Adsense

Sabtu, 14 Julai 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Magis Agnes Monica

Posted: 13 Jul 2012 01:37 PM PDT

'Jangan biarkan orang lain berkata kamu tidak boleh'

FIGURA gadis berusia 26 tahun ini mencerminkan kesempurnaan. Belum pernah mengecewakan setiap kali tampil di pentas, Agnes Monica memberikan sepenuh jiwanya apabila beraksi sama ada menerusi skil nyanyian, ekspresi wajah dan kostum. Barangkali kerana itu, di sebalik kelahiran banyak wajah baru yang cuba mengambil alih posisi penyanyi sedia ada, Agnes kekal dalam barisan artis Indonesia popular.

SAYA MUDAH TERTARIK KEPADA JEJAKA YANG MAMPU MELINDUNGI DARIPADA PERBUALAN NEGATIF˝

"Saya meneguk semua nikmat itu hasil kerja keras dan profesionalisme dalam setiap pekerjaan yang saya lakukan," kata gadis kelahiran Jakarta, Indonesia yang melancarkan karier seninya sejak zaman kanak-kanak.

Populariti yang dicipta pada usia remaja selepas membintangi sinetron, Pernikahan Dini, Agnes sering dilihat memiliki personaliti teguh yang tidak pernah goyah ketika orang di sekeliling meragui cita-cita besarnya.

Dilabel sombong kerana budaya kerjanya yang mementingkan kesempurnaan, Agnes tidak membiarkan kritikan dan cemuhan menjauhkan dirinya daripada mengejar impian.

"Saya menyukai petikan dialog daripada filem, The Pursuit of Happiness yang menyebut: 'Jangan biarkan orang lain berkata kamu tidak boleh'.
"Mungkin dari situ orang menilai saya mempunyai personaliti yang kuat. Hakikatnya saya memiliki dua karakter berbeza, apabila terlalu gembira saya akan menjadi gila-gila tetapi berubah rapuh apabila berdepan kekecewaan.

"Menyedari kelemahan itu, saya cuba mengawal emosi. Saya perlu tahu bila saya bebas meluahkan ekspresi diri dan bila masanya tidak," kata penyanyi Matahariku yang meraikan ulang tahun ke-26 pada 1 Julai lalu.

Akur kejayaan yang diperoleh bukan atas usahanya sendirian, Agnes berkata, dia memiliki tanggungjawab terhadap pengurusannya meskipun populariti dirinya yang membawanya ke depan.

Sebagai pemimpin kepada pasukan kerjanya, Agnes cuba menjadi contoh dan dalam apa juga keadaan, dia harus sentiasa konsisten setiap kali tampil di pentas.

"Tidak kira apa keadaan saya ketika itu, saya harus sentiasa memberikan persembahan terbaik. Sekiranya saya mampu mempamerkan keutuhan semangat itu, ia secara tidak langsung menyuntik motivasi kepada mereka yang berada di sekeliling.

"Secara jujurnya, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Sesekali apabila berbual dengan rakan sebaya, saya terfikir betapa mudahnya mereka membuat sesuatu keputusan.

"Tetapi tidak saya yang dibesarkan dalam keluarga yang mahukan kami menjadi pemimpin. Setiap keputusan yang dibuat, saya harus menimbang baik dan buruknya," katanya.

Akui Agnes yang masih mengunci mulut mengenai rencana rakaman album antarabangsanya di Amerika Syarikat, dia mendekati Tuhan setiap kali mendengar sesuatu yang buruk mengenai dirinya diperbualkan.

Baginya, tiada penawar terbaik lain kecuali berdoa supaya diberi kekuatan untuk mencari jalan benar kerana hanya Tuhan mengetahui segala-galanya.

"Saya tidak punya ramai teman rapat, malah bersikap pemilih dalam persahabatan. Saya cuma mendekati mereka yang mampu menyalur nilai positif dalam diri kerana saya juga begitu.

"Saya cuma menjauhi mereka yang pesimis. Begitu juga dengan teman lelaki, saya mudah tertarik kepada jejaka yang mampu melindungi daripada perbualan negatif.
"Dia seharusnya seorang yang tenang dan mampu menahan diri daripada mendedahkan masalah yang dilalui kepada orang ramai.

"Saya tidak teragak-agak untuk memutuskan cinta kami, biarpun saya mencintainya terlalu dalam seandainya sikap lelaki itu memancing orang luar bercakap mengenai masalah peribadi kami," katanya.

Seorang yang agak tertutup apabila disentuh mengenai perihal teman lelaki, Agnes mula bersikap terbuka apabila memperkenalkan jejaka yang mendekatinya ketika kejutan ulang tahun kelahirannya selepas malam kemuncak Indonesian Idol 2012, berakhir.

5 jejaka dalam hidup Agnes Monica:

  • Dirly
    Pada 2007, Agnes diberitakan menjalin hubungan dengan finalis Indonesian Idol, Dirly. Kemunculan berita itu bukan aneh mereka sentiasa mempamerkan keakraban. Bagaimanapun, Agnes mengakui mereka hanya berteman dan tidak lebih daripada itu.
  • Afgan
    Pemilik suara hebat ini pernah dikatakan berpacaran dengan Agnes sekitar 2008. Afgan membantah dengan menyatakan mereka akrab atas dasar kerja.
  • Rezky Aditya
    Pada 2009, gosip bertiup mengenai keakraban Agnes dengan pemain sinetron, Rezky Aditya apabila mereka pernah dilihat keluar bersama. Rezky menangani gosip itu tenang dan memberitahu, mereka hanya teman baik.
  • Daniel Mananta
    Gosip percintaannya dengan pengacara MTV ini beredar selepas pertandingan Indonesian Idol musim keenam berakhir pada 2010. Hubungan itu juga tidak berkesudahan dengan sesuatu yang istimewa.
  • Denny Suamargo
    Keakrabannya dengan pemain bola keranjang ini hangat diperkatakan pada 2011. Agnes bagaimanapun, menolak mereka punya hubungan istimewa kerana dia cuma mahu berkawan.

Oh! Yeahhh... Ezad bakal kahwini pengurus sendiri

Posted: 13 Jul 2012 01:16 PM PDT

Penyanyi dan pelakon, Ezad Lazim, dalam diam-diam merancang untuk bernikah dengan pengurus peribadinya, Norasliza Abdullah, 28, pada tahun ini.

Mereka sudah pun bertunang pada 1 Jun lalu di Shah Alam, Selangor. Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 33, adalah bekas penyanyi kumpulan Exists yang meletup dengan lagu Mengintai Dari Tirai Kamar dan Jesnita. Ketika Juwie menghubunginya pada jam 1 pagi 6 Julai lalu, Ezad memberitahu, pada mulanya rombongan keluarganya merancang untuk merisik Norasliza pada tarikh itu tetapi akhirnya terus bertukar menjadi majlis pertunangan.
Lihatlah foto Ezad (berkaca mata) dan Norasliza (tengah) bersama-sama kanak-kanak pengiring pada majlis pertunangan mereka.

"Insya-Allah, tarikh dan tempat majlis pernikahan akan dimaklumkan kemudian. Hantaran belanja kahwin dirahsiakan. Cuma, saya berikan sebentuk cincin permata. Saya kenal Norasliza hampir empat tahun bermula di rumah seorang rakan artis. Dia orang Kuala Lumpur dan lulusan Diploma Teknologi Maklumat.

"Norasliza seorang yang tegas, berdikari, menghormati orang tua, sentiasa mengambil berat dan sangat sensitif. Sifatnya itulah yang berjaya menawan hati saya," cerita Ezad yang pernah berlakon dalam filem Mami Jarum.

Lagu terbaru Ezad berjudul Percintaan Ini sering masuk carta radio. Dia juga sedang siapkan album solo kedua dan dalam rangka promosi membuat showcase di Indonesia. Ezad juga sedang mengembangkan perniagaan minyak wangi yang diusahakannya sejak tahun lalu.
JUWIE: Siapa ada cerita menarik mengenai artis sila SMS ke nombor 017-2358916.