Adsense

Ahad, 12 Ogos 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Daniel ke depan, Andy sokong

Posted: 10 Aug 2012 09:04 AM PDT

LEWAT petang itu, meskipun hujan renyai di luar, sambil menghirup kopi panas, nampaknya sembang bersama penyanyi bersuara serak basah yang ditemani isteri dan tiga anaknya bagai tiada penghujung.

Ada saja ingin dikongsikan memandangkan pertemuan itu adalah yang pertama kalinya. Perjuangan muziknya, kisah silam dan detik awal pembabitan, transformasi diri hinggalah pengalaman menjadi suami dan bapa, Megat Effendy Zakaria atau lebih dikenali sebagai Andy juga vokalis kumpulan Flop Poppy punya ceritanya.

Lebih manisnya, penyanyi yang tidak lekang mengukir senyum ini kali ini berdiri sama tinggi dengan anak sulung, Megat Danial Azreen yang kini sudah pun berusia 20 tahun.

Siapa sangka, si ayah yang masih 'rugged' mempunyai anak teruna yang sudah seperti kawan kepadanya. Jelas Andy yang juga mendapat pendidikan dalam jurusan seni bina dari Universiti di United Kingdom, itulah rezeki kahwin awal, belum sempat beruban, anak semua sudah besar panjang.


"Anak-anak adalah rezeki dan cenderahati yang tidak ternilai diberikan. Saya bersyukur dan sentiasa gembira apabila melihat mereka di rumah. Walaupun bising dan ada kalanya huru-hara, namun itulah warna keluarga saya. Jika tidak mendengar suara mereka di rumah, saya tidak akan dapat ilham untuk berkarya dan jelas, mereka inspirasi yang terus memberikan saya semangat.


"Mulanya dulu memang payah namun apabila semua anak-anak sudah besar, saya dan isteri senyum saja kerana merasakan betapa untungnya kami mengambil keputusan untuk berkahwin awal," katanya yang berkahwin dengan Nurul Shafizan Othman yang mulanya sahabat baiknya sejak 21 tahun lalu dan kini dikurniakan enam cahaya mata.

Jiwa rock & roll yang mempengaruhi falsafah seni, penampilan dan personaliti menjadikan Andy juga anak kelahiran Kangar, Perlis yang kini berusia 40 tahun bapa yang tidak pernah tua.

Menerusi hemat peribadi, Andy berjaya membuktikan sekali gus mengubah stigma dan persepsi lapuk yang kononnya menjatuh hukum muzik tidak membawa ke mana-mana. Sebaliknya jelas Andy yang popular dengan lagu Cinta dan Sewaktu Dulu ini mampu memimpin kesemua anak-anak dan isteri kepada kebahagiaan hanya bersandar duit muzik.

Selain Daniel yang jelas mewarisi wajah dan bakat Andy, lima lagi anaknya adalah Megat Zarul Mukhriz, 18, Puteri Adlin Natasya, 15, Puteri Adlin Syafinia, 14, Puteri Adlin Syafinaz kini sembilan tahun dan si kecil, Megat Adam Zakaria yang baru berusia setahun.

"Saya tidak pernah malu atau cuba menyembunyikan yang kesemua anak-anak saya dibesarkan dengan duit muzik. Itulah kerja yang saya lakukan sejak dulu dan dengan duit itu juga saya membesarkan kesemua anak-anak hingga dapat pelajaran dan apa saja yang diinginkan. Alhamdulillah rezeki itu sentiasa ada buat saya.

"Saya tidak mahu jika ada anak-anak yang memegang persepsi kononnya lapangan muzik ini tiada masa depan dan kerana itu juga saya sering buktikan kepada mereka yang saya mampu membina keluarga dengan hasil titik peluh sebagai seorang pemuzik. Walaupun awalnya keluarga sendiri tidak menyokong, namun saya bersyukur kerana minat yang ada ini membuatkan saya bahagia. Muzik juga membawa saya memiliki rumah dan harta sendiri.

"Apa yang penting diterapkan kepada anak-anak adalah jujur dan ikhlas. Itulah kunci kepada kebahagiaan. Apa yang mereka impikan saya akan sokong namun untuk saya menentukan cinta-cita dan masa depan mereka adalah tidak sama sekali. Saya memberikan kebebasan sepenuhnya kepada anak-anak kerana minat dan kesungguhan itu perlu ada untuk mereka mengejar apa yang mereka inginkan.

"Walaupun ada beberapa anak saya jelas cenderung ke arah muzik, itu secara kebetulan yang mungkin pendedahan mereka sejak awal melihat saya bermain muzik. Malah saya juga membesarkan anak-anak dengan cara sendiri yang mana menganggap mereka seperti kawan. Lantas jika mereka punya masalah atau kekeliruan, mereka tidak segan untuk rujuk pada saya.

"Membesarkan anak-anak perlu ada formula sendiri. Saya dan isteri lebih kepada mencorak dalam gaya santai yang mana kami akan cuba luangkan masa untuk melepak sama, pergi bersiar-siar dan melakukan aktiviti menarik bersama mereka. Malah setiap malam juga, saya akan 'jamming' di rumah dan mereka akan ikut sama dengan saya.

"Itulah yang membuatkan hubungan saya dan anak-anak akrab kerana banyak minat dan hobi yang kami kongsi bersama." katanya yang pernah bergandingan dengan Daniel menerusi program realiti, Ooh La La tayangan TV9 tidak lama dulu.

Fotografi petang itu dilakukan bagi berkongsi cerita Andy juga anak kedua daripada enam beradik yang kini sudah pun bergabung bersama anaknya yang mesra disapa Daniel dengan menubuhkan kumpulan muzik, The Malayan.

Manisnya, kombinasi ayah dan anak ini menjadikan suasana fotografi petang itu begitu ceria serta mengundang pelbagai cerita.

Jelas Daniel, The Malayan penuh inspirasi dan satu bentuk eksperimen muzik yang berbeza daripada Flop Poppy dan lain dari kumpulan muziknya sendiri bersama teman-teman, Loka.

"Papa adalah pemuzik kegemaran saya dan jiwanya sendiri cukup menterjemah kesungguhannya dalam membina kerjaya. Bayangkan, sejak kecil lagi, saya sudah didedahkan dengan muzik dan secara sendiri tanpa sebarang kelas atau pendidikan khas, saya boleh bermain muzik dengan baik. Ini kerana saya hanya mendengar dan minat kepada muzik juga datang perlahan-lahan tanpa disedari.

"Kini apabila sudah besar, Papa tidak pernah menghalang atau menetapkan masa depan saya sebaliknya dia menyokong minat saya dari belakang. Saya menubuhkan kumpulan Loka bersama teman-teman namun lagu kami berjudul Cinta Syurga akan berada di pasaran selepas Aidilfitri ini nanti. Insya-Allah kami akan hantar ke radio dan memenuhi segala rangka promosi untuk mempromosikan lagu Loka itu nanti.

"Namun The Malayan pula adalah kumpulan yang saya sifatkan satu eksperimen kepada saya untuk mengasah bakat dan kebolehan dalam bermain muzik. Papa sengaja ingin mencari kelainan ibarat satu pembaharuan buatnya kerana The Malayan berbeza dari Flop Poppy yang mana kami ketengahkan muzik yang lain dengan gaya permainan tersendiri.

"Saya bertuah kerana Papa membuka peluang kepada saya untuk belajar dan melihat sendiri perjalanan membina empayar kumpulan muzik melalui The Malayan. Secara tidak langsung, The Malayan mampu mengasah kebolehan saya bagai sebuah institusi pengajian sebelum berdiri bersama teman-teman dalam kumpulan Loka," katanya yang juga vokalis Loka di samping tiga lagi temannya memperjuangkan muzik pop balada.

Buat pertama kalinya, Andy tidak akan beraya bersama keluarganya kerana berpeluang menyahut undangan ke Tanah Suci selepas bertahun-tahun lamanya menyimpan hasrat menjejakkan kaki ke rumah Allah itu.

Bagaimanapun, jauh di mata suara si ayah yang gemar berjenaka dan mengusik anak-anaknya ini cukup dekat pada jiwa semua ahli keluarganya. Meskipun tidak berpeluang bersalam di pagi raya, namun jelas Andy dan Daniel, bersalaman dan mencium sesama mereka bukan amalan hanya di pagi raya sebaliknya setiap hari, ucap maaf dan sayang sudah menjadi rutin harian.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/10


Iktiraf teater

Posted: 10 Aug 2012 08:28 AM PDT

PELAKON kecil molek ini memang bukan sembarangan di layar perak dan membuktikan bahawa dia antara pelapis yang sangat berpotensi untuk mencetuskan sesuatu dalam arena lakon layar.

Nurul Elfira Loy atau Elfira, 18, (gambar) sudah mampu berbangga dengan pencapaiannya biarpun pada usia muda sebegitu, bakatnya diiktiraf sehingga memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2011.

Menyingkap kembali bagaimana dia mula membabitkan diri dalam arena ini, Elfira sangat bersyukur kerana seawal tingkatan satu, dia sudah merasa berlakon teater sehingga ke peringkat antarabangsa.

Berkongsi pengalaman manisnya itu sempena kempen #MYsyg (My Sayang) anjuran Media Prima, Elfira menyifatkan dirinya bertuah kerana pernah mewakili Malaysia ke pertandingan teater peringkat antarabangsa sehingga memenangi anugerah.


"Biarpun sekarang ini saya lebih banyak berlakon untuk drama dan filem, namun saya tidak pernah melupakan pentas teater yang mengangkat bakat saya sehingga berjaya pada tahap ini.


"Masih terngiang lagi bagaimana perasaan ketika menjadi wakil Malaysia ke India pada 2007 dan Iran pada 2010 untuk bertanding dalam pertandingan teater. Walaupun hanya lapan orang saja pelakon yang pergi, namun tidak sangka kami berjaya juga memikat juri.

"Teater adalah satu saluran seni yang bagi saya sangat penting dan syukurlah kerana di Malaysia, teater mendapat tempat di hati masyarakat. Berlakon dalam teater sangat berbeza dengan berlakon drama ataupun filem dan kepuasannya pun lain-lain.

"Sudah tiba masanya teater diangkat ke peringkat yang lebih jauh lagi sehingga ke pentas dunia. Saya juga amat berharap lebih ramai lagi produser akan menggiatkan diri dalam pementasan teater bertaraf antarabangsa selepas ini.

"Dengan kebebasan serta keamanan yang kita ada di Malaysia ini, tidak mustahil penggiat teater kita mampu mencipta nama di luar negara dan tidak ketinggalan juga, naskhah hasil anak seni tempatan," kata pelakon drama popular terbaru, Oh My English! itu.

Turut menzahirkan rasa syukurnya lahir di kala Malaysia sudah berada di ambang kemajuan dan keamanan, Elfira bagaimanapun berharap suatu hari nanti kesatuan rakyat sebagai satu bangsa Malaysia bertambah kukuh.

"Tahniah kepada pejuang yang bangkit mempertahankan negara kita sehingga mencapai kemerdekaan. Saya rasa amat beruntung kerana lahir pada era di mana saya tidak berdepan lagi dengan kesusahan seperti di era sebelum kemerdekaan dulu.

"Meskipun begitu, saya berharap rakyat kita akan terus bersatu dan mengekalkan perpaduan yang ada sekarang ini tanpa ada keinginan untuk menumpukan kepada satu-satu perkara mengikut bangsa saja," katanya.

Sementara itu, sempena kempen #MYsyg (My Sayang), orang ramai berpeluang menghantar rakaman video, teks dan gambar dalam bahasa kebangsaan, Inggeris, Mandarin dan Tamil menerusi laman web www.mysyg.com.my.

Lima penyertaan terbaik bagi setiap kategori layak memenangi hadiah menarik.

Bagi penyertaan kategori video, setiap rakaman tidak boleh melebihi tiga minit, manakala bagi kategori penyertaan teks pula tidak boleh melebihi 150 patah perkataan dan kategori bergambar pula membabitkan ekspresi wajah unik atau kreatif dengan menyertakan bersama keterangan gambar.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/10