Utusan Online - Hiburan |
Posted: Saingan dua tauke filemOleh ABD. AZIZ ITAR
DALAM industri perfileman tanah air hari ini, Datuk Yusof Haslam dan David Teo adalah dua penerbit filem yang paling menyerlah. Yusof bergelumang dalam dunia perfileman menerusi syarikat produksi miliknya, Skop Productions dan David pula dengan MIG Production. Walaupun dua penerbit itu berbeza bangsa dan agama, tetapi matlamat mereka adalah sama iaitu menerbitkan filem yang mampu menarik ramai penonton ke pawagam. Justeru, tidak hairanlah sekiranya jumlah kutipan tiket filem-filem terbitan mereka menjadi penanda aras atas persaingan tersebut. Persaingan paling sengit berlaku apabila filem Yusof berjudul KL Gangster mencatat kutipan RM11.6 juta sehingga 26 Jun lalu. Sementara filem Kongsi terbitan David pula mengaut kutipan tiket RM8.4 juta selepas tamat tayangannya pertengahan bulan lalu. Setakat ini, dua jumlah kutipan itu adalah yang tertinggi buat jualan tiket filem Melayu di negara ini. Ekoran persaingan yang sengit itu juga, dua tauke filem ini dikatakan bersaing sesama sendiri bagi terus mendominasi jumlah kutipan tiket filem terbitan masing-masing. Mega buat pertama kalinya berpeluang mempertemukan Yusof dan David pada satu sesi fotografi yang diadakan di pawagam Golden Screens Cinema, Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini. Pada pertemuan itu, mereka merungkai persaingan yang diperkatakan itu. Tiada unsur perkauman SEBAGAI penerbit merangkap ahli perniagaan, David Teo tidak menafikan persaingan tetap ada di mana pesaing terdekatnya dalam bidang perfileman tempatan ketika ini adalah Yusof Haslam dan Skop Productions. Malah, ramai orang yang memperkatakan perkara tersebut. Bagaimanapun, penerbit berasal dari Segamat, Johor ini menyahut cabaran dan persaingan itu daripada sudut yang positif. Katanya, persaingan sihat itu kelak akhirnya akan memberi manfaat kepada kedua belah pihak dan industri perfileman keseluruhannya. "Saya dan Datuk (Yusof) berada dalam 'satu kapal'. Kami berniaga produk yang sama. Kalau filem dia laku, saya juga tumpang gembira. Kalau penonton filem Melayu suka menonton filem dia, maka penonton yang sama juga akan menonton filem-filem terbitan saya. Kita berkongsi penonton yang sama. "Sebab itu, tidak timbul soal dengki mendengki. Ini adalah satu persaingan yang sihat. Saya dan Datuk sepatutnya boleh bekerjasama supaya jumlah penonton bertambah daripada satu juta kepada dua juta orang. Kami harus bersatu bagi mencapai matlamat itu. "Kalau kami dapat menarik dua juta penonton ke pawagam, saya optimis kutipan tiket sebuah filem Melayu boleh mencecah RM16 juta. "Jadi, tidak timbul isu negatif kerana saya dan Datuk bersaing bagi mencapai matlamat masing-masing dengan menghasilkan filem-filem yang lebih bermutu," katanya. Pada masa sama, David yang mula menerbitkan filem pertamanya berjudul Syukur 21 pada tahun 2001 berkata, soal perkauman juga tidak seharusnya dibangkitkan dalam isu itu. Ini kerana, dia turut memperjuangkan survival filem-filem Melayu sama seperti yang dilakukan oleh Yusof. Malah, David yang telah menerbitkan 61 filem Melayu sejak 10 tahun lalu berasa bertuah kerana biarpun bukan penerbit bumiputra, tetapi semua pihak memberi sokongan kepadanya. Lagi sekali katanya, bangsa dan agama tidak seharusnya menjadi isu dalam persaingan itu. "Walaupun saya orang Cina, tetapi saya terbitkan filem Melayu. Filem-filem terbitan saya juga diterima dengan baik oleh para penonton filem Melayu. "Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) juga tidak pilih bulu walaupun saya orang Cina. Saya mendapat layanan yang adil daripada mereka. Bagi saya persaingan, untung dan rugi perkara biasa dalam perniagaan. Saya sudah lama melaluinya. "Saya pernah menerbitkan filem bertajuk No Problem pada tahun 2002 yang hanya berjaya mengutip kutipan tiket RM100,000 biarpun kos pembikinannya RM650,000. "Tetapi saya juga pernah mendapat kutipan tiket yang baik melalui filem terbitan saya yang bertajuk Kongsi berjumlah RM8.4 juta dengan kos RM2.5 juta sewaktu tayangannya bulan lalu. "Semua itu adalah persaingan dan nasib yang menentukan sama ada sambutan filem itu bagus atau tidak," ujarnya. David kini sedang sibuk membuat promosi dan strategi ke atas filem-filem terbarunya seperti Flat 3A yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 14 Julai ini, manakala filem seterusnya Senario Opocot pula bakal menyusul pada 21 Julai ini. David bukan pengacau Sementara itu, Yusof Haslam juga bukan orang baru dalam bidang perfileman. Bersama Skop Productions, beliau sudah 30 tahun menerbitkan filem dan drama televisyen. Sebab itu, anak kelahiran Datuk Keramat, Kuala Lumpur ini sudah biasa dengan sepak terajang dalam bidang ini. Lantas, beliau tidak gentar dengan persaingan termasuklah apabila munculnya 'pemain-pemain baru' dalam gelanggang perniagaan filem seperti David Teo dan ramai lagi penerbit lain. Baginya, persaingan seperti itulah yang akan menguji jatuh bangunnya dalam dunia penerbitan filem selama ini. "Saya anggap David bukan pengacau, sebaliknya dia membuka mata penerbit filem lain supaya tidak leka tetapi bekerja keras. "Ramai orang buka mata atas kejayaan David selama ini. Saya sendiri rasa terkejut dengan pencapaiannya itu. Ia membuatkan saya semakin kuat bekerja. "Bayangkan Skop Productions yang ditubuhkan 20 tahun lalu hanya mampu menerbitkan 30 filem setakat ini. "Sedangkan David yang baru 10 tahun dalam bidang ini telah menerbitkan 61 buah filem. Itu memang tamparan hebat bagi saya dan saya harus bekerja keras dalam persaingan ini," katanya. Kata Yusof, meskipun kejayaan yang diraih oleh David dan MIG Production itu amat drastik tetapi beliau tidak menafikan penerbit bukan Melayu itu juga pernah melalui pengalaman jatuh bangun dalam menerbitkan filem. Kegigihan David itu katanya, harus dicontohi oleh penerbit-penerbit Melayu lain. Namun, pada masa sama penerbit merangkap pengarah yang pernah mendapat gelaran Six Million Dollar Man itu turut berbangga kerana David pernah menjadikannya sebagai inspirasi dalam bidang perniagaan yang glamor itu. Tambahnya, itu adalah antara sikap positif David dalam bersaing. "David sebenarnya melihat perkembangan filem-filem terbitan saya dan dia pernah menganggap kejayaan saya sebagai inspirasinya. "Itu adalah antara ayat yang pernah diucapkannya dalam suatu majlis tidak lama dulu. Dia terus berjuang walaupun pernah gagal dalam bidang ini. "Itulah pengajaran yang saya cuba tekankan kepada anak saya, Syamsul supaya dia bekerja lebih keras. Saya mahu dia mencontohi sikap David itu. "Bagus juga ada pesaing seperti David kerana tanpanya, kita semua (penerbit Melayu) akan leka. Secara tidak langsung David pencetus semangat kita semua. "Di kalangan penerbit Melayu, David juga sebenarnya penyumbang kepada pertambahan bilangan penerbitan filem-filem Melayu. Ia memberi peluang lebih luas kepada para pelakon dan pekerja filem tempatan," jelasnya. Bagaimanapun, Yusof layak untuk mendabik dada biarpun pesaingnya itu kini dikategorikan sebagai penerbit paling aktif menerbitkan filem Melayu. Ini kerana, filem terbitan Skop Productions yang diarahkannya berjudul Sembilu berjaya mengutip kutipan tiket lebih RM6 juta pada awal tahun 1990-an. Itu adalah filem Melayu pertama yang berjaya mengutip kutipan tiket paling tinggi pada dekad tersebut. Selepas lebih 20 tahun mengarah, Yusof kini lebih banyak menyerahkan tugas mengarahkan filem-filem terbitan Skop Productions kepada anaknya, Syamsul dan Syafiq. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Dominasi filem MelayuOleh ABD. AZIZ ITAR DARI kiri: Filem KL Gangster, Kongsi dan Khurafat antara filem Melayu yang mencatat kutipan tiket melebih RM7 juta sewaktu tayangannya baru-baru ini. INDUSTRI perfileman Melayu memperlihatkan peningkatan bukan sahaja daripada segi jumlah kutipan tiket tetapi juga bilangan penonton yang menyaksikan filem-filem Melayu di pawagam. Dalam perkembangan itu, Skop Productions dan MIG Production antara syarikat produksi terpenting yang menyumbang ke arah itu. Terbaru, filem KL Gangster yang mengutip kutipan tiket RM11.6 juta sehingga 30 Jun lalu berjaya menarik 1.2 juta penonton ke pawagam. Menurut Pengarah Urusan dan penerbit Skop Productions Datuk Yusof Haslam, perkembangan sihat itu berdasarkan kepercayaan para penonton terhadap filem-filem Melayu yang diterbitkan sejak lima tahun kebelakangan ini. "Perkembangan itu kerana adanya dominasi daripada kalangan penerbit filem tempatan seperti saya dan David Teo melalui syarikatnya, MIG Production. Walaupun dia bukan bumiputra tetapi bilangan penerbitan filemnya yang mencecah 10 filem setahun menambahkan lagi jumlah filem-filem Melayu. "Saya lihat hampir 70 peratus dominasi itu dikuasai penerbit bukan Melayu termasuklah David. "Tetapi saya yakin sekarang semakin ramai penerbit bumiputra yang serius dan berjaya menerbitkan banyak filem berkualiti terutamanya KRU Studios. Saya harap dominasi itu akan seimbang dalam masa dua atau tiga tahun lagi," katanya. David Teo yang ditanya tentang isu itu tidak tersinggung dengan kenyataan Yusof sebaliknya, dia berfikiran positif. Pada pandangannya, pembabitannya dalam bidang perfileman bukan setakat memenuhi poketnya semata-mata tetapi demi kebaikan semua pihak. Justeru, dia berharap semua pihak berfikiran terbuka dalam membawa persaingan dalam bidang yang menguntungkan ini. Isu paling kerap ditimbulkan ialah pembabitan David yang pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Finas sehingga mencetuskan pertikaian banyak pihak. Namun, itu cerita lama kerana dia kini bukan lagi berada di kerusi panas tersebut. Sebagai rekod, David pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Finas dari tahun 2008 sehingga 2010. "Saya berada dalam Ahli Lembaga Pengarah Finas atas pelantikan dan ia dipersetujui oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim. "Saya masuk bukan kerana mahu mendominasi industri ini tetapi kerana mahu menyumbang pengalaman dan kepakaran saya dalam bidang ini. Saya mahu kongsi dengan semua orang termasuklah penerbit Melayu. "Saya pun bukannya hebat sangat. Saya pernah gagal dalam beberapa filem, contohnya filem Syukur 21 pada tahun 2001. "Kos penerbitan filem itu mencecah RM3.8 juta tetapi akhirnya saya hanya dapat pulangan RM1 juta sahaja. "Itu adalah pengalaman pahit bagi saya kerana saya kerugian waktu itu. Jadi, saya tidak mahu ia berlaku kepada penerbit lain. Kalau boleh saya mahu kita semua untung," ujarnya. Namun, pendirian David itu berlainan dengan prinsip yang dipegang oleh Yusof. Ini kerana Yusof lebih banyak menumpukan perhatian kepada bidang pengarahan dan penerbitan berbanding pesaingnya itu yang 100 peratus berpaksikan kepada urusan untung rugi perniagaan. Bukan lokek berkongsi pengalaman tetapi Yusof tidak mahu ia dipersoalkan oleh pihak lain. Ini kerana, jika diukur dari segi pengalaman Yusof dalam dunia perfileman bukan kepalang, malah beliau juga sudah layak untuk memberi buah fikiran mahupun duduk dalam Ahli Lembaga Pengarah Finas sama seperti peluang yang telah dikecapi oleh ramai pembikin mahupun pemain-pemain dalam bidang itu. Apa pun bekas pelakon yang pernah membintangi filem popular tahun 1970-an, Melati Putih ini lebih senang duduk di kerusi pengarahan dan di syarikat produksi miliknya itu. "Kalau boleh saya cuba elakkan daripada duduk atas kerusi yang ada kepentingan di Finas. Nanti orang akan mengata macam-macam termasuklah untuk menggunakan kedudukan itu bagi kepentingan diri sendiri. "Biarlah saya dengan kedudukan sekarang. Kalau saya mahu mendominasi penerbitan filem di negara ini pun biarlah dengan usaha saya sendiri. Saya bukan cemburu atau menafikan rezeki orang lain tetapi para penerbit filem Melayu harus buka mata seluas-luasnya. "Sekarang semakin ramai pembikin filem bukan Melayu yang tertarik untuk menerbitkan filem Melayu kerana pasaran dan sambutannya yang semakin luas. Saya cakap macam ini untuk membakar semangat para penerbit Melayu," jelasnya. Selain dominasi dua penerbit terkenal tanah air itu, penerbitan filem di Malaysia juga memperlihatkan peningkatan apabila setiap tahun lebih 50 buah filem cereka diterbitkan. Ia dikatakan mengatasi bilangan filem yang diterbitkan di negara pesaing di rantau ini iaitu Thailand yang sebelum ini cuma menerbitkan sekitar 40 filem setahun. Statistik peningkatan itu adalah yang terbaik dalam industri perfileman tempatan setakat ini jika dibandingkan dengan Thailand yang sebelum ini merupakan negara pengeluar filem paling aktif di rantau Asia Tenggara. Pada masa sama, menurut sumber Finas, sehingga Jun tahun ini sahaja lebih 20 filem Melayu telah ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara dengan kutipan tiket melebihi RM50 juta. Malah, perbadanan itu mensasarkan tiket kutipan keseluruhan filem-filem Melayu yang akan ditayangkan di pawagam menjelang hujung tahun ini mampu mencecah RM100 juta. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |