Adsense

Khamis, 11 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Prism Berhad mula kutip royalti 1 Julai

Posted: 11 Jul 2013 01:31 AM PDT

Oleh AZIZ ITTAR

KUALA LUMPUR 11 Julai - Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Prism Berhad) kesal apabila ada ahli-ahli badan itu yang masih keliru dan menyamakannya dengan Prism Sdn. Bhd. yang telah dibubarkan baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Prism Berhad, Anuar Dahlan, tambah mengelirukan apabila badan yang ditubuhkan pada 15 Mei tahun lalu di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia itu dikatakan tidak membayar royalti kepada ahli-ahlinya.

"Ramai yang keliru dengan Prism Sdn. Bhd. yang telah dibubarkan yang mana badan itu telah membayar royalti buat ahli-ahli pada 2011 sebelum ia dibubarkan.

"Sedangkan Prism Berhad pula baru mendapat lesen kutipan royalti mulai 1 Julai lepas. Jadi bagaimana kami hendak bayar royalti sedangkan kami baru hendak kutip royalti?" ujarnya.

Anuar menjelaskan, perkara itu sewaktu menjawab isu yang ditimbulkan oleh pemuzik Aznan Alias seperti yang disiarkan dalam Utusan Malaysia semalam, berhubung dakwaan itu.

Tambahnya, isu itu sepatutnya diselesaikan oleh pihak pengurusan Prism Sdn. Bhd. dan perkara itu tiada kena mengena dengan Prism Berhad yang kini dipengerusikannya. - UTUSAN ONLINE

Fiza Elite tidak jadi kahwin

Posted: 10 Jul 2013 11:46 PM PDT

Oleh GARRET DAWUM

FIZA ELITE...batalkan pernikahan yang sepatutnya Jun lalu.

KUALA LUMPUR 11 Julai - Pelakon Fiza Halim, 32, terpaksa membatalkan pernikahan yang sepatutnya berlangsung pada Jun lalu, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Menurut Fiza, persiapan dan persediaan untuk perkahwinannya telah dibuat beberapa bulan lalu tetapi apakan daya, mereka tiada jodoh dan tidak dapat meneruskan perkahwinan itu pada bulan lalu.

"Saya akui sangat kecewa kerana banyak persiapan sudah dibuat. Sepatutnya saya menjadi seorang isteri semula pada Ramadan kali ini, tetapi tidak berlaku," kata ibu tunggal beranak dua ini kepada Utusan Online di sini hari ini.

Bagaimanapun, Fiza enggan mendedahkan identiti lelaki yang melamar dirinya itu, memandangkan kisah itu tidak lagi perlu untuk dibicarakan.

"Siapa dia, tidak perlulah saya beritahu kerana perkahwinan itu tidak menjadi pun. Bila tidak jadi berkahwin, saya sudah reda.

"Sebagai insan, kita tidak tahu apa akan jadi pada masa depan. Mungkin akan datang jodoh baru, saya terima apa saja daripada Yang Maha Esa," kata bekas anggota kumpulan Elite yang baru tampil dengan imej bertudung ini.

Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abd. Halim telah bercerai dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin, 33, pada 4 November 2010.

Pendedahan Fiza secara eksklusif mengenai isu perkahwinan tidak menjadi ini boleh dibaca dalam sisipan Mega, Utusan Malaysia esok. - UTUSAN ONLINE

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Syahdu Ramadan

Posted: 10 Jul 2013 04:41 PM PDT

Ramadan yang baru menyingkap tabirnya terasa kosong buat penyampai radio Suria FM, Linda Onn dan pelakon Eira Syazira yang kehilangan ayah dan bonda tercinta, beberapa bulan lalu.

Walaupun sudah lebih lima bulan ayahanda tersayang, Onn Chik, 80, menyahut panggilan Ilahi, namun anak bongsu dari empat beradik ini masih sukar melupakan setiap detik bersama Allahyarham.

Bergelar anak bongsu membuatkan Linda cukup akrab dengan ayahnya.

Sejak ayah meninggal dunia pada 17 Februari lalu akibat serangan jantung, rumah yang dihuni mereka termasuk ibu dirasakan sunyi dan tidak berseri.

Saya masih merindui ayah sehingga setiap hari saya memohon agar dipertemukan dalam mimpi. Selepas hampir lima bulan ayah pergi, akhirnya sehari sebelum Ramadan, doa saya dimakbulkan.

Biarpun dalam mimpi itu ayah cuma tersenyum tanpa berkata-kata, namun sedikit sebanyak terlepas juga rindu buat ayah. Rumah kami terasa amat sunyi tanpanya. Jika sebelum ini ayah yang sibuk mengejutkan saya untuk bersahur, tapi tahun ini tidak kedengaran lagi suaranya, katanya kepada HIP.

Terus mengimbau kenangan bersama ayah, Linda berkata, Allahyarham ketika hayat disediakan ruang khas di meja makan.
Tetapi kini saya mengambil alih tempat duduk arwah. Sahur pertama kami semalam terasa sangat sunyi memandangkan cuma saya dan ibu saja menghadap juadah bersama. Jika selama ini ayah banyak menitipkan nasihat terutama hal-hal berkaitan agama, tapi kini rumah kami jadi sunyi dan sepi. Ini kerana saya dan ibu tidak banyak bercakap, kata Linda.

Paling membuatkan dia terasa kehilangan ayah apabila tidak lagi dapat menunaikan solat tarawih bersama Allahyarham yang sering bertindak sebagai imam. Ramadan tahun lalu menjadi detik terakhir Linda bertarawih bersama ayah.

Teringat solat berjemaah setiap hari

Lazimnya sepanjang Ramadan, sebaik urusan di konti selesai, Linda akan bergegas pulang ke rumah bagi menunaikan solat tarawih bersama keluarga.

Namun, tahun ini dia tidak dapat menggambarkan suasananya kerana masih belum melaluinya.

Memandangkan tidak sempat untuk ke masjid kerana tugas di konti hanya selesai selepas jam 8 malam, saya hanya dapat menunaikan solat tarawih di rumah. Biasanya, ayah dan ibu akan menunggu kepulangan saya, selepas itu barulah kami akan bersama-sama melaksanakannya.

Bila ingat kembali kenangan bersolat tarawih tahun lalu, hati saya jadi sayu. Sebelum solat bersama, saya akan berbuka dengan ibu dan ayah terlebih dulu. Bergantung di mana mereka berada, jika mereka berada di restoran, saya akan ke sana dan pulang bersama untuk bersolat di rumah, kata Linda.

Menyentuh menu kegemaran arwah ayahnya, kata Linda, bapanya bukanlah seorang yang cerewet dan memilih soal makan. Tetapi nasi ayam goreng di kedai miliknya dan daging masak kicap menjadi menu wajib mereka sekeluarga di rumah. H2

Eira reda ibu pergi akibat barah

Pelakon Eira Syazira mengaku biarpun sayu mengenangkan kepulangan ibu tercinta, Che Ruhani Che Hassan, 60, ke Rahmatullah, Mei lalu, mereka adik beradik reda kerana tidak sanggup melihat penderitaan Che Ruhani akibat barah payu dara.

Sejak tahun lalu lagi kesihatan mummy sudah merosot sehingga kami adik beradik terpaksa mengambil alih semua tugas ibu terutama di dapur. Walaupun ketika itu mummy sudah sakit, tapi sekurang-kurangnya dia masih ada.

Tapi tahun ini sambutan Ramadan kami terasa berbeza sama sekali. Pemergian mummy satu kehilangan besar buat kami adik beradik. Sewaktu mummy masih ada, saya dan suami akan cuba luangkan waktu untuk berbuka di rumah mummy tapi tahun ini kami tidak dapat lagi berbuat demikian, katanya.

Rindu air tangan mummy

Eira mengaku perkara yang paling dirindui ialah air tangan mummy. Menurutnya, ibu cukup hebat di dalam menyediakan masakan Kelantan seperti nasi kerabu apatah lagi pada bulan puasa.

Namun, sejak ketiadaannya, Eira berkata, dia belum bertemu mana-mana individu atau tukang masak yang mampu menandingi air tangan mummy.

Kami adik beradik kehilangan dahan untuk bergantung kerana mummy adalah tonggak keluarga. Kami menganggapnya sebagai wanita besi. Mungkin ini ujian tuhan buat saya.

Tuhan ambil mummy tetapi digantikan dengan kehadiran anak saya, Amarra Sofea Rose yang sekarang berusia enam bulan, kata isteri kepada pelakon Azad Jasmin itu.

Tak galak anak ikut jejak

Posted: 10 Jul 2013 02:35 AM PDT

Popularitinya yang bertahan sehingga ke hari ini sangat mahal harganya. Bukan saja terpaksa berkorban masa dan tenaga, tetapi dia juga perlu berdepan pelbagai dugaan yang mampu memusnahkan kehidupan.

Namun, selepas lebih empat dekad berada dalam industri hiburan, semua halangan itu dapat diatasi Datuk Jeffrydin dengan penuh ketenangan. Malah, semangatnya tidak pernah pudar untuk terus berjuang dalam bidang seni. Buktinya, ketika ramai artis seangkatan dengannya sudah menyepikan diri, dia masih berpeluang menghasilkan album terbaru.

Bukan calang-calang orang mampu meneruskan kelangsungan hidup dalam bidang ini.

"Kita kena sentiasa bersedia dan pastikan ilmu penuh di dada sebelum menceburkan diri dalam bidang ini. Saya akui, banyak dugaan terpaksa ditempuh sepanjang bergelar anak seni. Sebab itulah saya tidak menggalakkan anak-anak menjadi artis.

"Saya bimbang mereka tidak mampu untuk menghadapi dugaan dan tekanan. Ada juga di antara anak saya yang menunjukkan minat dalam bidang seni, tetapi saya buat tak tahu saja. Ibu mereka pun tidak menggalakkan," cerita Jeffrydin ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya, Debaran Rindu, di Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Album yang diterbitkan Datuk M Nasir dan Azmeer itu sudah pun berada di pasaran mulai 8 Julai lalu.

Gelaran dipertikai
Ternyata apa yang dikatakan penyanyi yang terkenal menerusi lagu Kenanganku dan Seruling Anak Gembira ini benar belaka. Ada saja yang tidak suka dengan kejayaannya, sehinggakan gelaran Datuk yang diperolehnya itu juga dikatakan tidak sah kerana dikurniakan Sultan Sulu.

Mengulas lanjut perkara itu, penyanyi berusia 66 tahun menyifatkan dakwaan itu sebagai kenyataan berunsur dengki oleh mereka yang tidak puas hati dengannya.

"Saya sedar ramai yang mengatakan gelaran Datuk itu saya dapat daripada kerajaan Sulu, Filipina. Hakikatnya, gelaran itu saya dapat daripada kerajaan Melaka pada 2009. Saya tak kecil hati pun. Biarlah orang nak kata apapun, asalkan saya tahu perkara sebenar," tegas penyanyi legenda pop yeh yeh ini.

Masih ada peminat

Barangkali ada yang tertanya-tanya, apakah relevannya Jeffrydin menghasilkan album ketika ini? Apatah lagi album itu bernuansa irama pop yeh-yeh, yang dianggap ketinggalan zaman. Namun begitu, bagi si empunya diri, muzik terbabit masih mempunyai penggemarnya yang tersendiri.

"Saya tidak rasa album ini ketinggalan zaman. Apabila peminat saya tahu saya menghasilkan album terbaru, mereka terus meminta saya mengadakan persembahan di tempat mereka. Selepas Hari Raya nanti saya akan mengadakan persembahan di kepulauan Batam dan di daerah di sekitarnya," ujar pemilk nama penuh Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman ini.

Selain Debaran Rindu yang dinyanyikan secara duet dengan kumpulan One Nation Emcees, lagu lain yang turut dimuatkan ialah Pemburu Cinta, Lagu Dari Jiwa, Bing Bang Boom, Persoalanku dan sebuah lagu raya iaitu Syahdu Di Pagi Raya.

Antara komposer dan penulis lirik yang menyumbangkan karya mereka ialah Ad Samad, S Amin Shahab, Tam Spider, Keon, Senibayan, Azmeer dan M Nasir.