Adsense

Rabu, 2 Februari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Belum lagi mahu bercinta

Posted: 01 Feb 2011 07:01 AM PST

PERJALANAN karier seninya lebih sedekad yang lalu penuh berliku. Selain dikatakan menumpang nama dan bantuan ayahnya, Shila Amzah pernah dilabel sebagai artis iklan oleh segelintir pihak yang memandang rendah bakat seninya itu.

Namun, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 20, tidak pernah patah semangat untuk mendapat tempat di persada hiburan tanah air. Bakat seninya mula meraih perhatian ramai apabila menjadi naib juara program realiti One In A Million (OIAM) musim kedua, tiga tahun lalu.

Terbaru, duta Safi Balqis Perfect 10 ini melakar satu lagi sejarah apabila melebarkan karier seninya ke peringkat Antarabangsa dengan mewakili Malaysia ke Konsert Asia Star Session di Festival Voice of Astana di Kazakhstan bermula 30 Januari lalu hingga 5 Februari ini.


Konsert ini dianjurkan sempena temasya sukan 7th Winter Asian Games di Astana City yang juga sambutan ke-50 tahun sejak kali pertama ia diadakan di New Delhi pada 1951. Ia juga penganjuran terbesar dalam sejarah sukan dan julung kalinya diadakan di Kazakhstan yang terpilih menjadi tuan rumah.

Pemilihan Shila ke Kazakhstan juga dipilih Performers & Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism).


Secara peribadi, anak gadis pelakon dan penyanyi ND Lala yang lebih sedekad bergelar penyanyi ini mengakui sangat teruja untuk membuat persembahan di Kazakhstan.


"Paling teruja kerana saya membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa. Kali pertama, saya membuat persembahan di luar negara adalah Singapura.

"Saya akan membuat persembahan pada 3 Februari dan menyampaikan lagu Nirmala dendangan Datuk Siti Nurhaliza yang menonjolkan irama Malaysia dan sebuah lagu Inggeris yang belum diputuskan lagi.


"Dari segi persiapan, saya berlatih menyampaikan lagu Inggeris iaitu The Climb dendangan Miley Cyrus dan I Drove All Night yang dipopularkan Celine Dion," katanya.

Shila yang berlepas ke Kazakhstan Ahad lalu ditemani ibu bapanya dan wakil Prism. Sebagai anak Malaysia, Shila mempunyai misi untuk memperkenalkan budaya tempatan di negara orang.


"Saya juga menyampaikan lagu Melayu dan memperagakan pakaian daripada tiga pereka tempatan iaitu Faizal Azraf, Salikin Sidek dan Ariff Shukor pada persembahan nanti.


"Sebagai persediaan, saya berlatih vokal selama sebulan dan bersenam selama 30 minit di rumah untuk mengekalkan stamina. Semoga kesihatan saya juga mengizinkan untuk memberikan yang terbaik pada persembahan nanti.


"Saya juga tidak mensia-siakan peluang keemasan ini untuk mengukuhkan lagi nama di persada seni tempatan dan Antarabangsa," katanya ketika ditemui dalam satu sidang media di Bora Ombak, Ampang, di sini, baru-baru ini.


Dalam perkembangan lain, Shila juga tampil dengan album 3 Suara yang menggabungkannya bersama dua lagi penyanyi popular iaitu Jaclyn Victor dan Ning Baizura. Album itu akan dilancarkan pada 18 Februari nanti di Solaris Dutamas.

Kini, Shila mempertaruhkan single pertamanya berjudul Di Mana Di Mana yang sudah mula diputarkan di stesen radio tanah air.


Sementara itu, Pengurus Besar Prism, Ong Peng Chu berkata, pemilihan Shila ke Kazakhstan kerana dia berjaya mengharumkan nama Negara selepas memenangi pertandingan Penang-Shanghai World Star Quest pada 2008.


"Ia kali pertama penyanyi dari Malaysia diundang membuat persembahan di sana. Pihak jawatankuasa penganjuran Festival Voice Of Astana juga menanggung segala pembiayaan dan penginapan sepanjang Shila di sana.

"Ia juga salah satu usaha Prism untuk memberi pendedahan kepada artis tempatan bagi memartabatkan lagi industri muzik tanah air," katanya.


Lebih bermakna, Shila juga berkongsi pentas bersama penyanyi pop dari negara dari Korea Selatan, China, Filipina dan negara dari Timur Tengah yang turut di undang ke Festival Antarabangsa ini.

Selain Konsert Asia Star Session, festival ini membabitkan dua lagi acara besar iaitu konsert klasikal dan opera dan moden serta hip hop.

Shila tak boleh terima lelaki muda
RAMAI yang ingin tahu siapakah jejaka yang bertakhta di hati anak dara, pelakon ND Lala ini. Selepas dikaitkan dengan pelakon kacak Fizo Omar, Shila kini dikatakan hangat bercinta dengan pemain muda daripada pasukan harimau muda, Haziq Zikri.


Malah, mereka juga sering muncul bersama dalam pelbagai majlis di persada hiburan tanah air. Namun, Shila tetap menafikan mereka bercinta seperti yang diperkatakan orang itu.


"Kami hanya sekadar berkawan baik dan tidak lebih daripada itu. Mungkin cerita kami bercinta itu timbul kerana kami sering keluar bersama. Memang, saya akui, Zikri adalah kawan lelaki yang paling rapat dalam hidup saya buat masa ini.


"Namun, tidak mungkin kami bercinta sebab dia lebih muda daripada saya. Saya juga tidak boleh terima lelaki yang lebih muda daripada saya kerana seperti yang kita tahu golongan lelaki memang lambat matang berbanding perempuan," katanya.


Buat masa ini, kata Shila, dia lebih selesa untuk fokus pada karier seninya yang semakin berkembang.


"Agenda seni saya padat saban hari. Pada masa sama, masih terlalu awal untuk saya memikirkan soal cinta ataupun menamatkan zaman bujang pada usia sekarang. Kerja saya tidak tentu masa dan bukan semua orang faham karier saya ini.


"Terus terang, saya ingin mengelak menjalinkan hubungan dengan mereka yang sama-sama terbabit dalam bidang seni kerana terlalu banyak kisah perceraian di kalangan artis dilaporkan di akhbar tempatan setiap hari. Apapun, saya tidak mencari jodoh tapi kalau sudah bertemu calon yang tepat, saya tidak menolaknya," katanya.

>PROFIL
NAMA SEBENAR: Nur Shahila Amir Hamzah
TARIKH LAHIR: 13 Ogos 1990
ASAL: Kuala Lumpur
UMUR: 20 tahun
KERJAYA: Penyanyi dan duta Safi Balqis Perfect 10
ALBUM: Sha-hila (2005), Ost 5 Jingga ( 2008), Bebaskanlah (2009), 3 Suara, bersama Jaclyn Victor dan Ning Baizura (2011)
SINGLE: Saat Bahagia, Kita Berdansa, Yang Teristimewa, E-Mel Darimu (2005), Memori Tercipta, Bebaskanlah Alam's Story, Tidak Minta Popular 5 Jingga, Berteman featuring Atilia 5 Jingga, Remaja 5 Jingga (2008), Tunjukkan Cintamu feat RAN, Rentak Optimis featuring Dafi AF5, Kempen iklan 'Camni-lah!' Coca-Cola, Best Of Both Worlds Promote New Season of Hannah Montana, Disney Channel (2009), Kejar dan Ada Ada Saja.
PENCAPAIAN: Tempat kedua Bintang Kecil, Naib juara, program realiti TV, One In A Million (OIAM) musim kedua dan Anugerah Emas dan Lagu Terbaik, pesta Penang Shanghai World Star Quest 2008.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Syamsul pecah rekod ayah!

Posted: 01 Feb 2011 06:52 AM PST

AKHIRNYA pengarah muda, Syamsul Yusof berjaya memecahkan rekod kutipan 'box-office' yang pernah dibuat ayahnya, Datuk Yusof Haslam apabila filem Khurafat berjaya meraih RM7 juta dalam tempoh 20 hari tayangan.

"Ya alhamdulillah, Syamsul sudah berjaya memecahkan rekod filem arahan saya Sembilu 2 pada 1995. Dulu, Sembilu 2 memperoleh RM6.3 juta selepas 40 hari tayangan. Apa yang bezanya, zaman itu tiket wayang jauh lebih murah, cuma RM5 berbanding sekarang, RM10.


"Sebagai ayah, saya amat berbangga dengan kejayaan terbaru Syamsul itu. Tidak sangka Syamsul ada keazaman yang tinggi untuk mencapai impian sebagai seorang pengarah filem.

"Masa kecil-kecil dulu saya selalu membawa dia ke lokasi tapi tak sangka pula dia turut berminat untuk meneruskan legasi saya dalam dunia pengarahan dan akhirnya mencapai kejayaan dalam usia muda.


"Kalau dibandingkan dengan saya, Syamsul lebih baik kerana dia bukan saja menang anugerah dalam festival filem tetapi karya arahan dia juga mendapat sambutan hangat," kata Yusof kepada Rap, semalam.


Khurafat yang dibintangi Syamsul turut dimantapkan Liyana Jasmay, Sabrina Ali, Fauziah Nawi dan Salina Saibi. Ia mengisahkan perbuatan khurafat seorang lelaki terhadap seorang wanita yang akhirnya memakan diri sendiri sehingga ke akhir hayat.

Yusof berkata, sebagai produser, dia memang mengharapkan setiap filemnya mendapat sambutan dan tidak menjangka genre arahan Syamsul membuahkan hasil yang sangat membanggakan.


"Sebelum ini Syamsul lebih suka filem aksi dan drama. Jadi saya sendiri tak dapat menjangkakan bagaimana sambutan penonton terhadap percubaan pertama Syamsul yang bercorak seram.

"Terus terang, sasaran saya untuk filem Khurafat pada awalnya hanyalah sekitar RM4 juta saja. Saya memang tidak terfikir ia akan sampai sehingga RM7 juta dalam tempoh 20 hari.


"Dengan sambutan yang berterusan, saya kira sehingga Ahad ini, Khurafat mungkin boleh cecah RM7.5 juta, Insya-Allah," katanya.


Beliau berkata, mengambil kira ketika ini ada banyak filem sempena Tahun Baru Cina ditayangkan, jumlah dewan tayangan akan berkurangan untuk Khurafat dan ia akan memperlahankan kutipan.


Berhasrat untuk menghasilkan lebih banyak filem yang berkualiti daripada pelbagai genre pada masa akan datang, Yusof menyifatkan kejayaan Khurafat disebabkan garapan dan penceritaan yang berbeza.


"Penceritaan Khurafat berbeza daripada kisah seram yang pernah ditayangkan kerana ia ada 'twist plot' dan unsur Islamik yang ketara.


"Saya mewakili Skop Productions ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penonton yang menyokong filem ini termasuk media tempatan yang memberi liputan meluas serta komen positif terhadap Khurafat.


"Saya harap kejayaan ini akan menaikkan semangat Syamsul untuk menghasilkan lebih banyak filem berkualiti pada masa akan datang," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.