Kosmo Online - Hiburan |
Sukan ekstrem buat Faizal remaja Posted: Sukan ekstrem buat Faizal remajaGARIS halus pada wajah penunggang basikal downhill mountain itu membentuk satu pandangan yang menyenangkan dengan bicaranya bersulam tawa. Jika tanpa senyuman, ternyata dia masih kuat mengheret wajah misteri Ilham, si pembunuh upahan yang dipotretkan penuh impak dalam Bunohan. Dialah Faizal Hussein dan pada usia 45 tahun, anak bongsu pasangan pelakon legenda Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail itu sangat layak bergelar anak wayang. Dia yang mengenal jeritan action! dan cut! sejak berusia lima tahun itu juga masih kekal sebagai hero sepanjang zaman di hati peminatnya. "Prinsip saya dalam lakonan, hanya satu take untuk setiap shot. Dalam Bunohan juga begitu. Saya dan pengarahnya Dain Said, praktikkan perkara yang sama," kata Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2003 itu menjelaskan amalan dan misinya setiap kali berada di mana-mana lokasi penggambaran. Sengaja Sensasi Bintang membawa Faizal ke Kompleks Sukan Lasak, Taman Cabaran di Putrajaya. Idea fotografi berbasikal lasak tempoh hari sebenarnya lahir atas cadangan Faizal sendiri. Buat Sensasi Bintang, ajakan itu adalah satu kejutan memandangkan selama ini tidak pernah ruangan portfolio tampil ekstrem. Melihat aktiviti berbasikal lasak atau spesifiknya downhill mountain biking yang sudah dua tahun mengisi rutin hobinya, Faizal sengaja diusik soalan nakal. Mengisi ruang santai dengan stail orang muda, adakah itu salah satu caranya mengekalkan jiwa muda? "Sebenarnya saya sendiri tak pernah berasa tua. Mungkin tahap stamina mulai menurun, tapi saya perlu kekal lasak untuk karier saya juga," katanya. Tambah Faizal, dia mula menggemari sukan berbasikal ketika berusia 16 tahun sewaktu di Singapura. Waktu itu dia sudah memiliki basikal BMX yang jarang didapati di republik tersebut. "Saya pernah lompat (melepasi) dua buah kereta. Rasa puas," ujar Faizal yang pernah menjadi duta jenama Shimano. BERMOTOSIKAL scrambler dalam Gila-Gila Remaja pada usia belasan tahun, kini Faizal lebih selesa berbasikal. "Saya ada dua hobi lagi, main paintball dan helikopter kawalan jauh. Saya beli kelengkapan permainan itu setiap kali menyambut hari lahir. Konon-kononnya saya beri hadiah untuk diri sendiri, jadi isteri saya (Suhaila Sulaiman) tak boleh nak kata apa-apa," ujarnya tidak sabar untuk berkongsi hobi dengan anak lelakinya, Fazrick yang baru berusia empat tahun. Memberi istilah ketagih adrenalin kepada tahap giannya, kata Faizal, ketagihannya terhadap sukan lasak itu tidak ada jadual khusus, tetapi setiap kali didatangi perasaan rindu untuk beraksi, hormonnya tidak menentu selagi tidak dipuaskan. "Tengok kelapangan juga, kalau tiada jadual penggambaran dan cuaca mengizinkan. Kalau tak berkesempatan naik basikal, saya hanya akan main helikopter kawalan jauh dan bila rasa nak menembak, saya akan keluar main paintball dengan rakan-rakan," katanya yang sanggup berhabis puluhan ribu ringgit untuk setiap hobi. Martabat diangkat Sementara menunggu hujan reda, penulis bercerita tentang projek terbaharunya. Faizal menganggap Bunohan sebagai pemulih dan pengangkat martabatnya, dia sendiri berasa impak dan kembali membuka mata banyak pihak. "Selama ini, ada stesen televisyen yang enggan guna khidmat lakonan saya. Baru-baru ini, situasi itu seperti sudah pulih. Tawaran lakonan juga tidak berhenti, selain drama, filem Sang Pencinta arahan Khir Rahman bakal ke lokasi dalam masa terdekat. Sebuah filem bersama Bade juga memulakan penggambaran apabila usai penggambaran Sang Pencinta," katanya yang bakal muncul dengan drama Diba Benci Abah bersama Ika Farhana dan Eja di Astro tidak lama lagi. Sebelum ini, lelaki dengan