Adsense

Ahad, 3 Jun 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Kembara gaya Nabila

Posted:

Kembara gaya Nabila

Kembara gaya Nabila

SETIAP kali bertemu mata dengan wanita lincah ini, ada kelainan yang dibawa dalam dirinya. Perbezaan yang dinyatakan di sini adalah dalam tingkatan kematangan dan idea untuk tampil dalam setiap sesi bergambar, sentiasa berinisiatif.

Kali ini, Nabila mahu tampil seakan gadis jalanan bersesuaian dengan watak Tasha yang dibawanya dalam filem Jalan Kembali: Bohsia 2 arahan Syamsul Yusof. Dia kini berbicara lebih tenang, lebih matang.

Jarang-jarang aktres berusia 28 tahun ini muncul dalam karakter yang sama dalam setiap persembahannya. Seakan pegangan aktor antarabangsa, Will Smith. Namun untuk Tasha, Nabila bersedia membentuk dan mengembangkan watak tersebut yang sudah dua tahun ditinggalkan.

"Tasha yang ini sudah kurang riuh seperti filem pertama Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam. Sukar sebenarnya untuk dapat balik jiwa Tasha tapi saya gali kembali," ujar Nabila yang masuk ke set penggambaran filem Jalan Kembali sebaik tempoh berpantang habis selepas kelahiran buah hatinya, Kheisya Laila, 2.

"Saya juga berkesempatan mengutip ilmu dan pengalaman dengan orang yang hebat dan 'gila' macam Soffi Jikan. Dia boleh jadi rakan ketawa, abang dan mentor dalam lakonan. Kehadiran individu seperti Soffi Jikan boleh bawa semangat dalam berlakon," ujar Nabila atau senang disapa Abil tentang filem yang akan membuka gawang pada 7 Jun di pawagam Malaysia.

Di sebalik kelainan yang dibawakan oleh Abil, satu hal yang tegap bersamanya ialah sikapnya yang telus dan santainya dalam berbicara. Jarang-jarang ibu tunggal beranak satu ini akan menyusun ayat selamat dalam jawapan-jawapannya.

Semakin tenang

Bonus kali ini, dia tampil lebih matang. Katanya tersusun dan tenang. Abil mengakui merasai metamorfosis itu seiring usia dan jalur hidup yang dilaluinya sehari-hari. Ujar Abil, juga sudah lama dia tidak menjalani sesi fotografi. Bukan menolak atau mengelak, cuma masa mencemburui dia beraksi di hadapan lensa kamera.


NABILA HUDA kembali mengisi jasad Tasha untuk filem Jalan Kembali: Bohsia 2 yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 7 Jun nanti.


"Ya, saya rasa semakin matang dan sudah semakin faham banyak perkara dengan lebih baik. Contoh terbaharu adalah lebih memahami lirik lagu. Kalau dahulu hanya sekadar tahu, tapi kini saya sudah semakin memahami lirik lagu yang mendalam," ujar Abil merasai perubahan dirinya.

"Kalau soal lakonan juga, saya sudah semakin berdisiplin. Dahulu disiplin juga tapi sekarang makin jaga. Bila datang lambat, mula rasa takut. Saya tidak mahu susahkan banyak pihak dan sebaliknya juga. Masa yang terbuang menunggu lebih baik digunakan untuk waktu kualiti bersama keluarga," luah anak kepada legenda Amy Search ini.

Dia mengaku meresap jauh lebih dalam kewanitaannya. Berubah dalam fasa yang berperingkat dan semakin tumbuh rasa segan.

"Perangai saya masih sama. Gila-gila tapi sikap segan saya lebih menebal sekarang ini. Otak lebih banyak berjalan dan jadual lebih tersusun. Lebih bagus lagi, saya yakin saya seorang wanita yang serba boleh sekarang. Melakukan semua sendiri tanpa kehadiran suami atau teman lelaki," ujarnya yang mendapat giliran selang seminggu menjaga anaknya.

Belum puas menjanda

"Dalam bidang lakonan, saya mengaku berada di zon yang selesa. Saya tidak perlu lagi rasa takut ketinggalan. Saya percaya bakat saya sudah dilihat pengarah, penerbit dan peminat," ujarnya yang berada di kerusi selesa mahupun bukan menjadi pilihan kerap pengarah filem.

"Dari dahulu saya tidak amalkan budaya mencantas peluang aktres lain. Papa saya ajar jangan buat begitu. Kalau kita terlalu mencuba, kita akan akhirnya tidak dapat apa. Saya percaya pada rezeki dan minat," ujarnya yang baru selesai dengan penggambaran drama Nikalaya yang dirakam di Thailand dan Kedah.

Abil juga mengaku santai sahaja melayan cerita-cerita panas yang menghampiri dirinya. Bukan sekali dua, tetapi kerap juga dia disapa kontroversi. Baik kerana status perkahwinan, gambar-gambar panas hinggalah cerita cintanya bersama pelakon baharu bernama Johan Asari.

Berbeza dengan dahulu yang ditangani dengan sedikit melenting, sekarang dia hanya bertindak dengan tidak berbuat apa-apa. Bagai batu jatuh ke laut sahaja layaknya.

"Bila buat baik atau buruk, khalayak hanya bercakap yang buruk. Jadi saya biarkan mereka bercakap dan terus taburkan bakat saya dalam lakonan. Nanti mereka yang bercakap ini akan memandang bakat saya juga, itu harapan saya.

NABILA bersama permata hatinya, Kheisya Laila, 2.


"Lagi pun sebab saya anak Amy Search, jadi masyarakat ada bahan untuk bercakap. Saya mahu terus bekerja dan tidak merungut bila orang bercakap tentang saya. Saya juga tidak lari daripada cerita-cerita panas yang datang saya. Saya sibuk bekerja," luah Abil yang pernah dikaitkan dengan pelbagai cerita panas namun ditanganinya dengan berdiam diri.

Lalu apabila ada cerita-cerita panas menghampiri dirinya yang kini berstatus janda, dia mencari tenang sendiri. Abil punya destinasi tenang sendiri, dia mencarinya di dasar laut.

Laut Kenya

"Pulau itu ketenangan dan saya sebenarnya gila mengambil gambar dalam air. Itu cara saya tenangkan fikiran di samping memang sudah jadi satu hobi kegilaan saya," kata Abil yang jatuh cinta dengan aktiviti menyelam skuba sejak empat tahun lalu.

Selesai segala urusan penggambaran di tanah air sendiri, Abil bakal membawa diri mengikut hati dan minat ke sebuah destinasi yang tidak terjangkau untuk menjadi sebuah kawasan lawatan.

"Kenya, saya akan ke sana selama 10 hari. Ramai yang terpanggil untuk ke Kenya termasuk saya. Sudah tentu saya mahu menikmati dunia safari dan menyelam skuba," ujarnya yang akan pergi bersendiri.


IBU muda ini bakal mengembara sendirian ke Kenya kelak.


"Memang saya selalu kumpul-kumpul wang dan kemudian mengembara. Saya mahu mengembara melihat kehidupan dan budaya negara lain. Juga melihat kesusahan yang dihadapi mereka," ujar si penyelam peringkat mahir itu.

Lalu ditanyakan si wanita lincah bergaya ini, kalau-kalau dia sudah bersedia merapati dunia perkahwinan lagi. Dia ketawa dan menjawab jujur.

"Buat masa ini, belum lagi. Sekarang adalah waktu tidak terikat, jadi saya tidak mahu ketinggalan dalam menikmati momen dan fasa ini. Saya mahu mengembara sepuas-puasnya dan menikmati zaman muda saya yang berseorangan ini. Juga menikmati masa pembesaran anak saya Kheisya," ketawanya yang mengaku ketinggalan sedikit zaman mudanya sewaktu dahulu.

Osman Ali sedia dikecam

Posted:

Osman Ali sedia dikecam

Osman Ali sedia dikecam


OSMAN ALI ada jawapan kepada setiap adegan panas dalam filemnya.


GIMIK buka panggung pratonton filem Jiwa Taiko dengan bersilat, bertikam golok dan aksi karate bata sungguh meyakinkan. Sehabis tayangan Rabu lalu, para jemputan terutama petugas akhbar hanya menjuihkan bibir.

Sebagai teraju utama, Osman Ali ditanya tentang adegan panas yang dipaparkan dalam karya terbaharunya itu. Sebelum ini, Jiwa Taiko dicanang sebagai sebuah filem genre aksi dan gangsterisme, bagaimanapun ia sendat dengan adegan yang sengaja mengundang sensasi.

Babak asmara antara watak antagonis Pinto lakonan Bront Palarae bersama Lara (Nadia Nissa) dikatakan sedikit erotik dan hangat dipersoalkan. Selain itu, adegan ciuman antara hero filem berkenaan, Firman (Remy Ishak) dan Trisha (Diana Danielle) turut menimbulkan kritikan hebat walaupun ia ditapis pihak Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF).

Osman pernah membuat babak teknik pelaris filem 1980-an dengan menyelitkan adegan ranjang Maya Karin dan Aaron Aziz dalam Ombak Rindu, tetapi kali ini, dia sudah menyediakan perisai terhadap soalan wartawan.

SENSASI BINTANG: Adegan seks dalam filem Ombak Rindu dan Kaki Bakar kononnya terpaksa diadakan alasan mengukuhkan jalan cerita. Dalam filem Jiwa Taiko pun ada adegan sama. Tidakkah itu mencerminkan ada seorang pengarah tumpul idea?

OSMAN ALI: Memang cerita Jiwa Taiko itu menjurus kepada kehidupan bebas anak-anak muda dalam masyarakat. Saya percaya ada grup yang sedemikian dan rujukan saya pula kepada filem-filem Perancis seperti City Of God, Kids serta filem-filem arahan Claudio Amendola. Saya sebenarnya masih terbawa-bawa oleh dunia eksperimental dalam berkarya. Saya cuba bayangkan realiti gelap dalam dunia yang saya cipta dan berikan ia warna. Apa yang terlihat dalam Jiwa Taiko ialah jalan paling selamat yang telah saya lakukan.

Apa asas menyelitkan adegan seks untuk melariskan Jiwa Taiko?

Sungguh saya tiada niat untuk jadikan adegan ranjang sebagai bahan promosi. Sebenarnya banyak lagi elemen lain yang saya serapkan, malangnya adegan panas itu juga yang dikedepankan. Rasanya saya sudah kena ambil iktibar daripada teguran-teguran ramai. Untuk filem berikut yang berjudul Ada Setan Di Kepala yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi, saya akan lebih berhati-hati. Saya tak mahu dianggap pengarah yang sebegitu. Saya kena sedar di mana saya berpijak. Untuk penonton moden barangkali okey tapi apabila berdepan penonton tidak selesa, masalah akan timbul.


AKSI berkucup antara Remy dan Diana dikritik hebat.


Jiwa Taiko meriah dengan gaya rasta dan budaya hippies. Pekat mempromosi budaya pergaulan bebas, seks dan dadah. Apa yang mahu anda gambarkan?

Jika dilihat kepada keseluruhan visual dan susun atur, imej-imej itu sudah dirancang untuk membentuk satu subbudaya dalam filem. Saya percaya memang wujud grup sosial yang begitu. Saya mahukan sebuah filem yang penuh emosi, tekanan, dramatik bahkan konsep sinematografinya dibikin dalam nuansa 1960-an dan warnanya sengaja diberi filter grainy (berbintik-bintik). Saya memang bersiap-sedia untuk dipersoalkan. Angkara kebebasan akan membawa kecelakaan yang lebih parah dan memporak-perandakan hidup. Tapi saya juga harap elemen itu tidak dipersoalkan kerana bukan itu premis utama saya untuk filem ini.

Ramai yang kurang senang terhadap watak Firman bertatu kerana dia memberi gambaran bahawa ustaz zaman akan datang mesti bekas gangster yang sudah bertaubat. Tidakkah itu keterlaluan?

Saya ada merujuk kepada seorang ustaz berhubung soal itu. Untuk watak yang memang asalnya penjenayah, ia dibolehkan. Tatu itu jadi imej dan lambang hubungan Firman dan Pinto dan kesesatan lampau Firman sendiri. Firman sedang berubah mencari hidup yang lebih baik sebab itu ada adegan solat. Solat bagi orang yang bertatu masih dibenarkan jika boleh mendatangkan mudarat sekiranya tatu dibuang tidak mengikut prosidur yang sepatutnya.

Tajuk filem itu Jiwa Taiko, tetapi ramai yang berbisik ia lebih tepat diberi judul 'Jiwang Taiko', komen anda sebagai pengarah?

Judul asalnya filem ini Bara Jiwa, jika judul asal digunakan, saya yakin tiada masalah dalam soal itu. Atas alasan komersial, Jiwa Taiko kena menjual genre aksi sebab genre emosi susah untuk tarik khalayak. Sebenarnya tajuk Jiwa Taiko pun menarik sebab rata-rata anak muda yang berlagak samseng, perasan hebat dan terlibat dalam jenayah merasakan diri mereka cukup taiko, sebenarnya tidak. Watak dalam filem ini sendiri masih kuat nilai kemanusiaan. Firman boleh berubah menjadi baik manakala Pinto sendiri boleh jatuh cinta dengan Lara.

Zed mahu Seniman lebih garang

Posted:

Zed mahu Seniman lebih garang

Zed mahu Seniman lebih garang

GANDINGAN baharu. Zed Zaidi (kiri) dan Elyas Iskandar memegang tampuk tertinggi dalam Seniman yang menanam misi untuk memperkasakan persatuan artis berusia 38 tahun itu.


PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) sudah berusia 38 tahun dan minggu lalu, persatuan tertua yang ditubuhkan untuk membela nasib anak seni Malaysia itu mendapat kepimpinan baharu.

Dalam mesyuarat agung tahunan yang dihadiri lebih 200 ahli Seniman, Zed Zaidi dipilih untuk menerajui persatuan yang ditubuhkan pada 1974 itu dengan majoriti 152 undi. Dia dicabar Datuk Ahmad Tarmimi Siregar yang mendapat 9 undi manakala Zulkifli Ismail dengan 8 undi.

Kemenangan Zed menjadikan dia presiden termuda dalam sejarah Seniman. Presiden pertama persatuan itu ialah Zainuddin Zimbo. Antara pemimpin Seniman ialah Datuk Baharuddin Omar (Anjang Aki), Abu Bakar Kassim, Datuk Ismail Hudson, Datuk Aziz Singah, Datuk Mustapha Maarof dan Harun Salim Bachik.

Sensasi Bintang: Jawatan tertinggi dalam Seniman sudah ada dalam genggaman kalian. Jadi benarlah selama ini ada agenda untuk rebut jawatan?

ZED ZAIDI (ZZ): Bagi saya ini bukanlah perjuangan peribadi atau individu tapi perjuangan untuk semua ahli Seniman. Orang ingat, saya bukan berjuang main-main atau sekerat jalan. Saya dilantik atas kepercayaan ramai.

ELYAS ISKANDAR (EI): Kalau nak cakap pasal perjuangan, saya sudah ada dalam industri sejak 1995 lagi, saya mula aktif dalam Seniman sejak 2004. Saya anggap pelantikan saya sebagai Timbalan Presiden Seniman juga atas kepercayaan. Bagi saya, inilah satu-satunya persatuan yang akan saya bela dan boleh bela nasib artis.

ZZ: Saja saya nak menambah. Kita tak pentingkan nama untuk buat kerja persatuan, kalau ada nama tapi tak boleh buat kerja pun tak guna juga. Untuk pasukan Seniman yang baharu ini, saya bukan lantik orang popular tapi lantik orang yang praktikal.

Jadi apa agenda nombor satu Seniman dengan jawatankuasa yang baru dilantik?

ZZ: Nombor satu, Seniman kena berani berubah untuk transformasi dan saya dalam proses untuk membentuk Pelan Tindakan Memperkasakan Seniman. Untuk seminggu yang pertama, jawatankuasa baharu selesaikan urusan dengan pihak Jabatan Pendaftaran Persatuan Malaysia (ROS). Saya kena selesai masalah dalaman dalam Seniman itu sendiri. Sistem pangkalan data kami sangat lemah, itu yang harus diperkemaskan supaya gerak kerja lebih mantap.

EI: Kita juga ada tubuhkan beberapa biro baharu yang sebelum ini tidak diberikan perhatian dalam agenda Seniman terdahulu. Biro tersebut termasuklah Biro Perpaduan, Biro Komunikasi dan Media Baharu, Biro Kelab Penyokong Seniman dan dan Biro Pelapis.

Kalian lihat, adakah golongan artis sendiri cukup bersatu?

ZZ: Sebab itulah persatuan harus mainkan peranan. Sebelum ini saya tengok, kalau satu kelompok artis yang yang buat majlis, artis yang hadir hanya daripada kelompok berkenaan sahaja dan perkara itu berlanjutan sejak 15 tahun dahulu. Langsung tiada perubahan. Sekarang ialah masa untuk saya jenamakan semula Seniman, tukar logo, tagline serta laman web Seniman supaya lebih kontemporari. Sudah 38 tahun Seniman bawa logo yang lama itu. Objektif Seniman sendiri kena jelas.

EI: Dikecam itu lumrah. Sekarang kami perlukan buktikan kredibiliti kami berdasarkan hasil kerja. Ini kerja bukan sehari-dua dan memang sukar untuk puaskan hati semua pihak.


JAWATANKUASA Seniman yang rata-ratanya berada di tangan artis generasi muda. (Dari kiri) Syed Ahmad Nahar atau Syein (Setiausaha), Zed, Elyas dan Zarin Ishak (Ketua Biro Aduan dan Perundangan).


Dengarnya mesyuarat tahunan baru-baru ini juga kecoh. Apa cerita?

ZZ: Ramai yang ingat, siapa sahaja yang ambil alih kuasa dalam Seniman akan gunakan dana Seniman yang berjumlah hampir RM1 juta yang ada dalam simpanan Amanah Raya Berhad. Itu isu lama sengaja diusulkan semula. Ada juga isu tentang tuntutan royalti artis yang diperjuangkan. Perkara itu melibatkan bahagian-bahagian teknikal yang ambil masa untuk diselesaikan.

EI: Masalah timbul jika ada parasit dalam persatuan. Masalahnya cuma itu. Siapa parasit itu tidak perlulah saya maklumkan.

Cabaran paling besar?

ZZ: Bila pegang jawatan presiden ini seumpama sebelah kaki sudah ada dalam lokap. Apa-apa hal, mudah sahaja saya akan dipersalahkan.

EI: Cabaran untuk puaskan hati semua pihak.

Jawatankuasa Seniman kini diisi tenaga muda. Mampukah Seniman berdepan isu besar nanti?

ZZ: Orang muda akan kerja kuat dan selalu dahagakan kejayaan.

EI: Belajar pun kena belajar sewaktu masih muda. Saya pun bukanlah muda sangat, sudah banyak pengalaman dalam persatuan, bab bertekak tak payah cakaplah, semuanya isu yang sama. Yang penting, kami sangat neutral. Kami mahukan perubahan dan setiap tindakan harus dibuat tanpa unsur serangan peribadi. Saya sendiri bukan lalang, dalam Seniman sendiri, saya sudah ada tiga orang presiden terdahulu.

Bagaimana kalian melihat barisan kepimpinan Seniman terdahulu?

ZZ: Barisan kepimpinan Seniman terdahulu tak begitu pentingkan penglibatan artis muda. Artis muda penting sebab artis muda yang bayar yuran keahlian, lebih popular dan besar pengaruh tapi artis muda dipinggirkan dalam persatuan. Biro Seniman Muda pun baru ditubuhkan semasa Harun Salim Bachik dan impak artis muda itu besar. Paling ketara semasa AGM baru-baru ini. Itulah AGM terbesar dan kali pertama dihadiri ramai artis muda. Kalau tidak bertindih dengan acara Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya, lebih ramai artis muda yang hadir.

EI: Dahulu Seniman pernah dicap sebagai persatuan untuk artis veteran. Bagi saya, Seniman hanya mencapai keseimbangan pada zaman Harun Salim Bachik sebab hanya ketika itu Biro Seniman Muda ditubuhkan.

Zed terkenal dengan kelantangan dan nada keras menyuarakan isu membabitkan kepentingan artis tempatan, adakan kini anda semakin bertaring?

ZZ: Saya tetap perjuang isu kawalan artis luar itu sampai mati. Biarlah apa orang mahu kecam atau bencikan saya, mungkin bila saya mati nanti baru orang sedar tujuan isu itu diperjuangkan. Dahulu saya bercakap atas dasar saya sebagai timbalan, sekarang saya sudah jadi presiden. Atas kuasa persatuan, saya akan buat kunjungan hormat ke Jabatan Imigresen Malaysia mahupun kewujudan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar (Puspal). Menerusi persatuan, keadaan boleh dibendung sebelum dirawat. Saya kena ambil tanggungjawab itu untuk perjuangkan hak artis negara saya. Bila artis luar datang ke Malaysia, dia kena ikut undang-undang negara kita. Saya akan membuat kunjungan hormat berjumpa Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan memberi cadangan cara mengatasi masalah ini. Kena buat pemeriksaan terhadap setiap artis luar sama ada mereka mengikut prosedur betul atau tidak. Kalau ada permit kerja sekali pun, kena tahu permit itu daripada kementerian atau agensi mana yang mereka pakai. Kalau berani tunjuk permit!

Kalau saya mahu bertindak, saya boleh persoalkan Astro tentang jumlah hadiah yang diberikan kepada Ahmad Dhani dalam Mania. Adakah jumlah RM300,000 yang dibawa pulang oleh Dhani itu sudah ditolak dengan cukai atau sebaliknya?

Tugas kami ialah jadi pendesak, Finas sendiri harus didesak tentang garis panduan.

EI: Produksi dan stesen televisyen kita sendiri yang suka agungkan artis luar. Bayaran untuk artis luar sendiri bezanya berlipat kali ganda dengan bayaran untuk artis tempatan.

Misi kalian sangat patriotik?

ZZ: Saya kena jadi patriotik. Saya tidak boleh berdiam diri. Ibaratnya, bila rumah saya diceroboh dan harta-benda saya dicuri, takkan lah saya hanya mahu berdiam diri sedangkan saya diberi mandat untuk bersuara dan bela rumah dan harta saya. Bukannya Seniman tiada toleransi, saya cukup tak boleh tahan bila orang tunjuk lagak dan mempermain-mainkan undang-undang negara saya.

EI: Kalau tiada kawalan, lama-lama nanti, bila artis luar sudah ramai, mereka akan jadi kuat. Macam apa yang berlaku dengan kes pembantu rumah, macam-macam yang diminta sampai majikan pening kepala.