Harian Metro: Rap |
Posted: 01 Aug 2012 08:04 AM PDT PANAS terik yang menyimbah tubuh dan wajah ketiga-tiga pelakon kacak ini sepanjang sesi fotografi di pinggiran Sungai Klang, baru-baru ini tidak menjejaskan semangat mereka untuk memberikan hasil yang terbaik di depan kamera. Sesekali bergurau, Syamsul Yusuf, Zain Saidin dan Ungku Ismail Aziz akhirnya mendapat titik keserasian untuk bergaya. Mungkin kebetulan, dalam kehidupan yang penuh glamor, ketiga-tiga mereka pernah dikaitkan menjalin hubungan percintaan dengan rakan artis. Menjalin hubungan akrab dengan Diana Danielle dan Liyana Jasmay suatu ketika dulu, Syamsul yang kini berusia 28 tahun tidak kisah untuk mengimbas semula perhubungan itu apabila ditanya mengenai hubungan dengan rakan artis.
Buat masa ini, Syamsul akui tidak begitu memikirkan soal cinta kerana terlalu terikat dengan komitmen kerja yang banyak. Syamsul yang muncul dalam drama Ameera di slot Samarinda TV3 berjaya membuktikannya sebagai pelakon, dia juga tiada masalah untuk beraksi di bawah pengawasan sutradara lain. Meskipun ada pihak pernah menyangkal kononnya Syamsul hanya hebat dalam filem arahannya sendiri, watak Ameer berjaya membuktikan kredibilitinya sebagai seorang pelakon. "Saya tak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk hanya berlakon di bawah produksi sendiri saja, cuma saya terpaksa menolak banyak tawaran sebelum ini kerana terikat dengan komitmen mengarah filem. Saya memang suka berlakon dan sedia menerima arahan daripada pengarah lain kalau saya ada kelapangan. "Drama Ameera adalah satu ruang untuk saya melepaskan rindu berlakon di bawah pengarah lain. Kebetulan ada waktu dan kelapangan, lantas tawaran yang diberikan pihak Zeel Productions itu tidak saya lepaskan," katanya. Tambah Syamsul, Ameera jelas membuka laluan kepadanya untuk terus pelakon kerana ramai pula syarikat produksi lain memberikannya tawaran susulan. "Alhamdulillah watak yang diberikan bersesuaian dan saya puas menghidupkan watak itu. Selain baik untuk profil seni, kemunculan saya dalam drama itu memberikan kesan positif apabila semakin ramai pihak mula membuka mata mengenai minat lakonan saya itu. "Insya-Allah jika ada peluang dan rezeki, saya tidak akan menolak tawaran lain pula," katanya lagi. Berdiri di sebelahnya petang itu, seorang lagi anak muda yang terkenal dengan sikap peramah dan rendah diri, Zain Saidin, 28. Menyifatkan perjalanan lakonan seiring dengan gosip hangat, Zain yang sebelum ini pernah muncul dalam siri Duyung Aridinata dan Kiah Pekasam percaya gosip itu hanya satu permainan yang akhirnya akan senyap dengan sendirinya. "Kalau sebut nama saya, tentu ramai yang mengaitkan saya dengan Rozita Che Wan dan itu sudah menjadi satu andaian bagi ramai pihak termasuk peminat sedangkan gosip cinta itu tidak benar. Saya sebenarnya malas untuk menjelaskan perkara itu lagi kerana jujurnya, cerita sebegini hanyalah rencah dunia hiburan. "Saya tidak marah atau kecewa dengan gosip itu kerana selagi saya mampu mengawalnya dan tidak menjejaskan karier saya, ia tidak merunsingkan saya. Kini saya akan lebih berhati-hati untuk tidak lagi terpalit dengan mana-mana pelakon lain kerana takut nanti, orang akan komen saya gila publisiti murahan," katanya. Zain berjaya menambat hati ramai peminat apabila muncul dalam drama siri slot Zehra berjudul Naziha yang kini rancak ditayangkan setiap Jumaat, jam 9 malam di TV3. Berlakon di samping Ery Putra, Ammar Baharin dan Izara Aisyah dalam drama siri penuh drama dan emosi itu, pelakon berdarah kacukan ini bersyukur dengan penerimaan penonton terhadap lakonannya. "Ini satu lagi usaha saya mencuba sesuatu yang berbeza dalam kerjaya lakonan. Lain pula bagi Ungku Ismail, 27 yang agak kurang dilimpahi publisiti, namun namanya tetap meniti di bibir peminat apabila hubungannya dengan bekas finalis Akademi Fantasia 2, Zarina Zainoordin mula dikesan selepas sama-sama membintangi drama Syurgamu Ramadhan. Sayang seribu kali sayang, hubungan yang awalnya indah dan tampak serasi tidak sempat berjalan jauh kerana mereka mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing. Namun jelas Ungku Ismail yang sebelum ini pernah membintangi banyak drama televisyen termasuk yang terbaru, 3 Janji yang ditayangkan di slot Lestary di TV3. Kisah cinta mudah menjadi perhatian ramai namun bukan itu yang ingin dikejarnya dalam industri seni. "Tidak sekali-kali saya memasang strategi untuk memancing kontroversi melalui hubungan cinta itu, sebaliknya ia terjadi dengan sendirinya. Tapi sudah tiada jodoh dan rezeki, hubungan itu tidak bertahan dan saya tetap optimis menerimanya. Macam Syamsul cakap, walaupun semuanya sudah berakhir, kami tetap profesional memandangkan kami bekerja dalam satu bidang yang sama. "Sekarang saya lebih menumpukan perhatian kepada kerjaya seni yang masih jauh lagi perjalanannya," katanya yang turut dikenali dalam drama Sutun sebelum ini. Menyentuh perkembangan kariernya pula, Ungku Ismail kini lebih banyak meletakkan fokus barunya pada bidang pengarahan selepas mencari pengalaman dengan mengarahkan drama 13 episod berjudul Antara Garisan. "Inilah satu lagi cabang seni yang sedang saya terokai. Pengarahan drama adalah satu bentuk kepuasan baru buat diri saya dan insya-Allah selepas ini, saya akan cuba mengarah lebih banyak drama," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/01 |
Posted: 01 Aug 2012 07:52 AM PDT WALAUPUN kini sudah bergelar pelakon dan dikenali ramai, pelakon jelita Fouziah Gous tidak pernah lupa kenangan manis dan saat indah sewaktu pertama kali bertugas sebagai pramugari di syarikat penerbangan Malaysian Airlines (MAS). Berkongsi kenangan itu sempena kempen #MYsyg (My Sayang) anjuran Media Prima Berhad, Fouziah akui selama lima tahun bergelar kru kabin, pelbagai pengalaman dilalui dan pastinya peluang menjelajah hampir ke semua destinasi MAS saat paling manis buat dirinya. Menurut anak jati Kuala Lumpur ini, niat asal menemani seorang sahabat ke temu duga di syarikat terkemuka itu akhirnya mengubah kehidupannya menjadi seorang yang lebih terdedah dengan pelbagai budaya dan bangsa di negara yang dikunjungi. "Sepanjang bergelar kru MAS, banyak pengalaman baru saya pelajari dan lebih indah lagi apabila wajah saya dipaparkan di papan iklan di lapangan terbang di Malaysia dan lapangan terbang beberapa negara yang menjadi destinasi MAS.
Selain itu, Fouziah turut berkongsi pengalaman menjejakkan kaki ke negara orang yang baginya setiap negara mempunyai cara hidup berbeza. "Kali pertama menjadi pramugari, saya berpeluang mengenali Negara Tembok Besar (China) dan ketika itu saya melihat banyak perbezaan budaya di sana dengan Malaysia. Saya juga berpeluang ke Buenos Aires, Argentina dan melihat sendiri keunikan negara mereka. "Terlalu banyak jurang dan perbezaan budaya, gaya hidup dan makanan yang pastinya membuatkan saya lebih berbangga menjadi rakyat Malaysia dan sangat menghargai kehidupan di sini kerana semua makanan yang diinginkan mudah diperoleh sedangkan di negara luar, tidak semua makanan boleh kita terima," katanya. Sempena kempen MySayang, orang ramai berpeluang menghantar rakaman video, teks dan gambar dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil menerusi laman web www.mysyg.com.my sebelum 15 Ogos ini. Bagi penyertaan video, setiap rakaman tidak boleh melebihi tiga minit manakala bagi kategori penyertaan teks pula tidak boleh melebihi 150 patah perkataan dan kategori bergambar pula membabitkan ekspresi wajah unik atau kreatif dengan menyertakan bersama keterangan gambar masing-masing. Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/01 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |