Adsense

Isnin, 21 Mac 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Kris lepasi fasa derita

Posted:

Kris lepasi fasa derita

Kris lepasi fasa derita

Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my
Ganmbar SAHARUDIN MUSTHAFA


KRIS Dayanti mencium tangan suaminya, Raul lemos.


SEGALA-GALANYA sudah selamat. Kris Dayanti tidak lagi memegang gelaran janda - gelaran yang amat digeruni oleh sebilangan besar wanita.

Masakan tidak, gelaran itu amat mudah mendedahkan mereka kepada pelbagai fitnah, umat dan keji masyarakat.

Justeru, pernikahan antara penyanyi ternama Indonesia itu dengan usahawan yang berasal dari Dili, Timor Leste, Raul Dos Reis Lemos pada Ahad lalu diharapkan membawa sinar baru buatnya.

Perasaan Kris saya dasari sejurus selepas dia bergelar isteri menerusi perkahwinan keduanya itu.

Tewas dalam rumah tangga pertama dengan penyanyi dan komposer Anang Hermansyah selam 13 tahun itu, Kris mengakui, fasa kesulitan sudah semakin beransur-ansur lenyap dari hidupnya.

Kata Kris, kegembiraan yang sedang dilaluinya sukar diterjemahkan dengan kata-kata kerana kesediaan Raul menerimanya sebagai isteri sudah menjangkaui hal-hal lain.

"Saya harus akui perkahwinan kali ini merupakan saat yang amat bermakna. Kejujuran dan kasih sayang yang ditunjukkan Raul jauh mengatasi perkara-perkara lain.

"Azam saya untuk memastikan perkahwinan kali ini bertahan sehingga ke akhir hayat. Saya dan Raul pernah sama-sama tewas dalam perkahwinan sebelum ini.

"Lalu, kami tidak mahu ia berulang lagi. Pengalaman lalu banyak menjadi pengajaran. Kami berdua mahu bangkit daripada kesilapan lalu," kata Kris yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata, Auriel Nurhermansyah dan Azriel Akbar Hermansyah.

Penyanyi yang pernah menempa kegemilangan di persada muzik Malaysia menggambarkan, suami barunya itu memenuhi kriteria sebagai seorang pemimpin keluarga.

Ketegasan, kasih sayang dan tanggungjawab yang ada dalam diri Raul memenuhi karisma suaminya itu untuk memimpin rumah tangga mereka.

Dia sedar kenyataan itu tentunya akan membuatkan masyarakat mula mempersoal apakah kriteria itu tidak ada dalam diri Anang.

Pada satu perspektif lain pula, barangkali ada yang tertanya-tanya kalau Raul mempunyai pakej itu kenapa dia juga pernah tewas dalam perkahwinan pertama dengan Silvalay Noor Athalia atau Atha.

Kata Kris, dia tidak pernah berniat untuk membanding-bandingkan Raul dengan bekas suaminya, Anang.

Bahkan, untuk mengulas kegagalan Raul pada perkahwinan terdahulu juga bukan menjadi haknya.

"Kegagalan saya dan Raul pada perkahwinan masing-masing sebelum ini merupakan sejarah dalam hidup kami berdua.

"Apa yang berlaku dulu ada sebabnya dan tidak perlu diulang kaji semula. Kini yang menjadi fokus saya dan suami ialah mencari semula kebahagiaan yang kami dambakan.

"Kerana itu, besar harapan saya para peminat dan seluruh anggota masyarakat akan mendoakan kebahagiaan kami hingga ke akhir hayat," pinta Kris dalam nada penuh berhemah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Komitmen artis pada Kami Prihatin

Posted:

Komitmen artis pada Kami Prihatin

Komitmen artis pada Kami Prihatin

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN


PARA artis, pihak penganjur serta pelajar UiTM ceria dan sempat bergambar bersama-sama selepas berakhirnya Program Kami Prihatin.


KEBANYAKAN artis terutama generasi muda yang menyedari mereka mempunyai tanggung jawab sosial, jarang yang enggan bekerjasama apabila diajak menjayakan program seperti Kami Prihatin.

Tidak kira sama ada untuk mengadakan persembahan atau mempromosikan aktiviti berkaitan kempenyang bertujuan memberi kesedaran berhubung isu buang anak yang kerap berlaku dalam masyarakat hari ini, kalangan artis yang diajak akan tampil meluangkan masa bertemu orang ramai dan golongan sasaran.

Biarpun sibuk dengan pelbagai undangan nyanyian dan promosi album masing-masing, artis-artis berkenaan tetap meluangkan masa bagi menjayakan program Kami Prihatin.

Penyanyi Heliza Helmi baru-baru ini, walaupun kurang sihat tetapi sanggup turun padang bagi menjayakan kempen tersebut.

Bintang Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu menggagahkan diri untuk muncul pada program Kami Prihatin di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Sebenarnya, keadaan kesihatan Heliza kurang memuaskan kerana dia belum pulih sepenuhnya daripada keracunan makanan.

Gadis berusia 25 tahun ini berkata, sehari sebelum itu (program di UiTM), dia keracunan makanan sehingga menyebabkan badannya terasa begitu lemah. Ekoran itu, katanya, semangatnya hampir luntur untuk hadir bagi menjayakan program tersebut.

"Saya keracunan makanan mungkin kerana makan macam-macam. Antara yang saya makan ialah nasi ayam, roti bakar, coklat dan kentang goreng.

"Selepas itu, saya makan pula nasi campur dengan macam-macam lauk. Pendek kata pada hari itu, dari pagi sampai ke petang, saya tidak henti-henti makan.

"Akibatnya saya alami sakit perut. Bagaimanapun, oleh kerana sudah berjanji dan mahu memberi komitmen bagi menjayakan program ini, saya datang juga.

"Walaupun masih ada rasa sakit sikit-sikit dalam perut, saya masih boleh menyanyi demi program ini," katanya kepada Hits sewaktu ditemui pada program tersebut.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan Sains Biologi dan Kimia ini menambah, dia juga tiada masalah untuk turut serta menjayakan program Kami Prihatin.

Ini kerana sebelum ini, Heliza pernah muncul bersama Sohaimi Mior Hassan untuk program yang serupa di Pusat Latihan Khidmat Negara, Mantin, Negeri Sembilan, bulan lalu.

Kata bekas graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini, dia seronok membabitkan diri dalam program seperti itu.

Jelasnya, pengalaman semasa menjalani latihan amali di sebuah sekolah rendah di Sabah pada tahun 2009, membuatkan dirinya cenderung ke arah bidang motivasi pelajar.

Oleh itu, katanya, selain menyanyi, dia turut memenuhi undangan sebagai penceramah jemputan untuk memberi motivasi kepada pelajar khususnya golongan remaja.

"Pengalaman memberi ceramah motivasi sewaktu menjalani latihan amali di Sekolah Menengah Perempuan, Likas, Sabah selama tiga bulan mencetuskan minat saya saya terhadap bidang kaunseling.

"Dengan pembabitan saya dalam bidang ini, sedikit sebanyak dapat membantu menjayakan lagi program tersebut.

"Saya juga berpandangan, apabila terbabit dalam program Kami Prihatin, secara tidak langsung, ia merapatkan lagi hubungan saya dengan peminat.

"Ini kerana, kebanyakan golongan yang didekati menerusi program seperti ini adalah golongan remaja," katanya yang tampil menyanyikan dua lagu, Standing In The Eyes of The World dan Insya-Allah.

Program Kami Prihatin anjuran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Utusan Malaysia, Astro dan Persatuan Karyawan Malaysia itu dirasmikan oleh Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.