Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Nidji dikuarantin semingguBUAH mula sebuah grup dengan enam jiwa dan enam kepala ini hampir sama seperti anak muda yang lain. Penuh semangat yang dibalut dengan pelbagai pancaroba untuk menempuh jalur langkah sebagai anak seni. Bermula dengan bertatih, kemudian karya Nidji seakan berlari diangkat khalayak yang merasakan muzik mereka dekat dengan jiwa dan dapat memberikan inspirasi sejagat. Buktinya lagu-lagu seperti Laskar Pelangi, Hapus Aku, Disco Lazy Time dan Sang Mantan menjadi pemanis di bibir pendengar mereka. Bak kata sang vokalis, Giring yang sentiasa bertenaga, mereka sudah diangkat sebagai bintang, pernah juga berasakan fasa sukar dalam perjalanan, sukses datang dengan pelbagai macam bentuk dan cubaan. Seiring dengan nama grup mereka yang bermaksud pelangi. Berikan Liberty Sudah agak lama tidak melihat gaya dan persembahan mereka di Malaysia, Nidji yang kali terakhir ke Kuala Lumpur pada 2010 akan menjejak lagi negara tetangganya ini untuk tujuan promosi album terbaharu dan melantunkan lagu-lagu mereka di pentas meriah Big Jam Hot FM. Masa untuk mereka berkongsi lagu-lagu terbaharu dan momen lagu-lagu popular mereka di sini dalam acara Hot FM yang bakal dilangsungkan di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu pada 10 Mac ini. Sebagai maklumat terbaharu, Nidji baru menelurkan dua buah album. Album Liberty merupakan album studio keempat Nidji yang dilancarkan pada November lalu manakala album Victory menyasarkan pasaran antarabangsa. "Album Breakthru' adalah semangat kami, Top Up adalah pembuktian kami, Let's Play adalah cubaan kami dan Liberty dan Victory adalah tujuan kami," kata sang vokalis. Bukan sahaja melalui proses kreatif yang berlainan untuk melahirkan album namun Giring, Rama, Andro, Randy, Adri dan Ariel mengambil peluang untuk merapatkan lagi silaturahim mereka dalam Nidji. "Proses rakaman album berlangsung selama kurang lebih sembilan bulan bermula dengan pembuatan dan penyusunan lagu hinggalah ke proses merakam dan mixing. Nidji selalu mencuba sesuatu yang berbeza dalam setiap pembuatan albumnya agar terdengar lebih segar. "Dalam album ini, Nidji memutuskan untuk membuat lagu melalui proses kuarantin. Lalu kami menyewa sebuah villa di kawasan Cisarua Puncak, Bandung selama seminggu. Hanya ada Nidji, produser album (Gio dan Nabil), pihak pengurusan serta kru. Tujuannya agar kita lebih fokus, jauh daripada keramaian, tidak ada gangguan dan dapat menghasilkan vibe yang berbeza," kata Rama. Nidji membina satu ruangan seperti studio mini dan berlatih serta mencari idea tanpa mengira waktu atau menganggu sesiapa. Ujar Nidji lagi, selama di sana, mereka bukan sahaja membuat lagu tetapi juga sama-sama bersukan dan main alat permainan. Suasana yang akhirnya membolehkan mereka mendapat 17 buah lagu serta mengakrabkan hubungan persahabatan mereka. Melebarkan sayap Lebih membanggakan grup yang ditubuhkan pada 2002 ini, album keempat ini juga bukti pelebaran sayap mereka ke peringkat antarabangsa. "Alhamdulillah, album keempat ini Nidji berkesempatan merakam album mini antarabangsa Nidji yang berjudul Victory. Daripada hasil 17 buah lagu demo yang dihasilkan di Cisarua, sepuluh lagu Indonesia terpilih untuk dimasukkan ke album Liberty dan lima buah lagu berbahasa Inggeris untuk album Victory. "Pada September tahun lalu, proses mixing serta mastering Victory dibuat selama 11 hari. Dalam album ini kami bekerjasama dengan produser Sex Pistol bernama Steve James. Banyak ilmu baharu seperti teknik rakaman yang lebih teliti dan betul, cara penyusunan sesebuah lagu, mixing bahkan membuat lirik berbahasa Inggeris yang lebih baik kami dapat," Rama menambah tentang album Victory yang akan dilancarkan ke seluruh dunia secara digital melalui iTunes tahun ini. Buat Nidji, rakaman album di Australia adalah salah satu cara mereka menuju impian yang dinamakan 'Go International' di luar Asia. Kebetulan juga kesempatan itu disokong oleh label Nidji iaitu Musica Studios yang mempunyai pejabat di Australia iaitu Valleyarm Record. "Buat Nidji, 'Go International' itu salah satu impian kita sejak dahulu dan Alhamdulillah, perlahan-lahan mulai wujud. Dimulai dengan 'Go Asia', kemudian 'Go Australia' dan 'Go Europe'. Kita ingin membawa nama harum Indonesia serta Asia Tenggara ke seluruh dunia, juga menyedarkan bahawa ada sebuah grup bernama Nidji," sepakat mereka bersuara. Menjangkau satu dekad SEIRING muzik dan fesyen, Nidji sentiasa tampil dalam dua elemen ini buat para pecinta mereka. Menyentuh perihal tema lirik yang mereka bawakan dalam album kali ini, ujar Nidji tema dalam album Liberty berbeza daripada album sebelumnya. Lebih menyentuh tema kehidupan sehari-hari anak muda, grup ini mengambil inspirasi lirik daripada status dan komen Twitter Nidjiholic (nama penggemar Nidji) yang banyak berkongsi kisah hidup masing-masing. "Album dahulu lebih banyak lirik dengan perumpamaan dan sedikit puitis. Kali ini lebih terang dan jelas," jelas Rama. Begitu dekat Nidji dengan Nidjiholic sehingga buah kata mereka menjadi bait-bait lirik lengkap dalam album terbaharu mereka. Inilah juga nyawa yang membenarkan kehidupan mereka menjangkau usia 10 tahun. Satu dekad yang penuh dengan warna-warni kehidupan. Meraikan usia seteguh ini, grup ini bakal mempersembahkan sebuah konsert khas buat pecinta karya mereka. "Tepat Februari 2012, Nidji berusia sepuluh tahun. Jadi dalam rangka sepuluh tahun, Nidji kita membuat konsert ulang tahun Nidji yang berjudul 1 Dekade Nidji yang akan dilaksanakan pada Rabu ini di Jakarta dan akan dibuat dalam bentuk DVD," keterujaan Nidji disuarakan. Ujar Giring seakan janji: "Langkah ini, langkah kesepuluh tahun ini. Ingat, kami tidak akan ke mana-mana. Kami akan selalu ada di hati kalian." | ||||
Posted: Fenomena BunohanCERIA penuh kelegaan. Itu reaksi semua pelakon termasuklah (dari kiri) Zahiril, pengarah Bunohan, Dain Said, Faizal Hussein dan Pekin Ibrahim pada sidang akhbar selepas tayangan malam gala Bunohan di TGV,KLCC, Rabu lalu. CERITA dari mulut ke mulut, paparan media dan sembang dalam laman sosial menjadi rujukan utama mengukur tahap keterujaan pencinta filem Bunohan. Reaksi positif serta pujian melambung daripada penggiat industri, para selebriti, peminat filem dan dunia seni memberi petanda, bahawa karya Dain Said akan menjadi satu fenomena. Menemui penonton pada malam gala yang berlangsung 29 Februari lalu, tidak keterlaluan kalau Bunohan dikatakan mencetus 'demam filem', satu perkara yang jarang berlaku kepada industri perfileman tanah air. Mungkin ia pernah berlaku kepada filem epik Puteri Gunung Ledang (PGL), tetapi kehangatan PGL tidak setanding Bunohan memandangkan ketika itu, Facebook dan Twitter tidak wujud seperti hari ini. Dalam ratusan tweet yang menjadikan Bunohan mencapai trending popular, Adibah Noor pula menulis: "Belajarlah dan tontonlah Bunohan." Sebelum disaksikan sendiri sekelompok penonton termasuk pihak media yang dalam senarai jemputan, Bunohan terlebih dahulu dipanaskan oleh penghormatan orang filem dari luar negara. Ia mendapat penghormatan apabila dijemput mengisi tayangan perdana antarabangsa pada Festival Filem Antarabangsa Toronto, September lalu. Menyusul pada Oktober 2011, Bunohan mendapat diangkat sebagai penerima Anugerah Netpac (Rangkaian Promosi Filem Asia) di Festival Filem Taipei Golden Horse. Mendapat kontrak pengedaran di bawah syarikat pengedaran antarabangsa, Universal Pictures, terbaru Bunohan diberi sanjungan pula tayangan perdana di Eropah sempena Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) yang berlangsung Januari lalu. Pencapaian-pencapaian itu cukup untuk membakar kesedaran umum, khususnya peminat filem tempatan untuk berkobar-kobar menunggu tayangan Bunohan di tanah air sendiri. Ia dilabel bukan sembarangan filem Melayu kerana jauh keluar dari kepompong filem Malaysia. Ulasan Bunohan terlebih dulu ditulis media luar negara dan tersiar dalam portal ulasan hiburan antarabangsa seperti Variety.com dan The Hollywood Reporter. Menariknya, ia berjaya mendapat penilaian yang sangat positif manakala Faizal Hussien yang membawa watak pembunuh upahan mendapat jolokan Jack Palance Malaysia oleh John Anderson dalam Variety.com. Pengarah tersohor, U-Wei Saari turut memuji Bunohan, katanya: "Bunohan sebuah filem yang hebat, saya bangga dengan Dain." Dalam tinjauan sebuah laman kaji selidik mengenai trending popular di Twitter, Topsy.com menyenaraikan sejak 30 hari lalu, trending Bunohan mencapai sebanyak 67 halaman sehingga petang Jumaat lalu. WAN HANAFI SU, menyentuh emosi sebagai bapa yang uzur serta mempunyai sejarah hitam dalam keluarganya. Tidak termasuk luahan-luahan yang diulang tweet, trending Bunohan dibicarakan lebih 1,000 kali oleh pemilik akaun Twitter. Menuju beberapa hari sebelum tayangan pada 8 Mac ini, Bunohan didefinisikan ramai sebagai filem tempatan yang akan membuka mata dunia. Mengangkat martabat filem Melayu yang selama ini jarang diberi perhatian sejagat. Bunohan berkisarkan penipuan, pengkhianatan dan perhubungan kekeluargaan yang disemarak oleh darah dan mitos. Tiga beradik, Ilham seorang pembunuh upahan, Adil peninju Muay-Thai serta Bakar seorang guru yang masing-masing ada haluan berbeza. Ia digerakkan lakonan cemerlang oleh pelakon berkaliber termasuklah Faizal Hussien, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Pekin Ibrahim, Namron, Shoffi Jikan serta Wan Hanafi Su. | ||||
Posted: Temberang selebriti Malaysia
SEKEPALA dan sama-sama becok, pasangan ini digabungkan dalam sebuah program baharu keluaran Astro yang dinamakan Propaganza. Marsha Milan Londah dan Reza Mohamed banyak bergurau dan mengusik antara satu sama lain dalam satu sesi fotografi yang diadakan baru-baru ini. Atas keterbukaan itu jugalah mereka dipilih sebagai pengacara 26 episod program Propaganza yang akan bermula 18 Mac ini. Propaganza akan bersiaran setiap Ahad pada pukul 12 tengah hari di saluran Astro Ria (104). Program sejam itu akan mengupas isu-isu semasa dalam industri hiburan tanah air. Mereka mengaku diselubungi gemuruh dengan gandingan kali pertama itu apatah lagi program itu akan disiarkan secara langsung. "Propaganza menyediakan lima segmen iaitu Buzz, Apa Cer, Malatopz, Klik Kantoi dan Murai," ujar Reza tentang program terbitan KRU Studio ini. Bagaimana dengan keserasian kalian sebagai pengacara program ini? REZA (R): Memang tidak ada masalah sebab masing-masing sudah ada perangai gila-gila. Lagipun kami sudah lama saling-mengenali dan sudah masak dengan perangai masing-masing. Saya rasa tidak ada masalah. Mulut saya memang lancang dan lantang dan Marsha sudah faham. Kalau ada salah dan silap, kami akan saling memberi teguran membina. MARSHA (M): Saya sudah kenal Reza sejak sama-sama menyertai program Akademi Fantasia musim ketiga. Kami sudah macam adik-beradik. Apa perasaan Marsha mengacara program siaran langsung? M: Saya sangat gemuruh tetapi sangat bersyukur kerana diregukan dengan Reza. Dia sudah lama dalam bidang pengacaraan dan saya harap dia sudi bimbing saya dalam mengendalikan tugas ini. Saya berada dalam tangan yang betul. Saya hanya takut tersasul. Tapi saya akan cuba buat yang terbaik. R: Saya juga gemuruh. Tapi tahap gementar Marsha tentulah lebih daripada saya. Kalau kami bersikap overacting, ini akan merosakkan karier kami. Tapi kami tidaklah sempurna dan tidak juga ada terlampau yakin. Kami banyak berbincang dan melakukan latihan. Tetapi selalunya apa yang dibuat masa latihan akan berlainan pada masa siaran. Apa pula cabaran untuk mengendalikan program ini? M: Saya perlu belajar dengan lebih mendalam lagi slanga Kuala Lumpur sebab saya masih lagi bercakap ada stail Sabah. Semestinya saya perlu bercakap stail Kuala Lumpur untuk program ini. Saya perlu betulkan cara saya berkomunikasi. R: Dialek Sabah Marsha memang pekat. Untuk tugasan kali ini, apa bahan rujukan kalian? R: Saya rujuk laman web murai.com dan kami juga ada wartawan kami sendiri yang mendapatkan maklumat. M: Saya banyak tengok program seperti E!. Dapakan sikit bagaimana stail Gulliana Rancid menjalankan tugasan sebagai pengacara. Itu cuma untuk mendapat idea dan gambaran besar tentang pengacara. Selebihnya, Reza banyak memberi tunjuk ajar. Apa kelainan program Propaganza berbanding program hiburan atau infotainmen yang lain? M: Kelainan yang ketara adalah daripada segi gandingan hos. Itu umum sudah nampak lain. R: Program Propaganza ini menjurus kepada cerita-cerita eksklusif, bahan-bahan scoop. Jika ada sesuatu berita atau isu panas keluar mengenai selebriti, kita akan minta penjelasan mereka dan tidak akan mengaibkan artis tersebut. Contohnya, jika ada artis yang bergaduh di laman sosial Twitter, kita akan minta keterangan dan cerita sebenar mereka. Kelainan yang lain adalah daripada segi hos seperti yang Marsha katakan. Bagaimana anda melaporkan isu panas membabitkan kalangan selebriti yang merupakan rakan-rakan kalian? M: Saya memang ada kerisauan itu sebab artis adalah rakan-rakan kami juga. Takut kawan-kawan salah anggap. R: Kami menjadi orang tengah bagi mereka untuk membetulkan keadaan.
Apa sumbangan program sebegini untuk industri tempatan sebenarnya? R: Istimewanya Propaganza adalah untuk penonton luar bandar yang tidak aktif atau tidak ada akses Internet. Jadi program ini memberikan berita yang pantas untuk mereka mengetahui apa yang terjadi dalam dunia selebriti. Jika dilihat lagi, program ini merupakan platform untuk artis memperjelaskan masalah mereka sebab kita tidak akan edit percakapan mereka. M: Buat saya program ini real. Kita membantu para selebriti dengan isu mereka. Malah tidak hanya tentang isu selebriti sahaja, kita juga ada menyentuh gaya hidup artis. Pada pandangan kalian, adakah jawapan selebriti kita jujur atau sekadar temberang? R: Ada juga yang beri jawapan selamat sebab siapalah yang mahu buka pekung di dada. Adakala mereka perlu mempertahankan diri sendiri. Saya harapkan agar artis kita cuba jangan beri jawapan yang mengaibkan diri sendiri. Jangan bangga dengan kenakalan atau perkara jahat yang mereka lakukan. M: Berdasarkan perhatian saya, ada juga selebriti yang beri jawapan yang propa ataupun jawapan selamat. Mungkin tidak sengaja. Saya rasa artis kena dan perlu pandai jaga diri, begitu juga jawapan dan penampilan diri mereka. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |