menyatakan ia adalah untuk kepentingan semua pihak.

"Mungkin jadual Sofea tidak dapat diselaraskan dengan kehendak produksi hingga dia terpaksa menarik diri. Namun, menurut Sofia, tindakannya itu adalah untuk kepentingan semua pihak termasuk pihak produksi, Siti Hasmah dan dirinya," katanya.
Perasaan bercampur-baur

Eja atau nama sebenarnya, Siti Shahrizah Saifuddin ketika dihubungi HIP mengaku perasaan bercampur -baur.

Akui aktres jelita ini, rasa teruja dan gementar bagai bersarang dalam diri. Walaupun pada awalnya, dia ragu-ragu menerima tawaran itu, namun dengan sokongan Umie dan pengarah teater, Erma Fatima, Eja bersetuju.

"Ini adalah pengalaman pertama Eja beraksi di atas pentas. Sebelum ini, Eja pernah menolak beberapa tawaran untuk berlakon teater kerana Eja tidak yakin. Semuanya berlaku begitu pantas. Eja dihubungi Umie untuk membawakan Dr Siti Hasmah pada era isteri Perdana Menteri.

"Selepas melihat skrip, Umie tanpa banyak soal menganggap Eja sudah bersetuju untuk membawakan watak itu. Biasalah Umie, dia memang tidak akan menerima jawapan 'tidak' untuk permintaan itu. Dengan kepercayaan dan sokongan yang diberi akhirnya saya bersetuju untuk melakonkan watak itu," katanya.

Lebih fokus

Berikutan kesuntukan masa, Eja yang ditawarkan watak itu akhir bulan lalu terpaksa memberi fokus yang lebih dari segi latihan.

"Sehingga ke hari ini, saya masih belum terlepas sesi latihan. Walaupun dalam keadaan terkejar-kejar kerana terpaksa menguruskan anak yang baru saja bersekolah, saya tetap menghadiri sesi latihan," katanya yang mengharapkan sokongan ramai pihak terhadap teater sulungnya itu.

Teater Tun Dr Siti Hasmah ini turut dibintangi Esma Daniel sebagai Tun Dr Mahathir pada usia dewasa dan Nazim Othman (watak Dr Mahathir ketika muda) bersama kira-kira 25 pelakon lain. Teater ini bakal dipentaskan mulai 9 hingga 19 November di Panggung Sari, Istana Budaya.

Kebanggaan negara

Posted: 10 Oct 2012 03:54 PM PDT

Pelakon harap Bunohan mampu beri saingan pada Anugerah Academy ke-85

Pelakon Bunohan, Zahiril Adzim, 28, berharap penyertaan filem itu dalam senarai awal merebut trofi Filem Bahasa Asing Terbaik, Anugerah Academy ke-85 mampu menyambung legasi filem Puteri Gunung Ledang (PGL) mara ke peringkat seterusnya.

Aktor yang membawakan watak peninju yang melarikan diri dari gelanggang tomoi dalam filem arahan Dain Said itu juga meminta seluruh masyarakat Malaysia memberi sokongan padu terhadap Bunohan memandangkan ia membawa nama negara.

"Syukur kerana filem ini mampu melangkah sejauh ini. Dulu kita ada PGL dan sekarang Bunohan pula, yang cuba membuktikan filem tempatan mampu melangkah jauh, lebih-lebih lagi untuk merebut Oscar.
"Namun Bunohan bukan hanya wajar menjadi kebanggaan kami selaku warga kerjanya, sebaliknya seluruh rakyat Malaysia kerana ia melangkah ke anugerah terbabit atas kapasiti negara," katanya ketika dihubungi HIP, semalam.

Filem terbitan Apparat Sdn Bhd itu menjadi antara filem dari 71 negara yang tersenarai untuk penilaian juri bagi kategori berkenaan termasuk The Patience Stone dari Afghanistan, Lore (Australia), Pleasure Boy Komola (Bangladesh), Children of Sarajevo (Bosnia Herzegovina), Lost Loves (Kemboja), Barfi! (India), The Dancer (Indonesia), When I Saw You (Palestin), Already Famous (Singapura) dan Headshot (Thailand).

Bunohan juga menyertai beberapa acara luar termasuk Festival Filem Toronto, Festival Filem Antarabangsa Sao Paulo, Festival Filem Antarabangsa Rotterdam, malah meraih Anugerah Netpac pada Festival Filem Taipei Golden Horse.

Perlukan penggiat pelapis
Teman gandingannya yang membawakan peranan Bakar, Pekin Ibrahim, pula melihat penyertaan Bunohan sebagai pembuka mata pihak berkaitan supaya mewujudkan lebih banyak ruang buat penggiat industri, yang serius mencari pelapis, dengan memberikan insentif seperti bidang lain khususnya sukan.

"Terima kasih kepada FINAS apabila memilih filem ini mewakili negara. Sudah tentu saya berharap ia mampu melepasi tapisan juri untuk berdiri sebagai calon akhir. Apa pun penyertaan pada peringkat awal ini sudah membuatkan saya berbangga, apatah lagi sebelum ini Bunohan sudah mendapat pengiktirafan pada festival filem luar.

"Bagi saya, seni mampu mengharumkan nama negara kerana seperti sukan, kita harus punya pelapis dan jika perlu golongan sasaran ini boleh dihantar menimba ilmu di luar negara. Berikan masa dua hingga tiga tahun dan apabila pulang nanti mereka dapat berkongsi pengetahuan atau kepakaran dengan rakan lain," katanya.

Bunohan menjadi produksi kedua dari Malaysia yang tersenarai merebut lima tempat teratas dalam kategori berkenaan pada anugerah perfileman anjuran The Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS) itu selepas PGL pada 2004. Edisi ke-85 anugerah terkemuka itu akan berlangsung di Los Angeles, California, Amerika Syarikat, Februari depan.