Adsense

Selasa, 7 Jun 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Laris mengacara program

Posted: 06 Jun 2011 08:38 AM PDT

LEBIH setahun menimba pengalaman sebagai penyampai radio, banyak memberi pendedahan pada Nor Shafiza Iskandar Azizan atau Feeya memahami tugas mengendalikan segmen bersama pendengar.

Dia yang pernah menyertai program realiti Anak Wayang dua tahun lalu mengakui pengalaman ditimba bersama stesen radio popular, Era FM mengajarnya lebih peka melayan pendengar agar setia bersama stesen itu.

Menjadi anggota bongsu dalam keluarga stesen milik AMP Radio Networks itu, Feeya mengakui dia tidak mempunyai masalah menyesuaikan diri dengan penyampai senior.

Malah, dia terbuka menerima tunjuk ajar daripada penyampai berpengalaman seperti Aznil Nawawi dan Reza Mohd sambil berkongsi pandangan dalam usaha menaikkan rating stesen itu terus berada di hati pendengar.


"Sehingga kini, saya bersyukur dengan respons positif diberikan pendengar terhadap saya mahupun stesen ini secara keseluruhan. Berdasarkan kajian yang dilakukan baru-baru ini menandakan jumlah pendengar sebenarnya meningkat dari siaran jam 10 pagi.


"Dulu saya pernah bersiaran jam 10 pagi tetapi kini beralih mengendalikan segmen Muzik Hits Bertubi-Tubi dari jam 1 hingga 4 petang, setiap Isnin hingga Jumaat manakala segmen Hello Era, setiap Ahad, 2 hingga 6 petang.

"Saya fikir kejayaan menjadi stesen kegemaran ramai adalah usaha gigih semua penyampai dengan meletakkan Era FM sebagai juara di hati pendengar.

"Saya gembira apabila pendengar suka dengan celoteh saya dan ini juga atas kepercayaan bos yang mahu saya terus berkhidmat di stesen ini," katanya.

Tidak mahu mendabik dada dengan pencapaian diraih, Feeya menyatakan penyampai perlu bijak mengawal situasi dan sentiasa berusaha mencari idea baru tarik perhatian pendengar.

"Ada yang kata, suara saya manja membuatkan pendengar suka tetapi sama ada
di konti atau di luar, suara saya sama saja. Mungkin saya anak kedua daripada dua beradik lelaki membuatkan saya bersikap begitu.

"Saya percaya suara komersial memainkan peranan penting dalam menjalankan tugas penyampai radio. Atas kelebihan suara juga, saya bertuah bila mendapat tawaran mengacara," katanya.

Dalam kesibukan di konti, Feeya menyatakan dia tidak keberatan melakukan tugas luar apabila diberi kepercayaan mengacara sesuatu program atau majlis tertentu.

Katanya, dia memang suka bercakap dan menghiburkan khalayak dengan celotehnya. Selepas cemerlang bersama Tuah Zoqarnain (Tyzo) mengendalikan acara Konsert Mini Candat Sotong Harian Metro di Pulau Warisan, Kuala Terengganu pada 1 Mei lalu, Feeya terus laris mengacara program Hari Sejuta Belia selama tiga hari di Putrajaya, baru-baru ini.

"Saya tidak terlalu kisah sangat dengan tawaran yang datang. Selain mengacara, saya juga sebenarnya masih terima tawaran menyanyi.

"Saya pernah menyanyi menerusi satu program Astro, Glamor Raya tahun lalu dan berjaya meraih naib johan. Mungkin dari situ, orang nampak bakat saya dan beri peluang pada saya agar terus menyanyi.

"Sebelum menjadi penyampai radio, saya juga pernah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian. Sampai sekarang, ada juga tawaran menyanyi pada majlis orang kahwin dan saya tidak kisah untuk terima.

"Minat menyanyi memang ada dalam diri tetapi saya perlu kerja keras jika mahu serius dalam bidang ini," katanya yang akan mengacara program Battle Of The Band pada 17 Jun nanti.

Terus mengembang bakat seni dalam diri, Feeya tidak lupa dengan impiannya ketika sertai Anak Wayang, mahu menjadi pelakon berjaya.

Kata gadis berusia 22 tahun ini, dia masih mencintai bidang lakonan dan berusaha mencari peluang untuk mencuba nasib membintangi drama atau filem.

"Terbaru, saya gembira mendapat dua tawaran berlakon drama, Kasih Alia dan Jamilah I Love You. Kiranya dua drama ini mengubat rindu saya kembali berlakon.

"Bekerjasama dengan Sheila Rusly dan Azman Yahya (Jinggo) sebagai pengarah drama Kasih Alia memang cukup mencabar dan menyeronokkan.

"Drama untuk TV3 dijangka tayangan Ramadan nanti menyaksikan saya membawa watak antagonis sebagai Intan. Saya perlu hayati karakter gadis syok sendiri dan gedik.

"Memberi cabaran, saya terbabit dalam satu adegan diragut mengakibatkan saya ditumbuk hingga kepala berdarah. Ia adalah pengalaman pertama saya bawa watak sebegitu walaupun sebenarnya saya tidaklah cedera pada masa itu tetapi dibantu solekan untuk efek darah," katanya.

Tambah gadis murah senyuman ini, dia perlu serius ketika di lokasi penggambaran. Malah, dia ambil positif terhadap teguran yang diberikan pengarah mahupun pelakon lain dalam memperbaiki mutu lakonan sendiri agar lebih baik.

"Saya hormati Kak Sheila apabila dia tunjuk cara berlakon dengan penghayatan. Walaupun dia nampak garang, sebenarnya baik terhadap saya.

"Dalam drama Jamilah I Love You pula, watak saya tidak terlalu sukar kerana saya menjadi diri sendiri sebagai penyampai radio. Drama genre komedi ini akan ditayangkan di Astro Ria turut menampilkan pelakon Qazem Nor dan Miera Liyana.

"Tiada beza antara saya dengan watak dalam drama ini. Keduanya suka bercakap dan ia tidak memberi masalah pada saya berlakon.

"Matlamat saya selepas ini mahu teruskan empat bidang seni yang saya buat ketika ini. Soal cinta tolak ketepi dulu kerana apa yang penting, saya mahu stabilkan karier dan kumpul duit demi masa depan sendiri dan keluarga," katanya.

PROFIL

NAMA: Nor Shafiza Iskandar Azizan
NAMA KOMERSIAL: Feeya
TARIKH LAHIR: 5 Februari 1989
USIA: 22 tahun
ASAL: Pasir Gudang, Johor
STATUS: Bujang
KARIER: Penyampai radio, penyanyi, pelakon dan pengacara
KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Seni, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor
PENGALAMAN SENI: Program Anak Wayang (Astro)
PROGRAM TV: Glamor Raya dan Itu Dia (Astro)
DRAMA: Kasih Alia dan Jamilah I Love You

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Usia bukan penghalang

Posted: 06 Jun 2011 08:15 AM PDT

MENERBITKAN rancangan hiburan menampilkan pencarian bakat nyanyian bagi mereka berusia 45 tahun mungkin menimbulkan pandangan skeptikal. Paling nyata selain hadiah disediakan, ke mana arah tuju mereka. Untuk mencipta nama seperti Datuk Siti Nurhaliza pastinya sudah terlambat. Mereka tidak akan ke mana dan itu adalah pasti.

Bagaimanapun menyaksikan peserta hadir ke sesi uji bakat pemilihan peserta bagi zon utara rancangan Kilauan Emas terbitan Astro dengan kerjasama Polident dan bakal disiarkan menerusi saluran Astro Prima bermula 24 Jun nanti, segala pandangan skeptikal hilang.

Aksi setiap daripada mereka di pentas cukup menyentuh perasaan. Nyanyian mereka bersahaja, di wajah terpancar keikhlasan untuk menghiburkan tetamu yang hadir. Paling penting sebahagian besar daripada mereka mempunyai mutu suara sangat baik.

Dalam hati tertanya ke mana perginya mereka di zaman muda. Mengapa sekarang baru peserta ini mahu muncul dan menampilkan bakat. Persembahan ditampilkan juga cukup meyakinkan. Malah kebanyakan penyanyi yang sudah mempunyai album seharusnya belajar daripada peserta ini bagaimana hendak menjadi penghibur yang baik.


Peluang adalah jawapan paling baik bagi menjawab mengapa peserta berpengalaman ini tidak mengetengahkan bakat di zaman muda. Sewaktu muda mereka tidak mempunyai banyak ruang untuk menampilkan bakat.


Stesen televisyen pun hanya ada tiga, tidak seperti sekarang terlalu banyak rancangan realiti tv membuatkan anak muda generasi x dan y beruntung. Sampaikan ada yang 'bersuara itik' dan 'kaki bangku' di pentas juga boleh bergelar penyanyi popular.

Uji bakat di zon utara yang diadakan di pusat beli-belah Bukit Jambul, Pulau Pinang pada 28 dan 29 Mei lalu memperlihatkan hampir 137 peserta mencuba nasib dan daripada jumlah itu hanya 10 orang terpilih ke peringkat seterusnya.

Mereka yang layak adalah Megat Amran Salleh berusia 45 tahun, Dismunar Johar seorang nenek berusia 50 tahun dan mempunyai 10 orang anak dan tiga cucu.

Bekas pemain keyboard kumpulan White Steel cukup popular di awal 80-an, Azmi Sulaiman; penyanyi latar Anita Sarawak berusia 56 tahun, Masitah Embi dan Jamil Abdul Wahab seorang pemandu lori.

Peserta lain yang layak ke peringkat seterusnya, Salina Mohd Saidi, Rohana Ahmad seorang peniaga nasi lemak yang datang jauh dari Senawang, Negeri Sembilan untuk mencuba nasib di utara. Saloma Azlia; Alias Ariffin yang terbang dari Sarawak bagi mencuba nasib dan seorang ibu tunggal kepada empat cahaya mata, Sharifah Salwa.

Bertindak selaku juri tetap bagi memilih peserta bagi setiap Zon, penyanyi Nora menyifatkan setiap peserta yang menyertai pertandingan diadakan adalah cukup baik. Malah tanpa berselindung, pelantun lagu Naluri dan Menyemai Cinta Bersamamu berkata, ada peserta di zon Pantai Timur membuatkan dia menitis air mata kerana bakat yang ditonjolkan cukup mengagumkan.

"Apabila menyanyi kita boleh nampak sebahagian besar daripada mereka ini menyanyi dengan begitu ikhlas. Malah ada antara mereka ini menyatakan menyertai Kilauan Emas bukan untuk menang apatah lagi mengejar populariti.

"Dinilai dari sudut usia mereka tahu tidak akan ke mana, kehadiran mereka semata-mata mahu berseronok di samping berkongsi bakat.

"Bagaimanapun, apabila melihat mereka menyanyi dan membuat persembahan nampak peserta ini bersungguh-sungguh. Bukan saja dari sudut nyanyian tetapi penampilan dan corak persembahan. Jangan terkejut ada antara mereka yang berjaya ke peringkat seterusnya sudah berusia 60 tahun tetapi masih lagi cantik walaupun sudah beranak 10. Saya mengagumi mereka," katanya.

Menyentuh pengalamannya dalam mengadili peserta bertanding di empat lokasi, bermula dari Johor bagi zon selatan, Kuantan; Pahang untuk Pantai Timur, Shah Alam; Selangor bagi zon tengah dan akhir sekali Pulau Pinang bagi zon utara, jelas Nora dia bersama seorang lagi juri tetap, Sohaimi Mior Hassan berhadapan dengan masalah kerana kebanyakan daripada mereka ini mempunyai kekuatan sama rata.

"Bayangkan seperti hari ini, markah diperoleh setiap peserta dari zon utara tidak banyak berbeza. Malah dua peserta yang layak ke peringkat seterusnya mempunyai kelebihan tipis dengan memperoleh markah lebih satu atau dua berbanding peserta lain," katanya.

Sementara itu Sohaimi berkata, walaupun hanya lapan peserta akan dipilih ke peringkat suku akhir yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, dia memberikan cadangan agar pihak produksi memberi ruang kepada juri tetap memilih dua lagi peserta dan penilaian dibuat membabitkan semua peserta di setiap zon.

"Mereka juga hebat. Bayangkan rancangan realiti membabitkan anak muda diberikan tempoh seminggu untuk menghafal lagu, tetapi tidak Kilauan Emas, mereka yang berjaya ke peringkat 10 terbaik diberikan masa tidak sampai sehari untuk menyanyikan lagu diberikan. Di Shah Alam, mereka hanya punya tujuh jam.

"Ada peserta ini sewaktu saringan sangat bagus tetapi apabila tiba 10 peserta terbaik mereka membuat kesilapan. Itupun tidaklah teruk sangat dan saya rasa dengan adanya dua tempat bonus itu penilaian kembali boleh dibuat," katanya.

Rancangan Kilauan Emas dikendalikan pengacara popular Raja Azura akan bermula dengan paparan sesi uji bakat di empat lokasi sebanyak empat episod bermula 24 Jun ini dan diikuti Pentas Kilauan Emas di mana peserta yang berjaya akan membuat persembahan konsert.

Pada 22 Julai, pertandingan peringkat separuh akhir akan bermula dan pertandingan akhir akan disiarkan pada 29 Julai ini di Astro Prima pada jam 9 malam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.