Adsense

Sabtu, 29 September 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Angelina Jolie versi Bollywood

Posted:

Angelina Jolie versi Bollywood

PASANGAN kekasih terhangat Bollywood saat ini, aktres Kareena Kapoor dan aktor Saif Ali Khan kini meraih label Brangelina versi Bollywood.

Brangelina merujuk kepada pasangan pelakon tersohor Hollywood, Brad Pitt dan Angelina Jolie yang sudah bercinta dan bersekedudukan tanpa sebarang ikatan pernikahan selama tujuh tahun.

Kareena dan Saif pula melakukan perkara yang sama sejak lima tahun yang lalu.

Tiada langsung perasaan malu dalam diri Kareena dilabelkan setaraf pasangan Brangelina atau lebih tepat dirinya kini diumpamakan sebagai Angelina Jolie versi Bollywood, khususnya daripada segi bersekedudukan tanpa nikah dengan kekasih hati.

Kareena sebaliknya bersikap terbuka mengenai perkara tersebut.

Ia ekoran gosip tersebar sejak beberapa bulan lalu mengatakan dia dan Saif bakal berkahwin sekitar bulan Oktober ini.

Malah tarikh perkahwinan mereka iaitu pada 18 Oktober ini sudah didedahkan kepada media baru-baru ini oleh ibu Saif sendiri iaitu aktres veteran legenda Sharmila Tagore.

Namun khabarnya pula, tarikh itu ditunda ekoran Saif dikatakan sibuk dengan projek filem terbaharu lakonannya, Go Goa Gone.

Laporan-laporan akhbar di India sebelum ini juga telah mendedahkan bahawa Saif sudah menghantar beberapa dokumen undang-undang di pejabat pendaftaran Bandra, Mumbai, India pada 12 September lepas bagi membolehkan dia mengahwini Kareena.

Mengikut undang-undang di India, bagi pasangan yang ingin berkahwin mereka perlu menghantar borang berkaitan sekurang-kurangnya sebulan awal bagi mendapatkan kebenaran perkahwinan.

Justeru, Kareena dan Saif dijangka akan berkahwin selepas 12 Oktober nanti.

Namun, kedua-dua Kareena dan Saif sehingga kini masih mengunci mulut mengenai tarikh sebenar perkahwinan mereka.

Kareena terutamanya, seumpama bermain teka-teki tentang perkara itu.

Ini kerana ketika ditemui wartawan di India dan ditanya mengenai tarikh sebenar perkahwinan itu baru-baru ini, Kareena secara sinis menegaskan bahawa dia sudah lama 'berkahwin' dengan Saif.

"Sudah lima tahun saya dan Saif tinggal bersama. Kami beli rumah dan menghias rumah itu bersama-sama. Saya juga sudah jumpa keluarganya dan semua orang tahu mengenai hal ini," ujarnya.

Jelasnya lagi, perkahwinan mereka cuma masih belum ada pengesahan di atas kertas dan mereka akan melakukannya tidak lama lagi.

"Ertinya saya sudah berkahwin dengan Saif dan menjadi Puan Saif Ali Khan bukan suatu perkara baharu buat saya," ujar Kareena yang baru-baru ini turut menerima ucapan tahniah daripada pasangan Brangelina berhubung perkahwinan mereka itu.

Tambah Kareena, dia langsung tidak mempunyai masalah dengan anak-anak Saif daripada perkahwinannya terdahulu.

Hasil perkahwinan Saif bersama aktres Amrita Singh sebelum ini memperoleh dua anak iaitu Ibrahim dan Sarah.

Katanya: "Saya menyayangi kedua-dua Ibrahim dan Sarah seperti mana mereka menyayangi saya.


AKTRES jelita ini berjanji akan mengumumkan tentang tarikh sebenar perkahwinannya.


"Ibrahim dan Sarah juga hormati saya. Mereka sedang membesar dan Sarah kelihatan sangat cantik."

Isu tarikh perkahwinan Kareena dan Saif sebenarnya telah bertiup kencang sejak tahun lepas lagi, apabila pasangan itu dikatakan akan berkahwin pada bulan Februari atau Mac tahun tersebut.

Namun, mereka telah menundanya kerana ingin memberi tumpuan kepada penggambaran filem, Agent Vinod yang melibatkan mereka sebagai pelakon utama.

Sekarang ini timbul tarikh baharu pula. Kareena dan Saif dikatakan akan berkahwin pada 16 Oktober ini, tetapi Kareena pantas menafikan perkara berkenaan dengan berkata: "Sejak tahun 2009 sehingga kini, ramai pihak membuat spekulasi sendiri mengenai tarikh perkahwinan kami."

"Jangan risau, jika kami benar-benar berkahwin, sudah pasti kami akan mengumumkannya kepada media dan peminat semua," kata Kareena.

Walaupun sering diasak dengan pelbagai khabar angin mengenai tarikh perkahwinannya, Kareena tetap memberi tumpuan utama terhadap kariernya.

"Saya perlu bersikap profesional dan tidak mudah melatah. Industri hiburan pastinya mengundang pelbagai gosip dan anda perlu bijak menanganinya," ujar Kareena.

Peluk Islam

Dalam perkembangan sama, setelah berkahwin nanti, Kareena dikatakan akan menukar namanya menjadi KKK atau Kareena Kapoor Khan.

"Saif tidak mahu saya mengubah apa-apa selepas berkahwin nanti termasuklah nama saya, tetapi saya tetap akan menggunakan nama Kareena Kapoor Khan," ujarnya.

"Ia cukup bermakna buat saya kerana mempunyai dua nama keluarga hebat dalam industri perfileman Bollywood," katanya seperti dilaporkan Times of India.

Ketika ditanya mengenai agama anutannya selepas berkahwin dengan lelaki Muslim itu, Kareena yang beragama Hindu menjawab dalam nada tegas: "Itu satu soalan yang salah. Saya tidak akan menjawabnya. Sebelum ini media melaporkan bahawa Saif tidak akan memaksa bakal isterinya untuk menukar agama asalnya."

Spekulasi kehamilan

Mengenai karier lakonannya pula, selepas muncul dengan filem pecah panggung terbaharunya, Heroine, Kareena dikatakan menjadi pilihan penerbit tersohor di Bollywood, Sanjay Leela Bhansali untuk watak utama filem berjudul, Ram Leela.

Namun menurut laporan Times of India bertarikh 26 September lepas, Kareena tidak akan membintangi filem itu kerana dia dikatakan gagal memenuhi klausa kontrak lakonan untuk produksi filem di Bollywood.


KIRI: Kareena bersama kakaknya, Karishma Kapoor dirakam semasa menghadiri sebuah majlis hiburan di Mumbai pada 14 September lalu.


Sumber memberitahu akhbar berkenaan: "Dalam klausa kontrak perfileman di Bollywood mensyaratkan pelakon wanita terutama bagi watak utama tidak boleh hamil sepanjang penggambaran sesuatu filem."

"Justeru, adakah ini bermakna Kareena sudah hamil dan menjadi faktor kenapa dia tidak jadi membintangi filem terbaharu terbitan Sanjay Leela Bhansali, Ram Leela?

"Ini kerana soal angka bayaran lakonan sebelum ini tidak pernah menjadi penghalang kolaborasi antara Kareena dan Sanjay."

Zahid mahu kahwin tahun depan

Posted:

Zahid mahu kahwin tahun depan

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA


ZAHID berikrar mahu berkahwin pada tahun depan meskipun walaupun belum mempunyai calon isteri.


CERITA bekas juara Akademi Fantasia musim kedua, Ahmad Zahid Baharuddin atau Zahid AF, 32, agak jarang kedengaran selain mengenai kerjayanya sebagai penyampai radio di Era FM.

Walaupun jarang sekali ceritanya menjadi bahan gosip, kisah cintanya dengan Nita Malaysian Idol musim kedua dan seorang gadis misteri pernah menjadi paparan media sebelum ini.

Cinta pertamanya sejak bergelar artis adalah dengan Nita atau Norhanita Hamzah iaitu naib juara Malaysian Idol 2, namun ia hanya mampu bertahan hampir tiga tahun.

Selepas itu, Zahid dikaitkan dengan seorang gadis misteri dan cinta mereka juga tidak tahan lama dan kini Zahid dikatakan sudah solo tanpa teman wanita sejak sembilan bulan lalu.

Mengakui dirinya kini agak terlewat untuk berumah tangga walaupun masih belum mempunyai teman wanita baharu atau calon isteri, dia tetap tekad untuk 'membina masjid' paling lewat pada tahun depan.

Ketika ditemui di rumah terbuka Aidilfitri radio Era FM, Zahid meluahkan isi hatinya dan impiannya kepada Kosmo! untuk berumah tangga pada tahun depan.

Kosmo!: Adakah Zahid sekarang mempunyai teman wanita baharu atau masih dengan gadis misteri yang diperkatakan sebelum ini?

ZAHID: Sekarang saya single, putus cinta sembilan bulan lalu. Mengenai gambar gadis misteri yang dikatakan teman wanita saya sebelum ini adalah tidak benar. Dia bukan kekasih saya yang kini putus cinta itu.

Maknanya sekarang Zahid masih terluka memandangkan baru putus cinta sembilan bulan lalu?

Memang agak kecewa memandangkan kami pernah bincang untuk berkahwin tetapi tiba-tiba putus pula, tetapi hidup ini perlu diteruskan, nasib baik saya sibuk dengan radio dapat hilangkan sikit pedih putus cinta itu.

Bilakah agaknya Zahid akan berkahwin?

Dahulu, saya sasarkan umur 30 tahun tetapi sekarang sudah 32 tahun, saya perlu cepat sikit cari calon supaya tidak terlewat. Saya bimbang kalau kahwin umur 35 tahun nanti, anak-anak baru nak membesar saya sudah tua.

Calon isteri macam mana yang Zahid hendak, adakah dalam kalangan artis atau orang biasa sahaja?

Saya tidak kisah sama ada artis atau sebaliknya, kalau saya cakap tidak mahu calon daripada artis nanti dapat pula artis, kalau dapat cikgu pun baik juga boleh ajar anak-anak belajar dan kalau dapat doktor senang kalau anak sakit.

Apakah ciri-ciri calon isteri yang Zahid mahukan?

Saya tidak memilih janji dia mesti 'satu kepala' dengan saya dan keluarga saya selain mesti pandai masak serta hormat orang tua. Saya juga tidak kisah sama ada dia pakai tudung atau tidak, tapi lebih baik bertudung.

Adakah Zahid terfikir untuk keluarga carikan calon isteri?

Saya lebih selesa cari sendiri, walaupun ibu saya pernah nyatakan untuk carikan calon isteri untuk saya.

Selain menjadi penyampai radio, apa aktiviti Zahid sekarang?

Saya masih menyanyi tetapi pada hujung minggu sahaja. Saya masih memenuhi undangan nyanyian di majlis korporat dan majlis tertutup.

Pencarian Band Bola Kampung

Posted:

Pencarian Band Bola Kampung


AG gitaris kumpulan Coco merupakan salah seorang juri Battle of the Band: Bola Kampung The Movie.


JIKA anda sentiasa bergerak dengan muzik yang tersendiri, berita gembira untuk anda apabila pihak Animasia Studio yang tampil dengan siri Bola Kampung bakal menganjurkan sebuah pertandingan band bertajuk Battle of the Band: Bola Kampung The Movie.

Siri animasi Malaysia, Bola Kampung telah menemui kejayaan di peringkat global dengan disiarkan di negara-negara Asia Tenggara melalui Disney Channel Asia dan Cartoon Network Asia.

Justeru, pihak Animasia Studio mahu mengulangi kejayaan apabila muncul dengan produk Bola Kampung - The Movie, sebuah filem 3D animasi stereoskopik yang disasarkan menemui penonton di pawagam pada awal tahun 2013. Inilah masanya untuk band anda akan mencapai kemasyhuran segera dengan menjadi band yang akan terlibat dalam pembikinan runut bunyi untuk filem tersebut.

Pertandingan tersebut memerlukan sekurang-kurangnya tiga ahli berusia antara 18 hingga 25 tahun untuk bersaing merebut hadiah hebat termasuk rakaman studio dengan artis istimewa, hadiah wang tunai dan baucar Roland!

Muat turun borang penyertaan dari www.facebook.com/bolakampung dan kongsikan video persembahan anda melalui link YouTube band anda. Kemudian, e-mel butiran band anda kepada makenoise@noisy-bunch.com untuk berpeluang melayakkan diri ke pertandingan akhir Battle Of The Band: Bola Kampung The Movie.

Hanya 10 band akan disenarai pendek dan diumumkan menerusi akaun Facebook Bola Kampung, untuk bersaing pada peringkat akhir di Sunway Lagoon Theme Park (Main Entrance) pada 6 Oktober ini.

Sebanyak 10 band terpilih akan diminta untuk mempersembahkan versi remix lagu tema Bola Kampung sebagai syarat dengan dua buah lagu lain.

Band yang bertanding juga berpeluang untuk mempelajari tips berharga dan nasihat daripada artis tempatan popular serta berpengetahuan dalam senario muzik semasa iaitu Rahul (One Buck Shot) dan gitaris Hujan, AG Coco, yang juga berperanan sebagai juri pertandingan.

Rahul merupakan tulang belakang dalam menguruskan siri konsert berjaya Rockaway dan AG Coco telah menjelajah ke United Kingdom serta sekitar Asia Tenggara dengan band rock alternatifnya, Hujan.

Mereka akan menilai semua penyertaan berdasarkan estetika, keaslian, kreativiti dan sejauh mana tema Bola Kampung difahami oleh setiap band. Para juri juga akan mencari penyertaan yang kreatif dalam memberi inspirasi kepada filem tersebut serta cara interaksi bersama peminat melalui lagu yang dihasilkan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.facebook.com/bolakampung.