Adsense

Sabtu, 13 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Izreen Azminda dapat anak lelaki

Posted: 12 Jul 2013 10:07 PM PDT

KUALA LUMPUR 13 Julai. - Pelakon Izreen Azminda, 28, selamat melahirkan anak pertamanya di Hospital Ampang Puteri di sini pada pukul 1.18 pagi tadi.

Bayi lelaki sihat dengan berat 3.3 kilogram itu dilahirkan melalui pembedahan.

Menurut suami Izreen, Mohammad Riza Baharuddin, isterinya kini selamat bagaimanapun masih berada dalam keadaan lemah selepas pembedahan tersebut.

"Isteri dan bayi kami dalam keadaan baik," katanya. - UTUSAN ONLINE

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Survival Elfaeza

Posted: 12 Jul 2013 05:42 PM PDT

Pernah murung disebabkan berjauhan dengan keluarga

Pernah terdetik perasaan ragu untuk mencuba nasib di tempat orang, Elfaeza Ul Haq akur barangkali rezeki masih belum berpihak kepadanya meskipun jalan untuk meneroka laluan sudah terbentang luas.

Pelakon asal Jurong, Singapura ini pernah ditawarkan untuk serius mendalami dunia lakonan namun ditolak. Disebabkan tidak mampu menangani tekanan, Elfaeza nekad pulang ke tanah kelahiran selepastamat penggambaran drama berantai, Impak Maksima.

"Mungkin kerana masih muda, banyak perkara yang tidak mampu saya tangani seorang diri terutama apabila dimarahi di set penggambaran.

"Ketika itu saya juga berperang dengan diri sendiri. Industri belum bersedia menerima kehadiran pelakon luar, malah saya pernah terasa hati apabila dianggap ke Kuala Lumpur untuk mencuri rezeki orang lain.

"Memikirkan barangkali belum masa untuk saya bertapak di rantau orang, saya ambil keputusan pulang ke pangkuan keluarga.

"Dari situ saya beroleh peluang berlakon di Singapura. Saya terima dengan niat untuk belajar dan mendalami setiap aspek dunia lakonan. Kesempatan itu juga diambil untuk membina nama kerana saya masih belum gah di negara sendiri," katanya.
Bagaimanapun, Elfaeza yang memulakan langkah dalam bidang nyanyian selepas menyertai program realiti, Anugerah pada 2003 akur kekangan yang terpaksa dihadapinya.

Situasi industri hiburan Melayu yang kecil di Singapura membataskan langkahnya. Dirinya tersepit antara keinginan untuk mencabar kemampuan namun akur, peluang itu tidak mungkin diperoleh jika dia kekal di situ.

Fikirkan tanggungjawab

"Saya disarankan supaya mencuba nasib di Kuala Lumpur. Tetapi hati saya berat, memikirkan tanggungjawab terhadap adik yang masih bersekolah.

"Bagaimanapun pada 2011, apabila produksi teater tempat saya bekerja ditutup, Tuhan seperti membuka mata saya supaya memikirkan perancangan untuk diri sendiri.


"Ketika itu juga adik membina keluarga dan saya mendapat sedikit kebebasan. Ketika itu saya mendapat tahu ada uji bakat di Kuala Lumpur, lantas menggerakkan hati saya untuk kembali mencuba memikirkan ia adalah masa yang tepat," katanya.

Tanpa membuat persediaan lengkap, Elfaeza nekad untuk terbang ke Kuala Lumpur dan menghadiri uji bakat untuk drama berantai, Adam & Hawa. Rezeki menyebelahinya apabila dia diterima untuk watak Azie. Namun kegembiraan Elfaeza tidak lama kerana dia kembali diuji.

"Penggambaran ditangguhkan dan ketika itu, saya kehilangan pekerjaan. Untuk meneruskan survival, saya ambil beberapa tawaran kecil di Singapura dan membintangi drama, Biarlah Rahsia.

"Alhamdulillah kerana penantian panjang itu membuahkan sesuatu yang tidak pernah saya jangka. Adam & Hawa menjadi fenomena dan dari situ, saya menerima banyak tawaran hingga akhirnya saya semakin selesa dengan kehidupan di Kuala Lumpur," katanya.

Antara drama berantai yang dijayakan Elfaeza adalah Cinta Qaseh, Tiara, Dalam Setiap Sujudnya dan terbaru Mukhlis bergandingan dengan Sharnaaz Ahmad.

Dia juga menyerikan drama seperti Biarlah Rahsia, Jambatan Ke Syurga, Siapa Di Hatimu dan Tanah Kubur.

Hampir berputus asa

Berjauhan dari keluarga kata Elfaeza, menuntut kekuatan emosi yang tinggi kerana kerinduan yang tidak tertahan hampir meragut semangatnya yang suatu ketika dulu begitu membara.

Telah Elfaeza, disebabkan sudah terbiasa hidup berdikari di Singapura, dia tidak akan berdepan ujian berat apabila memilih untuk berhijrah ke Kuala Lumpur.

"Apabila sebatang kara di sini, baru saya faham perbezaannya. Dulu setiap perkara saya ambil sambil lewa kerana keluarga sentiasa di sisi. Suara yang dulu jarang saya endahkan, mula saya rindui.

"Lebih terasa setiap kali pulang ke rumah sewa, tiada siapa yang menyambut. Situasi itu membuat saya murung dan kerap menitiskan air mata.

"Hampir lapan bulan saya begitu dan pernah satu tahap, saya menghubungi teman di Singapura memberitahu saya mengalah dengan dugaan ini.

"Bayangkan ketika di lokasi Adam & Hawa, saya terpaksa berperang dengan diri sendiri. Alhamdulillah, semua itu sudah mampu diatasi.

"Saya bersyukur kerana mempunyai semakin ramai kenalan di sini," katanya berterima kasih kepada teman pelakon Singapura, Shah Iskandar yang banyak membantu ketika dia mula bertapak di Kuala Lumpur.

Elemen 3D Mantapkan Lagi Despicable Me 2

Posted: 12 Jul 2013 05:32 PM PDT

ADVERTORIAL:

Setelah kejayaan pertama menerusi filem animasi Despicable Me, penonton bakal dihiburkan dengan sekuel berjudul Despicable Me 2.

Siapa sangka, filem yang diisi dengan suara pelakon terkenal berjaya menggegarkan panggung dengan watak animasi yang direka begitu comel sekali.

Keletah makhluk-makhluk kecil yang berperanan sebagai pembantu Gru (Steve Carell) kembali mencuri pentas dan menonjol dengan perangai mereka yang mampu membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak.

Walaupun watak mereka dicipta dengan dialog yang tidak difahami namun aksi-aksi lucu mereka begitu menghiburkan.

Filem ini mengisahkan mengenai seorang ayah tunggal, Gru yang membesarkan tiga orang anak perempuannya iaitu Margo (Miranda Cosgrove), Edith (Dana Gaier) dan Agnes (Elsie Fisher). Gru berusaha membesarkan anak-anaknya dengan dengan menghasilkan jem dan jeli buatan sendiri selepas berubah meninggalkan kerjayanya sebagai seorang penjenayah.

Malah, Gru juga turut ditawarkan oleh sebuah organisasi rahsia, Anti Villain untuk menyiasat satu kes kehilangan formula baru. Berperanan membantu untuk menentang kejahatan, Gru adalah seorang calon yang sesuai kerana statusnya yang bergelar bekas penjenayah.

Gru yang fobia untuk berkawan dengan wanita kerana kisah silamnya telah disatukan dengan Lucy Wilde (Kristen Wiig) untuk menangkap penjahat berkenaan.
Selain menyelesaikan tugasan yang diberi, Gru juga perlu mengimbangi tanggungjawabnya sebagai seorang bapa yang mana anaknya, Morgan semakin meningkat remaja.

Kesan 3D yang digunakan juga memberikan impak yang lebih berkesan melalui filem animasi ini dan anda dapat berasakan seperti turut berada dalam Despicable Me 2.

Tahniah diucapkan kepada Cinco Paul dan Ken Daurio kerana selain menghiburkan, filem ini juga menerapkan mesej dan nilai-nilai murni yang banyak memberikan pengajaran.

Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan sejumlah wang untuk menonton filem Despicable Me 2 yang sedang ditayangkan di pawagam sejak 4 Julai.

Filem ini mampu membuatkan anda ketawa terbahak-bahak serta turut membantu menghilangkan tekanan kerja di pejabat.

Filem: Despicable Me 2

Genre: Komedi

Suara latar: Steve Carell (Gru), Kristen Wiig (Lucy Wilde), Miranda Cosgrove (Margo), Ken Jeong (Floyd) dan Russel Brand (Dr. Nefario)

Info: Selain sebagai tarikan penonton, penerbit Chris Meledandri percaya Despicable Me 2 sesuai dipersembahkan dalam 3D kerana skop dan skala set filem ini, sekali gus dapat memberikan impak yang menakjubkan kepada penonton.

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Qi Razali Sahkan Nelydia Senrose Kekasihnya

Posted: 12 Jul 2013 03:19 PM PDT

PETALING JAYA: Pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM), Qi Razali akhirnya membuat pengakuan secara sah iaitu sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Nelydia Senrose walaupun sebelum ini menepis gosip tersebut.

Qi atau nama sebenarnya Qushairi Razali, 35, berkata, kematangan dan sikap kelakar Nelydia, 19, membuatkan persahabatan mereka bertukar menjadi serius iaitu sebagai pasangan kekasih selain mereka berkongsi banyak minat sama.

"Sebelum ini hubungan kami memang hanya kawan tetapi sekarang ia telah menjadi cinta. Saya mengakui, Nelydia adalah kekasih saya.

"Bagaimanapun biarlah percintaan ini berjalan dengan perlahan-lahan kerana saya tidak mahu kegagalan dahulu berulang," katanya kepada mStar Online.

Qi sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna sebelum berpisah secara baik untuk membawa haluan masing-masing.

Yuna kini berada di Amerika Syarikat untuk mengembangkan kerjaya dan akan melancarkan album terbaharunya pada Oktober depan.


Nelydia Senrose.
Dalam perkembangan sama, Qi berkata, dia berhasrat untuk tidak bercinta terlalu lama dan meletakkan tempoh masa selama dua tahun untuk mereka mengenali hati budi masing-masing.

Jelas Qi, pada usianya sekarang keinginan untuk mempunyai keluarga sendiri semakin menebal sehinggalah dia membuat keputusan menjadikan Nelydia sebagai kekasih sebelum diangkat menjadi isteri.

"Bagaimanapun saya tidak mahu terburu-buru kerana kerjaya Nelydia pun sedang meningkat dan biar dia tumpu kepada kerjayanya dahulu.

"Cuma perancangan saya tidak mahu bercinta terlalu lama kerana usia saya pun bukannya muda lagi," jelasnya.

Tambah Qi, dia juga ada beberapa kali berjumpa dengan keluarga kekasihnya itu dan selesa dengan kematangan wanita berkenaan walaupun dia masih muda.

Dalam perkembangan lain, Qi berkata, dia kini sibuk dengan penggambaran JJCM untuk edisi bulan Ramadan sebelum terbang ke Argentina bagi penggambaran musim terbaharu program Art Attack pada 18 Julai depan.

Alif Satar Gementar Temui Keluarga Kekasih

Posted: 12 Jul 2013 03:17 PM PDT

PETALING JAYA: Penyanyi lagu Lelaki Seperti Aku iaitu Alif Satar mengakui gementar untuk bertemu dengan keluarga kekasihnya pada majlis berbuka puasa dalam masa terdekat ini.

Alif, 23, berkata, perasaan itu timbul kerana ini adalah kali pertama dia akan bertemu dengan keluarga teman wanitanya yang dikenali sebagai Shadila, 29, selepas tiga tahun bercinta.

"Insya-Allah saya bakal bertemu dengan keluarga kekasih dalam masa terdekat ini untuk berbuka puasa.

"Sudah tentu rasa gementar dan gugup itu ada dan berharap semuanya berjalan dengan lancar," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Hotel Royale Bintang Damansara di sini, Khamis lalu.

Dalam perkembangan sama, Alif berkata, dia tidak melihat perbezaan usia sebanyak enam tahun sebagai satu masalah dalam sesebuah hubungan kerana apa paling penting persefahaman di antara dua pihak.

Kata Alif, dia sangat selesa dengan Shadila dan tidak pernah memikirkan soal usia apabila bersamanya.

"Saya selalu rasa kami sebaya dan paling penting kami selesa di samping persefahaman yang menjadikan sesuatu hubungan itu kuat dan bukannya jarak usia," katanya.

Ditanya adakah dia sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga, Alif berkata dia meletakkan perkara itu kepada jodoh namun berharap hubungan tersebut akan berkekalan sehingga ke jinjang pelamin.

Dalam perkembangan lain, Alif berkata, bersempena bulan Ramadan kali ini dia berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dengan menjual sejenis kuih tradisional Melayu iaitu biskut bakar.

Jelas Alif, penglibatannya itu hanya secara suka-suka dan ingin membantu ibu saudaranya yang membuat kuih berkenaan bersempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri.

"Peminat atau sesiapa yang membeli lima balang dan ke atas saya sendiri akan hantar biskut berkenaan ke rumah mereka sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

"Tetapi penghantaran itu hanya terhad di Lembah Klang sahaja," ujarnya.

Tambah Alif peminat yang berminat untuk mendapatkan kuih berkenaan boleh membuat tempahan menerusi laman Instagramnya di Alifsatar.

Bakal Tunang Hafiz Hamidun Kahwin Lelaki Lain

Posted: 12 Jul 2013 03:16 PM PDT

PETALING JAYA: Penyanyi Hafiz Hamidun benar-benar kecewa kerana terpaksa melupakan hasrat untuk meminang kekasihnya dari Indonesia apabila wanita tersebut sudah pun berkahwin pada April lalu.

Hafiz, 29, berkata, sepatutnya dia dan keluarga telah merancang untuk menunaikan umrah di Mekah dan pada masa sama berjumpa dengan keluarga wanita berkenaan yang menetap di negara Arabitu situ pada Mac lalu.

Bagaimanapun sebelum bertolak, Hafiz diberitahu kekasihnya itu sudah dipinang orang.

"Kami sudah hampir setahun berhubungan. Tetapi nak buat macam mana, tak ada jodoh.

"Tak sangka, ketika saya dan keluarga hendak ke Mekah, bekas kekasih memberitahu melalui SMS (khidmat pesanan ringkas) dia akan bertunang dan berkahwin dengan orang lain.

"Saya kecewa, tetapi akur bahawa dia bukan jodoh saya. Bapa wanita itu memberi alasan yang dia ingin mengahwinkan anaknya dengan lelaki sebangsa dan pada masa sama menetap di Mekah," katanya.

Hafiz ditemui pada pelancaran iklan raya filem pendek Mamee di Restoran Rebung di sini pada Khamis lalu.

Bagaimanapun katanya, baru-baru ini, dia telah diperkenalkan dengan seorang wanita ketika menghadiri majlis perkahwinan rakannya dan terus melamar wanita itu.

"Benar, saya melamar dia masa itu juga selepas terpaku melihatnya. Dia pun terkejut dan menerima lamaran itu.

"Tetapi kami memberi peluang mengenali diri masing-masing dalam tempoh masa beberapa bulan sebelum merancang untuk berkahwin pada awal tahun depan,"ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hafiz bakal melancarkan album keduanya berjudul Zikir Terapi 2 pada 22 Julai depan selepas kejayaan album Zikir Terapi pertama yang meraih jualan 150,000 unit.

"Alhamdulillah, di saat masalah jualan album yang merudum, album zikir saya berjaya. Harap-harap album seterusnya ini turut mendapat respons yang baik," katanya.