Adsense

Rabu, 9 Mac 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Geofrey berjiwa Melayu

Posted:

Geofrey berjiwa Melayu

Geofrey berjiwa Melayu

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my
Gambar JEFFRI IRAN


Nama Geofrey kini semakin mendapat perhatian penggiat dan peminat seni tempatan.


DI mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Itulah kata-kata azimat yang dipegang kukuh oleh pemuda berdarah Inggeris, kelahiran Australia, Geofrey Perrin Williams yang wajahnya kini semakin rancak mewarnai drama- drama tempatan.

Apa yang menarik tentang pemuda yang mesra disapa sebagai Geofrey itu, jiwa dan budaya hidup seperti orang Melayu bagaikan sudah sebati dalam dirinya.

Dia yang mula dikenali menerusi drama rantaian popular Radio Televisyen Malaysia (RTM), Roda-Roda dan Gerak Khas tiga tahun lalu, Geofrey sebenarnya cukup fasih berbahasa Melayu.

Beberapa lagi drama yang pernah dijayakan oleh Geofrey sebelum ini termasuklah Jodoh Oh Jodoh dan JRA pada tahun 2008, Jangan Bunuh Matahariku dan Cikgu Kemisah Kirby (2009), Habil dan Qabil, Durja Ningsun, telemovie Ar Rayyan dan Lilin Cinta (2010).

Tahun ini, dia turut berlakon dalam Teksi, Ayoub dan sebuah telemovie berjudul Rentap The Hornbill Warrior.

Di dunia perfileman pula, penampilan Geofrey setakat mendukung watak sampingan dalam beberapa filem termasuk Haq dan Hantu Bonceng.

Andai ada yang memikirkan Geofrey sebenarnya sekadar menghafal skrip tatkala melontarkan dialog bahasa Melayu dalam lakonannya, lebih baik buang persepsi itu jauh-jauh. Pemuda berbintang Gemini itu pada hakikatnya mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik.

"Tidak sopan rasanya apabila berada di negara orang kita mengharapkan orang berkomunikasi dalam bahasa yang kita tahu.

"Sebab itu saya nekad mempelajari bahasa Melayu sejak 12 tahun lalu dan kini ramai orang kata saya ni Mat Saleh celup," kata Geofrey sebaik ditebak persoalan tentang kefasihannya dalam bahasa Melayu.

Menggemari makanan Melayu termasuk sambal belacan dan budu, sesiapa yang pernah makan semeja dengannya pasti kagum melihat tingkahnya yang langsung tidak kekok menggunakan tangan ketika menjamah hidangan.

Perkahwinan kedua ibu dengan bapa tirinya, seorang yang berketurunan India dari Kedah sewaktu masih menetap di Australia akhirnya membawa keluarganya berhijrah ke negara ini seawal usianya empat tahun.

Dari situ, bermulalah episod kehidupan Geofrey yang dikelilingi oleh masyarakat Melayu.

Rasa tercabar kerana kakaknya pandai berbahasa Melayu, tidak memahami apa yang orang Melayu cakap serta rasa hormat berada di negara orang, Geofrey mengambil inisiatif sendiri.

Dia mempelajari bahasa Melayu daripada seorang rakan baiknya bernama Wan ketika bersekolah rendah di International School Kuala Lumpur (ISKL) di Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor.

"Apa yang melucukan, Wan yang berasal dari Kelantan ketika itu langsung tidak tahu berbahasa Inggeris dan saya pula langsung tidak tahu berbahasa Melayu.

"Perkataan Melayu pertama yang saya belajar daripada Wan ialah 'apa ini' dan sejak itu saya mula tahu sedikit demi sedikit berkomunikasi dalam bahasa Melayu tetapi dialek Kelantan," katanya.

Hampir dua tahun lamanya dia cuba memperbaiki pertuturanya sehingga kini Geofrey mampu memahami dan menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Dekat dengan budaya Melayu dan kebolehan bertutur dalam bahasa tersebut memberi kelebihan buatnya memasarkan diri dalam industri lakonan Melayu.

Justeru dalam tempoh yang singkat iaitu tidak sampai empat tahun dia sudah memperoleh pelbagai tawaran berlakon malah, komunikasi ketika sesi penggambaran dilakukan berjalan lancar kerana dia mampu memahami apa yang dikehendaki oleh pengarah dalam lakonannya.

Mengambil perbandingan negara kelahiran sendiri antara Australia dan Malaysia, kata Geofrey, Malaysia lebih beridentiti kerana mempunyai masyarakat yang berbilang kaum serta elemen sejarah penting dunia.

Disebabkan rasa ingin tahu, dia mempelajari bahasa Melayu dan secara tidak langsung memberi banyak input terutamanya apabila membaca tentang sejarah awal Tanah Melayu.

Pernah dia meninggalkan Malaysia selama tujuh tahun (2000 hingga 2007) ke Australia kerana bekerja. Namun, kata Geofrey, keadaan di sana langsung tidak sama dengan negara ini.

Ini termasuklah dari segi cuaca, penduduk serta makanannya.

"Oleh kerana terlalu rindu dengan masakan Malaysia, saya pernah membelanjakan lebih 200 dolar di salah sebuah restoran yang menjual makanan Malaysia di sana walaupun hanya makan berdua ketika itu," katanya yang pernah berkhidmat sebagai anggota bomba selama empat tahun di Australia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Alasan Aznil kembali ke AF

Posted:

Alasan Aznil kembali ke AF

Alasan Aznil kembali ke AF

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH


AZNIL Nawawi teruja kembali mengemudikan Akademi Fantasia 9.


LIMA tahun lalu, sewaktu pengacara nombor satu negara ini mengambil keputusan untuk menarik diri daripada mengacarakan program realiti popular, Akademi Fantasia (AF), ramai yang berat hati untuk menerimanya.

Mahu atau tidak, harus diakui, perjalanan AF yang mula diperkenalkan pada tahun 2003 itu sebenarnya banyak dihidupkan dengan keletah dan aksi spontan Aznil Nawawi sebagai pengacaranya.

Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam bidang pengacaraan, sememangnya Aznil bijak menangani situasi di atas pentas sehingga mampu menyuntik emosi yang pelbagai kepada penonton.

Canda, tangis, ketawa dan duka merupakan rencah lengkap dalam AF setiap minggu sehingga ia menjadi satu tontonan wajib dan mencetus fenomena yang sangat luar biasa.

Lalu, apabila Aznil mengundurkan diri daripada AF selepas kali terakhir mengacarakan AF5 pada 2007, impak yang terhasil selepas itu tidak lagi menjadi sehebat seperti mana sewaktu Aznil mengemudinya.

Bukan mahu merendah-rendahkan kredibiliti Datuk AC Mizal, Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley yang telah meneruskan legasi seni Aznil sebagai pengacara AF selepas itu.

Tetapi, sebahagian besar peminat dan pengikut setia AF nampaknya masih belum mampu memadamkan ingatan dan nostalgia mereka kepada Aznil.

"Saya sedar pasti akan mempertikaikan keputusan yang telah saya lakukan sebelum ini apabila tidak mahu lagi melibatkan diri dengan AF selepas tahun 2007.

"Malah, saya sudah bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan kalau ada yang mengatakan saya ini tidak ubah seperti menjilat ludah sendiri.

"Namun, saya mempunyai justifikasi sendiri mengapa saya tidak teragak-agak untuk menerima tawaran Astro untuk kembali sebagai pengacara AF9," ujarnya dalam nada tenang ketika ditemui pada sidang akhbar yang berlangsung di Hotel Doubletree by Hilton, Kuala Lumpur, petang Isnin lalu.

Turut hadir, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi dan Penerbit Eksekutif AF9, Irwan Abdul Rauf.

Tidak ketinggalan bekas pelajar AF seperti Akma, Farhan, Haziq, Nora, Diddy Hirdy, Azza, Rosma, Khai, Atie dan Anding termasuk tiga orang juara AF iaitu Zahid, Mawi, Hafiz dan Shahir.

Sebetulnya, pemilihan Aznil sebagai pengacara AF9 bukanlah satu kejutan kerana desas-desus mengenainya sudah tersebar luas sejak pengumuman tentang AF9 dibuat.

Malah, pihak Astro sendiri sudah memberi bayangan yang cukup jelas tentang pengacara yang akan menduduki kerusi panas itu sejak sidang akhbar pertama AF9 pada bulan Januari lalu.

Daripada situ, memang ia bukan lagi satu rahsia. Walaupun pernah diasak berkali-kali oleh pihak media berhubung kesahihan itu, namun, Aznil lebih selesa berdiam diri sehingga Astro mengumumkannya secara rasmi.

Menyingkap kembali tawaran Astro kepadanya berhubung posisi yang sering kali menjadi perbualan ramai setiap tahun itu, Aznil memberitahu semuanya berlaku ketika di Cannes, Perancis, tahun lalu.

Ketika itu, dia menghadiri pasaran televisyen di sana dan pada masa yang sama, beberapa wakil Astro yang mengikuti rombongan itu telah menawarkan peluang itu sekali lagi kepadanya.

"AF sebenarnya mempunyai nostalgia yang tersendiri buat saya dan terlalu banyak kenangan yang saya sendiri sukar untuk lupakan begitu sahaja.

"Seperkara lagi, apa yang membezakan AF dengan program realiti lain adalah nilai kasih sayang yang diterapkan dan elemen itu tidak pernah pudar sehingga kini. Itu membuatkan saya rasa dekat dengan program ini walaupun sudah tiga tahun tidak mengendalikannya.

"Saya juga sudah bersedia untuk menyahut kembali cabaran sebagai pengacara AF dan tiga tahun selepas meninggalkannya, memang saya harus akui pasti cabarannya bukan calang-calang kelak.

"Memandangkan musim ini merupakan AF yang terakhir, jadi saya fikir saya patut kembali mengacarakan program realiti ini yang sebenarnya juga telah meninggalkan kesan besar dalam karier seni saya.

"Malah, saya yang memulakan AF ini, jadi mengapa tidak untuk saya mengakhirinya," kata anak jati Kuala Lumpur ini tanpa selindung.

Memang benar apa yang dikatakan Aznil itu kerana AF sebenarnya telah membuka satu lembaran baru dalam kariernya sebagai seorang pengacara.

Menerusi AF jugalah, Aznil telah diiktiraf sebagai Pengacara TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa untuk dua tahun berturut-turut pada 2004 dan 2005.

Malah, AF juga telah melonjakkan kembali populariti Aznil sebagai pengacara yang diminati ramai dan buktinya, dia menerima gelaran Pengacara TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular selama tujuh tahun berturut-turut dari 2003.

Meskipun sudah meninggalkan AF selama tiga tahun, namun Aznil dengan penuh jujur memberitahu, dia tetap mengikuti perkembangan program realiti tersebut.

Pernah menduduki kerusi sebagai pengkritik tetap AF8 tahun lalu, bagi Aznil, peranan seorang pengacara AF hari ini memang sudah jauh berbeza jika hendak dibandingkan ketika zaman dia mengendalikannya lima tahun lalu.

Jelasnya, ketika itu, Astro hanya memiliki saluran Ria dan tidak ada saluran lain yang dapat mengganggu perjalanan serta mengambil masa tontonan AF.

"Tetapi hari ini sudah berubah dan Astro sendiri memiliki pelbagai saluran yang mempunyai program pada waktu tontonan yang sama atau selepas berakhirnya AF.

"Jika dulu, AF boleh terus bersambung walaupun selepas berita ditayangkan tetapi sekarang ia tidak boleh lagi melepasi waktu-waktu tersebut kerana bimbang akan mengganggu perjalanan waktu program lain.

"Jadi, di sini terletaknya cabaran buat saya sebagai pengacara untuk mengawal situasi dan keadaan agar ia tidak melepasi waktu yang sudah ditetapkan.

"Saya tidak menganggap ia sebagai satu kekangan sebaliknya saya akan menjadikan pentas AF9 sebagai pentas untuk menguji diri sebagai seorang pengacara," kata duda beranak dua berusia 48 tahun ini penuh optimis.

Dalam masa yang sama, Aznil juga tidak menafikan bahawa dia merindui untuk mendapat maklum balas dan kritikan secara langsung setiap kali mengacarakan konsert mingguan AF mahupun diari harian.

Bagi Aznil yang juga pengacara Jangan Lupa Lirik! dan Macam-Macam Aznil ini, setiap komen yang diterima akan dijadikan sebagai azimat untuknya melakukan yang terbaik setiap minggu.

"Seboleh-bolehnya saya mahu mengelakkan kontroversi. Atas alasan itu, saya harus menjadi seorang yang peka dan sensitif kepada situasi apabila menjalankan tugas saya secara rasmi nanti.

"Lawak jenaka yang telah diguna pakai dulu misalnya, sudah tidak lagi relevan untuk diaplikasikan kepada tugas saya nanti.

"Jadi, saya perlu melakukan pemerhatian yang menyeluruh untuk menjadikan AF9 sebagai sebuah rancangan yang menarik dan tidak menjadi sesuatu yang klise kelak," kata Aznil bersungguh-sungguh sambil menyifatkan AF sebagai sebuah program realiti yang sarat dengan nilai kasih sayang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.