ketinggian 1.8 meter itu pernah diumumkan sebagai taruhan utama kepada tiga buah filem iaitu Khoon Malay, Taiko dan 1957 yang dijanjikan memulakan penggambaran secara berperingkat pada Disember lalu. Malangnya, sehingga hari ini, pihak penerbit masih belum memulakan penggambaran. Alang-alang bertemu pemilik tubuh, soalan yang sama diusulkan kepada Faizal. "Memang masa sidang media, pihak penerbit berjanji untuk memulakan penggambaran sekitar Disember tetapi asyik tertunda sehingga hari ini. Saya pula jenis yang tidak suka nak melenting atau melatah. Konsep saya mudah dalam bekerja, agar senang bekerja dengan orang dan begitu juga sebaliknya. "Saya tetap hormat semangat mereka yang hendak buat filem tapi mereka tiada kemampuan. Memikirkan komitmen terhadap tiga filem berkenaan, banyak juga tawaran filem dan drama telah saya tolak. Kalau ikutkan nak marah, saya boleh marah tapi untuk apa? Bagi saya, istilah marah-marah dah tak ada. Sejak dapat anak, saya memang sudah kurang marah," katanya tetap akan memberi pertimbangan jika pihak terbabit masih mahukan khidmatnya untuk filem yang dijanjikan. Biografi Faizal Hussein BUKAN sekadar kemahiran, Faizal memastikan aktiviti berbasikal harus dilengkap dengan kostum dan ciri-ciri keselamatan untuk mengelak daripada kecederaan. Tahun ini, genap 40 tahun Faizal bergelumang dalam dunia seni. Faizal juga dalam proses menghasilkan sebuah buku biografi. Menjurus kepada panduan dan perkongsian pengalaman kepada sesiapa sahaja yang berminat menceburi bidang seni, buku itu sebagai tanda aspirasi Faizal untuk membentuk hala tuju pelakon generasi baharu. "Sama ada pelakon, kru atau sesiapa sahaja yang masuk bidang ini (perfileman) walaupun bermula sebagai pembancuh air sekalipun, mereka harus ada hala tuju. Kalau hala tuju mereka betul, mereka akan kekal dan berjaya. Ini kisah belakang tabir, tidak semuanya indah," katanya merasakan tahun 2012 sebagai tahun yang tepat untuk penghasilan biografi itu. "Saya beritahu keadaan sebenar industri supaya siapa sahaja yang masuk akan tahu hala tuju. Jangan ada yang tersasar dengan berniat mahu berkahwin dengan artis atau orang kaya apabila jadi artis. Saya tulis beralas tetapi siapa makan cili, dia akan rasa pedasnya," ujar Faizal yang akan melancarkan bukunya pada 23 Jun ini. "Rasa sedih dengan industri melihat ada yang salah hala tuju. Jujurnya, saya tidak ada kawan baik dalam industri dan saya juga jenis one woman man," ujarnya membuka rahsia isi bukunya. Bekerjasama dengan Faisal Mustaffa, penulis buku, aktivis teater serta orang yang terlibat sama dengan promosi Bunohan, projek biografi itu menjadi projek buku pertama yang ditulis sendiri oleh Faizal. "Selama ini saya payah percayakan orang lain, tapi tengok Faisal juga turut promosikan buku pelakon lain macam Zahiril Adzim, saya mula berminat," terang Faizal. Dibahagi-bahagikan kepada 15 bab termasuklah pesanan daripada arwah bapa kepada satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, buku tersebut juga akan menamakan enam buah filem yang memberi impak hebat atas survival Faizal sehingga kini. "Filem-filem termasuklah Gila-Gila Remaja, Fantasia, XX Ray, Leftenan Adnan, Kanta Serigala dan Bunohan. "Pada permulaan buku, ada juga dicoretkan kisah semasa saya kecil di Singapura. Sebab selalu ikut bapa ke lokasi penggambaran, saya cuma ingat nak main sahaja tapi pengarah pula ambil saya untuk melakonkan watak bapa ketika kanak-kanak. "Secara peribadinya, saya tak pernah berdepan saat sukar sepanjang jadi pelakon. Saya lahir di situ. Sejak kecil saya ikut ayah ke lokasi. Filem pertama lakonan saya ialah Darah Panglima arahan S. Kadarisman dan Penyamun Si Bongkok (M. Amin). "Masa umur 17 tahun, pengarah tawarkan saya jadi pelakon dan hero filem, saya tolak, tapi bila ditawarkan bayaran RM2,000 terus saya terima. Saya cuma rasa berlakon itu karier semasa umur 20-an," katanya yang gemar memerhatikan gelagat pelakon baharu terutama pelakon lelaki yang muncul selepas zamannya. Sebelum menutup perbualan dan menyambung semula aksi turun bukit naik basikal, Faizal menambah: "Saya pelik juga dengan sesetengah pelakon baharu sekarang. Masuk jadi pelakon sahaja mula cakap nak cuba berlakon dengan Maya Karin, kemudian nak cuba pelakon itu dan pelakon ini. Tak perlulah cakap begitu." | ||
Jangan main-main dengan saya - Zed Zaidi Posted: Jangan main-main dengan saya - Zed Zaidi
SEDERHANA dalam lakonan tidak bermakna Zed Zaidi harus bersederhana juga dalam melaksanakan tanggungjawabnya dalam berpesatuan. Sejak awal April lalu, Zed memanaskan industri hiburan tempatan. Semuanya gara-gara kelantangannya mempersoalkan kemenangan bintang dari Singapura, Aaron Aziz yang diangkat sebagai Bintang Paling Popular 2011. Akibat kenyataannya, Zed dikecam banyak pihak. Tidak berganjak dengan apa yang telah dimulakan, Zed meneruskan agenda itu secara berpersatuan. Apatah lagi kuasa Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang dipegangnya digunakan sebaik mungkin untuk menjadi hero buat penggiat seni sehingga ada pihak yang mendakwa dia mendahului Presidennya, Harun Salim Bachik. Belum selesai dengan isu mempertikaikan kemenangan Aaron Aziz, kini timbul pula spekulasi tentang hubungan profesionalnya dengan Presiden Seniman, Harun Salim Bachik itu. Minggu lalu, Harun membuat pengumuman tidak lagi mahu bertanding dalam merebut jawatan presiden Seniman yang diadakan pada 26 Mei ini. Ada pihak menyatakan bahawa tindakan Harun itu berikutan sikap Zed yang sering mendahuluinya dalam membuat keputusan. Bagaimanapun, dalam konteks Zed, dia mendakwa terpaksa menolak pelbagai tawaran lakonan kerana terlalu sibuk dengan aktiviti Seniman. Karismanya kini dilihat lebih menyerlah dalam berpersatuan berbanding dunia lakonan. Bukan sahaja sibuk menyusun jadual untuk menganjurkan majlis minum petang warga Seniman bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, tetapi Zed kini memberikan perhatian kepada tuntutan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) untuk mendesak stesen televisyen menaikkan bayaran. Sensasi Bintang: Zed semakin kurang berlakon, mahu pencen berlakon barangkali? ZED ZAIDI: Saya agak sibuk dengan Seniman. Sejak terlibat aktif dengan Seniman, saya terpaksa menolak tawaran lebih 30 buah drama. Tapi itu bukan bererti saya sudah tidak berlakon, buat masa ini saya menerima tawaran yang sesuai dengan masa saya. Drama terakhir lakonan saya ialah Apa Celop yang ditayangkan di TV3. Kini masih terpaksa menolak tawaran lain. Sejauh mana cakap-cakap yang mendakwa Harun Salim Bachik enggan mempertahankan jawatan presiden Seniman disebabkan Zed? Kami tiada apa-apa masalah. Harun ada memberitahu, dia sibuk dengan aktiviti seni, semua itu ditambah dengan masalah kesihatan. Biarpun orang nampak saya banyak bersuara, tetapi saya tetap menghormati presiden. Setiap tindakan yang saya lakukan sudah mendapat persetujuan presiden terlebih dahulu. Anda dilihat lebih banyak bersuara berbanding Harun. Mahu ambil alih jawatan presiden? Komen-komen saya adalah untuk Seniman, semuanya untuk membela semua artis kerana suara persatuan lebih kuat berbanding suara individu. Pemilihan jawatan kuasa Seniman akan berlangsung tidak lama lagi. Ada usaha melobi? Saya tidak kisah terpilih atau tidak. Jika mereka percaya saya boleh membela mereka, saya akan berusaha melakukannya. Itu satu amanah. Isu artis luar masih kedengaran hingga kini. Sampai bila anda mahu memperjuangkan perkara itu? Selagi ia tidak selesai jangan harap saya akan berhenti. Saya akan terus mendesak pihak berkaitan untuk terus membuat keputusan agar hak artis kita dilindungi. Jika tidak selesai juga saya akan membawa isu ini ke peringkat Parlimen. Saya sudah bertemu dengan seorang ahli parlimen tentang perkara ini. Insya-Allah jika tiada aral isu ini akan diangkat pada sesi depan. Dalam bahasa mudah, sebenarnya boleh atau tidak artis luar berkerja di negara ini? Bukan tidak boleh, cuma mereka perlu mengikut undang-undang. Jika orang luar mahu bekerja di negara ini, mereka kena ada permit. Bila permit mati, kena baharui. Bukan main suka hati sahaja. Ikut dan hormati undang-undang kita. Jika saya ke negara luar, saya perlu mengikut undang-udang mereka, kenapa tidak buat perkara sama terhadap artis asing. Bukan mahu menyekat, cuma perlu ada had. Sumber daripada sebuah stesen televisyen swasta ada menyatakan bahawa artis luar tersebut mempunyai permit untuk bekerja di sini. Apa komen anda? Kalau ada permit tunjukkan bukti dan sila jelaskan daripada mana permit itu dikeluarkan. Jangan main-main dengan saya, saya tahu perihal undang-undang dan saya bercakap atas fakta undang-undang yang tertulis. Usaha PTVM menuntut pihak stesen televisyen menaikkan bayaran semakin kuat bergema. Apakah penglibatan anda dalam perkara ini? Memang patut PTVM perjuangkan isu itu kerana itu hak kami sebagai penggiat seni. Kami sebenarnya ditindas oleh stesen televisyen dengan bayaran yang sangat tidak setimpal berbanding 17 tahun lalu. Mereka harus sedar bahawa kami bukan bekerja sendiri, ramai yang terlibat dan mereka perlu dibayar. Kami memberi mereka tempoh dua minggu untuk membuat keputusan, jika tidak piket besar-besaran akan diadakan di hadapan mana-mana stesen televisyen yang dirasakan patut. Wajarkah piket itu dilakukan. Kenapa tidak diselesaikan secara rundingan? Tempoh dua minggu sudah cukup untuk menyelesaikan perkara ini dengan aman. Tetapi jika tiada maklum balas positif yang diterima, piket ialah satu-satunya tindakan paling berkesan untuk membuka mata mereka. | ||
Posted: Rezeki terpijak Syatilla
DIPERKENALKAN sebagai pelakon menerusi siri drama debutnya, BFF…Teman Tapi Mesra sekitar Januari lalu, Siti Nur Syatilla Amirul Melvin, 21, cepat disambar sensasi. Perlakuannya beraksi seksi untuk sebuah iklan pakaian dalam jenama terkenal bertebaran di internet dan tempiasnya, pucuk muda itu berdepan persepsi kurang manis. Sekadar mahu menjenamakan diri dengan nama pentas Syatilla Melvin, pelakon berasal dari Parit Buntar, Perak itu sudah pun akur atas salah percaturan yang dibuat. Sementelah kata Syatilla, dia langsung tidak menjangka akan bergelar seorang pelakon seperti hari ini. "Dalam fikiran, saya hanya akan terlibat dalam bidang peragaan. Saya sendiri tiada asas lakonan, belajar pun sampai Sijil Pelajaran Malaysia sahaja. Habis belajar, saya datang ibu kota untuk mencari rezeki. "Cuma selepas menyertai (pertandingan mencari) Dewi Remaja pada tahun lepas, rangkaian kenalan saya mula bertambah. Saya dapat peluang berlakon pun daripada seorang jurusolek, namanya Deqsha. Dia yang kenalkan saya kepada penerbit dan pengarah drama BFF yang kebetulan sedang mencari seorang pelakon tambahan. Saya diminta datang ke lokasi, diberi penerangan dan terus masuk set untuk berlakon," cerita Syatilla tentang jejaknya dalam bidang lakonan. Bermula dengan rezeki terpijak, lakonan beri kehidupan baharu kepada Syatilla. Bersambung ke lokasi Lara Hati yang sedang menemui penonton di TV9, Syatilla tidak mempersia-siakan peluang yang terhampar depan mata. Usai berehat seketika, dia kini mempersiapkan diri untuk turun semula ke lokasi sebuah telemovie yang akan dijadualkan penggambaran, pertengahan Mei nanti. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |