Adsense

Sabtu, 25 Februari 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Keunikan Lisa di mata Yusry

Posted:

Keunikan Lisa di mata Yusry

Keunikan Lisa di mata Yusry

SEBELUM ini pernah timbul spekulasi bahawa pasangan popular Lisa Surihani dan Yusry bakal mendirikan rumah tangga pada tahun 2012, sehinggakan pihak KRU Studio terpaksa membuat kenyataan akhbar untuk menafikan perkara tersebut.

Kini spekulasi berkenaan akhirnya menjadi kenyataan setelah Lisa sah menjadi isteri kepada Yusry selepas diinikah dan diwalikan abang sulung Lisa, Mohamed Azan Mohamed dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya kelmarin.

Pada upacara akad nikah, Lisa yang kelihatan anggun dengan busana baju kurung moden rekaan Cosry berwarna putih menerima tujuh dulang hantaran iaitu tepak sirih, cincin, wang hantaran, kelengkapan sembahyang, manisan, kek dan seutas rantai platinum sebagai mas kahwin.

Pengantin lelaki pula menerima sembilan dulang hantaran seperti tepak sirih, cincin, kelengkapan sembahyang, kelengkapan lelaki, keyboard, koleksi lagu kumpulan The Beatles, bunga rampai, kek dan coklat.

Pada satu sidang akhbar sebaik sahaja selesai upacara pernikahan, Yusry meluahkan rasa leganya apabila majlis tersebut berjalan dengan lancar dan dia selamat bergelar suami kepada Lisa.

"Pasti ramai tetamu yang melihat saya cukup tenang semasa upacara akad nikah berlangsung. Hakikatnya, saya tetap rasa cukup gementar dan perasaan tersebut harus saya ketepikan supaya menjadi lebih tenang.

"Apa pun saya sangat gembira dan bersyukur apabila impian untuk mendirikan rumah tangga telah termakbul dan sekarang Lisa sudah menjadi isteri saya yang sah dan saya berharap hubungan ini akan berkekalan sampai bila-bila," ujar Yusry yang segak mengenakan baju Melayu moden berwarna putih pada majlis tersebut.

Ketika ditanya tentang keistimewaan yang dimiliki oleh Lisa, pengarah filem Hikayat Merong Mahawangsa itu menjelaskan isterinya itu telah membuka semula pintu hatinya untuk menerima kehadiran seseorang sebagai teman hidup.

Menurut Yusry lagi, sudah agak lama dia tidak percaya kepada cinta setelah gagal dalam perkahwinan terdahulu, namun kehadiran Lisa telah mengubah persepsi cinta dalam dirinya.

"Apabila menjalinkan hubungan cinta bersamanya, saya seolah-olah seperti kembali ke usia remaja. Malah, semenjak mula berkenalan dahulu saya dapat merasakan keserasian di antara kami berdua.

"Sewaktu berkenalan dan bercinta dengannya saya melihat dia adalah seorang wanita yang sangat baik dan menghormati kedua-dua ibu bapa serta ahli keluarga saya serta sangat penyayang kepada kanak-kanak," ujarnya.


LISA dan Yusry akan kembali sibuk dengan kerjaya masing-masing sekembali mereka daripada berbulan madu nanti.


Sementara itu, Lisa yang turut hadir pada sidang akhbar tersebut menyatakan keputusannya untuk menerima Yusry sebagai suaminya yang sah adalah satu pilihan yang tepat dan terbaik.

Menurut pelakon itu lagi, pada usia yang sudah mencecah 26 tahun dia merasakan sudah tiba masanya untuk menuju ke gerbang perkahwinan dan bersedia untuk bergelar sebagai seorang isteri.

"Tentang keistimewaan Yusry di mata saya pula, sebenarnya ia agak sukar untuk dijelaskan. Namun, kehadiran Yusry dalam hidup saya sekarang sudah dianggap sebagai sesuatu yang cukup istimewa.

"Sepanjang mengenali diri dan hati budi Yusry dengan lebih mendalam semasa berkawan dan bercinta, saya rasakan dia ialah lelaki yang paling sesuai untuk menjadi teman hidup saya," ujarnya.

Bagaimanapun, pelakon yang popular menerusi watak Mila dalam filem Ombak Rindu itu turut meluahkan rasa sedihnya apabila arwah ayahnya tiada di sisi meraikan hari yang bersejarah buat dirinya.

Bilangan anak

Sudah menjadi lumrah kepada mana-mana pasangan selebriti yang mendirikan rumah tangga pastinya tidak terlepas daripada diajukan pertanyaan mengenai perancangan untuk memiliki cahaya mata.

Mengenai zuriat mereka, kata Lisa, dia dan suami tercinta tidak pernah membuat sebarang perancangan. Lisa menjelaskan, dia sendiri sudah bersedia untuk bergelar sebagai seorang ibu pada bila-bila masa sahaja.

"Memang tiada sebarang perancangan untuk kami memiliki anak sama ada pada tahun ini atau tahun berikutnya. Kepada saya, perkara mengenai cahaya mata ini kami hanya serahkan pada rezeki yang akan dikurniakan.

"Berkenaan jumlah anak yang ingin diperoleh pula, sebenarnya saya tidak kisah sangat mengenainya. Kalau dikurniakan seramai empat orang anak ia sudah pun memadai buat diri saya," ujarnya.

Mengenai karier lakonan pula, Lisa menyatakan dia masih akan tetap berlakon seperti biasa dan akan mempertimbangkan apa sahaja tawaran yang diterima dan status sebagai isteri bukanlah satu penghalang untuk meneruskan kerjayanya.

"Suami pun masih tetap menyokong saya sepenuhnya untuk terus berlakon, malah saya rasa sangat beruntung kerana mendapat seorang suami yang sememangnya terbabit dalam industri hiburan dan faham dengan kerjaya masing-masing," tuturnya.


YUSRY melahirkan rasa syukur kerana berjaya menyunting Lisa menjadi isterinya.


Berbulan madu

Beberapa hari selepas berlangsungnya majlis resepsi yang diadakan secara serentak oleh kedua-dua belah keluarga pengantin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Februari ini, Lisa dan Yusry akan berbulan madu di Eropah.

Jelas Yusry, mereka memutuskan untuk berbulan madu di beberapa lokasi di negara Eropah. Yang menjadi pilihan dan destinasi pertama mereka berdua untuk berbulan madu nanti ialah Switzerland.

"Kami akan memulakan destinasi bulan madu di Switzerland dan berada selama beberapa hari di sana. Tentang tempoh berada di sana pula kami tidak pasti kerana ia bergantung kepada kesesuaian tempat tersebut.

"Selepas berada di Switzerland, kami akan pergi pula ke Cannes, Perancis dan Milan, Itali. Paling lama kami akan bercuti untuk berbulan madu adalah kira-kira dua minggu," ujarnya.

Mengenai pemilihan negara-negara tersebut sebagai lokasi bulan madu, tiada sebarang keistimewaan di ketiga-tiga lokasi berkenaan. Sebaliknya, ia dipilih berdasarkan cadangan beberapa orang rakannya.

"Kami hanya sempat untuk berbulan madu selama dua minggu sahaja. Selepas itu saya akan sibuk untuk menyiapkan kerja-kerja posproduksi filem Vikingdom, manakala isteri saya pula akan terbabit dengan filem Tingkat 4," jelasnya.

Status terkini Kak Engku

Posted:

Status terkini Kak Engku

Status terkini Kak Engku

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


CERIA. Penampilan dan wajah terbaharu Kak Engku yang kini mahu melangkah menghadapi masa depan dengan penuh positif.


APAKAH status terkini pengacara dan penyampai radio popular, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin atau sinonim dengan panggilan Kak Engku? Itu persoalan yang timbul gara-gara Kak Engku, 40, dikatakan masih mesra dengan bekas suaminya, Adzmin Tan Sri Osman, 39. Malah, kemesraan itu dikatakan sehingga ke tahap intim apabila mereka berdua berjalan sambil berpimpin tangan di khalayak umum sebelum ini.

Sejak berpisah dengan Adzmin dan kemudian memikul tanggungjawab untuk membesarkan tiga orang anaknya iaitu Megat Muhammad Raziq, 10, Megat Luqman Hakim, 9, serta Puteri Mia Maizurah, 6, kerjaya Kak Engku sebagai anak seni semakin melonjak, malah dia kini merupakan antara penyampai radio yang cukup popular bersama stesen radio Sinar FM.

Ditemui pada majlis pengumuman pengacara Anugerah Bintang Popular ke-25 (ABP 25) baru-baru ini, Kak Engku tenang menjawab persoalan status terkini dirinya dengan bekas suaminya itu di samping info terbaharu mengenai dirinya.

Kosmo!: Apakah status Kak Engku dengan bekas suami sekarang ini? Betulkah Kak Engku dan bekas suami masih mesra sampai ke tahap intim apabila dilihat berjalan sambil berpimpin tangan dengan lelaki yang pernah menjadi sang arjuna di hati Kak Engku itu?

RAJA AZURA: Walaupun hubungan kami sebagai pasangan suami isteri sudah berakhir, tetapi itu tidak bermakna kami tidak boleh lagi berhubungan sesama sendiri. Ketika ini kami hanyalah sekadar teman baik dan tidak lebih daripada itu. Lagipun kami pernah hidup bersama selama sembilan tahun serta mempunyai tiga orang anak yang semakin meningkat remaja. Maka, ia sudah menjadi tanggungjawab kami untuk membesarkan anak bersama-sama.

Pernahkah Kak Engku terfikir atau berhasrat untuk kembali hidup bersama dengan bekas suami?

Sebenarnya dahulu saya pernah beri peluang kepada suami agar kami dapat bersatu semula sebagai pasangan suami isteri. Saya akui memang bersedia untuk menerimanya semula dalam kehidupan saya. Namun, kini saya serahkan segala-galanya kepada Allah. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu terlalu mengharap sangat dan buat masa ini biarlah kami terus kekal dalam keadaan sebegini.

Pernahkah terlintas untuk mencari pengganti bekas suami?

Dalam usia saya sekarang yang sudah mencecah 40 tahun, rasanya lebih baik kalau saya menumpukan sepenuh perhatian untuk membesarkan anak-anak sahaja tanpa memikirkan untuk mencari pengganti atau sebaliknya.

Kak Engku kini jarang muncul dalam drama di TV. Kak Engku sudah mahu bersarakah?

Buat masa ini dunia saya adalah kepada bidang penyampai radio dan pengacaraan. Rasanya itulah kerjaya yang paling sesuai buat diri saya dan sangat gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang ini.

Jadi, benarlah Kak Engku sudah bersara sebagai seorang pelakon?

Tidaklah sampai saya mahu bersara daripada bidang lakonan, tetapi saya mahu lebih fokus kepada apa yang saya lakukan ini. Tidak dinafikan tawaran berlakon masih lagi saya terima, tetapi saya terpaksa menolaknya kerana faktor masa. Lagipun kalau berlakon ia memerlukan tempoh masa yang cukup lama buat saya untuk berada di lokasi penggambaran, sedangkan pada masa yang sama saya perlu memberi tumpuan untuk membesarkan anak-anak.

Sudah lapan tahun berturut-turut Kak Engku terpilih sebagai hos majlis Anugerah Bintang Popular termasuk ABP 25 ini. Kenapa Kak Engku tetap terima tawaran ini?

Pastinya ia merupakan satu penghormatan yang besar buat diri saya kerana terus dipilih oleh pihak penganjur, apatah lagi dapat bergandingan dengan rakan-rakan lain cukup hebat seperti Sharifah Shahira, Zizan Razak dan Didie Alias. Apabila terus diberi kepercayaan saya rasa adalah tidak wajar kalau menolaknya. Selagi ada pihak yang mahu menggunakan khidmat saya sebagai pengacara dalam sesebuah majlis atau acara, saya akan laksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

Gandingan filem pertama Nora, Adi Putra

Posted:

Gandingan filem pertama Nora, Adi Putra

Gandingan filem pertama Nora, Adi Putra

Oleh HARYATI KARIM


ADI PUTRA dan Nora Danish berganding buat pertama kali dalam sebuah filem. Mereka menjadi pasangan suami isteri dalam filem Aku Terima Nikahnya.


SELEPAS drama rantaian Tentang Dhia gandingan aktres Nora Danish dan Adi Putra mendapat sambutan hangat daripada penonton, mereka sekali lagi digandingkan buat pertama kalinya di layar perak menerusi filem Aku Terima Nikahnya.

Akui Nora yang ditemui pada majlis pelancaran filem itu di pejabat Metrowealth (MIG) di Petaling Jaya baru-baru ini, sebaik sahaja drama Tentang Dhia tamat banyak tawaran datang kepadanya untuk digandingkan bersama Adi Putra, namun tawaran daripada pihak MIG antara yang terawal.

Digandingkan sekali lagi sebagai suami isteri, kata Nora, dia menerima tawaran tersebut kerana jalan cerita yang cukup menarik dan berbeza daripada drama lakonannya sebelum ini termasuklah drama Tentang Dhia.

"Ketika saya ditawarkan berlakon dalam filem ini saya tahu yang gandingan saya ialah Adi Putra, itu juga antara penyebab saya terima tawaran ini.

"Kami pernah berlakon bersama dan sudah biasa antara satu sama lain. Walaupun kami masih sebagai suami isteri tetapi antara drama dan filem ia merupakan dua naskhah dan layar yang berbeza. Ia pasti mempunyai kelainan yang tersendiri," katanya yang bersyukur bakatnya mula diperhatikan orang ramai.

Sambung Nora lagi, dia menggunakan pengalaman sebenarnya dalam menjayakan watak sebagai isteri yang terluka akibat suami hilang ingatan.

"Saya gunakan pengalaman sendiri, saya juga berduka sebelum ini selain bantuan daripada pelakon hebat seperti Adi Putra," balas Nora yang memberitahu Adi merupakan aktor yang mempunyai karisma tersendiri.

Melodrama

Adi Putra yang namanya kini cukup hangat di kaca televisyen dan layar perak menerima tawaran MIG kerana skrip filem itu sebuah naskhah yang menarik buatnya.

"Judulnya sahaja, Aku Terima Nikahnya, membawa pelbagai maksud yang mendalam. Kalau kebiasaannya ia membawa maksud mendirikan masjid (perkahwinan).

"Filem ini juga sebuah kisah cinta yang melodrama, bermakna ia berat dengan permainan emosi. Mungkin ada persamaan dengan Tentang Dhia kerana kami berdua juga yang melakonkan watak suami isteri, tetapi jalan cerita dan cara kami membawa watak kami sangat berbeza," balasnya.

Mengerti andai peminat drama Tentang Dhia mengharapkan kesinambungan daripada drama itu di dalam filem Aku Terima Nikahnya, kata Adi, ia merupakan satu penghormatan.

Bagaimanapun, dia berharap agar penonton mengerti bahawa watak di dalam drama Tentang Dhia tamat dengan kematian kedua-dua watak utama.

"Saya akui drama Tentang Dhia memberi impak yang besar buat saya dan Nora. Saya berterima kasih atas sokongan peminat tetapi mereka harus faham yang drama Tentang Dhia dan filem Aku Terima Nikahnya adalah dua naskhah yang berbeza," katanya yang baru sahaja menamatkan penggambaran filem

KL Gangster 2.

Keserasian Adi, Nora

Pengarah filem Aku Terima Nikahnya, Eyra Rahman yang pertama kali mengarah filem menjelaskan dia memilih Adi dan Nora untuk menerajui filem Aku Terima Nikahnya kerana keserasian antara mereka selain gandingan mereka berdua digemari penonton ekoran drama Tentang Dhia.

"Saya memilih mereka sebab ini filem pertama saya, jadi saya perlukan pelakon yang berpengalaman. Sebenarnya ada beberapa pelakon lain tetapi akhirnya nama mereka yang disenarai pendek dan dipersetujui oleh saya dan pihak penerbit," katanya.

Filem Aku Terima Nikahnya yang memulakan penggambaran pada 18 Februari lalu mengisahkan Johan (Adi Putra) menikahi Arlisa (Nora Danish) dan mereka hidup bahagia.

Namun kebahagiaan mereka terhenti apabila Johan terlibat dalam kemalangan dan hilang ingatan termasuk melupai siapa Arlisa di hatinya. Bagaimanapun, Johan mula rapat dengan Suriya, teman baik kepada Arlisa. Apakah kesudahannya?

Nantikan kemunculan filem Aku Terima Nikahnya yang turut dibintangi oleh Mon Ryanti, Alex Yanz, Kamal Faridz dan Azrel Ismail di pawagam pada penghujung tahun ini atau pada awal tahun hadapan.