Adsense

Jumaat, 20 Julai 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Enggan cinta dieksploitasi

Posted:

Enggan cinta dieksploitasi

ANEH. Percintaan mereka diketahui umum dan mereka juga tidak pernah menyembunyikan percintaan mereka yang pernah menjadi bahan berita media tempatan.

Namun ketika sidang akhbar filem Hantu Gangster, Rabu lalu di Petaling Jaya, Farid Kamil dan Diana Danielle yang merupakan teraju filem itu kelihatan seperti orang asing yang tidak mengenali antara satu sama.

Mereka kelihatan membuat hal masing-masing seolah-olah langsung tiada ikatan cinta yang menyatukan hati kedua-duanya.

Diana kelihatan asyik berbual dengan penyanyi Mizz Nina yang turut membintangi Hantu Gangster tatkala Farid disorong menggunakan kerusi roda oleh beberapa pembantunya untuk bersama-sama barisan pelakon lain yang menjayakan filem berkenaan.

Farid yang kelihatan sukar untuk duduk kerana menggunakan tongkat akibat kecederaan tempurung lutut yang dialami semasa penggambaran filem Dampak, Isnin lalu juga kelihatan tidak dihiraukan oleh Diana untuk duduk di tempat yang disediakan bagi sidang akhbar itu.

Lebih menambah kemusykilan mengenai hubungan cinta mereka itu apabila jurufoto Kosmo!, Rashid Mahfof memberitahu bahawa Diana, 21, menolak untuk bergambar bersama Farid, 31, walaupun kekasih hatinya itu berada tidak jauh daripada dirinya ketika itu.

KENANGAN lalu. Diana dan Farid pernah bergambar bersama ketika sama-sama menyertai majlis anjuran butik Lord's Tailor di Bangsar, Kuala Lumpur pada 14 Disember 2008.


Selepas berpeluang bertemu dengan Diana selepas sidang akhbar berkenaan, persoalan mengenai situasi berkenaan diajukan. Diana tenang menyatakan faktor di sebalik kenapa dia enggan bergambar dengan Farid adalah kerana itu adalah prinsipnya.

"Maaf, saya bukan nak jadi diva, tetapi ini soal prinsip. Saya tidak mahu kisah cinta dikomersialkan oleh pihak lain. Saya mahu peminat kenal kami kerana lakonan yang baik, bukan kisah cinta kami," jelasnya.

Pemilik nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson bagaimanapun dengan penuh terbuka memberitahu, hubungan cintanya dengan Farid mereka masih berjalan dengan baik dan tiada perselisihan faham, sebaliknya dia tidak mahu kisah cinta terlalu banyak dipaparkan dalam media.

"Nanti peminat lihat kami asyik mahu 'melekat' sahaja, orang akan bosan kalau selalu lihat kami asyik bergambar bersama sahaja. Minta maaf kerana tidak dapat tunaikan permintaan untuk bergambar dengan Farid," tutur Diana tulus.

Diana yang sebelum ini pernah berlakon beberapa filem seperti Magika, ...Dalam Botol dan banyak lagi itu juga menjelaskan, jika dia membenarkan kisah cinta mereka sering menjadi paparan umum, itu akan membuatkan ramai penerbit filem akan menggunakan mereka untuk melariskan produk mereka.

Tolak tawaran

Menjelaskan lagi keadaan sebenar agar tidak disalah anggap mengenai hubungan mereka, Diana berkata, dia tidak mahu populariti yang diraih kini disebabkan kisah cinta.

"Apabila sering ada muka kami berdua, peminat mungkin mengata, kami jaja kisah kami untuk popular. Saya dan Farid tidak mahu semua itu. Kami mahu popular kerana lakonan kami yang bermutu," ujarnya.

Dia yang pernah berduet bersama Imran Ajmain serta pelawak terkenal, Nabil untuk lagu Radio turut menjelaskan, mererka tetap akan menolak sekiranya ditawarkan watak pasangan bercinta dalam drama atau filem.

Bagi Diana, jika bergandingan bersama dalam satu filem, peminat akan menonton produk itu disebabkan kami bercinta bukannya kerana jalan cerita filem itu menarik dan sebagainya.

"Itu sudah dikira macam eksploitasi, saya tidak mahu semua itu, saya hendak peminat tonton lakonan saya kerana ia berkesan dan menarik," ujarnya.

Mengenai gandingannya bersama Farid dalam filem Hantu Gangster pula, Diana menjelaskan, dia sebenarnya tidak mengetahui Farid turut ditawarkan dan bersetuju untuk berlakon dalam filem yang sama.

"Penerbit juga tidak tahu kami sebenarnya bercinta, lagi pun dalam filem ini saya bukan bercinta dengan Farid tetapi dengan orang lain," tambahnya.

Sibuk sepanjang Ramadan

Walaupun kebanyakan artis lain di bulan Ramadan sibuk dengan menjual kuih raya dan berniaga di bazar Ramadan, perkara sebaliknya berlaku kepada gadis kacukan Melayu-Inggeris ini. Dia yang mempunyai jadual yang padat sepanjang bulan Ramadan kerana terpaksa memulakan penggambaran filem terbaharunya yang merupakan genre komedi seram, Kami Histeria.

FARID telah mengalami kecederaan di set penggambaran filem Dampak, pada Isnin lalu.


"Bulan Ramadan tahun lepas juga saya sibuk, ingat tahun ini dapat kurangkan jadual berlakon ketika bulan puasa, tidak dapat juga rasanya sebab jadual memang padat," katanya.

Penggambaran filem berkenaan akan bermula pada hari ketiga bulan Ramadan dan berakhir tiga hari terakhir menjelang Syawal.

Disebabkan itu, Diana memberitahu, dia masih tidak sempat untuk membeli baju raya dan mungkin hanya memberi baju yang telah siap kerana kesuntukan masa.

"Tak payah tempah baju pun tidak mengapa, saya jenis yang senang dan ringkas, baju siap harga RM50 pun boleh pakai," ujarnya.

Perancangan Mila Kunis

Posted:

Perancangan Mila Kunis

MILA KUNIS


MILA KUNIS tidak faham mengapa ada wanita mahu menjadi dirinya, sedangkan menurut aktres tersebut, dia menjalani sebuah kehidupan normal dan tidak mewah.

Dalam temu bual bersama majalah Interviews, aktres berusia 28 tahun itu juga mengaku bahawa dia tidak mahu menjadi pelakon dalam tempoh waktu yang panjang dan sudah mempunyai perancangan sendiri.

"Selepas terbabit selama lapan tahun untuk drama That 70's Show dan lebih sedekad terbabit dengan Family Guy, saya akui, kewangan saya sangat stabil.

"Bagaimanapun, saya tidak hidup mewah, saya menjalani kehidupan yang cukup sederhana. Jadi saya tak perlu ada sehingga 20 pembantu atau pergi ke sesebuah lokasi dengan jet peribadi," ujarnya yang mengakui selesa hidup seperti manusia biasa.

Dia kemudian meninggalkan kedua-dua siri tersebut membabitkan diri dalam dunia perfileman.

Sukses dengan beberapa buah filem pecah panggung seperti Black Swan dan Friends With Benefits, Kunis kini sudah memikirkan masa untuk berundur dari industri.

"Industri ini boleh memakan kita, jadi sebelum saya 'dimakan', lebih baik saya undur diri dulu," ujar aktres yang kini digosip bercinta dengan Ashton Kutcher.

Tambah aktres kelahiran Ukraine itu lagi: "Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya melihat diri sudah mempunyai keluarga dan melakukan kerja belakang tabir."

Tentang Kita, dakwah 6itxh Sense

Posted:

Tentang Kita, dakwah 6itxh Sense

6IXTH SENSE buat pertama kali muncul dengan sebuah album kerohanian dan kemanusiaan yang diberi judul Tentang Kita.


TERKENAL menerusi untaian lagu cinta, grup 6ixth Sense kini kembali dengan album terkini. Menariknya, album kali ini dibikin khusus sempena kedatangan Ramadan kerana ia merupakan sebuah album berunsur kerohanian.

Sengaja memilih judul Tentang Kita, ia dianggap sebagai simbolik kisah hidup manusia yang mencari keredaan Tuhan, tidak mengira sama ada manusia itu berada dalam kesusahan atau dalam lambakan nikmat Tuhan.

Himpunan lagu yang dipilih juga berkait rapat dengan perkara yang berlaku dalam kehidupan harian manusia, khususnya yang masih mencari kedamaian (peristiwa di Syria dan masalah rumah tangga), pencarian kasih sayang (daripada Allah, para Rasul serta ayah dan ibu), penemuan keredaan dan bantuan Tuhan serta khusus untuk para Muslimin yang menagih syafaat Rasul (ikon terbaik).

"Ini merupakan kali pertama Sixth Sense lahir dengan sebuah album penuh yang kesemua lagu berkonsepkan kerohanian.

"Ia juga merupakan kelainan yang cuba kami tampilkan kepada para peminat. Sebelum ini kami ada menghasilkan lagu-lagu sebegini, (kerohanian) tetapi lirik yang berunsur kerohanian tidaklah terlalu mendalam seperti Khatimah Cinta," ujar vokalis 6ixth Sense, Adi.

Tambah Adi, dia berharap agar album tersebut mendapat sambutan yang baik daripada peminat kerana berpendapat ia mempunyai keistimewaan tersendiri.

Ujarnya: "Selain itu kami anggap kelahiran album ini juga mempunyai keistimewaan tersendiri kerana lirik-lirik lagu dalam album ini yang banyak mengandungi unsur-unsur nasihat serta mampu memberikan mesej yang positif kepada pendengar."

Tentang Kita mengandungi lagu-lagu seperti Ayah Dan Ibu, Damai Yang Hilang, Rasulullah dan Cintaku Padamu Seluas Angkasa (Selawat) yang mendapat sentuhan susunan muzik yang direncana 6ixth Sense sendiri turut dimantapkan dengan bunyi strings oleh Dimawan Krisnowo Adji Sa'unine Strings.

Album tersebut turut dimuatkan dengan beberapa buah lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan nasyid tempatan iaitu Nowseeheart dan Hijjaz, tetapi diberi nafas baharu oleh grup ini.

Mereka juga merakamkan album tersebut di tiga buah studio berbeza iaitu Hijjaz Studio, King's Studio dan Studio 18.

Bercakap mengenai proses menyudahkan Tentang Kita, Adi mengaku mereka terpaksa berhadapan dengan beberapa cabaran.

"Tidak dinafikan kami turut berhadapan dengan cabaran untuk menghasilkan album ini, terutamanya susunan muzik yang tidak boleh terlalu keras dan perlu memilih lagu yang sesuai agar dapat diterima ramai. Bagaimanapun semuanya berjalan lancar sehingga pembikinan album ini selesai," ujarnya.

Harapan mereka juga, agar album tersebut dapat memberi manfaat kepada semua pendengar melalui dakwah secara seni.

Sementara itu, lagu baharu berjudul Altar Cinta ciptaan penuh Adi, bakal menemui peminat yang menantikan sentuhan baharu mereka yang semakin popular selepas muncul dengan album mereka yang berjudul, +-x÷.

Malah, lagu berkenaan telah diperdengarkan secara serentak menerusi radio utama tempatan pada 18 Julai lalu.

Sebelum ini, mereka tampil dengan single pertama menerusi album ini dengan lagu menampilkan kumpulan nasyid Saujana berjudul Penerang Hati ciptaan Faiz Azizi Arlis atau Gjie dan semakin mendapat tempat di carta radio tempatan, malah mula menjadi pilihan di pusat karaoke seperti Red Box. - RONI HIDAYAT RIDWAN