Kosmo Online - Hiburan |
Lebaran versi Diana, Heliza, Yatt Posted: Lebaran versi Diana, Heliza, Yatt
PAGI Jumaat yang indah bersahut kicauan burung menyatukan tiga artis muda, Diana Amir, Heliza Helmi dan Yatt Hamzah untuk satu sesi fotografi khas sempena Aidilfitri bersama Kosmo!. Tiga sahabat itu pernah bersama-sama menunaikan ibadah umrah sekitar pertengahan tahun ini dan ketika dipertemukan sekali lagi, pelbagai kisah meluncur laju dari butir kata mereka. Berkongsi nikmat dan rasa yang berbeza untuk bercerita hakikat dan hikmat lebaran kali ini, tiga jiwa itu membuka bicara. Zaman kanak-kanak Heliza Bicara bermula dengan si gadis Sunsilk, Heliza Helmi yang baru pulang dari mengerjakan umrah kali kedua bersama keluarga pada hujung bulan Julai lalu. Selain sibuk mengatur karier sebagai penyanyi dan pengacara, bintang Akademi Fantasia 5 itu rancak menyebar dakwah melalui ceramah motivasi. "Ramai cakap saya sering menghilangkan diri tapi hakikatnya saya sibuk dengan penggambaran rancangan Rasa Halal Astro sejak awal tahun hingga bulan Mei lalu. Menerusi rancangan itu saya menjelajah ke lima buah negara untuk meneroka makanan halal di Turki, Korea, Australia, Perancis dan United Kingdom," tuturnya memulakan bicara. Pengacara Man Jadda Wa Jada dan Sinar Itu Hadir Jua kini sibuk menyusun kembali jadual kerja sekembalinya ke tanah air baru-baru ini. Tidak hairanlah, persiapan raya Heliza dan keluarga dirancang pada saat-saat akhir menjelang 1 Syawal. "Tahun ini saya sekeluarga beraya di Kuala Lumpur memandangkan semua sudah berpindah ke sini. Kalau ditanya mengenai baju raya, memadai sehelai dua untuk dipakai pada hari raya pertama. "Keluarga saya bukan jenis berkonsep dan pakai baju warna sedondon, cukup hanya menghayati nikmat berhari raya sebagai seorang khalifah Allah," katanya yang memilih baju raya warna turquoise tahun ini. Kenangan beraya ketika zaman kanak-kanak di kampung, kata Heliza merupakan detik terindah baginya menyambut lebaran. "Selain kemeriahan bergurau senda bersama keluarga yang telah lama tidak berjumpa, rasa teruja mendapat duit raya dan berlumba-lumba mengumpul paling banyak duit raya melengkapkan memori indah berhari raya," ujarnya yang pernah sakit perut akibat tidak menjaga makan semasa berhari raya beberapa tahun lalu. Diana pakai baju lama Pertama kali menyambut puasa dan raya selepas berhijrah hujung tahun lalu, Diana Amir pula mengakui dia kini mahu lebih mendalami ilmu agama dan kerohanian. "Saya mahu fokus belajar tentang ibadat puasa dan nikmat Aidilfitri. Jika sebelum ini puasa sekadar menahan lapar dan dahaga kini ilmu dan ibadat diaplikasikan lebih mendalam," katanya jujur. Aidilfitri bagi Diana bukan waktu untuk berbelanja sakan dan membeli pelbagai kelengkapan untuk meraikan hari kemenangan berpuasa, jauh sekali untuk bermegah-megah. Malah, bintang program TV Impian Sunsilk itu sekadar memakai kembali jubah-jubah yang dibelinya ketika mengerjakan umrah di Mekah. "Saya pakai apa yang ada sahaja, beri peluang kepada golongan kurang berkemampuan merasa nikmat berhari raya dengan pakaian baharu," ujarnya merendah diri. Keseronokan berhari raya, kata Diana lebih terasa ketika pulang ke kampung. Tahun ini dia menyambut raya di Pulau Pinang dan Johor. "Raya pertama kami sekeluarga meraikannya di kampung ibu saya di Pulau Pinang, manakala kami akan pulang kampung sebelah bapa saya di Johor pada hari raya kelima. Tradisi raya yang paling ditunggu-tunggu adalah saat bermaaf-maafan antara ahli keluarga dan makan beramai-ramai," tutur pelakon filem Salam Cinta yang bakal menemui penonton pada 6 September