Adsense

Sabtu, 28 Januari 2012

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Tasha Shilla Kesal Tuduhan Menari Ghairah Di Kelab Malam

Posted: 27 Jan 2012 07:57 AM PST



PETALING JAYA: Pelakon Tasha Shilla berasa kecewa dengan tuduhan kononnya dia berkelakuan liar dan sanggup menari dengan aksi ghairah di sebuah kelab malam ketika menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-25 pada 25 Januari lalu.

Menyifatkan tuduhan itu sebagai melampau, Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak bagaimanapun mengaku berkunjung ke kelab tersebut tetapi tidak berkelakuan seperti yang didakwa.

"Saya bukan bodoh atau tidak sensitif untuk berkelakuan di luar kawalan seperti yang diperkatakan.

"Sebagai selebriti, sudah tentu saya sedar dan peka dalam menjaga tindak-tanduk terutamanya ketika berada di tempat awam."Saya kecewa apabila orang menuduh saya begitu sedangkan saya hanya menari biasa dan bukannya menari di tiang dengan aksi ghairah," katanya dalam nada kesal.

Tasha berkata dia tidak mampu untuk menghalang persepsi orang luar yang hanya mengenalinya sebagai artis tetapi apa yang lebih penting adalah kepercayaan dan sokongan ahli keluarga dan teman-teman rapat.

"Saya tidak mahu menjadi hipokrit dan menafikan kononnya saya tidak pergi ke kelab seperti yang diperkatakan.

"Hakikatnya, apa yang saya jelaskan adalah sesuatu yang benar-benar berlaku. Saya harap dengan penjelasan ini, masyarakat akan tahu perkara sebenar," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut.

Tasha mula dikenali selepas membintangi drama Gemilang di TV3 pada tahun lalu.

Fahrin Dedah Rahsia Elak Wanita Diperdaya Lelaki

Posted: 27 Jan 2012 07:54 AM PST




PETALING JAYA: Pelakon Fahrin Ahmad ingin "membocorkan" rahsia mengenai lelaki untuk menyelamatkan para wanita agar tidak diperdaya oleh golongan itu.

Fahrin berkata, dia terdorong untuk melakukan perkara tersebut kerana mendapati sejak kebelakangan ini ramai wanita yang sering teraniaya dek kata-kata manis lelaki selain melihat gejala sosial yang semakin merebak.

"Saya merasakan perlu untuk berkongsi rahsia bagaimana seseorang lelaki itu menggunakan kata-kata manisnya untuk memperdayakan wanita. Dengan cara itu golongan berkenaan dapat mengelak daripada termasuk dalam perangkap lelaki yang ingin mengambil kesempatan kepada mereka," katanya kepada mStar Online.

Jelas Fahrin, maklumat itu akan dikongsi dengan orang ramai menerusi kursus motivasi yang akan dianjurkan bersama rakannya.

Dalam kursus itu nanti selain Fahrin, beberapa pakar motivasi akan di undang untuk mengajar selok-belok 'permainan' lelaki yang cuba memikat dan merosakkan kehidupan seseorang wanita.

"Selepas membuat kajian mengenai pengisian dalam sesebuah kursus motivasi, didapati wanita kurang didedahkan mengenai taktik lelaki yang mempunyai niat jahat terutamanya yang mahu cuba memikat.

"Justeru itu, saya dan rakan kongsi menghasilkan modul berkenaan dan ternyata ia menerima respons positif selepas menganjurkan kursus di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Disember tahun lalu," katanya yang masih merancang untuk mengendalikan aktiviti itu pada tahun ini.

Dalam pada itu, Fahrin turut mengakui bahawa dia kini sedang berjinak-jinak dalam bidang motivasi, sebagai ganti cita-citanya yang mahu menjadi seorang guru sejak kecil lagi.

"Selain berlakon dan mengacara, saya mahu memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat.

"Dan pada tahun lalu, saya memulakan langkah demi langkah dengan mengambil ilmu daripada beberapa pakar motivasi yang antaranya seperti Datuk Dr. Fadzillah Kamsah dan Dr. Tengku Ismadi.

"Kebetulan pula, saya juga mengacarakan program realiti terbitan Astro Ria berjudul Misi 12, di mana ia sebuah program yang mahu membimbing dan menyelamatkan golongan remaja bermasalah ," ujarnya.

Misi 12 akan disiarkan pada setiap Selasa, pukul 9 malam bermula 7 Februari menerusi saluran Astro Ria (104).

Zed Zaidi Sedih Tiada Anak Kembar

Posted: 27 Jan 2012 07:52 AM PST




PETALING JAYA: Pelakon filem Niyang Rapik, Zed Zaidi berasa sedih selepas mengetahui isterinya, Nelly Natalia tidak hamil anak kembar seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini.

Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 31, berkata, isterinya yang mengandung tiga bulan telah melakukan pemeriksaan kali kedua di sebuah klinik dan diberitahu oleh doktor tentang perkara itu.

"Sebelum ini masa buat pemeriksaan awal, doktor kata mungkin isteri saya mengandung anak kembar tetapi selepas melakukan pemeriksaan semalam, hanya ada seorang bayi sahaja.

"Walaupun sedikit hampa tetapi saya tetap bersyukur dengan rezeki yang telah diberikan kepada saya dan isteri," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Tambah Zed, seperti kebanyakan ibu mengandung lain, isterinya, turut mengalami alahan teruk pada peringkat awal kandungan.

Pada satu tahap katanya, keadaan Nelly agak teruk apabila asyik mengalami muntah-muntah dan tidak berselera untuk menikmati makanan.

"Masa mula-mula mengandung saya agak risau juga kerana alahannya sangat teruk tetapi alhamdulillah, sekarang ia telah berkurangan dan berada di dalam keadaan baik.

"Nelly juga sudah mula mengidam untuk makan buah naga dan nasib baik dia tidak minta benda yang pelik-pelik," ujarnya.

Ditanya mengenai perasaannya bakal bergelar bapa pada Ogos nanti, Zed berkata dia teruja untuk menunggu saat tersebut kerana bayi yang bakal lahir itu nanti akan menjadi cucu pertama keluarga mertuanya.

Zed memberitahu, walaupun tidak kisah dengan jantina anak tetapi dia berharap akan kelahiran bayi lelaki.

"Saya mahukan anak lelaki sebagai anak pertama bukan apa kerana dia nanti boleh memimpin keluarga apabila saya tiada lagi di dunia.

"Bagaimanapun, saya menerima apa juga rezeki yang diberikan oleh Allah kerana anak adalah amanah buat saya dan isteri," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zed berkata, filem sulung terbitan syarikatnya Dzed Resources Sdn Bhd berjudul Taiko sedang dalam proses latihan dan bakal memulakan penggambaran dalam masa terdekat.

Zed memberitahu, dia juga telah membuka profil khas filem itu di Facebook dan terkejut apabila ia sudah pun menerima 1,000 pengikut walaupun belum ditayangkan.

"Ia adalah maklum balas positif apabila lebih daripada 1,000 orang telah mengikut profil berkenaan dan pihak kami sentiasa memuat turun aktiviti terbaru filem tersebut," ujarnya.

Tambahnya, dia juga sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul "Apa Celup" arahan Ahmad Idham untuk siaran TV3 yang turut menandingkannya dengan Kamal Adli, Wan Sharmila dan Amanda Misbun.

Fazura Jadi Pelaris ‘Bujang Telajak Belum Terlanjur’

Posted: 27 Jan 2012 07:51 AM PST




PETALING JAYA: Penerbit Eksekutif filem Bujang Telajak Belum Terlanjur A. Latiff Mohaideen mengakui pesona dan populariti aktres Nur Fazura Sharifuddin menjadi pelaris filem itu sehingga mencatatkan kutipan lebih RM2 juta sejak ditayangkan pada 19 Januari lalu.

A. Latiff berkata, selain daripada kekuatan Fazura yang berjaya menarik minat penonton ke pawagam, jumlah kutipan itu juga dipengaruhi oleh gabungan trio pelawak Saiful Apek, Nabil dan Johan, selain genre komedi yang dekat dengan peminat filem Melayu.

"Kutipan yang baik diterima oleh filem ini dipengaruhi oleh aura Fazura yang sememangnya diminati ramai. Kemunculannya di layar perak amat dinantikan oleh penonton.

"Fazura juga jarang muncul dengan filem komedi dan gabungannya bersama Apek, Nabil dan Johan ternyata menghasilkan sajian komedi yang bersahaja dan dekat dengan penonton kita," katanya.

Ketika ditanya mengenai sasaran kutipan filem arahan Prof Madya A. Razak Mohaideen itu, A. Latiff berkata sambutan yang baik daripada penonton selepas seminggu ia ditayangkan memberi petanda filem itu mampu untuk mengutip sehingga RM5 juta jika terus ditayangkan di pawagam untuk tempoh dua minggu lagi.

"Berdasarkan pengamatan kami, pola tontonan filem ini meningkat di antara 20 hingga 30 peratus setiap hari. Insya-Allah jika keadaan ini berterusan, saya yakin Bujang Telajak Belum Terlanjur mampu meraih sehingga RM5 juta.

"Lagi pun, pada waktu ini tiada filem komedi Melayu yang ditayangkan, sekaligus memberikan kelebihan buat filem kami," katanya.
Penerbit eksekutif filem Bujang Telajak Belum Terlanjur, A. Latiff Mohaideen.

A. Latiff yang juga adik kepada pengarah filem itu menambah, kejayaan Bujang Telajak Belum Terlanjur juga menyuntik keyakinan kepada syarikat produksi mereka, Lineclear Motion Pictures Sdn Bhd untuk mengekalkan formula gandingan trio pelawak dan aktres jelita itu dalam filem akan datang.

"Kami sentiasa mencuba formula dan konsep baru dalam penerbitan filem dan nampaknya formula yang menggandingkan trio pelawak ala Three Stooges dan aktres jelita sebagai teraju utama diterima baik oleh penonton.

"Berkemungkinan kami akan mengekalkan formula ini dalam filem komedi yang akan datang. Cuma plot dan konsepnya yang berbeza.

"Yang pasti, kami akan hasilkan sebuah lagi filem komedi yang menggabungkan Fazura dan tiga pelawak itu," katanya.