Adsense

Jumaat, 22 April 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Hilang kawan kerana gosip

Posted: 21 Apr 2011 08:22 AM PDT

BUKAN saja bintang baru yang diperkenalkan melalui filem Azura 2011, Neelofa, yang terkena tempias dikaitkan dengan pelakon meningkat naik, Shahz Jaszle, malah pelakon kecil molek yang mula dikenali melalui drama Tari Tirana, Riang Tirana, Sindarela dan Kisah Kaisara, Wan Sharmila Wan Muhamad.

Gara-gara dikatakan bercium mulut dengan Shahz yang juga temannya ketika majlis Anugerah Skrin akhir tahun lalu menjadi bualan gosip hingga menyebabkan kekasih Shahz, pelakon Maria Farida menghubungi Wan bagi mendapatkan penjelasan.

Meskipun ada orang yang sudah lupa atau mengandaikan tuduhan itu bagai angin berlalu pergi, namun tidak bagi si empunya diri yang mesra disapa Wan. Jauh di sudut hatinya, luka itu masih berdarah dan bekasnya kekal hingga satu jangka masa yang dirinya tidak tahu bila.

Apa yang membuatkan Wan terkilan apabila perpisahan pasangan itu beberapa minggu kemudian dikatakan berpunca daripada insiden itu dan kini semua mata seolah-olah meletakkan semua kesilapan padanya seorang tanpa pernah bertanya dan memerhati dengan dekat senario yang sebenar.


Enggan terus berduka dan kesal akan gosip yang sudah pun tersebar, anak jati kelahiran Johor Bahru, Johor ini bangkit meninggalkan episod luka itu. Meskipun kesannya masih mendalam dan rasa fobia masih menebal dalam sanubarinya, Wan Sharmila, 30, cuba membuang segala-galanya jauh dan akur dengan ketentuan ranjau anak seni yang sudah tersurat buatnya.


Katanya, cukuplah isu yang pernah membuatkan dirinya terduduk itu. Penat rasanya untuk dijelaskan dan setiap kali bertemu media, bimbang persoalan yang sama diungkit kembali kerana jujurnya, ia satu penyeksaan.

"Tuduhan dan gosip itu terlalu besar dan berat buat pendatang baru seperti saya. Sedang sibuk membina kerjaya dan mencipta empayar sebagai seorang pelakon, timbul pula cerita itu kononnya saya menyebabkan perpisahan mereka sedangkan semua itu adalah salah faham dan satu kesilapan komunikasi semata-mata. Baik pihak saya dan Shahz sendiri sudah menjelaskannya.

"Saya mengenali Shahz sudah lama sejak kami sama-sama masih baru dalam lakonan. Kami berkampung berbulan-bulan sepanjang menjalani penggambaran Tari Tirana dan dia sudah seperti keluarga sendiri di mana saya meluahkan rasa dan cerita. Namun hanya kerana insiden yang entah daripada mana timbulnya, semuanya menjadi ribut.

"Jika ada pihak mengatakan gosip itu sudah hanyut ditelan waktu atau Shahz sendiri sudah melupakannya, ia memang mudah. Ikhlas dan jujurnya, tuduhan itu bagai satu tamparan kuat buat saya secara peribadi. Tidak hanya mencalarkan reputasi dan maruah sebagai seorang selebriti dan wanita, ia mengundang rasa fobia dan gusar kepada saya setiap kali berdepan dengan sesiapa saja.

"Ada kalanya, saya terduduk sendiri memikirkan perkara ini. Begitu mudah gosip tersebar dan menggugat jenama seseorang anak seni yang begitu penat mendaki berlandaskan komitmen dan kesungguhan. Sekelip mata semuanya boleh berubah," katanya.

