MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong |
- ADUN Malim Nawar Keluar DAP, Isytihar Bebas
- Program Bulan Madu Kali Kedua Terengganu Berkesan, Akan Diteruskan: Shahrizat
- Kuatkan daya ingatan
- Kit pembelajaran sains
- USIM Mahu Tubuh Hospital Sendiri Di Nilai
- Perodua kekalkan penguasaan
- Jimmy Pilih Anak Jutawan Bukan Kerana Harta
- RMK-10: Cabaran utama yang perlu diharungi
- 36 penyakit dilindungi dana KWSP
- 2,500 Tabika dalam tiga tahun
- Golongan homoseksual perlu bijak tangani nafsu
- Facebook cetus fenomena sedunia, berjaya bentuk ‘wilayah’ sendiri
- Tarikh Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan ke IPTA Julai 2010
ADUN Malim Nawar Keluar DAP, Isytihar Bebas Posted: 15 Jun 2010 07:32 AM PDT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar di Perak hari ini mengisytiharkan keluar daripada DAP dan menjadi wakil rakyat Bebas. Keshvinder membuat keputusan itu kerana mendakwa kecewa dengan kepimpinan Pakatan Rakyat di negeri itu yang terlalu banyak berpolitiking sehingga mengabaikan tugas sebagai wakil rakyat. "Bagi menjaga kepentingan rakyat dan pembangunan yang berterusan saya membuat keputusan untuk menyokong dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpiman Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. "Keputusan ini merupakan pengorbanan saya kepada rakyat di kawasan saya. Saya sedar saya bakal menghadapu tuduhan dan cemuhan daripada pelbagai pihak. "Demi kepentingan dan kesejahteraan masa depan rakyat saya memilih untuk meninggalkan DAP dan Pakatan Rakyat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Beliau yang juga seorang peguam berkata, surat peletakkan jawatannya telah diserahkan kepada Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng awal pagi tadi. "Keputusan yang saya buat ini juga mengambil pengamatan saya selama 15 bulan terhadap corak kepimpinan Menteri Besar dan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. "Saya amat menyakini corak dan cara kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini terutamanya konsep 1Malaysia yang merupakan pendekatan realiti terbaik untuk rakyat di negara ini," ujarnya. Dalam pada itu, wakil rakyat terbabit menafikan dakwaan beliau menerima ganjaran wang tunai sejumlah RM2 juta untuk meninggalkan parti. "Saya yakin saya bersih. Anda boleh semak akaun bank, saya tidak pernah menerima sebarang ganjaran daripada mana-mana pihak," katanya. Jelasnya, buat masa ini beliau akan kekal sebagai wakil rakyat Bebas dan tidak akan menyertai mana-mana parti. "Saya tidak ada cadangan untuk menyertai mana-mana parti. Saya mahukan sokongan daripada kerajaan negeri dalam membantu memberikan peruntukan kepada saya untuk mengatasi masalah penduduk," katanya. Kesvinder berkata tindakan tersebut dibuat selepas beliau mengambil kira semua perkara tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. "Keputusan ini saya ambil selepas saya meneliti secara mendalam dan mengambil kira pendapat pelbagai pihak. Tindakan ini diambil tanpa tekanan. "Saya berharap semua pihak terutama penduduk di kawasa saya dapat menerima dan menghormati keputusan ini kerana ia dibuat demi kebaikan rakyat," ujarnya. Keshvinder adalah Adun DAP kedua keluar parti itu selepas ADUN Jelapang, Datuk Hee Yit Foong, awal tahun lalu, yang menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang. Dengan keputusan itu, bilangan pembangkang di Dewan Undangan Negeri sekarang ini adalah 27 orang berbanding 28 yang dikuasai oleh BN manakala wakil Bebas pula adalah empat orang. Pada Pilihan Raya Umum 2008, Keshvinder mengalahkan calon BN, Dr Chai Song Poh dengan majoriti 1,362 undi. - MSTAR |
Program Bulan Madu Kali Kedua Terengganu Berkesan, Akan Diteruskan: Shahrizat Posted: 15 Jun 2010 07:29 AM PDT Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan bekerjasama dengan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu bagi memperluaskan program bulan madu kali kedua atau 'Second Honeymoon' kepada pasangan yang menghadapi masalah rumahtangga. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, lapan siri program itu akan diadakan sepanjang tahun ini. "Lapan program lagi akan diadakan tahun hadapan dengan setiap program melibatkan 15 pasangan suami isteri terutamanya yang telah berkahwin lima tahun. "Mengikut kajian cabaran paling besar dihadapi pasangan berkahwin ialah dalam tempoh lima tahun pertama perkahwinan," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman bagi program 'Smartstart: 2ND Honeymoon' antara YPK dan LPPKN di sini hari ini. Pada majlis itu YPK diwakili Pengarahnya, Mohd Shafarudin Mustafa manakala LPPKN diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Aminah Abdul Rahman dengan disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan Shahrizat. Shahrizat berkata, walaupun kadar perceraian di negara ini masih rendah daripada segi bilangannya, namun ia makin bertambah di mana tahun 2006 sebanyak 19,463 perceraian berlaku dan bertambah kepada 25,426 pada tahun 2008. "Perhatian serius perlu diberi untuk menangani masalah ini. Saya sangat menghargai inisiatif kerajaan negeri Terengganu khususnya YPK mengadakan program bulan madu kali kedua untuk membantu keutuhan perkahwinan," katanya. Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk program itu dan sebanyak RM53,600 telah dibelanjakan bagi empat program yang diadakan sebelum ini melibatkan 67 pasangan. Pada perjanjian itu, LPPKN dan YPK akan bekerjasama melaksanakan program Smartstart: 2nd Honeymoon di mana LPPKN akan menyediakan keperluan seperti kaunselor untuk sesi kaunseling manakala YPK sendiri akan menentukan tempat program itu akan diadakan. Katanya, pasangan yang terpilih terdiri daripada pasangan yang menemui kaunselor. Setakat ini, 67 pasangan terpilih dihantar ke Pulau Perhentian dan Pulau Kapas. "Kita ingin menyelamatkan pasangan daripada perceraian. Kebanyakan yang terpilih ialah pasangan yang difikirkan ada masalah. Mungkin kalau tidak dirapatkan kembali akan berlaku perceraian dan sebagainya. "Kita lihat ada pasangan yang kembali mesra setelah menyertai program ini. Kalau kita dapat menyelamatkan satu dua pasangan daripada bercerai, ini merupakan satu kejayaan," katanya. - BERNAMA |
Posted: 15 Jun 2010 07:25 AM PDT OTAK merupakan satu bahagian anatomi tubuh yang hebat fungsinya kerana mampu merakam segala perkara dan peristiwa. Meskipun begitu, masalah kelemahan daya ingatan boleh terjadi kerana kita tidak melatih diri mengulang ingat sesuatu maklumat. Tidak mustahil jika ramai di antara kita pernah mengalami situasi tidak dapat mengingati barang yang baru sahaja diletakkan. Ada sesetengah pula yang tidak dapat mengingati tempat kenderaan diletakkan ketika hendak pulang dari pusat beli-belah. Insiden itu sering membuatkan seseorang cuba mengaitkannya dengan faktor usia dan penuaan. Namun hakikatnya, ingatan boleh diumpamakan sebagai otot dalam tubuh kita. Semakin kita menggunakannya, semakin kuat otot tersebut. Sebagai remaja khususnya pelajar, memiliki daya ingatan amat penting untuk menentukan kecemerlangan dan kejayaan dalam peperiksaan. Daya ingatan ini berkait rapat dengan keupayaan mental dan fizikal yang sihat. Daya ingatan yang bagus juga membantu seseorang melontarkan pandangan atau pendapat yang jitu dan bernas dalam perbincangan serta pembelajaran. Dalam membina daya ingatan itu, terdapat beberapa aspek yang ditekankan. Mungkin panduan yang disenaraikan oleh genK dapat membantu dalam memastikan daya ingatan sentiasa di tahap optimum. * Tidur yang mencukupi Seperti kita memerlukan oksigen, tidur yang mencukupi dan berkualiti turut memberi manfaat kepada kita. Tidur ini bukan sahaja mampu meningkatkan daya ingatan, malah memberikan kesan yang menakjubkan iaitu membantu meningkatkan penumpuan dan kecekapan kerja, menulihkan fungsi tubuh dan juga meningkatkan kesejahteraan emosi. Namun, dalam gaya hidup semasa, ada sesetengah orang yang suka tidur lewat atau mengabaikan waktu tidurnya. Keletihan itu hanya akan mengganggu maklumat atau data yang disimpan oleh otak di samping menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yang baru. Seeloknya rancang waktu tidur anda. * Mengawal tekanan dan kemurungan Ada sesetengah perkara dalam hidup ini kita tidak mampu mengubahnya meskipun telah berusaha keras. Berhadapan dengan hal-hal yang yang datang secara tidak direlakan atau diduga ini menyebabkan berlaku tekanan dalam hidup. Tekanan ini hanya membuatkan jiwa kita tidak tenteram dan mencetuskan kemurungan dalam hidup. Dengan ini kita tidak dapat berfikir dengan jelas seterusnya menjejaskan daya ingatan. Oleh itu, kawal tekanan melalui bermeditasi, membaca al-Quran, beriadah, mengunjungi sauna, menggunakan aromaterapi dan sebagainya. * Pengambilan ubat Sesetengah daripada kita terlampau taksub untuk menjadi seorang yang bijak pandai dengan berusaha mendapatkan daya ingatan yang kuat. Ia ditambah dengan bisikan daripada rakan-rakan yang telah mencuba pelbagai kaedah sampingan. Keadaan ini membuatkan seseorang sanggup membelanjakan wang untuk produk-produk kesihatan yang kononnya dapat meningkatkan daya ingatan. Namun, ada sesetengah produk yang dijual di kaunter atau farmasi tidak sesuai dengan penerimaan sistem tubuh hinggakan memberi kesan sampingan yang memudaratkan. Sebaiknya kita mendapatkan rujukan terlebih dahulu daripada pakar perubatan yang bertauliah sebelum membelinya untuk kebaikan kita. * Bersenam Seperti kata pepatah, otak yang cerdas bermula daripada badan yang sihat. Bagi membina badan yang sihat semestinya daripada aktiviti yang dapat menggerakkan anggota tubuh yang melancarkan peredaran darah ke otak. Otak itu sendiri memerlukan oksigen yang mencukupi bagi memastikan tubuh dapat berfungsi ke tahap optimum. Kekurangan bekalan oksigen hanya akan menyebabkan kita mudah mengantuk seterusnya menjejaskan kecergasan dan keaktifan otak. Luangkan masa untuk bersenam walaupun sekadar berjalan kaki dalam jarak tertentu. * Aktiviti yang mencabar Otak kita sentiasa perlu diaktifkan untuk meningkatkan fungsi dan memanjangkan keupayaannya. Otak yang sentiasa aktif akan menajamkan daya ingatan agar tidak dimakan usia. Dalam mengalakkan otak berfikr secara keseluruhannya aktiviti seperti permainan catur, sudoku, sahibba dan monopoli boleh merangsang pemikiran kita. Permainan yang berunsur mengatur strategi dan bermain dengan angka ini mampu membuatkan penumpuan dan daya kreativiti kita terserlah. Secara tidak langsung ia membantu mengembangkan minda dan menajamkan daya ingatan. - KOSMO! |
Posted: 15 Jun 2010 07:24 AM PDT Kesukaran guru-guru di pedalaman untuk mengajar mata pelajaran sains kini dipermudahkan dengan adanya kit pembelajaran khas ciptaan sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM). Kit berkenaan menumpukan aspek pembelajaran sains dengan cara lebih praktikal terutama kepada pelajar yang lemah. "Modul kit pembelajaran sains sekolah rendah itu adalah hasil kajian yang dilakukan selama setahun terhadap corak pembelajaran murid-murid di beberapa sekolah di kawasan pedalaman Sabah," kata Ketua penyelidik, Dr. Hashimah Mohd. Yunus pada satu sidang akhbar baru-baru ini. Beliau turut dibantu oleh Dr. Nooraida Yacoob, Dr. Norizan Esa dan Dr. Nordin Abdul Razak melalui geran serta peruntukan daripada Yayasan Sabah (YS) sebanyak RM2.7 juta serta kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS). Hashimah yang juga pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) berkata, kajian itu meliputi pelajar luar bandar di kawasan pulau, persisir pantai, kaki bukit dan pedalaman negeri itu untuk dijadikan kajian dengan kerjasama JPNS. "Tahap pencapaian dan kebolehan murid di kawasan-kawasan ini amat berbeza, kebanyakannya tidak mampu mengikuti sukatan pelajaran sains yang dibuat oleh kementerian. "Sehubungan itu, kita cipta satu kit mudah alih yang berupaya menarik minat mereka untuk mengikuti subjek berkenaan menggunakan barang-barang yang biasa dilihat dan dekat dengan diri serta persekitaran mereka," katanya. Kit tersebut direka untuk disesuaikan mengikut kebolehan murid-murid tersebut dengan memasukkan unsur-unsur persekitaran mereka sebagai elemen pembelajaran. Kit pembelajaran tersebut juga telah dipertandingkan pada Ekspo Sains Malaysia 2010 di Kuala Lumpur dan mendapat pingat gangsa bagi kategori Inovasi Penyelidikan. "Berpandukan sukatan sains sekolah rendah, kita hasilkan kit yang di dalamnya mengandungi empat komponen iaitu Panduan Guru, Aktiviti Murid, Penilaian Murid dan Kit Sains. "Kit sains ini mengandungi pelbagai bahan mengajar untuk guru dan murid-murid misalnya termometer, anak patung, tin kosong dan klip kertas mengikut tema subjek sains yang dipilih," jelasnya. Jjelas Hashimah, murid-murid akan diuji tahap kebolehan mereka terhadap mata pelajaran itu sebelum menggunakan kit tersebut. Sementara itu, Dekan PPIP, Prof. Abdul Rashid Mohamed pula menjelaskan, barisan penyelidik terlibat mula mendemonstrasikan kit tersebut di sekolah-sekolah pedalaman Sabah bermula Jun sebelum ia dikormesialkan. Kit yang dianggarkan bernilai RM696 setiap satu itu dibangunkan dengan kerjasama penuh Yayasan Sabah dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sabah. "Perkembangan masa depan bergantung kepada pihak berkenaan (Yayasan Sabah dan JPN). Namun sehingga kini kedua-dua pihak berbesar hati untuk tidak mengehadkan penggunaan kit tersebut kerana ia bersifat universal dan boleh digunapakai oleh semua," katanya. - KOSMO! |
USIM Mahu Tubuh Hospital Sendiri Di Nilai Posted: 15 Jun 2010 07:22 AM PDT Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menubuhkan hospital sendiri di sini dalam masa terdekat, kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohamad Yusof Md Noor. Beliau berkata, pihaknya kini menunggu kelulusan kerajaan untuk memulakan pembinaan hospital tersebut yang dianggarkan bernilai RM200 juta di tapak yang baru dibeli oleh USIM. "Kita menanggung kos yang tinggi apabila mengendalikan Fakulti Perubatan dan Kesihatan di Pandan Indah, Kuala Lumpur dengan menyewa sebuah bangunan," katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi USIM, di sini hari ini. Dalam majlis itu, USIM turut menempa sejarah sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi yang menerima sijil MS ISO 9001:2008 dan MS 1900:2005 berdasarkan pengurusan kualiti mengikut perspektif Islam. Dr Mohamad Yusof berkata, apabila siap kelak hospital USIM akan turut menempatkan Fakulti Pergigian yang mempunyai peralatan tercanggih. "Kita mahukan sebuah bangunan yang moden bagi hospital kita kelak. Moden dari segi ia boleh menjimatkan kos di mana kos itu boleh diguna untuk membeli peralatan perubatan yang terkini," jelasnya mengenai konsep pembinaan hospital berkenaan. Beliau turut melancarkan laman USIM ONLINE yang boleh dilayari di http://www.usimonline.my - BERNAMA |
Posted: 15 Jun 2010 06:53 AM PDT Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mengekalkan kepimpinan pasarannya pada Mei dengan jualan 15,000 kereta dan anggaran agihan pasaran 29.6 peratus berikutan permintaan kukuh berterusan mendapatkan kenderaan. "Jualan 15,000 unit itu meningkat 13.6 peratus berbanding 13,200 unit yang dicatatkan pada Mei 2009," kata Pengarah Urusannya, Aminar Rashid Salleh di dalam satu kenyataan hari ini. Sehingga kini, Perodua menjual 78,700 kereta, meningkat 5.64 peratus berbanding 74,500 unit yang diunjurkan bagi tempoh lima bulan tahun ini. Ini juga merupakan lonjakan 23.16 peratus berbanding jualan 63,900 unit bagi tempoh Januari hingga Mei 2009. Perodua mengunjurkan untuk menjual 176,000 unit kereta pada tahun ini berbanding 166,700 unit yang dijual pada tahun lepas. "Kami sangat teruja dengan bilangan jualan itu dan kami percaya catatan sehingga separuh kedua akan menunjukkan angka yang lebih baik memandangkan jangkaan permintaan semasa Hari Raya Aidil Fitri dan Deepavali," kata Aminar. Katanya, jualan kereta di Malaysia secara tradisinya meningkat pada suku ketiga setiap tahun. Mengenai prestasi selepas jualan Perodua, Aminar berkata, pada Mei, 137,000 penghantaran servis dicatatkan berbanding dengan unjuran 130,000 penghantaran. Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, keseluruhan 681,000 penghantaran atau 46 peratus dari agihan pasaran dicatatkan berbanding dengan 666,000 penghantaran semasa tempoh Januari hingga Mei 2009. - BERNAMA |
Jimmy Pilih Anak Jutawan Bukan Kerana Harta Posted: 15 Jun 2010 06:29 AM PDT Baru sahaja melangsungkan pertunangan dengan Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy, pengacara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Jimmy Shanley menafikan dia memilih anak jutawan itu kerana harta. Menurutnya, tiada istilah mencari kekayaan dalam memilih kekasih terutamanya dengan wanita yang bakal berkongsi hidup dengannya. "Saya tidak pernah memilih untuk berkawan dengan perempuan yang berlatarbelakang daripada keluarga yang mewah. "Pertemuan kami tidak dirancang sama sekali dan soal status kehidupan keluarganya itu hanyalah secara kebetulan sahaja. Tuduhan kononnya pertunangan itu disebabkan faktor lain adalah satu tuduhan mereka yang tidak mengelai saya," katanya yang telah melangsungkan pertunangan dengan anak kepada pengasas produk kecantikan Natasya. "Sebelum ini dia telah berkawan dengan ramai perempuan dan cuba mengenali mereka tanpa mengetahui latar belakang kemewahan masing-masing" ujarnya ketika dihubungi mstar online. Jimmy yang akan menamatkan zaman bujangnya pada Oktober tahun ini selamat bertunang dengan Nursuhaila Eliani di rumah pihak perempuan di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh, Jumaat lalu. Ketika mengimbau kembali detik pertemuan pasangan itu, kisah cinta mereka terjalin sejak Jimmy bertemu dengan Nursuhaila di Genting Highlands sewaktu dia menjalani rakaman Trek Selebriti bersama Noni AF pada pertengahan tahun 2006. "Nursuhaila merupakan peminat saya dan mahu mengambil gambar dengan saya ketika kami bertemu waktu itu. "Selepas empat tahun, saya diundang menghadiri majlis hari jadinya pada 31 Januari lalu. "Sejak itu kami menjadi rapat dan akhirnya saya melamarnya pada bulan lalu ketika AF8 hampir melabuhkan tirainya," kata Jimmy Khabarnya, Nursuhaila telah lama menyimpan perasaan kepada Jimmy sejak lima tahun lalu. Sebelum ini dia hanya melihat Jimmy menerusi televisyen, akhbar dan majalah. Anak kedua daripada tiga beradik itu juga tidak pernah bercinta dan pernah menyimpan impian untuk mempunyai teman lelaki seperti Jimmy. Ditanya apakah yang menarik minat Jimmy untuk memperisterikan Nursuhaila, Jimmy menjawab: "Dia sangat memahami kerja saya dan keluarga dia juga dapat menerima diri saya seadanya. Ibu dan bapanya juga sangat supportive dan sporting." Majlis pertunangan itu dihadiri kira-kira 300 yang terdiri daripada keluarga dan sanak-saudara kedua-dua belah pihak. Sementara Jimmy yang merupakan anak yatim piatu dan bongsu daripada lapan beradik itu ditemani keluarga terdekat yang terdiri daripada abang dan kakaknya. Majlis tersebut mendapat khidmat perunding perkahwinan Bahar Azman. Malah Bahar juga akan bertindak sebagai perunding majlis perkahwinan Jimmy pada Oktober nanti. Jimmy berkata tiga majlis resepsi dijangka akan dilangsungkan iaitu di Kuala Lumpur, kampung pihak perempuan di Sungai Petani, Kedah dan kampung pihak lelaki di Ipoh, Perak. - MSTAR |
RMK-10: Cabaran utama yang perlu diharungi Posted: 15 Jun 2010 05:54 AM PDT Oleh ROHAMI SHAFIE Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia DI atas kertas, intipati Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) cukup komprehensif dan jelas sama sekali. Walaupun ada yang mengkritik bahawa RMK-10 tidak ada bezanya berbanding dengan Rancangan Malaysia yang terdahulu, namun kalau melihat secara terperinci, RMK-10 mempunyai kelainan tersendiri. Perbezaan utamanya adalah pelbagai pendekatan-pendekatan baru yang berani bakal digunakan oleh kerajaan. Umpamanya, mengamalkan meritokrasi dalam menjayakan agenda ekonomi bumiputera. Selain itu, pendekatan yang mementingkan kreativiti dan inovasi akan diterapkan bagi meningkatkan produktiviti negara. Paling menarik, golongan yang berpendapatan terendah seramai 40 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia akan diberi keutamaan tertinggi. Namun begitu, dalam mempelbagaikan pendekatan baru bagi menjayakan RMK-10, terdapat beberapa cabaran utama yang perlu diharungi. Pertama, dalam mengurus hutang. Hutang ini bukan bermakna setakat pengurusan hutang kerajaan tetapi juga pengurusan hutang sektor swasta dan individu. Ini kerana kerajaan akan memperkasakan sektor domestik yang mementingkan pelaburan dan perbelanjaan dalam negara. Dengan cara ini, ekonomi akan berkembang dengan lebih pesat lagi dan pada masa yang sama permintaan terhadap instrumen hutang juga akan meningkat bagi menampung kehendak semasa. Pada asasnya, permintaan terhadap hutang baik untuk mencergaskan ekonomi tetapi jika terlalu bergantung kepada hutang, maka risiko kemuflisan akan meningkat tinggi. Justeru itu, pengurusan hutang secara berhemah mestilah diamalkan bagi memastikan keadaan ekonomi negara berada pada tahap terbaik. Kedua, cabaran mengurangkan defisit negara pada tahap di bawah tiga peratus atau lebih khususnya 2.8 peratus pada tahun 2015. Perkara yang perlu ditekankan di sini adalah mengurangkan perbelanjaan mengurus dan pada masa yang sama meningkatkan hasil kerajaan. Tiada cara lain kecuali, memastikan segala perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kerajaan benar-benar berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat. Perbelanjaan mengurus yang besar seperti emolumen, bekalan, perkhidmatan dan bayaran khidmat hutang serta lain-lain patut diberi penekanan yang tinggi mengikut kehendak semasa. Selain itu, pendekatan-pendekatan baru untuk memastikan sektor swasta sebagai peneraju ekonomi negara mampu mempertingkatkan hasil kerajaan melalui cukai korporat. Namun, sekali lagi cabaran utamanya adalah memastikan kerajaan berupaya menjadi sebuah syarikat yang berdaya saing yang mana tahap kecekapan kerajaan adalah yang terbaik. Polisi dan prosedur-prosedur lapuk mestilah dihapuskan bagi memperkasakan rantaian nilai dalam sektor awam. Amalan birokrasi yang menjejaskan kepantasan dalam membuat keputusan, seterusnya menjejaskan sektor swasta wajar dibuang jauh-jauh. Seiring dengan itu, sistem ganjaran yang berdasarkan prestasi haruslah digunakan dalam sektor awam. Cabaran seterusnya melibatkan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang merupakan bidang ekonomi pengkhususan. Dua belas NKEA ini sememangnya bidang kepakaran negara kita yang akan memacu ekonomi negara pada kadar pertumbuhan enam sehingga tujuh peratus setiap tahun. Di sinilah, peranan inovasi yang akan membentuk kelainan bagi produk-produk yang dihasilkan oleh para pekerja Malaysia berbanding negara-negara lain. Umpamanya inovasi dalam perkhidmatan kewangan. Produk-produk kewangan yang dihasilkan mestilah terkini dan mengikut kehendak pengguna. Begitu juga, cabaran seperti liberalisasi kewangan menuntut agar pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan dengan lebih tegas lagi. Ini kerana, kedua-dua komponen ini akan memberi kesan pertumbuhan yang positif ke atas liberalisasi kewangan. Tanpa pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas lagi, krisis kewangan dan perbankan akan lebih mudah berlaku di negara kita. Lebih-lebih lagi, dalam era globalisasi, apa sahaja boleh berlaku. Ketidakstabilan kewangan sesebuah negara terutamanya Amerika Syarikat akan meruntuhkan keseluruhan sistem kewangan dunia. Inilah yang berlaku ketika krisis subprima melanda dunia. Oleh itu, bagi menjayakan NKEA, mahu tidak mahu, modal insan mestilah diperkasakan. Melalui RMK-10, perhatian khusus diberikan dalam sektor pendidikan. Perkara ini cukup penting kerana modal insan yang terbaik akan menentukan kemajuan negara kita. Modal insan yang bakal dihasilkan bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi juga mestilah beretika, berintegriti tinggi dan bersahsiah mantap. Bukan mudah untuk menghasilkan modal insan sebegini. Di samping itu, kerajaan juga akan menubuhkan Talent Corporation bagi menarik rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi di luar negara pulang bekerja di Malaysia. Inilah cabaran besar bagi menjayakan RMK-10. Tanpa modal insan yang berkemahiran dan berkepakaran tinggi, produktiviti negara akan berada pada takuk yang sama. Cabaran terakhir yang harus dipikul oleh semua rakyat Malaysia adalah membentuk kerjasama satu pasukan Malaysia yang kuat dan mantap. Maka, mahu tidak mahu, anjakan paradigma dibantu dengan keyakinan dan motivasi yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia mestilah diterapkan dalam budaya kerja rakyat Malaysia jika kita mahu melihat transformasi ekonomi ke arah negara maju dapat direalisasikan pada tahun 2020. - UTUSAN |
36 penyakit dilindungi dana KWSP Posted: 15 Jun 2010 05:43 AM PDT Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menambah jumlah penyakit kritikal yang boleh dikeluarkan di bawah Pengeluaran Kesihatan daripada 13 jenis penyakit kepada 36 jenis penyakit. Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata, jumlah penyakit kritikal yang baru berkuat kuasa hari ini. "Senarai ini diperluaskan selepas KWSP mengambil kira kos yang tinggi diperlukan bagi merawat penyakit kritikal dan bagi meringankan beban kewangan ahli dalam mendapatkan rawatan berkenaan. "Selain daripada 36 penyakit kritikal ini, ahli juga boleh membuat pengeluaran bagi merawat ahli keluarga berumur di bawah 16 tahun untuk tiga lagi penyakit kritikal iaitu lelah yang teruk, leukemia dan kecacatan intelektual disebabkan kemalangan atau penyakit," katanya dalam satu kenyataan, semalam. Azlan berkata, bagi pengeluaran kesihatan ahli dibenar mengeluarkan simpanan mereka daripada Akaun 2 bagi membiayai kos rawatan penyakit kritikal untuk diri mereka dan ahli keluarga. "Ahli keluarga di bawah pengeluaran ini termasuk pasangan suami isteri, anak, anak tiri atau anak angkat yang sah dari segi perundangan, ibu bapa, mentua, ibu bapa tiri atau ibu bapa angkat yang sah dari segi perundangan dan adik-beradik. "Namun ahli tidak layak untuk memohon pengeluaran ini sekiranya penyakit yang dihidapi mereka tidak dinyatakan dalam senarai penyakit kritikal KWSP atau kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan ahli atau majikan ahli keluarga mereka," katanya. Beliau berkata, semua pengeluaran tertakluk kepada kesahihan laporan kesihatan, bil dan resit yang tidak melebihi tempoh satu tahun dari tarikh permohonan pengeluaran dibuat di atas nama pesakit atau pemohon. - BERITA HARIAN |
Posted: 15 Jun 2010 05:42 AM PDT Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan membina 2,500 Tabika dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini bagi meningkatkan kemasukan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun ke sekolah. Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kementerian itu menerima dana hampir RM500 juta menerusi Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) untuk tujuan berkenaan. Beliau berkata, peruntukan RM98 juta sudah diterima untuk mewujudkan 500 Tabika tahun ini. "Bakinya sebanyak RM200 juta untuk membina 1,000 Tabika pada tahun depan dan jumlah yang sama pada 2012," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan 2010 di Behrang, dekat sini, semalam. Mohd Shafie berkata, kebanyakan Tabika baru berkenaan akan dibina di luar bandar dan pinggir bandar, terutama di kawasan yang belum ada tadika swasta dan prasekolah di sekolah kebangsaan. Katanya, kini ada 8,500 Tabika Kemas di seluruh negara dengan 190,000 kanak-kanak. Beliau berkata, pembinaan 2,500 Tabika baru itu akan membuka kira-kira 5,000 peluang pekerjaan sebagai guru pendidikan awal kanak-kanak. "Mereka yang berminat untuk memohon sebagai guru Tabika Kemas perlu mempunyai lima kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). "Guru akan diberi latihan untuk mendapat Diploma Perguruan Malaysia ," katanya. Mohd Shafie berkata, seramai 256 guru Tabika Kemas lulusan Diploma Perguruan Malaysia sudah dilantik ke Gred S27. Katanya, seramai 257 lagi guru akan tamat diploma masing-masing hujung bulan ini. - BERITA HARIAN |
Golongan homoseksual perlu bijak tangani nafsu Posted: 15 Jun 2010 05:31 AM PDT Oleh Wan Marzuki Wan Ramli Mutakhir ini pelbagai media banyak memaparkan mengenai gejala gay dan lesbian yang semakin berleluasa di beberapa tempat di negara ini. Ada yang menganggap gejala ini tidaklah serius dan masih lagi terkawal tetapi persoalannya wajarkah kita membiarkan ia merebak atau lebih tepat lagi terus bertapak di bumi Allah ini. Seluruh umat Islam perlu memandang serius perkembangan ini kerana sebahagian besar daripada kalangan mereka yang terbabit dalam gejala yang dilaknat Allah itu adalah mereka yang beragama Islam. Hakikatnya kemodenan dan kecanggihan bukanlah alasan untuk kita mengorbankan jati diri kita sebagai umat Islam, sebaliknya kita perlu meningkatkan ketakwaan kepada Allah bagi menghadapi dunia yang serba mencabar. Kelompok yang terbabit dengan cinta sesama jenis ini bukan saja tidak berasa diri mereka bersalah malah ada antaranya rasa bangga dengan 'kelebihan' yang kononnya mereka miliki. Apa yang perlu difahami, kecenderungan seseorang kepada homoseksual atau lesbian bukanlah takdir tetapi pilihan ditentukan oleh manusia itu sendiri. Justeru, mereka yang terbabit perlu bijak mengendalikan nafsu dan bukannya menjadi hamba kepada nafsu. Mungkin ada di antara mereka akan berhujah 'ini kebebasan dan hak kami sebagai manusia' tetapi hakikatnya manusia tidak pernah diberi hak penuh untuk memuaskan segala keinginan hatinya oleh Allah. Sebaliknya, hak manusia itu dibatasi dengan hukum Islam yang ditetapkan dan tidak pernah berubah. Begitulah juga mereka yang terjebak dengan homoseksual dan lesbian ini. Sebagai insan dilahirkan menjadi seorang Islam, mereka seharusnya amat mengerti apa yang mereka lakukan amat bertentangan dengan perintah dan suruhan Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan (Kami juga mengutus) Lut (kepada kaumnya). (Ingatlah) ketika dia berkata kepada kaumnya: Mengapa kamu mengerjakan perbuatan yang keji itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelum mu?" "Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata, 'Usirlah mereka (Lut dan pengikutnya) dari bandar mu ini; sesungguhnya mereka adalah orang yang berpura-pura menyucikan diri. Kemudian Kami selamatkan dia dan keluarganya melainkan isterinya; dia termasuk orang yang dibinasakan.'' Dan Kami menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah bagaimana akibat orang yang melakukan kesalahan." (Surah Al-A'raaf, ayat 80 hingga 84) Perkataan keji dalam konteks ini bererti tindakan cabul, liwat dan lesbian yang dilakukan kaum Nabi Lut. Hakikatnya, dosa besar seperti dilakukan kaum Lut akan dihukum di akhirat kerana hukumannya lebih berat daripada azab dunia dan kehinaan di akhirat adalah lebih besar daripada kehinaan di dunia. Ulama bersetuju berdasarkan al-Quran dan hadis, wujud larangan keras terhadap perbuatan homoseksual dan lesbian kerana kedua-dua tindakan itu pemusnah institusi kekeluargaan terutama ikatan pernikahan yang suci. Justeru, mereka yang terjebak dalam gejala ini perlu mengawal nafsu kerana manusia bukanlah haiwan yang dikawal nafsu seks semata-mata. Manusia harus bertanggungjawab untuk mengetahui bagaimana mereka dapat mengarahkan keinginannya yang diberikan Allah kepada mereka, sama ada lelaki atau wanita. Jika ada di antara mereka menganggap apa yang dilakukan kebebasan dan hak mereka sebagai manusia, hakikatnya ia jauh menyimpang daripada sebuah kehidupan, apatah lagi Islam sememangnya menetapkan hukuman berat kepada mereka yang melakukan perbuatan terbabit. Firman Allah yang bermaksud: "Dan (terhadap) wanita yang mengerjakan perbuatan keji, hendaklah ada empat saksi di antara kamu (yang menyaksikannya). Kemudian apabila mereka memberi kesaksian, maka kurunglah mereka (wanita-wanita itu) dalam rumah sampai mereka menemui ajalnya, atau sampai Allah memberi jalan yang lain kepadanya. Dan terhadap dua orang yang melakukan perbuatan keji di antara kamu, maka berilah hukuman kepada kedua-duanya, kemudian jika kedua-duanya bertaubat dan memperbaiki diri, maka biarkanlah mereka. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (Surah An-Nisa, ayat 15-16) Ulama menyatakan ayat ke-15 itu merujuk kepada golongan lesbian yang melakukan perilaku sesat dan ayat berikutnya pula adalah golongan homoseksual yang melakukan perbuatan berkenaan. Rasulullah SAW pula bersabda: "Empat kelompok manusia yang bangun daripada tidurnya di bawah kemarahan Allah dan pergi tidur di bawah ketidaksenangan Allah. Mereka yang mendengarkan perkataan baginda bertanya, siapa mereka ya Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab, lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki, mereka yang melakukan hubungan seks dengan binatang dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki." - BERITA HARIAN |
Facebook cetus fenomena sedunia, berjaya bentuk ‘wilayah’ sendiri Posted: 15 Jun 2010 04:40 AM PDT Seandainya saya mempunyai 'buah hati' yang tidak dikenali di alam maya, tiada siapa yang tahu. Malah, isteri juga tidak dapat menghidu kecurangan suami kerana 'buah hati' hanya wujud di awangan dan tidak pernah menyapa apatah lagi bercumbu di alam nyata. Jika isteri pula mempunyai jejaka lain yang mungkin lebih daripada seorang menerusi Facebook, suami juga tidak dapat menduga kerana kehidupan harian di rumah berjalan seperti biasa. Hidup sentiasa kaya dengan rahsia dan misteri maya. Hari ini fenomena media baru dan teman maya semakin menakjubkan. Sesiapa saja boleh berteman dengan seseorang hanya melalui hujung jari. Malah, untuk mengutuk atau mengucapkan selamat pagi kepada Presiden Amerika Syarikat atau Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, kita boleh mendekati mereka menerusi Facebook. Kita juga boleh membeli kereta terpakai menerusi Facebook. Ada juga yang menggunakan Facebook sebagai medan untuk menyebarkan maklumat kegiatan teater, baca sajak, ceramah politik, malah jemputan kahwin. Ada yang menggunakan media maya untuk meluahkan perasaan rindu dan menyatakan perasaan hati kepada insan yang tidak pernah dikenali sebelumnya. Seorang kawan wanita yang 20 tahun terpisah mengirimkan mesej menyatakan dia terlantar di sebuah hospital di selatan tanah air kerana barah payu dara. 'Kita mungkin tidak akan bertemu lagi...' tuturnya, sayu! Seorang personaliti seni pula mengirimkan kad jemputan perkahwinan anaknya pada musim cuti sekolah. 'Kau mesti datang, sudah berkurun kita tak jumpa. Aku ada lima menantu,' mesejnya mengingatkan betapa masa dan ruang semakin menjarakkan perhubungan insani pada alaf baru ini. Facebook menjalin semula hubungan dengan rakan yang sudah lama terpisah. Ia juga menyambung semula zaman retro yang sudah menjarak. Ia mendekati semula suasana di sekolah atau jejak perjalanan sepanjang kembara di luar negara. Ia memberi nafas kepada masa lalu yang sudah jauh kita cicirkan. Ada teman mengirimkan mesej mengenai populariti dirinya. Dia mempunyai 5,000 teman maya yang kononnya semakin akrab dan mendekati. 'Kami boleh berbincang apa saja termasuk isu politik atau pasaran kewangan global pada bila-bila masa dan di mana saja'. Dia yakin Facebook sudah membentuk 'negara' baru kerana mempunyai 'rakyat' yang pelbagai ideologi, warna kulit, etnik dan agama berbeza. Sehingga kini pengguna Facebook di Malaysia hampir tujuh juta orang. Menerusi statistik yang dikemaskini setiap hari oleh Facebakers, seramai 3,472,200 orang atau 52 peratus adalah pengguna lelaki dan 48 peratus perempuan. Pengguna paling aktif pula antara umur 18 hingga 24 tahun merangkumi 37 peratus warga Facebook di Malaysia. Ia diikuti usia 25 hingga 34 tahun meliputi hampir 31 peratus pengguna. Data ini memperlihatkan Malaysia menduduki tangga ke-17 pengguna Facebook paling ramai, sekali gus menjadi negara Asia Tenggara ketiga paling ramai selepas Indonesia dan Filipina. Sepanjang 2009, Facebook menjadi jaringan sosial terbesar di dunia, dengan memiliki 250 juta pengguna aktif dan pertambahan pengguna 50 juta dalam tempoh tiga bulan. Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dalam laman kapling Online menyatakan Facebook sentiasa memberikan kehidupan kepada penggunanya. 'Laman ini bererti untuk semua orang kerana ia realiti kehidupan masa kini dan memberi manfaat kepada dunia,' catatnya. Ada sumber menyatakan sehingga Mei 2010, jumlah pengguna Facebook sudah meningkat 300 juta, iaitu mengatasi kombinasi jumlah penduduk Perancis, Britain dan Jerman. Facebook didirikan pada Februari 2004 di Palo Alto, California kini menjadi buruan pedagang siber. Pertengahan Julai 2009, syarikat Russia, Digital Sky Technologies menawarkan pembelian syarikat dengan AS$6.5 bilion. Kini Facebook sudah menjadi fenomena sejagat. Ia semakin banyak didekati. Ia juga semakin banyak dicemburui oleh saingan maya yang lain. Ketika dunia sedang merayakan teknologi maklumat dan media baru, Facebook berjaya membentuk wilayahnya sendiri. Facebook bukan sekadar meluahkan perasaan rindu dan syahdu, juga memungkinkan bagaimana pendapat dunia boleh dicorakkan menerusi hujung jari semata-mata. Inilah citra masa depan yang tentunya jauh berbeza dengan apa yang sudah kita jejaki sebelum ini. - BERITA HARIAN |
Tarikh Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan ke IPTA Julai 2010 Posted: 14 Jun 2010 10:54 PM PDT Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan ke IPTA Program Pengajian DIPLOMA PENDIDIKAN (DPLI) AMBILAN JULAI 2010 : (Mulai 17 Jun 2010 - Khamis, jam 12.00 tgh) Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan ke IPTA bagi Lepasan STPM /Diploma / Setaraf Sesi 2010/2011 : (Mulai 18 Jun 2010 - Jumaat, jam 12.00 tgh) UNIT PUSAT UNIVERSITI BAHAGIAN PENGURUSAN KEMASUKAN PELAJAR KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA http://upu.mohe.gov.my/ |
You are subscribed to email updates from MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |