Adsense

Sabtu, 19 Februari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Enggan dedah jantina anak

Posted: 18 Feb 2011 06:46 AM PST

MAMPU memiliki segala yang diinginkan semudah memetik jari. Namun, kekayaan, kemasyhuran dan populariti dalam tafsiran aktres jelita, Natalie Portman, 30, bukanlah istilah sebenar sebuah kesempurnaan.

Hanya kini, dia mula berasakan perasaan yang sebenar iaitu perasaan cukup indah serta sempurna bagi seorang wanita apabila bakal bergelar ibu.

Dilahirkan dengan nama Natalie Hershlag, 30, bintang utama 'Black Swan' mengakui teruja dan gembira melalui proses kehamilan serta tidak sabar menantikan kehadiran cahaya mata pertamanya.

Pun begitu, dia enggan mendedahkan jantina anak mahupun tarikh melahirkan meski dipercayai kandungannya kini mencapai usia enam bulan dan bakal melahirkannya pada musim panas nanti.


Sumber terdekat Natalie dan kekasihnya, memberitahu kepada majalah Life & Style, bahawa pasangan itu hanya memaklumkan kepada keluarga terdekat dan sahabat rapat, mereka dijangka mendapat anak lelaki. Saat menggambarkan berita baik itu, mereka kelihatan begitu teruja dan tidak sabar menanti detik itu.


Akui Natalie, keinginan untuk mempunyai anak dan membina keluarga sememangnya bermain di fikiran sejak dua tahun lalu. Dia ketika itu berusia 28 tahun dan berasa dirinya sudah dewasa untuk menjalani kehidupan berkeluarga.

"Saya berhasrat untuk menjadi ibu sejak membintangi filem perang Brothers, dua tahun lalu. Saya sudah cukup dewasa tambahan pula usia semakin meningkat dan saya perlu segera berkahwin. Tetapi saya sedar perkara sebegitu bukanlah sesuatu yang boleh dirancang.

"Justeru, apabila disahkan mengandung penghujung tahun lalu, saya berasa sangat gembira dan dirahmati. Terus-terang, saya sudah tidak sabar menantikan kelahiran bayi ini," katanya.

Tidak menghadapi sebarang alahan mengandung, wanita bertambah jelita berbadan dua ini mengakui fasa pertama kehamilannya dijalani dengan tenang tanpa sebarang masalah.

"Saya berasa hebat. Saya sudah pun melalui fasa pertama kehamilan. Saya melaluinya dengan tenang dan baik. Saya juga sempat menghabiskan masa dengan berehat di rumah, berbaring di tempat tidur, makan bertih jagung dan menonton TV yang sama sekali jauh daripada sorotan kamera. Ia saat seolah melihat saya seperti ikan paus.

"Bukan tidak menghargai perhatian yang diberikan, malah sangat senang dengan keprihatinan ramai pihak yang begitu mengambil berat akan kehamilan pertama saya ini," katanya.

Natalie turut menyatakan penghargaan kepada ibu-bapanya, Avner dan Shelley Hershlag. Dia berharap dapat menjaga dan membesarkan anaknya kelak dengan cara yang sama dia dibesarkan.

Pengumuman secara rasmi kehamilan Natalie diadakan Disember lalu dan bayi di dalam kandungannya itu adalah anak bersama kekasihnya, Benjamin Millepied, yang kini sudah pun menjadi tunangnya.

Menurut People Magazine, sebaik mendengar perkhabaran gembira itu, Millepied mengambil keputusan melamar Natalie. Bagaimanapun, bila tarikh dilamar serta lokasi menjadi saksi peristiwa indah itu, tidak didedahkan Natalie.

Millepied adalah koreografer balet yang melatih Natalie sepanjang penggambaran filem Black Swan dilakukan. Keduanya bertemu, berkenalan dan saling jatuh cinta saat sama-sama terbabit dalam penggarapan filem itu. Selain menjadi koreografer, Millepied juga adalah pemilik sekolah tari di New York.

"Kami sentiasa bersama di lokasi dan begitu serasi antara satu sama lain. Dia seorang yang sangat profesional ketika berlakon dan menjadi dirinya sendiri ketika di luar set penggambaran," kata Millepied mengenai Natalie.

Dikhabarkan, pasangan sepadan ini akan melangsungkan perkahwinan sebaik selesai komitmen Natalie terhadap beberapa majlis penganugerahan penting yang disertainya. Malah, ada juga khabar angin mengatakan mereka akan bersatu sebagai suami isteri sebaik Natalie melahirkan bayinya nanti.

Filem lakonan Natalie dan Mila Kunis itu sempat mencetuskan kontroversi dengan paparan adegan intim sesama jenis mengisahkan kehidupan seorang penari balet dan wajah hitam di sebalik industri yang dianggap terhormat itu. Ternyata filem ini menerima 12 pencalonan.

Bercerita mengenai pengalamannya membintangi filem arahan sutradara Darren Aronofsky itu, akui Natalie ia adalah antara filem yang paling mencabar dan sukar untuk dijayakan.

Nina watak dilakonkan Natalie, adalah seorang penari balet yang lulus uji bakat untuk membawakan watak ratu angsa dalam pertunjukan balet Swan Lake.

"Saya perlu bermain dengan emosi membayangkan diri saya sebagai Nina iaitu gadis yang tidak punya keyakinan, tetapi keyakinannya itu ditemukan dalam tarian balet.

"Mengikuti latihan tarian balet selama berbulan-bulan itu adalah proses yang memenatkan. Namun akhirnya menjadi sesuatu yang saya sukai kini. Ia memerlukan ketekunan selain menuntut kesabaran yang tinggi.

"Paling menggusarkan hati saya sewaktu menjayakan babak bercium dengan Milan Kunis. Saya takut adegan hangat itu akan mengaburi kehebatan filem ini.

"Saya bukan saja berdebar saat melakonkan watak itu malah tidak sanggup melihat lakonan sendiri. Mungkin lima tahun akan datang pun, orang masih memperkatakannya.

"Mujurlah mereka yang menyaksikan filem ini termasuk pengkritik filem dan juri panel, tidak begitu memberi fokus terhadap adegan berkenaan sebaliknya melihat keseluruhan jalan cerita walaupun sempat juga tercetus kontroversi berhubung babak berkenaan," katanya.

Watak Nina ini sudah membawa kejayaan awal kepadanya apabila menang di Anugerah Golden Globe dan SAG (Screen Actors Guild) dan kini berdebar menanti 28 Februari ini untuk menggenggam Oscar di Anugerah Academy ke-83 yang akan berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles.

Bagaimanapun, ia bukan jalan mudah kerana calon lain hebat-hebat belaka iaitu Michelle Williams, Jennifer Lawrence, Nicole Kidman dan Annette Bening.

Aktres kelahiran Israel pada 9 Jun 1981 mula menceburi kerjaya modeling ketika usia 11 tahun kemudian mengambil keputusan jadi pelakon. Filem-filem awalnya ialah The Professional (1994), Heat (1995), Beautiful Girls (1996) dan Mars Attacks! (1996).

Watak Queen Amilda dalam Star Wars: Episode I - The Phantom Menace (1999) mula membuka mata orang terhadapnya hingga diberi kepercayaan membintangi Anywhere But Here (1999), Where the Heart Is (2000) dan Closer (2004). Natalie dicalonkan merebut Oscar menerusi Closer.

Natalie yang digelar David Letterman serta majalah Harpers dan Queen sebagai Audrey Hepburn, mula dikagumi melalui penampilannya dalam Cold Mountain (2003), V For Vandetta (2006) yang sanggup botakkan kepala dalam The Other Boleyn Girl (2008).

PROFIL

Nama sebenar: Natalie Hershlag
Tarikh lahir: 9 Jun 1981
Tempat lahir: Jerusalem, Israel
Bilangan keluarga: Anak tunggal
Tinggi: 160 sentimeter
Nama bapa: Avner (doktor pakar kesuburan)
Nama Ibu: Shelley (pelukis)
Pasangan: Benjamin Millepied

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jins menyanyi di DFP

Posted: 18 Feb 2011 06:24 AM PST

PENCAPAIAN seni yang diraih Senator Tan Sri Jins Shamsudin memang tidak dapat disangkal. Sejak 54 tahun bergelumang sebagai pelakon, dia bukan saja memperlihat bakat depan kamera malah, terbabit dengan kerja pengarahan.

Karakter anak derhaka menerusi Si Tanggang (1961), watak Jefri Zain digelar James Bond Malaysia menerusi Gerak Kilat (1966) dan hero pasukan polis dalam Bukit Kepong (1982) antara lakonan beliau yang meninggal kesan mendalam pada penonton.

Begitu juga, Jins berbakat dalam mengarah seperti filem sekuel, Menanti Hari Esok (1976), Tiada Esok Bagimu (1978) dan Esok Masih Ada (1979) cukup diingati ramai.

Sepanjang berkarya, Jins pernah menang anugerah Pengarah Terbaik sebanyak dua kali pada Festival Filem Malaysia pertama (FFM1, 1980) dan ketiga (FFM3, 1982) menerusi Tiada Esok Bagimu dan Bukit Kepong. Pada acara anugerah yang sama, beliau menerima pengiktirafan Pelakon Lelaki Terbaik ketika FFM1 dan Lakon Layar Terbaik (FFM3).


Di sebalik kehebatan Jins dalam bidang lakonan dan pengarahan, populariti lagu dalam filem lakonannya turut menarik perhatian ramai berhibur.


Bagi mengembalikan zaman kegemilangan Jins pada peminat, Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) membawakan persembahan Imbauan 3 yang akan diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur pada 28 Februari dan 1 Mac ini, jam 8.30 malam.

Persembahan julung kali Jins di pentas DFP ini dijangka menarik perhatian apatah lagi beliau akan memberi kejutan menyanyi pada malam itu nanti.

Kata Jins, beliau akan menyampaikan lagu Dari Masa Hingga Masa ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee bersama S Sudarmaji dipetik dari filem Panca Delima.

"Lagu ini membawa ingatan saya ketika membintangi filem itu, iaitu dalam adegan itu, saya membawa kereta lembu. Sebenarnya, lagu filem saya bukan saja dicipta P Ramlee bersama S Sudarmaji tetapi termasuk Datuk Ahmad Nawab dan Kasim Masdor.

"Saya berharap persembahan ini mengimbau kembali ingat penonton pada filem lakonan saya. Mungkin saya akan tampil melakonkan adegan tertentu pada persembahan ini nanti," katanya.

Produser, Hartini Abdullah pula berkata, persembahan ini bermatlamat membawakan ingatan semula peminat terhadap lagu malar segar yang digubah dalam konsep simfoni orkestra.

Imbauan 3 adalah lanjutan dua persembahan lalu, Imbauan 1 pada 2008 yang menampilkan Datuk Khadijah Ibrahim manakala Imbauan 2 (2010) membawa lagu Allahyarham Normadiah dinyanyikan Azlina Aziz, Liza Aziz dan Musly Ramlee.

"Pemilihan Jins untuk persembahan kali ini sebagai penghormatan dan menghargai sumbangan beliau terhadap bidang perfileman tanah air.

"Memberi tarikan, Roy bersama Dayang Nurfaizah tampil menyanyikan lagu itu. Sebanyak 16 lagu dipilih daripada 10 filem yang pernah dilakonkannya disampaikan pada malam itu nanti," katanya.

Memberi cabaran, Pengarah Muzik, Ahmad Muriz Che Rose berkata, mesej dalam lagu filem Jins mempunyai kekuatan untuk menarik minat orang ramai menonton.

"Persembahan ini turut memaparkan adegan asal lagu itu di layar putih selama 10 minit. Pada saya, lagu dalam filem Jins mempunyai banyak nilai estetika dan mesej mendalam seperti muhibah, patriotik dan kekeluargaan.

"Gubahan semula pada skor muzik lagu berkenaan dibuat untuk menjadikan persembahan bertambah menarik. Ini termasuk menjadi bunyi lagu itu lebih besar dengan suntikan elemen moden. Seramai 51 pemuzik orkestra terbabit dalam persembahan ini," katanya.

Bagi Roy yang pernah popular dengan lagu Ratnaku pada zaman 90-an, melihat peluang kali ini sebagai kebanggaan untuk menghiburkan peminat tidak kira peringkat usia.

"Persembahan sebegini memberi kesempatan pada saya memperkenalkan kembali lagu lama pada generasi baru. Apa yang penting, saya berharap lagu dan artis lama terus dihargai peminat," katanya.

Dayang pula, berasa bertuah kerana diberi kepercayaan bergandingan bersama Roy menghiburkan peminat dalam persembahan yang dianggap istimewa.

"Saya berbesar hati kerana terbabit sama dalam persembahan ini yang mempopularkan kembali lagu lama. Apa yang saya harapkan, peminat yang hadir lebih terhibur dan saya percaya lagu sebegini mudah diterima," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.