Apabila ditanya hubungannya dengan Shahz dan Maria selepas insiden itu, lama dia terdiam seolah-olah mencari jawapan. Tampak sikap berhati-hati di sinar mata bundarnya, Wan Sharmila kesal dengan apa yang berlaku kerana tiada alasan yang kukuh, kini dia bagai kehilangan seorang teman.

"Sejak Maria menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan dan Shahz sendiri ada tampil memberi keterangannya, saya langsung tidak bertemu atau berhubung dengan mereka. Malah ketika berita perpisahan mereka tersebar, saya sendiri berasa sedih kerana akhirnya ia tidak dapat diselamatkan.

"Dalam hati berkata sendiri, harap-harap ia bukan disebabkan perkara kecil seperti itu. Namun seperkara yang saya sedih, hubungan saya dan Shahz yang juga teman karib saya ketika sama-sama gigih mengintai ruang bagi membina nama menjadi renggang dan berbeza.

"Pertama kali bertemu ketika saya digandingkan dengannya menerusi drama Bila Azan Berkumandang untuk slot Cerekarama TV3. Ketika itu saya dapat rasakan hubungan kami sudah tidak lagi seperti dulu.

"Bagaimanapun, dilihat dari sudut berbeza, saya percaya ada hikmah di sebaliknya. Kami tidak berpeluang bersemuka bercerita semula memandangkan masing-masing cuba untuk membuang jauh cerita itu. Lantas perkara itu berlalu begitu saja dan kami profesional menyiapkan tanggungjawab masing-masing.

"Saya mengandaikan mungkin kami juga sudah sibuk dengan jadual kerjaya yang kian bertambah. Lihat saja Shahz, dia pantas melangkah ke depan. Saya sendiri sebagai seorang teman yang pernah bersama merangkak dari bawah dulu begitu gembira melihat popularitinya yang mendadak kemuncak.

"Namun kami masih berbual dan bergurau cuma perubahan itu dapat saya rasakan memandangkan kami pernah akrab sebelum ini. Insya-Allah jika ada peluang dan ruang, mungkin kami akan bertemu untuk meleraikan mana yang kusut," katanya.

Melihat wajahnya yang muram mencuka, lantas dibiarkan bibirnya bebas bersuara. Enggan terus memasak persoalan yang sensitif dan mengganggu emosinya, Wan Sharmila yang pernah gagal dalam perkahwinannya dengan penerbit drama yang juga pemilik syarikat produksi Radius One, Fazli Baharom, kira-kira dua tahun lalu, mengalih sembangnya.

"Alhamdulillah, saya membawa status kembali solo ini dengan baik. Memang ada kalanya timbul juga rasa gusar kerana stigma masyarakat kita yang lekas memandang serong kepada golongan janda namun setakat ini semuanya berjalan baik.

"Hingga kini, saya masih kekal keseorangan tanpa teman istimewa. Bohong jika saya katakan tidak ada rasa ingin bercinta dan mendirikan rumah tangga kembali namun jodoh itu belum sampai lagi.

"Saya tidak mahu terkejar-kejar dalam membuat percaturan terutamanya membabitkan soal masa depan saya. Apa yang lebih menjadi keutamaan saya kini adalah kerjaya dan keluarga. Saya ingin mengejar semula segala apa yang pernah saya tertinggal sebelum ini tatkala sibuk menempuh saat getir dalam rumah tangga.

"Jika ditoleh kembali, masih terlalu jauh perjalanan saya. Saya ingin menerokai lapangan lakonan sebaik mungkin dan terus memberikan yang terbaik buat peminat yang sentiasa menyokong," katanya.

Wan Sharmila akan muncul dalam drama bersiri menyentuh emosi dan perasaan berjudul Ayu Suraya. Bergandingan dengan Zarina Zainoordin, Syed Ali dan Rizman Khuzaimi, drama 13 episod ini akan mula menemui penonton bermula 26 April ini, setiap Selasa jam 10 malam di Astro Prima.

"Saya mengharapkan agar kisah peribadi tidak lagi diangkat menjadi subjek utama buat saya kerana masih terlalu banyak perkembangan lakonan yang ingin saya kongsikan.

"Drama Ayu Suraya umpamanya akan menjadi satu lagi peningkatan positif buat saya sebagai pelakon. Penonton akan melihat sisi berbeza daripada saya menerusi drama menarik ini," katanya.

PROFIL

Nama Penuh: Wan Sharmila Wan Mohamed
Nama Komersial: Wan Sharmila
Tarikh Lahir: 19 Oktober 1981
Umur: 30 tahun
Asal: Johor Bahru, Johor.
Kerjaya: Pelakon dan pengacaraDrama Bersiri: Riang Tirana, Sindarela, Kisah Kaisara 1 & 2, Tipah Vavavoom, Emil Emilda, Bujang Antik, Sutun, Kembali Lagi, Rona Roni Makaroni, Rebab Tak Bertali, Dendam Maya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Rahim pula buat perangai

Posted: 21 Apr 2011 07:37 AM PDT

MAKIN lama Mentor 5 semakin mencetuskan kehangatan dan kontroversi. Sebelum ini, tercetus isu ketidakpuasan hati Edry Abdul Halim mengenai elemen drama bagi memancing simpati peminat.

Bagaimanapun, Penerbit Eksekutif dan Pengarah Mentor 5, Muhamad Sufian Isa menjelaskan Mentor sebuah program realiti berdasarkan pertandingan nyanyian dan paparan dibuat tidak dirancang.

Kini, tercetus lagi kontroversi apabila Rahim Maarof buat perangai depan media. Sebenarnya, Selasa lalu produksi Mentor 5 mengaturkan sesi fotografi dan temubual membabitkan Rahim Maarof dan protegenya, Aiman untuk persiapan konsert pada Ahad ini.

Latihan di studio milik jurutari popular, Sazlan di Taman Tun Dr Ismail ini bertujuan memberi publisiti buat Aiman bagi meneruskan persaingan dalam kumpulan B. Ia dirancang khas untuk Harian Metro.


Sepatutnya sesi latihan dijadualkan jam 3 petang, namun Rap dimaklumkan oleh Unit Komunikasi Korporat TV3, bahawa Rahim dan Aiman akan tiba jam 3.30 petang.


Sebaik tiba di studio pada waktu ditetapkan, wakil Rap hanya melihat kelibat penyanyi Roy yang bakal bergandingan dengan Aiman menerusi lagu popularnya, Ratnaku. Tidak tahu apa yang berlaku, Roy meninggalkan studio mungkin kerana ada komitmen lain.

Menghampiri jam 4 petang, barulah wajah Rahim kelihatan disusuli Aiman. Selepas menjenguk keadaan studio, penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Kristal ini turun semula dengan wajah agak kecewa. Rahim mempertikai tindakan produksi kerana katanya, Aiman hendak berlatih vokal bukannya menari.

Selepas menghubungi pihak produksi untuk merujuk perkara sebenar yang berlaku, Rahim membuat keputusan untuk berlatih di Studio Akarkarya milik Acis di sekitar kawasan itu. Dia terus berlalu meninggalkan lokasi. Difahamkan, penggunaan studio itu perlu dibuat secara tempahan bukannya 'walk in' kerana biasanya jadual penggunaannya padat.

Harian Metro juga difahamkan, usaha produksi Mentor menghubungi Rahim dan isteri merangkap pengurusnya, Atikah menemui jalan bantu apabila panggilan tidak berjawab.

Apa sebenarnya sudah terjadi? Sekali lagi penjelasan Sufian dituntut. Ketika dihubungi dia berkata, isu salah faham (missed communication) sudah lumrah dalam sesebuah produksi. Namun, yang menimbulkan ralat padanya ialah ia berlaku terhadap media yang diundang bagi memberi publisiti untuk program ini.

"Tak sangka pula perkara ini akan terjadi. Saya tak kisah sebenarnya jika dia enggan gunakan studio itu, tapi janganlah tunjuk depan media kerana kadangkala cara ini seperti tidak menghormati kerja tenaga produksi. Selalunya Rahim akan melatih Aiman di studio miliknya, Famous Artistes Studio.

"Apabila diberitahu kami mengaturkan satu sesi dengan media sehari sebelum itu (Isnin), isterinya menghubungi kami dan beritahu tak mahu buat di situ kerana memberi alasan studio itu sempit dan minta carikan studio yang lebih besar.

"Mungkin di sini ada salah faham kerana kami tidak berbincang secara jelas, jenis studio yang dimahukan. Sebenarnya, kami sudah cuba mendapatkan studio Akarkarya sebelum ini, tapi penggunaannya penuh.

"Pada saya, studio Sazlan pun sesuai kerana tujuan sebenar kami hanya untuk buat publisiti mengenai Rahim dan Aiman berlatih. Tapi seperti yang saya kata tadi, mungkin ada salah faham, akhirnya jadi begini," katanya.

Sufian yang sudah mengendalikan Mentor sejak musim pertama menyifatkan apa yang berlaku adalah asam garam dalam produksi. Namun, apabila berdepan situasi sebegini, terpulang pada cara mengendalikannya tanpa menuding atau menyalahkan mana-mana pihak.

"Pada mulanya kami menghubungi Rahim dan dia setuju dengan apa yang dibincangkan tapi akhirnya jadi juga isu begini. Saya sedar masing-masing ada kerenah tapi kadangkala perlu ada sikap menghormati satu sama lain. Sejak musim pertama Mentor saya kendalikan, saya berurusan dengan 30 mentor setakat ini.

"Saya faham artis popular ada karakter masing-masing dan saya menghormati Rahim sebagai artis yang banyak pengalaman. Bagaimanapun, dia perlu hormat juga kami sebagai tenaga produksi.

"Saya sudah biasa berdepan masalah apabila buat program. Jadi sekali lagi saya minta fahamilah situasi masing-masing supaya segala yang dirancangkan berjalan lancar.

"Bagaimanapun tak dinafikan, Rahim tak pernah komen dari segi publisiti yang diberikan kerana sedar kami sudah buat yang terbaik. Dia hanya banyak komen dari segi produksi. Saya sedar seperti mentor lain, Rahim hendak buat yang terbaik untuk Aiman.

"Saya tak rasa dia tertekan tapi mungkin ini karakter dia. Saya sebenarnya tiada masalah sangat dengan dia, cuma kadangkala saya minta dia faham tugas saya.

"Saya faham semua artis yang dipilih banyak pengalaman dalam seni, tapi apabila diberi peluang jadi mentor, ia satu pengalaman baru buat mereka. Banyak benda yang akan dilihat. Saya tak terkejut kalau ada tekanan dan kejutan dalam diri mereka," jelas Sufian.

Mengenai peristiwa itu, Sufian berkata kira-kira 10 minit Rahim dan Atikah tidak menjawab panggilan yang dibuat. Bagaimanapun, keadaan itu reda 45 minit kemudian apabila mereka memaklumkan sedang berlatih di studio lain.

Sufian juga sudah berjumpa penyanyi itu ketika latihan untuk konsert Ahad, ini tetapi mereka tidak bercakap mengenai isu ini dan Sufian anggap ia sudah selesai.

Ini juga bukan kali pertama Sufian perlu berhadapan kerenah Rahim kerana sebelum ini produksi melakukan uji bakat kali kedua untuk Rahim yang tidak puas hati dengan hasil uji bakat pertama.

Untuk persembahan Ahad ini, Aiman akan berhadapan dengan peserta lain untuk Kumpulan B, Iqa/Edry Abd Halim dan Salma/Erra Fazira di Auditorium MBSA, Shah Alam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.