Adsense

Isnin, 28 November 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Ombak Rindu filem air mata

Posted:

Ombak Rindu filem air mata

Ombak Rindu filem air mata

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR
dan ihsan TARANTELLA PICTURES


HEBAT... Bront Palarae dan Aaron Aziz antara pelengkap cerita Ombak Rindu.


EMPAT buah filemnya sebelum ini iaitu Bukak Api, Puaka Tebing Biru, Anak Halal dan Cun! memperlihatkan kehebatan Osman Ali dalam menghasilkan lakon layarnya selain menjadi pengarah.

Kesemua filem tersebut meninggalkan kesan tersendiri dan mendapat tempat di kalangan penonton mahupun pengkritik, sekali gus meletakkan Osman sebagai salah seorang pengarah hebat di negara ini.

Namun, sebagai pengarah, Osman sentiasa mahu mencabar dirinya dan menongkah arus dengan mencuba sesuatu yang baru.

Atas alasan itulah, kata Osman, dia mengambil keputusan untuk menduduki kerusi pengarah dan mengarahkan filem Ombak Rindu yang diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama hasil karya penulis popular, Fauziah Ashari.

Walaupun Ombak Rindu bukan karya asalnya, tetapi kata Osman, dia tidak mahu perkara itu dijadikan sebagai satu alasan untuk tidak menghormati dan menjadikan karya itu seperti naskhahnya sendiri.

Mengakui begitu mengagumi penceritaan Ombak Rindu, Osman begitu teruja untuk mengarahkan filem tersebut dengan barisan pelakon yang menjadi idamannya untuk menzahirkan watak-watak penting dalam novelnya.

"Apabila tawaran yang diberikan oleh Tarantella Pictures untuk mengarahkan filem Ombak Rindu, saya melihatnya sebagai peluang terbaik saya untuk meneroka cabang baru sebagai seorang pengarah.

"Apatah lagi kalau dilihat kepada industri perfileman tempatan ketika ini, memang jarang sekali novel diadaptasi ke layar perak.

"Perkara pertama yang saya lakukan adalah untuk menghubungi penulis asal novel ini dan berkongsi cerita dengannya agar saya mendapat gambaran dengan lebih jelas lagi tentang Ombak Rindu.

"Walaupun saya sudah membacanya tetapi sebagai pengarah, saya menghormati dan perlu mendapat restu Fauziah selaku penulis naskhah Ombak Rindu," jelas Osman dalam sidang akhbar usai majlis pratonton filem Ombak Rindu di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyambung bicara, Osman yang mula dikenali dengan filem kontroversi, Bukak Api pada tahun 2000 itu memberitahu sebagai pengarah, dia juga telah melakukan rombakan kepada skrip asal yang ditulis oleh Armantono dari Indonesia.

Selepas berbincang dengan penerbit, Sharad Sharan yang bersetuju dan memberikan lampu hijau kepada Osman untuk mengolahnya, dia merombak skrip asal tersebut agar disesuaikan dengan konteks masyarakat tempatan.

"Apabila membaca skrip asal, saya melihat banyak perkara dan senarionya yang kurang sesuai dengan masyarakat serta budaya tempatan. Begitu juga dengan watak-wataknya yang saya olah agar ia menjadi lebih dekat dengan audiens kita.

"Apa yang penting untuk saya adalah untuk mencintai setiap satu karakter dalam filem ini agar jiwa mereka dapat dizahirkan menerusi pembawaan watak masing-masing.

"Walaupun karakter dan watak itu bukan hasil ciptaan saya, tetapi sebagai pengarah, saya harus berbuat demikian untuk mendapatkan kesan yang lebih mendalam," ujar Osman yang baru diiktiraf sebagai Pengarah Filem Terbaik bagi filem Cun! pada Anugerah Skrin 2011, baru-baru ini.

Rombakan juga, jelas Osman bukan hanya terletak kepada jalan cerita tetapi watak-wataknya juga. Dalam konteks itu, Osman memberikan contoh watak Izzah lakonan Maya Karin di mana watak asalnya digambarkan sebagai seorang wanita yang tidak bertudung.

Tetapi selepas diteliti dan dia sendiri mahukan sesuatu yang berbeza dalam dimensi lakonan Maya, dia mengubah watak itu menjadi sebaliknya.

Begitu juga dengan watak Hariz dan Mila yang dibawakan oleh Aaron Aziz dan Lisa Surihani yang sememangnya menepati jiwa Osman serta berjaya menzahirkan emosi seperti mana yang dikehendakinya.

"Saya sendiri mahu bekerja dengan pelakon yang belum pernah saya bekerjasama sebelum ini. Ternyata percaturan saya dan penerbit memilih barisan pelakon Ombak Rindu benar-benar berjaya," ujar anak kelahiran Pulau Langkawi, Kedah itu optimis.

Selain Maya, Aaron dan Lisa, Ombak Rindu turut dibintangi Bront Palarae, Normah Damanhuri, Azizah Mahzan, Zaidi Omar, Delimawati, Julia Ziegler dan Kamarool Yusof.

Luahan rasa Fauziah

Pada sidang akhbar itu juga, pihak media telah dikejutkan dengan pengakuan Fauziah selaku penulis asal Ombak Rindu yang turut hadir pada majlis tersebut.

Sewaktu ditanya pendapatnya tentang hasil kerja Osman dan filem Ombak Rindu secara keseluruhannya, secara tiba-tiba dia meluahkan isi hatinya.

"Sebagai penulis popular, saya akui memang tidak puas hati dengan filem ini. Apabila membaca novelnya yang memakan masa empat hingga lima jam, saya berasa tidak puas menonton filem ini.

"Sudah pasti saya mahu melihat semua cerita di dalam novel ini dizahirkan ke layar perak. Namun, semuanya itu tidak dapat dilakukan dan apa yang ditonjolkan dalam filem ini selama dua jam hanyalah sebahagiannya sahaja.

"Pengikut novel ini ramai dan mungkin mereka juga mahu melihat intipati cerita ini diceritakan semuanya di dalam versi filemnya.

"Cuma saya harap di masa akan datang, diharapkan penulis novel juga diberi peluang untuk melibatkan diri secara langsung apabila ada projek adaptasi novel ke filem," jelasnya memberikan pandangan.

Alasan Sharad Sharan

Mengulas tentang luahan Fauziah itu, sebagai penerbit, Sharad mempunyai alasan tersendiri mengapa pihaknya tidak mahu melibatkan penulis novel dalam projek adaptasi itu.

Katanya, ada kala penulis tidak faham dengan proses adaptasi di mana kesemua cerita di dalam novel tidak boleh disumbatkan ke dalam filem yang hanya memakan masa sekurang-kurangnya dua jam.

Jelas Sharad lagi, ini bukan kali pertama dia berhadapan dengan situasi seperti itu kerana sebelum ini filem Lagenda Budak Setan (LBS) juga mengalami masalah yang sama.

"Namun, Ahadiat Akashah selaku penulis, cepat sedar dan faham bahawa filem dan novel merupakan dua medium yang bermain dengan visual yang berbeza.

"Mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana proses adaptasi kerana ia bukan semudah yang disangka. Kalau dimasukkan semua cerita, ia akan menjadi panjang dan jika tidak kena caranya, ia boleh membuatkan penonton bosan," katanya yang akan muncul dengan dua buah lagi filem adaptasi daripada novel iaitu Katerina dan Untuk Tiga Hari.

Mengulas tentang hasil kerja Osman pula, Sharad yang juga pengarah filem LBS dan Diva dengan jujur mengakui Ombak Rindu lebih hebat daripada LBS berdasarkan aspek pengarahan.

Katanya, pemilihan Osman adalah tepat dan tidak mustahil untuk pihaknya bekerja semula dengan pengarah itu dalam projek akan datang.

Full content generated by Get Full RSS.

Teguran pedas Chef Wan

Posted:

Teguran pedas Chef Wan

Teguran pedas Chef Wan

Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR
Gambar AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN


BP dinasihatkan agar lebih tumpu kepada bahan lawak, bukan masalah peribadi.


BAHANA cuba berjenaka tanpa mengambil kira faktor peribadi menyebabkan Sobri daripada kumpulan Bawal Power (BP) ditegur oleh pengkritik tetap Maharaja Lawak Mega (MLM), Datuk Redzuawan Ismail (Chef Wan) pada minggu kelima, Jumaat lepas.

Teguran Chef Wan terhadap Sobri ekoran peserta itu memberikan serangan berbaur peribadi terhadap penulis kolum hiburan akhbar mingguan arus perdana, baru-baru ini.

Kolumnis hiburan berkenaan, menegur Sobri yang mempersendakan penyanyi yang pernah popular sekitar tahun 1980-an, Zaiton Sameon.

Justeru, Sobri yang ternyata tidak berpuas hati terhadap penulisan tersebut, dilihat seolah-olah menjadikan persembahan BP minggu lepas di pentas MLM sebagai platform untuk mencabar dan mengutuk kolumnis berkenaan.

Selepas BP mengadakan persembahan, Chef Wan dalam komennya menasihati Sobri agar tidak mengulangi tindakannya yang bukan sahaja tidak profesional tetapi juga lebih cenderung ke arah serangan peribadi.

"Sepatutnya perkara sebegini tidak harus berlaku. Apa yang awak lakukan dengan mempersendakan kembali kolumnis tersebut merupakan satu langkah yang tidak bijak.

"Sepatutnya dalam situasi begini, BP seharusnya lebih profesional dan tidak menyentuh sensitiviti sebarang pihak.

"Cuba bayangkan jika dia sendiri berada di pihak keluarga Zaiton. Apakah perasaannya apabila anggota keluarga menjadi bahan jenaka dan disenda?

"Apa yang penting, ketika berjenaka, janganlah menyentuh sehingga menyakitkan hati orang lain dan sekali gus, tidak sensitif," ujar Chef Wan dalam sidang akhbar sejurus tamat persembahan 10 peserta MLM pada minggu kelima.

Sebelum ini, Chef Wan pernah memberi peringatan kepada semua para peserta MLM yang gemar menggunakan individu termasuk barisan juri, sebagai bahan lawak mereka.

Teguran itu dibuat pada minggu ketiga MLM. Pada minggu keempat, Chef Wan tidak duduk di barisan juri kerana berada di Singapura.

Sementara itu, seperti yang telah dijangka, Hits gagal mendapatkan komen kumpulan BP terutamanya Sobri kerana difahamkan mereka terus beredar sebaik MLM tamat bersiaran.

Selain Sobri, Chef Wan turut menegur peserta tunggal solo, Adlin Aman Ramli yang masih lagi menggunakan pendekatan jenaka berunsurkan lucah atau dobule meaning.

Chef Wan berkata, bahan jenaka seperti itu agak kurang sesuai kerana program realiti televisyen itu yang disiarkan secara langsung di Astro Warna, Astro pada setiap Jumaat, 10 malam, turut ditonton oleh kanak-kanak.

"Adlin mempunyai bakat dan berkebolehan menghidupkan sesuatu karakter, namun, dalam masa yang sama dia juga harus peka dengan apa yang disampaikannya.

"Jadi, saya mengharapkan pada persembahan seterusnya nanti, bukan sahaja Adlin, malah semua peserta MLM agar peka dengan lawak mereka," kata Chef Wan yang turut memuji persembahan kumpulan Boboi dan 3G yang dilihat konsisten.

Minggu lepas, para peserta MLM perlu membuat persembahan bertemakan purbakala yang mana, rata-rata persembahan peserta agak hambar dan kurang mencuit hati berbanding dengan persembahan pada minggu-minggu sebelum ini.

Malahan, kata Chef Wan persembahan peserta pada minggu kelima kali ini juga kurang menyengat.

"Sebenarnya kami mengharapkan persembahan yang semakin meningkat memandangkan ia kini sudah memasuki minggu kelima.

"Namun, apa yang kami jangkakan jauh meleset kerana kebanyakan peserta pada minggu ini tidak dapat mencapai tahap yang kami kehendaki.

"Ini merupakan pentas otai-otai lawak untuk beraksi, jadi kami sememangnya menjangkakan sesuatu yang berkualiti setiap kali persembahan diadakan," tegas beliau.

Selain itu, juri yang dikenali melalui komennya yang jujur dan sedikit pedas ini juga mengatakan, kebanyakan peserta lari daripada tema.

"Saya lihat kebanyakan peserta pada malam ini lebih banyak memberi perhatian kepada kostum daripada isi persembahan mereka.

"Apa yang lebih penting sekarang ialah pengisian persembahan yang mengekalkan momentum lawak tanpa perlu membuat kita semua tertunggu-tunggu untuk ketawa," katanya yang mengharapkan persembahan pada minggu hadapan lebih baik daripada minggu ini.

Pada minggu kelima, kumpulan Boboi mengekalkan takhta dengan 64 markah diikuti oleh 3G (56 markah), Pimai (55 markah), manakala kumpulan Syok dan Bawel dari Indonesia berkongsi kedudukan dengan 45 markah.

Menduduki tangga terakhir kedudukan MLM pada minggu kelima dengan berkongsi mata ialah BP, Adlin dan Saehu (42 markah).

Full content generated by Get Full RSS.