ini. Baju raya Yatt terbakar Seminggu bercuti sebelum kembali melaksanakan tugasan menyampaikan pesanan dan dakwah melalui forum atau ceramah, Yatt Hamzah berkongsi kemeriahan raya keluarga besarnya yang terdiri daripada sembilan beradik. "Tahun ini keluarga saya memakai baju warna kuning sedondon. Bayangkan apabila semua adik-beradik saya berkumpul beramai-ramai bersama anak masing-masing. Suasana bukan sekadar meriah, tapi juga gamat! "Hari raya pertama disambut di kampung saya di Seremban, Negeri Sembilan dan pada hari raya kedua pula ke Ampang, Selangor di rumah keluarga sebelah suami. "Biasanya pada pagi raya, kami cuba untuk tidak terlepas solat sunat Aidilfitri biarpun terpaksa melakukannya di pekarangan masjid. Kemudian tradisi beratur beramai-ramai untuk memohon restu dan kemaafan daripada ibu saya selalunya melengkapkan pengertian Syawal saya," laju ibu kepada seorang cahaya mata, Suci Hanania Malika, 2 ini bercerita. Penghijrahannya pada 5 April lalu menghadiahkan makna lebaran berbeza kepada Yatt. Katanya, selain teruja meraikan Aidilfitri bersama imej baharu, dia kini lebih menghayati dan mendalami pengertian sebenar hari raya. "Saya lebih bahagia, tapi dalam masa yang sama sedih dan terharu kerana diberikan hidayah oleh Allah untuk berubah. Masih belum terlambat lagi dan kesempatan yang diberikan ini bukti kekuasaan-Nya untuk menikmati keindahan yang ada di depan mata," ungkapnya. Sepasang baju kurung kuning hitam sedondon bersama permata hatinya telah dibeli beberapa hari sebelum raya, manakala lapan pasang baju raya dihadiahkan butik yang menaja pakaiannya. Yatt menggemari ketupat daun palas, kuih bahulu, tart dan rendang hitam masakan ibunya yang biasanya menjadi rebutan dengan lapan lagi adik-adiknya. Berkongsi kenangan raya bermain bunga api ketika darjah satu, kata Yatt pernah baju kurung yang dipakai pada malam raya terbakar gara-gara disambar percikan bunga api akibat terleka. "Baju terbakar dan dada melecur sudah cukup buat saya menangis tanpa henti, mujur ibu tampal bahagian yang berlubang kerana terbakar itu dan mencuci baju untuk hilangkan bau. "Selepas dijemur di ampaian, baju itu terjatuh ke rumah (apartment) bawah pada pagi raya. Sambil menangis terpaksalah saya pakai baju raya tahun sebelumnya," cerita pelakon drama Ular Emas itu bersungguh-sungguh. | |
Raya pertama Nabil, Zira, Zahiril, Syera Posted: Raya pertama Nabil, Zira, Zahiril, SyeraOleh NOOR ASHREEN ISMAIL DUA pasangan bahagia ini menyambut Aidilfitri dengan penuh ceria. "SEBELUM berkahwin, saya hanya perlu fikir diri sendiri, selepas berkahwin pula, saya akui hidup lebih teratur," itu jawapan serupa dilontarkan dua karyawan seni, Zahiril Adzim dan Nabil Ahmad yang belum mencecah setahun bergelar suami. Kemanisan dan keterujaan berumah tangga masih lagi dirasai oleh pelawak, pelakon dan penyampai radio Suria FM pemilik nama penuh Ahmad Nabil Ahmad bersama isterinya, Nazirah Ayub. Perkara yang sama turut dialami Zahiril dan pasangannya, pelakon dan hos Nur Syahirah Aiyob atau nama glamornya, Syera Aiyob. Ceria bercanda dan tawa sepanjang mengadakan sesi fotografi bersama Kosmo! di Putrajaya, baru-baru ini, mereka berempat teruja menceritakan pengalaman masing-masing pertama kali menyambut Ramadan dan Aidilfitri tahun ini. Jika dahulu, bujang dan masih anak dara, kini setelah bergelar suami isteri, rutin harian dan jadual kerja juga harus berubah agar masa dapat diluangkan bersama. Ikuti cerita dan pengalaman dua pasangan ini setelah beberapa bulan bertukar status diri. Masa berkualiti Nabil, Zira Bagi Nabil, setelah bergelar suami tanggal 30 September tahun lalu, dia kini lebih gemar menghabiskan masa di rumah bersama isteri kesayangannya, Zira. "Selepas selesai bersiaran di konti, saya akan terus pulang ke rumah. Ini kerana sesi saya hanya pada sebelah pagi. "Namun, jika ada penggambaran, maka selepas bekerja saya akan terus ke lokasi. Kadangkala, saya akan bawa Zira bersama," tutur Nabil yang mengendalikan segmen Ceria Pagi Di Suria bersama Halim Othman di Suria FM. Menambah keceriaan Nabil dan Zira, setelah hampir setahun berkahwin, Zira kini telah pun berbadan dua. Usia kehamilannya kini hampir mencecah lima bulan. "Kami kerap bersahur dan berbuka sama-sama kerana semenjak kendalikan segmen pagi di Suria FM, waktu kerja saya bermula seawal pukul 5 pagi. Jadi, lebih mudah ingin menyusun masa bersahur kerana setiap pagi Zira akan masak untuk saya. "Setelah bersahur bersama-sama, saya akan terus ke konti. Namun apa yang pasti, jika sebelum ini saya kerap ke majlis berbuka puasa seorang diri, kini sudah ada teman," ungkap Nabil yang mengakui dia dan Zira pernah berbuka puasa sebelum waktunya tanpa sengaja akibat kekeliruan. Cerita Nabil tentang cuti raya pula, tahun ini merupakan giliran untuk pulang ke kampung nenek Zira di Sungai Siput, Perak. Ini kerana dia tidak mengambil cuti memandangkan segmen kelolaannya di Suria FM itu adalah dari Isnin hingga Jumaat. "Aidilfitri jatuh pada hari Ahad, maka Jumaat sebelumnya, selepas habis kerja, saya pulang ke kampung sehinggalah menjelang raya pada hari Ahad. "Pada hari Isnin (hari raya kedua), saya sudah mula bekerja seperti biasa. "Jika tahun ini beraya di rumah nenek Zira, maknanya tahun hadapan, kami akan pulang ke rumah keluarga saya pula bersama bayi kami," ujar Nabil penuh keterujaan menantikan kelahiran cahaya mata sulungnya itu. Rehat Zahiril, Syera Lain pula kisah rumah tangga Zahiril atau nama penuhnya, Mohd. Zahiril Adzim Mohd. Mukhtar dan Syera Aiyob. Perancangan awal mereka adalah ingin meluangkan masa bersama sepanjang Ramadan dan berehat seketika daripada rutin karier masing-masing. "Sepatutnya kami ingin berehat sepanjang Ramadan, kerana maklumlah ini Ramadan pertama kami sambut bersama sebagai suami isteri. "Namun, oleh kerana ada penggambaran yang masih belum diselesai walau sudah dimulakan sebelum bulan Ramadan, jadi kami tidak kisah untuk menghabiskan kerja," tutur Zahiril dan Syera ketika ditanya mengenai jadual kerjaya mereka. Namun kata Zahiril, walaupun mereka bekerja sepanjang Ramadan , jadual dirinya sendiri lebih sibuk berbanding Syera. Pada kebiasaannya, usai penggambaran di lokasi, dia terus pulang ke rumah untuk meluangkan masa berbuka puasa bersama Syera. "Alhamdulillah, saya masih lagi ada masa untuk berbuka bersama keluarga saya dan keluarga Syera sendiri di Ipoh walaupun sibuk bekerja. Selain itu, saya juga tidak banyak melepak di luar, dan jika berbuat demikian sekalipun, kebiasaannya saya akan bawa Syera bersama. "Ini kerana, kebanyakan kawan saya kawan dia juga dan begitu sebaliknya," beritahu Zahiril yang berbangga kerana juadah bersahur dirinya kini disediakan Syera. Mengenai raya mereka pula, tutur Zahiril, pada hari raya pertama, mereka berkunjung ke rumah Zahiril dan seterusnya hari raya kedua di Sungai Siput pula iaitu rumah keluarga Syera. "Memandangkan raya tahun ini merupakan pengalaman pertama, jadi kami berdua sudah sepakat untuk bercuti selama seminggu atau paling lama, dua minggu. "Kami masing-masing beraya dengan tiga pasang baju raya. Tema warna baju raya saya dan Syera pada tahun ini ialah coklat," ujar Zahiril. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |