Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Tasha ikut kata hatiBERDIRI di tengah-tengah landskap dunia hiburan , Tasha Shilla, 25, sedar akan kedudukannya. Tambahan pula, ketika cahaya populariti sudah menyimbah ke muka, apa sahaja perbuatannya mudah mengundang perhatian khalayak. Ibarat bunga industri yang sedang mekar kelopak. Wangi dan indah karakter warnanya mula berserakan dan terpantul menghiasi banyak naskhah. Sudah lumrah bunga yang menawan, pasti banyak kumbang yang cuba menghisap madunya. "Kerja keras saya sepanjang tahun lepas sangat membuahkan hasil. Awal tahun ini, nama saya tersenarai pendek dalam senarai Artis Baharu Paling Popular. Untuk pendatang baru seperti saya, itu merupakan satu pencapaian terbesar. Bukan senang untuk masuk dalam senarai popular anugerah berprestij," katanya. Senyuman Tasha sedikit kelat. Melintas hari-hari yang enggan berhenti daripada cerita kontroversi, barangkali membuatkan Tasha mudah meramal soalan. Dia tahu, persoalan sebegitu bakal diajukan kepadanya. "Agaknya sudah lumrah menjadi artis, baru hendak popular, datanglah kontroversi. Dulu masa orang tak kenal siapa saya, siapa peduli. Tapi kontroversi itu bukan sengaja saya cari. Saya percaya silap hari bulan, kontroversi boleh membunuh karier artis tapi dalam satu segi, kontroversi juga boleh melonjakkan nama artis," katanya yang terpercik karakter negatif ekoran kontroversi yang melanda baru-baru ini. Terhambat oleh isu menari ghairah ketika sambutan hari jadi di sebuah kelab malam pada 25 Januari lalu, Tasha kemudian didakwa menjalin hubungan sulit dengan orang kenamaan yang menaja sebuah kereta mewah jenama BMW. Tasha juga terhimpit oleh isu meminum arak. Semua itu sudah dijelaskan satu-persatu. "Baik atau buruk penerimaan orang, saya kena fikir positif. Saya selalu fikir yang positif kerana peminat menilai seseorang artis berdasarkan reaksi yang diberikan kepada umum. "Saya masih baru, masih lagi belajar cara terbaik untuk berdepan soalan-soalan media. Ada orang kata, saya perasan bagus, ada yang kata, saya beri jawapan yang salah. Saya masih belajar. Mungkin ini ujian awal sebelum saya berdepan cabaran yang lebih besar," ujarnya menyimpan tekad. Jauhi negatif
Mula terfikir tentang reputasi dan populariti yang dikecapi atas usaha berdikit-dikit, anak kelahiran Ampang, Selangor itu sedar, penghargaan masyarakat harus dibalas dengan penuh hormat. "Bukan senang untuk bertakhta di mata dan hati penonton. Saya ambil iktibar atas semua kontroversi yang menimpa, saya mahu jauhi perkara negatif atau perilaku yang menyemai bibit kebencian orang terhadap saya," katanya. Akui Tasha: "Mana ada saya hidup mewah, tapi keluarga saya agak senang. Kalaulah saya hidup mewah, tak perlu lagi ibu saya susah-susah nak berniaga makanan. Bapa saya sendiri masih menjalankan perniagaan menyewakan peralatan penggambaran. Macam mana datangnya cerita dibela VIP sedangkan saya masih tinggal dengan ibu bapa." Apa jua pandangan masyarakat, sekali lagi Tasha bertegas. Nilai positif yang dipegang sejak awal masuk ke industri hiburan ini harus selalu dipegang. Apa juga kritik serta pandangan orang harus diterima tetapi paling membuatkan dirinya terharu apabila peminat yang sudah lanjut usia ada memberi teguran. "Saya terharu apabila ada peminat yang sudah berusia menegur dan memberi kata-kata semangat kepada saya. Katanya, 'biasalah bila jadi artis, macam-macam cerita akan timbul'," katanya yang percaya keazaman hati akan memberikan pulangan bermakna. Tiada asas lakonan Masih di lokasi drama bersiri Atas Nama Cinta sebelum masuk ke lokasi Landasan Cinta, pelakon yang mekar hasil lakonan antagonis itu semakin faham maksud lakonan. Dia tiada asas lakonan daripada mana-mana institusi pengajian seni. Tasha yang bercita-cita menjadi penyanyi itu hanya menyerap ilmu daripada nama-nama besar yang pernah dikenalinya di lokasi penggambaran. "Saya hanya minat tengok televisyen tapi bila dapat bekerja dengan nama-nama besar, saya ambil peluang untuk menyerap ilmu mereka. Setiap pengarah, daripada Khabir Bhatia, Along Kamaluddin hingga Raja Ahmad Alauddin, semuanya berlainan cara pengarahan.
"Berlakon bukan hanya melontarkan dialog, tapi buka pintu rumah pun kena ada cara," kata Tasha yang mahu lebih mendalami aspek teknikal dan metod lakonan. Tidak memerhati atau mahu mengikut resam mana-mana artis memacu haluan dalam dunia seni, kata hati Tasha lebih penting. "Saya tak suka ikut cara orang lain tapi buat kerja ikut kata hati sendiri. Tapi kalau cakap pasal hidup artis, saya suka Angelina Jolie. Sifat keibuannya terserlah, lakonannya bagus begitu juga dengan keprihatinan serta kerja-kerja kemanusiaan yang dilakukan. Kalau boleh, saya juga mahu jadi sepertinya," ujar Tasha menguntum angan-angan. Belajar aikido Di sebalik lakonan, Tasha sebenarnya sangat mementingkan soal keselamatan. Insiden rompakan yang menimpa seorang teman menyuntik azam baharu kepada Tasha. Takut serta bimbangkan keselamatan diri gara-gara kerap bergerak sendirian, Tasha tertarik untuk belajar mempertahankan diri. Atas cadangan seorang rakan, dia memilih untuk menyertai kelas aikido tidak lama lagi. "Kebetulan Mac ini saya ada banyak masa terluang, sudah lama juga saya tidak bercuti. Jadi sepanjang bulan Mac nanti saya mahu mulakan kelas aikido yang dijalankan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. Saya memang tak tahu apa-apa pasal aikido tapi atas ajakan kawan, saya jadi tertarik," kata Tasha mengesahkan penglibatannya dalam satu pertunjukan aikido bersama pasukan polis pada 25 Mac nanti. | ||||
Berita mengarut malukan Balkisyh Posted: Berita mengarut malukan BalkisyhBALKISYH menunjukkan keratan akhbar yang didakwanya menyiarkan berita palsu yang menjatuhkan maruah suaminya. SATU panggilan telefon daripada suaminya, Mohamad Aizad Rosly hampir-hampir memusnahkan kehidupan bahagia yang dibina sejak lima tahun lalu. "Berita itu yang membuatkan saya dan suami bergaduh besar. Saya terpinga-pinga dan terus berlari ke rumah jiran minta akhbar yang dimaksudkan. Kami bertegang urat dan dalam masa yang sama mendapat malu disebabkan artikel yang langsung tidak berasas," luah dramatis, Balkisyh Semundur Khan, 25, mengenai penyiaran berita palsu membabitkan dia dan suaminya, Mohamad Aizad Rosly, 28. Minggu lepas, sebuah akhbar tabloid menyiarkan artikel bertajuk 'Pelakon Dicekik Suami Cemburu Buta'. Artikel itu mengandungi pengakuan Balkisyh berhubung kekasaran yang dilakukan oleh suaminya angkara cemburu. "Apa yang mengelirukan saya ialah dalam artikel terbabit, penulis berkenaan ada memasukkan pengesahan yang kononnya diperoleh hasil daripada perbualan telefon bersama saya. Padahal saya tidak pernah dihubungi mana-mana wartawan sebelum berita itu disiarkan. "Pada waktu dan hari kejadian, suami saya yang merupakan pereka seni drama Hikayat Nek Tom dan saya masih di lokasi Landasan Cinta, iaitu sebuah telemovie bukannya drama bersiri seperti yang ditulis dalam artikel terbabit. "Apabila kami mengamati hal itu betul-betul, barulah kemarahan suami saya reda dan merasakan perkara itu perlu diselesaikan," jelas Balkish yang hadir ke pejabat Kosmo! Ahad untuk membersihkan fitnah ke atasnya baru-baru ini. Ujar Balkisyh, awalnya dia tidak mahu memanjangkan isu berkenaan sebaliknya bertemu pihak akbar terbabit untuk mendapatkan penjelasan dan membuat penafian. Malangnya, usaha yang dilakukan sia-sia kerana akhbar itu enggan membetulkan keadaan. "Saya ke syarikat akhbar itu pada hari Ahad lalu beberapa hari selepas saya kononnya dicekik dan ditampar. Kalau betul seperti yang didakwa sudah tentu ada kesan lebam pada wajah saya. "Kata pihak akhbar terbabit juga, mereka ada bukti, kononnya ada laporan polis oleh saya berhubung perkara itu. Saya beranikan diri ke balai polis untuk mencari bukti tapi laporan yang dikatakan itu tidak wujud," ujar Balkisyh yang hadir sendirian. Penulis hanya sempat berbual di telefon bersama Aizad memandangkan suami Balkisyh perlu berada di lokasi penggambaran. Berikut adalah ringkasan temu bual bersama Balqish dan perbualan telefon bersama suaminya yang dirakam Sensasi Bintang. SENSASI BINTANG: Kenapa tidak buat laporan polis atau saman akhbar itu? BALKISYH: Saya masih mahu menjaga hubungan dengan pihak media. Saya cari makan dengan lakonan. Sebelum ini orang sudah lupa siapa saya, tertanya-tanya adakah saya masih berlakon atau tidak. Tapi, bila cara saya itu tidak membantu, saya kena selesaikan perkara ini (dengan tindakan undang-undang) sebab ia melibatkan maruah saya dan maruah suami saya. AIZAD: Ikutkan hati, saya mahu buat laporan polis dan saman sahaja pihak akhbar terbabit. Berita itu mengarut dan rekaan semata-mata. Jadi benarlah kalian tidak bergaduh, tiada masalah cemburu seperti yang didakwa? BALKISYH: Bila sudah lima tahun berkahwin, bohonglah kalau tak pernah bergaduh tapi tidak pernah kami sebegini rupa. Pada pertengahan bulan baru-baru ini, saya dan suami bekerja untuk produksi yang sama, tiada apa-apa masalah pun. Semua kru penggambaran pun tahu. AIZAD: Sudah 10 tahun saya kerja di belakang tabir. Kalau hendak cemburukan Balkisyh kerana kerjanya sebagai pelakon, baik saya tak benarkan dia berlakon. Saya mampu untuk sara anak dan isteri. Kalau bergaduh pun saya masih boleh kawal diri. Selepas dimalukan oleh artikel berkenaan, memang saya marah tapi tidaklah sampai pukul-memukul. Impak paling teruk? BALKISYH: Ramai yang nak ambil tahu hal sebenar, kawan-kawan serta orang dalam industri yang kenal saya juga ada hubungi untuk tanyakan keadaan sebenar. Sedihnya, bila saya nafikan, ada yang tidak percaya dan perlekehkan kami. AIZAD: Saya malu besar, orang fikir saya suami yang tak bertanggungjawab, dayus dan macam-macam. | ||||
Uwais bukti cinta Sarah, Shuib Posted: Uwais bukti cinta Sarah, ShuibBARU berumur 85 hari, Uwais sudah pandai 'bersembang.' CERITA-CERITA yang keluar daripada mulut pasangan suami isteri, Shuib (Sepahtu) dan Siti Sarah Raisuddin sekarang bertemakan Uwais Alqarni. Putera yang baru berusia 85 hari tapi sudah pandai 'bersembang'. Si comel itu juga membuatkan jadual tidur dan rehat pasangan yang bernikah pada 26 Februari 2011 itu kelam-kabut. Namun dialah jiwa raga buat Shuib dan Sarah. Rancak bercerita tentang Uwais yang duduk elok di sebelah Shuib, Sarah membuka cerita bahawa Uwais pernah terdiam daripada menangis ketika mendengarkan lagu Bruno Mars ketika mereka menaiki kereta. Menurut Sarah, Uwais yang lahir pada 4 Disember lalu pasti menendang ketika mendengar petikan gitar. Baru pulang daripada penggambaran filem Amir dan Lukman Pergi ke Laut arahan Mamat Khalid, rindu seakan-akan berombak-ombak di dada Shuib. Dikelek anak ke sana sini, anak yang sudah pandai mengengsot itu juga sebenarnya tidak tahan panas. "Dia anak yang baik. Jujurnya, saya tidak pandai dengan bayi sebab saya anak tunggal. Tapi selepas mendapat Uwais, secara automatik semuanya berjalan secara semula jadi. Saya mandikan dia dan berani mendukung Uwais. Saya berbeza dengan Sarah yang sebelum ini memang serasi dengan bayi," ujar Shuib yang mengaku sudah pandai berdisiplin di tempat tidur kerana takut tertindih anaknya. "Sewaktu berjauhan, saya selalu suruh isteri saya kirim mesej bergambar melalui telefon Blackberry. Sengaja kadangkala saya suruh Sarah nangiskan dia agar saya dapat dengar suara Uwais," akui Shuib yang sangat berbangga dapat bekerjasama dengan Mamat Khalid, sutradara yang memang sudah lama menjadi idamannya. Uwais yang duduk di sebelah mengangguk-angguk seakan-akan faham. Sambung Sarah, hidupnya kini berbeza selepas mendapat cahayamata. Kini kalau perlu bekerja di luar, dibawanya Uwais sekali kerana dia tidak mahu berjauhan dengan anaknya.
Bercerita tentang topik kerja, pasangan ini sudah keluar dengan sebuah single duet yang bertajuk Cinta Itu Nyawa nukilan Aidit Alfian yang dilancarkan pada bulan Februari. "Lagu ini sebenarnya dicipta sebelum kahwin. Waktu itu Sarah memang sedang mencari single untuk dirinya. Saya terdengar lagu ini dan saya sukakan liriknya yang seperti cerita tentang kami berdua. Waktu mahu nikah, saya cakap dengan Aidit yang saya nak pinjam lagu itu untuk pasang masa majlis pernikahan kami. Kami rakamkan lagu itu, Aidit main gitar dan saya nyanyi tetapi tidak jadi dipasang. Bila Mujahid Universal dengar, dia rasa lagu itu sesuai jadi lagu duet saya dan Sarah," terang Shuib yang mengambil masa lama untuk merakamkan lagu tersebut kerana terkena 'sawan studio'. "Lagu Cinta Itu Nyawa dirakamkan waktu saya hamil tujuh bulan. Besar pengertian lagu ini buat saya kerana sebelum ini saya tidak pernah menyanyikan lagu yang ada kena mengena dengan diri sendiri. Lagu ini benar dan memang kisah hidup Sara," ujar Sarah tentang lagu itu yang kini sudah diputarkan di radio Hot FM dan Suria FM. Kata Sarah, selepas dua bulan lebih melahirkan Uwais, dia masih belum memiliki keberanian untuk muncul di atas pentas. Dakwa Sarah, fizikalnya kini merimaskan. "Juan (PR Universal) yang pujuk dan bagi semangat agar saya berani berhadapan dengan media," ujar Sara sambil disambut tawa Shuib yang berasakan fizikal isterinya okey dan tidak gemuk. Mengaku sangat senang dan suka bekerjasama dengan suaminya, akui Sarah, mereka berdua perlu mencabangkan kerjaya seni seperti sediakala. "Sekarang kami memang sibuk mempromosikan single duet ini. Selain itu kami juga turut berlakon dalam filem Man Sewel Datang KL. Sarah akan keluar dengan single solo selepas ini. Shuib juga akan keluar dengan dua buah lagu bersama Sepahtu bertajuk Siapa Dapat Lisa dan Tak Tipu," ujar Shuib. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |