Harian Metro: Rap |
Lakonan dalam Songlap dapat pujian Posted: 19 Jan 2012 06:33 AM PST PERNAH sekali Allahyarham Yasmin Ahmad bersuara: "Syafie itu ikhlas orangnya. Lihat saja wajah serta matanya itu. Sungguh redup dan manis. Itu sudah cukup kuat untuk saya memimpinnya menjadi seorang pelakon yang berjaya satu hari nanti." Kata-kata Yasmin itu nyata bukan cakap kosong apabila hari ini melihat Mohd Syafie Naswip semakin menyerlah dalam bidang lakonan. Boleh dikatakan dalam kelompok pelakon remaja baru, Syafie antara yang paling menyerlah. Bertemu dengan Syafie di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini adalah detik yang menyeronokkan. Meskipun sibuk dengan jadual harian mahupun komitmen pembelajaran dalam Tingkatan 6, Syafie masih mampu mencari ruang untuk datang dalam fesyen remaja yang ceria, sesuai dengan usianya. Mendengar ceritanya dan meneliti setiap jawapan yang dilontarkan, jelas ia menggambarkan bintang filem Mukhsin, Talentime dan Songlap ini ada wawasan tersendiri dalam bidang seni mahupun bidang sampingan. Harus juga dipuji dia juga bercakap dengan nada yang merendah diri yakni tidak bongkak.
Apa yang membanggakan, profil Syafie pernah diangkat ke tahap yang memuaskan apabila filem Mukhsin berjaya menghadiahkan gelaran Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia Ke-20. Di samping itu, filem lakonan Syafie bersama Shaheizy Sam, Songlap, baru melabuhkan tirainya di pawagam. Ramai memuji lakonan Syafie bersama Sara Ali dan Shaheizy Sam. Bagi Syafie, semua pujian yang dibentangkan kepadanya selama ini adalah hadiah daripada kerja kuat serta kesungguhannya berlakon. Jauh dalam sudut hatinya, apa yang dicapai Syafie selama ini adalah menerusi laluan pintu yang dibuka Yasmin yang selesa dipanggil 'Mak' saja. Kini sejak ketiadaan Yasmin, anak muda berusia 19 tahun ini sedar dia perlu semakin kuat memacu ke depan dan tidak seharusnya meletakkan kesedihan atau kekecewaan yang berbaki itu sehingga menyekat kemaraan bakatnya. "Awal-awal dulu memang saya pernah sedih atau 'down'. Apabila dikhabarkan yang Mak sudah tiada lagi di dunia ini, saya rasa macam hilang tempat hendak mengadu. Dialah penguat semangat dan tempat rujukan saya. Namun difikirkan semula, sampai bila harus saya bersedih? Jadi saya kena 'move on' berfikiran positif," katanya yang pernah membintangi beberapa drama hebat termasuk Takbir Suci 2, Jidin, Ampunkan Dosaku dan Demi Masa. Kesemua lakonannya meninggalkan impak kepada penonton TV. Tambah anak tunggal ini lagi, dia ada tanggungjawab yang besar untuk dikejar. "Alhamdulillah setakat ini bakat saya masih dipandang. Masih ramai yang percaya dan datang memberikan tawaran. Maklumlah melihat pada persaingan pada hari ini, bimbang juga orang akan terlepas pandang namun semua itu hanya persepsi saja. "Bagaimanapun saya seboleh-bolehnya akan menapis dulu setiap tawaran yang datang bagi mencari kepuasan sebenar sebagai pemain watak. Saya tidak mahu konsep 'asal boleh' dalam menerima tawaran lakonan tanpa memikirkan kekuatan watak dan plot cerita. "Namun saya bukanlah terlalu memilih atau sombong. Cuma sebagai anak seni yang masih bertatih, saya inginkan kualiti dan sebuah karya yang betul-betul memberikan kepuasan. "Saya kena kurangkan sedikit kerjaya lakonan dalam tempoh dua tahun ini memandangkan saya sibuk dengan pengajian di Tingkatan 6. Saya ingin habiskan dulu pelajaran seperti mana yang diharapkan mak dan abah kandung saya. "Insya-Allah sebaik tamat pengajian nanti barulah saya akan kembali fokus kepada kerjaya lakonan secara total," katanya yang mengimpikan watak penuh emosi dan sesuatu yang mustahil dilakukan dalam kerjayanya. Pemegang gelaran Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2007 menerusi drama Ilham Suci ini turut diusik mengenai hal peribadinya. Adakah Syafie sudah ada kekasih hati? "Saya terlalu muda dan masih pakai 'uniform' sekolah. Banyak lagi perkara lain yang saya kena utamakan. Saya juga tidak pernah terjebak dengan cinta monyet di sekolah. Serius saya katakan, sayang saya hanyalah kepada kedua-dua ibu bapa, pelajaran yang menjamin masa depan serta kerjaya lakonan yang masih baru," katanya yang ingin melanjutkan pelajaran di dalam jurusan pengarahan filem. TRIVIA SYAFIE |
Posted: 19 Jan 2012 06:01 AM PST SELEPAS tamatnya program realiti Imam Muda musim pertama, ia membawa perubahan besar kepada kehidupan Imam Muda Mohd Taufek Mohd Noh, 29. Dia dan isterinya, Zilawati Abu Hassan kini mampu memiliki rumah sendiri dan turut mengusahakan perniagaan katering. Taufek yang menjadi pensyarah sambilan di Universiti Selangor, juga aktif memenuhi undangan berceramah di sekitar Lembah Kelang dan memberi motivasi kepada pelajar sekolah.
"Alhamdulillah, dibandingkan dengan kehidupan dulu dan sekarang memang banyak bezanya. Selepas menyertai Imam Muda, orang dah kenal saya lalu saya mengambil peluang itu untuk mengembangkan bakat sebagai penceramah dan juga memberi motivasi. Saya juga bercadang untuk menjadikan bidang motivasi ini kerjaya yang serius dengan membuka pejabat dan mengambil pekerja untuk melancarkan program yang bakal dirancang. "Sebagai memantapkan lagi ilmu yang ada saya juga berhasrat untuk sambung belajar ke peringkat ijazah sarjana dalam jurusan Islamik atau bersesuaian dengan kelulusan yang ada sekarang iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Pendidikan (Pengajian Islam). Untuk menjadi pakar motivasi yang bagus, saya perlu terus belajar," katanya.
Taufek dan sahabatnya yang juga naib juara Imam Muda musim pertama, Hizbur Rahman Omar Zuhdi, baru saja menghasilkan album nasyid yang berjudul Cahaya Atas Cahaya. Menurut Taufek, dia sudah lama mengidam untuk menghasilkan album nasyid namun waktu itu agak sukar untuk menggapai impiannya itu. "Segalanya yang saya impikan tercapai selepas menyertai Imam Muda. Saya sangat bertuah dapat menyertainya kerana segalanya kini berubah. Untungnya saya mempunyai kenalan dalam dunia seni ini dan kebetulan baru-baru ini saya berjumpa dengan abang Ito Lara. "Saya menyuarakan keinginan untuk membuat album nasyid dengan mengajak rakan Imam Muda yang lain turut sama terutamanya Nuri dan Ashraf. Tetapi Nuri kini menetap semula di Pahang dan Ashraf pula selalu sibuk, jadi akhirnya hanya saya dan Hizbur saja. "Apabila saya berjumpa Abang Ito Lara dan bercerita dengannya, rupanya dia pun mempunyai hasrat yang sama. Menerusi syarikat abang Ito Lara sendiri, Wahyu Suci Productions, maka hasil kerjasama kami lahirlah album ini. Ia sudah pun berada di pasaran," katanya. Empat belas lagu yang dimuatkan dalam album itu, Zikir Munajat 1 - Astaghfirullah, Assalamualaik, Cahaya Atas Cahaya, Zikir Munajat 11 - Thubna Ilallah, Salami Salami, Marhaban, Tolaal Baru A'laina, Zikir Munajat 111 - Laisalaha, Maulaya, Zikir Munajat 1V- Hasbi Rabbi, Selawat Badriyah, Doa Rasulullah dan Berendoi Nasihat. Taufek juga dalam proses belajar menjadi penyampai radio sebagai persediaan untuk muncul di radio milik Jakim iaitu Salam fm. "Untuk permulaan ini saya banyak belajar dengan abang Pian (anggota kumpulan nasyid Saujana) yang kini menjadi DJ radio IKIMfm," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |