Adsense

Sabtu, 30 April 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Siti Sarah disahkan hamil

Posted:

Siti Sarah disahkan hamil

Siti Sarah disahkan hamil



SUDAH lumrah bagi setiap pasangan yang berumah tangga, pastinya yang paling dinantikan adalah untuk memiliki cahaya mata. Malah, ada yang terpaksa menunggu sehingga bertahun-tahun sebelum dikurniakan anak.

Bagaimanapun, Shahmira Mohamed atau Shuib dan Siti Sarah Raisuddin pastinya antara pasangan suami isteri yang sangat beruntung. Biarpun usia perkahwinan mereka baru dua bulan, tetapi dikhabarkan Siti Sarah sudah pun disahkan mengandung.

"Alhamdulillah, memang kini saya telah mengandung dan usia kandungan saya pula hampir mencecah usia dua bulan. Tentunya ini adalah saat yang sangat dinantikan.

"Lagipun saya dan Shuib tidak pernah merancang sama ada mahu ada anak cepat atau lambat. Kami sendiri tidak kisah kalau dikurniakan anak terlalu awal," ujarnya ketika ditemui pada sidang media filem Man Sewel Datang KL yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim di Hulu Klang, Selangor Selasa lepas.

Menurut Siti Sarah, dia sendiri tidak sedar dirinya sudah berbadan dua sehinggalah dia mengalami keletihan dan muntah-muntah ketika menjalani penggambaran filem tersebut baru-baru ini.

Ujarnya lagi, pada hari terakhir penggambaran filem berkenaan, dia telah meminta Shuib membawanya ke klinik untuk menjalani pemeriksaan.

"Pada mulanya saya ingatkan perut saya masuk angin, tetapi setelah menjalani pemeriksaan, kami berdua mendapat berita yang sangat gembira apabila saya telah disahkan mengandung," ungkapnya.

Ketika ditanya apakah makanan yang paling dia mengidam setelah mengandung, Siti Sarah memberitahu ketika ini dia sangat gemar memakan buah oren.

Jelasnya, sebelum ini dia bukanlah penggemar utama buah tersebut, namun semenjak mengandung dia perlu memakan buah oren atau minum jus oren pada setiap pagi.

"Saya sangat bersyukur kerana layanan suami terhadap saya juga bertambah baik. Bukannya sebelum ini tidak baik, tetapi kini dia memang benar-benar menjaga dan mengambil berat terhadap diri saya.

"Malah, sekarang ini pun kalau tak ada sebarang undangan nyanyian, saya akan ikut dia pergi jalani penggambaran atau pun latihan Maharaja Lawak kerana dia risau untuk tinggalkan saya keseorangan di rumah," jelasnya.

Menurutnya lagi, tentang tarikh kelahiran pula, doktor menjangkakan dia akan melahirkan anak pada bulan Disember ini.

Sementara itu, Shuib yang setia berada di sisi isterinya sepanjang sesi temu bual berlangsung memberitahu, dia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya setelah isteri yang tercinta disahkan telah mengandung ketika ini.

"Semasa dalam perjalanan menghantar isteri saya ke klinik, sebenarnya saya dapat rasa yang isteri saya ini sudah berbadan dua. Cuma saya tidak mahu beritahu dia kerana tidak mahu terlampau berharap sangat.

"Kemudian, setelah telah doktor mengesahkan yang isteri saya memang mengandung, sayalah orang yang paling gembira sekali. Depan doktor juga saya menangis dan peluk isteri saya," ujarnya.



Tentang jumlah anak yang mereka inginkan pula, Shuib menjelaskan dia berharap sekurang-kurangnya dianugerahkan dengan empat orang anak.

Menyanyi dan berlakon

Meskipun sudah berumah tangga dan kini disahkan sudah berbadan dua, namun ia langsung tidak menghalang Siti Sarah untuk terus bergiat aktif dalam bidang seni.

Ujarnya, ketika ini dia kerap mendapat undangan untuk membuat persembahan makan malam dan baru sahaja selesai membuat persembahan untuk Minggu Setiausaha di Menara Kuala Lumpur.

"Tidak dinafikan selepas berumah tangga ni memang rezeki semakin bertambah dan baru-baru ini kami digandingkan pula bersama dalam sebuah filem. Tentang pembikinan album baru, memang sudah ada perancangan ke arah itu, namun buat masa ini saya akan keluarkan single terlebih dahulu," jelasnya.

Mengenai pembabitannya dalam bidang lakonan pula, setakat ini saya tidak berdepan dengan sebarang masalah besar. Biarpun berlakon, karier dalam bidang nyanyian akan tetap diteruskan.

"Ramai yang sudah tahu ayah saya adalah seorang pelakon, malah boleh dikatakan saya membesar dalam dunia lakonan kerana sering ikut ayah kalau dia ada penggambaran.

"Jadi, minat untuk berlakon memang sudah ada sejak dari dulu lagi. Kemudian apabila sudah mula menceburinya, saya rasa jadi makin seronok pula," ujarnya.

Stephen Chow

Umum mengetahui, ketika ini Shuib bersama kumpulannya iaitu Sepah sedang bersaing sengit dalam program Maharaja Lawak yang sudah pun masuk minggu kelima.

Selain itu, kumpulan berkenaan juga turut dikenali ramai menerusi drama bersiri Bujang Sepah Lalalitamplom yang ke udara di saluran Astro Prima sebelum ini.

Biarpun kini namanya dikenali ramai sebagai seorang pelawak, tetapi anak kelahiran Johor itu juga sebenarnya mempunyai impian yang tersendiri.

"Sebenarnya saya sangat berminat untuk menjadi seorang pengarah dan sudah tentu pilihan filem atau drama arahan saya nanti adalah yang bergenre komedi.

"Salah seorang pengarah yang paling saya minati adalah Stephen Chow yang juga seorang pelakon. Dia memang jadi idola saya kerana filem lakonan dan arahannya sangat mengagumkan saya," ujarnya.

Bagaimanapun, Shuib menjelaskan impian tersebut mungkin akan dapat dilaksanakan apabila dia benar-benar sudah lama berada dalam bidang lakonan.

"Buat masa ini saya dikira masih lagi baru dan banyak lagi benda yang saya harus pelajari terutamanya tentang selok-belok dunia perfileman sebelum menceburi bidang pengarahan pula," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Aiman ketandusan gimik persembahan

Posted:

Aiman ketandusan gimik persembahan

Aiman ketandusan gimik persembahan

Oleh SYALMIZI HAMID
syalmizi.hamid@kosmo.com.my


AIMAN bersama mentornya, Rahim Maarof.


KONSERT Kumpulan B minggu ketiga Mentor 5 secara secara langsung di Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor baru-baru ini menyaksikan persembahan hebat daripada Salma yang ditemani mentornya Erra Fazira, Iqa (Edry) dan Aiman (Rahim Maarof).

Bagaimanapun, Aiman yang berada di kedudukan tercorot dengan hanya mendapat kutipan 49 markah, jauh ketinggalan di belakang Salma yang mendapat sebanyak 80 markah dan Iqa (63 markah).

Membiarkan pentas kosong dan membatasi pergerakan, persembahan Aiman menerusi lagu Noktah Cinta dan duet bersama Roy melalui lagu Ratnaku menjadi sedikit lesu berbanding peserta lain biarpun persembahan vokalnya bertenaga.

Persembahan Aiman menerusi Noktah Cinta membuka tirai pentas minggu ketiga Kumpulan B bagaikan tidak menjadi walaupun ia mendapat pujian daripada penyanyi asalnya, Hafiz AF7. Ini kerana Aiman tidak menggunakan pentas dengan optimum.

Juri yang terdiri daripada Datuk Ramli MS dan Noraniza Idris memberi komen yang sama kerana Aiman kurang menguasai pentas dan komunikasi dengan audiens, malah dia kelihatan seperti masih tidak berkeyakinan dalam persembahan pertamanya.

Namun bagi Ramli, Aiman merupakan seorang peserta yang mempunyai pakej tetapi masih kurang digilap dengan rapi.

Komen Ramli: "Kamu terlalu serius dengan kerjaya. Warna suara dan visual (rupa) kamu boleh jual tetapi vokal perlu dipenuhi dengan skil. Kamu perlu belajar vokal secara teori dahulu.

Bagi Aiman pula yang dilihat mempunyai perwatakan serius, persembahannya pada malam itu merupakan caranya yang tersendiri untuk menjiwai lagu-lagu yang dibawakan.

Katanya, menggunakan sepenuh pentas yang ada tidak menjamin persembahan yang hebat kerana dia lebih selesa menggunakan cara sendiri untuk menghayati sesebuah lagu.

"Bagi saya, cara setiap penyanyi untuk menghayati sebuah lagu adalah subjektif. Saya lebih selesa dengan cara saya ini.

"Biarpun tidak terlalu bergerak di pentas, tapi ia lebih membuatkan saya menghayati lagu dengan lebih penghayatan," tegasnya di sidang media selepas tamat konsert.

Duet Iqa, Sudirman

Dalam pada itu, biarpun Mentor 5 belum memasuki separuh akhir, Salma dan Iqa telah menunjukkan momentum kehebatan masing-masing pada persembahan kali ini menerusi vokal bertenaga dan gimik menarik.

Digandingkan bersama Azlan (Azlan & The Typewriter) menerusi lagu Jeritan Batinku, Salma dilihat bertenaga dan masih tidak tenggelam dengan kehebatan vokal Azlan bahkan serasi di pentas.

Menyahut cabaran Ramli pada minggu lalu, persembahan Salma menerusi medley lagu-lagu seperti Penasaran, Kopi Dangdut dan Kabhi Khushi Kabhi Gham bagaikan tiada kekurangan bahkan turut mendapat pujian daripada pengkritik.

Membawa kelainan dalam persembahan duetnya kali ini, Iqa mendendangkan lagu Allahyarham Sudirman, Merisik Khabar dan memberi kejutan kepada penonton apabila seolah-olah berduet dengan penyanyi legenda negara itu.

Selain berjaya memikat penonton melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS), Salma dan Iqa turut membuatkan juri awam bermurah hati dengan memberikan mereka masing-masing sebanyak 19 markah berbanding Aiman yang hanya mendapat 15 markah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Loloq harta terbaik industri seni

Posted:

Loloq harta terbaik industri seni

Loloq harta terbaik industri seni

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


DARI kiri: Ramli Sarip, Datuk M.Nasir, Ella dan Tam Spider memberi penghormatan dengan menyanyikan lagu-lagu karya Allahyarham Loloq.


BIARPUN sudah lebih tiga tahun dia pergi mengadap Ilahi, namun sumbangan penulis lirik terkenal iaitu Rosli Khamis atau lebih sinonim dengan nama Loloq dalam industri nyanyian ternyata tidak terkira.

Sepanjang hayatnya, arwah yang telah meninggal dunia pada 30 Januari 2008 telah menulis kira-kira 2,000 lirik lagu dan sudah tentu ia merupakan satu pencapaian yang agak sukar untuk ditandingi.

Bagi mengenang jasanya sebagai seorang penulis lirik yang cukup berprolifik tinggi, maka satu inisiatif telah diambil dengan menganjurkan satu konsert khas iaitu Konsert Untukmu Loloq.

Diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 22 hingga 24 April yang lalu, ia telah dijayakan secara bersama oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Badan Kesenian Mindef dan Global Network Entertainment Sdn. Bhd.

Lebih menarik lagi, ia turut dijayakan oleh empat orang penyanyi popular tanah air yang selama ini diketahui banyak menyanyikan lagu yang dihasilkan oleh Loloq iaitu M.Nasir, Ramli Sarip, Ella dan kumpulan Spider.

Berlangsung selama hampir dua jam, peminat yang hadir menyaksikan konsert berkenaan telah dihiburkan dengan lagu-lagu seperti Nuri, Bagaikan Puteri (Ella), Andalusia, Apokalips (M.Nasir), Syair Laila, Majnun (Ramli Sarip), Aladin dan Cinta Dewa Dewi (Spider).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut meluangkan masa untuk hadir menyaksikan konsert berkenaan berkata, konsert yang dianjurkan itu adalah satu bentuk pengiktirafan buat Loloq yang banyak memberikan sumbangan kepada industri nyanyian di negara ini.

"Sebelum ini tiada mana-mana pihak yang mengambil inisiatif untuk memberi pengiktirafan kepada allahyarham. Jadi, pihak KPKK dan Badan Kesenian Kementerian Pertahanan mengambil keputusan untuk menganjurkan konsert ini untuk memberi penghargaan kepadanya.

"Sebahagian daripada penjualan tiket konsert yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut ini akan disumbangkan kepada keluarga allahyarham terutamanya untuk perbelanjaan pembelajaran anak-anaknya," jelasnya selepas konsert berakhir.

Ujar Zahid lagi, beliau juga turut mengenali penulis lirik berkenaan melalui M. Nasir dan Ramli Sarip ketika sama-sama menyertai konvoi kembara Merdeka sempena Tahun Melawat Malaysia pada Julai 2007.

Sebak

Beliau turut menyifatkan pemergian Loloq sebagai satu kehilangan yang sangat berharga dan menganggap Loloq sebagai sebutir permata yang berkilauan di pentas seni tanah air menerusi hasil karyanya yang cukup indah, puitis, bernas dan bermutu.

Biarpun hanya berlangsung selama tiga hari sahaja, namun konsert yang menampilkan nama-nama besar itu tetap berlangsung dengan jayanya melalui satu persembahan yang cukup memukau dan tidak mengecewakan.

Malah, penyanyi utama kumpulan Spider iaitu Tam tidak dapat menyanyikan salah sebuah lagu dengan baik pada malam persembahan untuk tetamu jemputan dan pihak media kerana berasa sangat sebak.

"Mungkin ramai yang menyangka saya terlupa lirik, tetapi yang sebenarnya saya memang sebak dan perkara itu memang tidak disengajakan. Lagipun sewaktu latihan tidak pula terjadi seperti malam ini.

"Memang selama ini kumpulan Spider selalu bekerjasama dengan allahyarham dan begitu banyak kenangan yang sukar untuk dilupakan. Malah, saya sangat berterima kasih kerana kami diberi peluang untuk menjayakan konsert ini," ujar Tam.

Sementara Ella yang turut menjayakan konsert berkenaan pula menyatakan sehingga kini masih belum ada lagi individu yang mampu menggantikan tempat Loloq sebagai seorang penulis lirik yang hebat dan istimewa.

Biarpun secara peribadi menganggap Loloq sebagai seorang individu yang kelakar, namun dia merasakan penulis lirik itu adalah seorang insan yang cukup unik kerana setiap hasil karyanya sangat bernilai dan mempunyai maksud yang tersendiri.

"Banyak perkara yang tidak dapat dilupakan sepanjang bekerjasama dengannya. Pada masa yang sama saya rasa sangat beruntung kerana mendapat bimbingan daripadanya dan bertuah kerana segala ilmu yang dicurahkan memang sangat bermakna," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.