Utusan Online - Hiburan |
Posted: Perubahan Diana elak dosaOleh KHADIJAH IBRAHIM
TIADA siapa yang meminta Diana atau Nurdiyana Amir, 25, bertudung. Apa yang dilakukannya adalah atas kesedaran sendiri untuk berubah. Kata pemegang watak Sam dalam filem 3, 2, 1 Cinta, sepatutnya, sudah lama dia melakukan perubahan yang menjurus ke arah kebaikan. Menurut anak keempat daripada tujuh orang adik beradik itu, niat untuk memakai tudung sudah lama terpendam di hatinya namun dia belum yakin untuk melaksanakannya. "Pada tahun lalu sewaktu penggambaran drama Ku Sangka Dua Rupanya Tiga dan ketika berlakon dalam filem Tujuh Petala Cinta, watak yang saya dukung menghendaki saya memakai tudung. "Pada waktu itu, hati terasa hendak terus memakai tudung tetapi dalam masa yang sama, saya tidak bersedia kerana jiwa berkobar-kobar mahu berlakon. Maklumlah banyak watak yang belum pernah saya bawa. "Namun, semuanya berubah apabila akhir-akhir ini, saya sering terasa seolah-olah hari kiamat sudah dekat. "Apabila saya nilai diri, banyak tuntutan agama yang tidak saya penuhi. Saya takut dan sangat insaf akan kekurangan diri selama ini," akuinya. Namun kata Diana, perkara utama yang membuatkan dia nekad untuk berubah adalah bagi mengelak bapanya, Amir Hashim, 54, daripada terus menanggung dosa kerana kedegilannya yang tidak mahu menutup aurat. "Kasihan pada abah, selagi saya belum berkahwin, dia perlu memikul dosa saya yang tidak menutup aurat kerana seolah-olah abah tidak pandai mendidik anak pula. "Pada hal sudah lama abah dan umi menyuruh saya menutup aurat. Alhamdulillah, ini semua berkat doa mereka," katanya terharu. Kata Diana, hatinya terus tekad untuk bertudung dan bukan kerana mengikut fesyen. Diana yang ditemui di Wisma Metrowealth, Petaling Jaya baru-baru ini berkata, selain itu, pengalaman rakannya yang terlebih dahulu bertudung membuatkan dia juga ingin mengikut jejak langkah sahabatnya itu. Di samping itu, nasihat daripada ibu angkatnya yang selama ini tidak jemu-jemu menegurnya, juga adalah pendorong untuk Diana mengubah penampilan. Meskipun kedua orang tuanya, ibu angkat dan kawan sering menasihatinya agar berubah namun orang pertama yang mengetahui dia bakal bertudung pada 19 September lalu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group, David Teo. Diana menceritakan, sewaktu memberitahu David mengenai perubahan tersebut, penerbit filem itu terus bertanya adakah dia bertudung kerana sedang bercinta dengan seseorang. "David ingat saya sedang bercinta sebab itu saya berubah. Walaupun berbeza agama, dia tidak membantah dan menyokong tindakan saya kerana perubahan saya berpakaian tidak menganggu kontrak. "Lagipun semua filem yang saya tandatangani dengan MIG sudah selesai penggambaran. "Setakat ini, David kata tiada masalah dan kelak saya akan ditawarkan watak mengikut kesesuaian saya dan bukan dibuang terus daripada MIG kerana perubahan penampilan," katanya. Menurut Diana, setiap apa yang berlaku adalah kehendak Allah dan disebabkan itu, dia yakin walaupun bertudung rezekinya dalam bidang seni tetap ada. Namun katanya, jika benarlah rezekinya sebagai pelakon tidak panjang, Diana tidak kisah kerana dia masih ada ibu bapa yang akan menanggungnya selain menggunakan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia yang dimilikinya untuk mencari pekerjaan. "Sekarang ini, saya tidak mahu lagi hanyut dengan duniawi. Saya ingin memperbaiki diri untuk mendekatkan diri dengan Allah. Masih banyak perkara yang perlu saya pelajari. "Sebab itulah saya banyak bertanya dengan Kak Wardina, Irma Hasmie dan Einaz soalan-soalan berkaitan perubahan yang saya bakal lakukan sebelum bertudung. "Mereka tidak pernah jemu untuk menjawab sebarang soalan daripada saya dan di waktu yang sama, saya membaca buku-buku agama untuk menambah pengetahuan," katanya yang juga akan mengikuti usrah. Diana yang pernah berlakon drama bersiri Sari Maya, Adam Maya, Laila Asyikin dan Jalan Pinang Sebatang berkata, dia tidak menyesal memilih melakukan perubahan. Pelakon filem V3 (Samseng Jalanan), Aku Masih Dara, Senario Ops Pocot dan Sekali Lagi itu berkata, dia sentiasa berdoa agar Allah mengekalkan perasaan yang dimiliki untuk berubah ke arah kebaikan untuk selama-lamanya. "Hanya satu saya pinta supaya Allah kuatkan iman saya, agar diri ini tidak berubah daripada melakukan perkara-perkara yang diredaiNya," mohon Diana. Dalam pada itu, dia juga memohon jasa baik semua pihak agar tidak lagi menerbitkan gambar-gambarnya yang tidak bertudung kerana dia mahu membuka sejarah baru dalam kehidupannya. | ||
Dua pengarah bakal bergelar doktor Posted: Dua pengarah bakal bergelar doktorOleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN (Dari kiri) Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan Fadillah Yusof sempat berbual mesra dengan A. Razak Mohaideen dan Ahmad Idham Nadzri selepas majlis penyerahan watikah di Hotel Sri Pacific, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Dua pengarah prolifik tanah air, Prof. Madya A. Razak Mohaideen dan Ahmad Idham Nadzri merupakan antara barisan sutradara tempatan yang telah banyak menghasilkan karya masing-masing. Melalui filem yang mereka hasilkan, tidak dinafikan, ia mempunyai mesej-mesej tertentu sama ada yang tersurat mahu pun yang tersirat untuk disampaikan kepada audiens. Apa yang pasti, filem-filem karya mereka bersifat mendidik dan pada masa yang sama, mampu menghiburkan penggemar filem Melayu. Jika dilihat secara total, tidak keterlaluan jika dikatakan industri filem tempatan belum mampu untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pelbagai genre filem asing walau dari negara jiran sekali pun untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Walaupun berjaya mencatat kutipan box office, Idham menerusi filem Hantu Bonceng dan A. Razak, Raya Tak Jadi, kedua-dua pengarah itu mengakui hakikat bahawa filem Malaysia sebenarnya belum mempunyai elemen daya saing yang boleh diangkat ke peringkat global. Lantas, bagi mengkaji formula untuk menembusi pasaran luar, A. Razak dan Idham sanggup melonggarkan jadual kerja seni mereka demi memberi tumpuan untuk menghasilkan tesis doktor falsafah (PhD) masing-masing. Sesuatu yang membanggakan apabila kedua-dua pengarah itu ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah. A. Razak dengan filem terbarunya, Raya Tak Jadi yang ditayangkan pada 15 September lalu berkata, tujuannya menyambung pengajian bukanlah semata-mata mahu bergelar doktor falsafah. Sebaliknya beliau berhasrat untuk membantu industri perfileman negara yang pada pandangan mata kasarnya, agak jauh ketinggalan berbanding dengan negara Asia yang lain. "Selain menambahkan pengetahuan, saya berharap dengan tesis yang bakal saya hasilkan, ia mampu mencari penyelesaian masalah terhadap apa yang sedang dihadapi oleh industri filem tempatan. Bajet "Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya sebagai pengarah dan warga industri filem amnya, industri kita bergelut dengan masalah peruntukan atau bajet. "Kita perlu bajet bukan setakat menerbitkan filem tetapi juga untuk memasarkan produk (filem) ke tahap yang lebih tinggi selain daripada edaran di pasaran domestik," katanya pada satu majlis penerimaan watikah tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Majlis tersebut dihadiri oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof dan Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan beberapa individu lain yang turut menerima tawaran sama daripada UUM. A. Razak yang membentangkan kertas kajian bertajuk Perniagaan Filem Malaysia Abad ke-21 menyimpan hasrat mahu melihat filem tempatan mampu bersaing di peringkat global seperti mana filem-filem negara jiran. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |